Mengejar CINTA

*Salam Sejahtera*

Lewat petang kelmarin menonton satu drama cinta di televisyen. Si gadis yang sangat naif sanggup masuk kelab tenis semata untuk bersama lelaki yang diminatinya. Walaupun tidak pandai bermain tenis, dia tetap ikut bermain dan akhirnya bola tenis mencederakan hidungnya. Cinta dan perhatian lelaki tidak dia dapatkan malah sakit yang dia perolehi. Memang sakit juga hati ini melihat perempuan yang terhegeh hegeh mengejar lelaki sedangkan ada insan lain yang menyukai dan boleh menghargai dirinya lebih baik.

Bukan tentang cerita tersebut yang hendak saya kisahkan. Namun, tidak mustahil ia berlaku di dalam dunia realiti. Wanita sanggup mengejar cinta hingga menjadi bodoh. Biarpun tidak bodoh dalam erti kata yang sebenar, berlaku bodoh semata mengejar cinta seseorang yang tidak pernah memandang walau sedikitpun pada diri kita adakah betul caranya? Mungkin di dalam cerita ia diakhiri dengan si gadis bodoh akhirnya berkahwin dengan lelaki idaman. Namun, berapa banyak kisah juga yang akhirnya wanita membunuh diri kerana cinta dan disakiti kerana cinta? Malah, lebih dasyat ramai yang sanggup mencemar maruah diri kerana cinta.

Dalam pada mencari-cari cinta, adakah perlu untuk mengejar cinta yang kita dambakan dari orang yang kita sukai? Pada saya biarlah bersederhana dan bijaksana. Jangan keterlaluan dan membiarkan diri dihina dan dimalukan semata kerana mengharapkan cinta dari seorang yang tidak tahu menghargai cinta kita padanya. Carilah cinta yang dapat memberikan pulangannya ialah bahagia dan elakkan cinta terlarang. 

Kekadang kita bertemu orang yang salah dalam mencari cinta. Malah bukan sekali malah berkali-kali tersilap dalam cinta. Jika meletakkan akal dan budibicara dalam mencari cinta kita pasti lebih bijak dalam memilih cinta dan bercinta. Bila kecewa dengan cinta kita tidak mudah berputus asa. Bila dikhianati cinta, kita tidak mudah memilih untuk mati. Bila diminta membuktikan cinta sejati kita juga tidak mudah mempertaruhkan maruah diri sebagai buktinya.

Bijaklah dalam mencari cinta. Tidak perlu terkejar-kejar sampai tidak nampak cinta sebenar di depan mata. Jangan sampai orang sekeliling juga jelek dengan kita. Mencari cinta juga janganlah terlalu lama sampai tua. Masa beredar seiring dengan usia kita. Perempuan atau lelaki, muda atau tua, semua layak bercinta dan   gerakkanlah langkah dengan matang sesuai dengan usia. Jika masih belajar elok tumpukan pada pelajaran. Betul ada yang mampu bercinta dan belajar sampai menggapai kejayaan dalam kedua bidang. Tapi, jika tak cukup ilmu dan pertahanan  diri lebih baik tangguhkan dulu hingga tiba masanya. Kekadang cinta itu hadir tanpa diduga dan dalam cara yang tak pernah kita fikirkan.

0 comments: