Pantang di hari raya

Alhamdulillah...Bertemu lagi kita dengan Syawal yang mulia...seperti mana Ramadhan, bulan Syawal juga memberikan keberkatan dan kegembiraan untuk kita bersyukur atas nikmat Ilahi setelah berpuasa makan,minum dan mengawal nafsu selama sebulan dan dengan tambahan puasa 6 hari di bulan Syawal ini melayakkan kita mendapat ganjaran seperti orang yang berpuasa setahun...Amin, Insya Allah....Kepada sesiapa yang sibuk untuk memenuhi jemputan rumah terbuka dan sambutan raya di pejabat, semoga dapat merancang jadual anda dengan bijak supaya puasa dapat dilakukan dan jemputan orang juga dapat dipenuhi. Dalam pada itu, yang lebih penting bukanlah makan dengan banyak atau berlebihan dalam membuat rumah terbuka tetapi dapat bertemu mereka yang jauh dan jarang berjumpa di hari kebiasaan dan saling bermaafan sesama. Moga pertemuaan tersebut akan diredhai Allah dan beroleh pahala jua....

Back to topic....pantang???? pantang jumpa makanan sedap di hari raya...hehe..Rutin hari raya bermacam-macam juadah dan kuih muih dan biskut akan disediakan. Kebetulan aku baru melahirkan anak, makan tetap makan..namun arahan berpantang tetap dipatuhi walaupun ada ketika meleleh gak air liur ke anak tekak sebab tak dapat makan makanan kegemaran. Jadinya, memang pantang jumpalah mesti cubit sedikit. Nama pun raya, bukan raya kalau tak makan lemang..ketupat dan rendang...aku curi-curi jugak makan lemang sepotong tatkala orang tak nampak..Alhamdulillah tak ade apa-apa pun...Adik aku membebel, memang lah hari ini ok dan tak ada apa-apa efek sebab kesan buruknya akan dirasai bila kita dah tua nanti...bebelannya aku terima di telinga kanan dan aku keluarkan di telinga kiri..hehe

1 Syawal kali ini giliran berhari raya di rumah mertua dahulu. 2 Syawal barulah aku balik ke rumah sendiri di Dong. Tak dapat berjalan kemana-mana pun dalam tempoh cuti raya kali ini sebab keadaan aku yang masih dalam pantang (kurang 20 hari) dan Addin pula demam siap dengan merengek, moody dengan semua orang dan asyik nak berkepit dengan ibu.

Bercerita tentang juadah pagi raya, MIL seperti biasa akan menyediakan nasi jangung, ayam masak merah, kari daging, acar timun dan daging hitam (dimasak oleh chu). Lazim sesudah Subuh, orang masjid Jengka 14 akan dijemput ke rumah untuk bertahlil dan makan di rumah. Berbanding di rumah Dong mak aku memasak rendang,nasi himpit dan kuah kacang. Emmm...semuanya kegemaran..makan tetap makan, kecuali kuah kacang memang tak usik langsung. Kononnya nak mengelakkan makanan berkacang, tetapi balik Dong, biskut mazola mak memang tak boleh tak makan. Dari cubit sedikit-sedikit terus makan 2-3 keping...

Itulah cerita pantang masa raya. Aku pun dah balik rumah Kl dan berpantang sendiri..Dengan budget yang ada, aku dah beli set bersalin HPA untuk rawatan diri sendiri dan menambahkan tenaga sepanjang berdikari sendiri ini. Bila duduk di rumah sendiri memang tidak dapat elak lah untuk menguruskan rumah seperti biasa. Alhamdulillah moga dengan bekalan makanan tambahan dapat membantu sakit dan lemah badan. Amalan berbengkung dan bertungku masih aku lakukan walaupun ada masanya lari dari masa yang sepatutnya. Alfatih pun Alhamdulillah tak banyak ragam. Sesekali berjaga malam adalah juga. Biasalah bayi, sakit perut atau masalah kembung perut ialah masalah yang selalu kita kaitkan bila mereka berjaga malam. Namun, Alfatih bukan berjaga malam menangis pun, cuma hendak diriba dan ditepuk sampai tidur. Bila diletak ditilamnya mula dia menangis. Apa lagi terpaksalah ibu tidur duduk sambil meribanya...

Kurang lagi seminggu, cukuplah umur Alfatih sebulan. Doktor dah tetapkan temujanji 5hb ini untuk postnatal checkup dan injection untuk anak. Cepat sungguh masa berlalu.....

Luqman dan Ramadhan Karim...

Sebelum Ramadhan aku gusar memikirkan bagaimana Muhammad Luqman akan berpuasa tahun ini. Memikirkan juga perangainya yang suka menangis bila lapar, aku kurang yakin dia dapat menjalani puasa penuh. Memandangkan 1 Ramadhan kali ini jatuh pada cuti sekolah, kami balik ke kampung aku di Dong, Raub. Harapan aku dengan adik-adik aku ramai di rumah, dapatlah mereka membantu aku mengawal Luqman dan memujuknya untuk berpuasa....

1 Ramadhan; sahur pertama itu Luqman bangun hanya untuk minum air. Pada siang hari dia tidak mengeluh lapar tetapi dalam diam dia ke dapur mencari air. Kali pertama dia kantoi apabila Mak Tamnya ternampak ketika dia mengisi air dalam kole. Walaupun ditegur, dia spontan minum air itu, tetapi seteguk cuma. Menjelang petang pula, pukul 7 itu dia meneguk sedikit air lagi. Aku tak memarahi dia memandangkan itu hari pertama dia berpuasa dan masih dalam proses belajar. Hubby juga berpesan supaya aku memberitahu Luqman sebab kenapa kita wajib berpuasa dan mengingatkannya supaya tidak makan berlebihan ketika berbuka puasa. Dia juga berpesan supaya mengajar anak solat kerana itu rukun Islam kedua sebelum puasa.

Alhamdulillah Luqman mampu berpuasa penuh hari-hari seterusnya. Waktu sahur juga dia akan bangun untuk makan nasi. Walaupun susah untuk dikejutkan, dia tetap bangun sebelum masuk imsak. Sebelah malam pula dia mengikut Pak Tih dan Atuk ke masjid menunaikan solat terawih di masjid. Di rumah juga dia mula menunaikan solat fardhu walaupun ada waktunya nya tidak cukup 5. Sejuk hati ibu melihatnya. Ada ketika gelihati juga melihat keletah anak-anak yang baru nak belajar puasa dan sembahyang. Yelah teringat dulu-dulu masa ibu kecil, lagilah liat nak puasa dan sembahyang. Moga anak-anak ibu tak malas dalam menunaikan ibadah hendaknya. Amin...

Hari ini 14 September genaplah usia Luqman 6 tahun. Selamat Hari Lahir!! Semasa ibu memberitahunya bahawa hari ini adalah hari lahir dia, dia hanya tersenyum dan tidak meminta apa pun atau berkata apa pun. Maaflah tiada apa pun yang istimewa untuk ibu dan abah berikan sempena hari lahir Aman kali ini. Hanya doa mengiringimu, semoga semua anak-anak ibu dan abah akan menjadi anak soleh dan insan berguna dunia dan akhirat. Insya Allah

Selamat datang Muhammad Alfatih !

Alhamdulillah pada tanggal 3 September 2009 jam 3.25am aku selamat melahirkan anak ke empat yang juga seorang lelaki! Walaupun hubby tidak dapat menemani aku seperti sebelumnya, namun dia telah sedaya upaya untuk menyiapkan kerja-kerja di PNG dan pulang ke Malaysia secepat yang boleh. Alhamdulillah sehari selepas aku bersalin dia selamat tiba di KL dan waktu discharged dialah menguruskan segalanya.

Aku bersalin di Pusat Perubatan Naluri Wangsa Maju. Seperti yang lepas-lepas, Dr. Zanariah lah yang menyambut kelahiran anakku. Bercerita pengalaman kali ini, dua hari sebelumnya kami pulang ke KL setelah seminggu berada di kampung. Adik aku Mamat yang masih bercuti sakit, aku ajak menemani kami empat beranak di rumah. Sementelah Mamat sudah sembuh dan boleh memandu kereta seperti biasa aku berani meminta pertolongannya. Abah pun mengizinkan jadi bagai orang mengantuk disorongkan bantal lah aku...

Alhamdulillah, sempat juga aku menamatkan puasa pada hari itu, iaitu hari ke 12 Ramadhan. Walaupun terasa semacam perut sejak Asar, aku sempat berbuka puasa hari itu dengan menu Char Kue Teow yang aku masak dengan sos istimewa untuk memasak char kuew teow penang pemberian sahabatku Hasnita dan suaminya, Alias. Terima kasih banyak-banyak korang, memang best!

Selepas solat Isya', aku dan Mamat menghantar anak-anak ke rumah kakak ipar di Pandan Utama. Kemudian kami ke Naluri untuk membuat pemeriksaan. Selepas disahkan jururawat bertugas bahawa pintu rahim aku dah terbuka 3cm, aku terus ditahan di wad. Masa itu sudah 10.30 pm. Menjelang tengah malam, setelah bukaan 6cm aku dimasukkan ke bilik bersalin.

Masuk pukul 1am, aku mula mengalami kontraksi yang lebih kuat dan pukul 3am barulah pintu rahim buka 8cm pula. Doktor Zana datang beberapa minit kemudian. Tepat 3.25am jam di hospital, Muhammad Alfatih selamat dilahirkan setelah mengerah keringat keibuanku. Alhamdulillah terima kasih Ya Allah di atas rezeki Ramadhan kali ini....semoga di dalam bulan yang berkat lagi mulia ini keluarga kami dilimpahi nikmat dan kebahagian yang Engkau redhai dan semoga Engkau menemukan kami dengan malam 1000 bulan yang diidamkan semua manusia, amin..

Muhammad Alfatih, nama diberikan sempena Sultan Muhammad al-Fatih. Semoga Alfatih dan abang-abangnya membesar sebagai anak yang soleh dan menjadi hamba Allah yang beriman lagi bertaqwa. Insya Allah....