Balik raya - Patuhi peraturan-peraturan di pam minyak

Salam,

Alhamdulillah hari ni hari terakhir persekolahan sebelum kita memulakan cuti panjang sempena hari raya. Murid sekolah dan para cikgu sudah boleh balik kampung, tapi masih ada ibu bapa yang bukan cikgu masih berbaki 2 hari bekerja sebelum boleh bercuti hingga hujung minggu depan.

Seperti biasa para pengguna jalan raya diminta mematuhi jalan raya dan bagi mengelak jem, kita disuruh merancang perjalanan balik ke kampung untuk mengelak kesesakan tersebut. Biasalah, arahan setiap tahun oleh polis dan pihak lembaga lebuhraya Malaysia tapi masih juga berlaku jem, kemalangan dan kecuaian di jalan raya atas sikap sambil lewa di kalangan kita.

Satu lagi peraturan yang mesti dipatuhi dan jangan dilupakan - jangan menggunakan telefon bimbit anda di petrol stesen! Beberapa kejadian telefon meletup ketika berada di stesen minyak wajar dijadikan pengajaran kepada kita supaya lebih berhati-hati. 


Kenapa dilarang menggunakan telefon ketika mengisi minyak?
Telefon bimbit boleh meletop ketika mengisi minyak berpunca daripada pelepasan wap gas petrol yang diisi ke dalam tangki kenderaan terkena elektrik statik dari bateri telefon.

Kepada para isteri dan anak-anak, tolong pesan kepada suami, ayah atau pemandu kereta kita supaya mematuhi peraturan ini dan memastikan mereka tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan pihak stesen minyak. Ini susulan telah berlaku beberapa kejadian letupan dan kebakaran disebabkan ketidakpatuhan tersebut.

Menurut Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Encik Samsol Maarif Saibani, insiden wanita melecur disebabkan telefon bimbitnya disambar api ketika mengisi minyak, perlu dijadikan pengajaran semua pihak.

"Kita mendapati pelanggan sering leka dan alpa untuk mematuhi peraturan semasa berada di stesen minyak yang dipanggil 3L iaitu lalai, lupa dan leka.

"Masih ramai yang mengambil mudah peraturan yang perlu dipatuhi semasa berada di stesen minyak," katanya kepada Bernama, mengulas insiden yang menimpa seorang gadis berusia 24 tahun di sebuah stesen minyak di Setapak Indah, Rabu.
Katanya, banyak pengguna kereta, lori, bas dan dan motosikal sengaja mengundang musibah apabila tidak mematuhi larangan menggunakan telefon bimbit atau alat telekomunikasi lain ketika mengisi minyak di stesen minyak.

"Stesen minyak menetapkan tiga peraturan utama untuk pemilik kenderaan ketika berada di pam minyak iaitu dilarang merokok, mematikan enjin kenderaan dan tidak menggunakan telefon bimbit di pam minyak.

"Malah sikap acuh tidak acuh atau tahap kesedaran keselamatan yang rendah dalam kalangan pengguna di stesen minyak yang sentiasa terdedah kepada risiko kebakaran, bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah pengguna lain," katanya.

Menyentuh mengenai sama ada telefon bimbit yang digunakan mangsa jenis klon, Samsol berkata kejadian itu tidak mengira sama ada telefon bimbit itu tulin atau tiruan.

"Tidak kisah telefon itu tulin atau klon tetap menghasilkan radiasi yang sama, dan dan jumlah radiasi yang dihasilkan tidak ada perbezaan sama ada menjawab panggilan, membalas whatsapp atau menghantar mesej.

"Sekiranya perlu menjawab panggilan, pengguna boleh masuk ke dalam kedai di stesen minyak, atau mencari kawasan yang tertutup. Sebaiknya tunggu sehingga berada di luar kawasan tersebut," katanya.

Katanya ia adalah kes pertama yang melibatkan kebakaran berpunca daripada telefon bimbit dan menasihatkan pemilik kenderaan supaya sentiasa menyimpan alat pemadam api berkapasti satu atau tiga kilogram dalam kenderaan mereka.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Telekomunikasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr Kamaludin Mohamad Yusof berkata insiden itu mungkin berpunca daripada gelombang 'Electro Magnetic Field (EMF)' yang dihasilkan melalui hubungan dibuat melalui 'signal' telefon bimbit mangsa dan sistem pemancar atau pencawang telekomunikasi.

"EMF ini akan mencetuskan kebakaran kerana ia agak sensitif dengan minyak ketika mangsa menggunakan telefon bimbitnya semasa mengisi minyak," katanya.

Dalam kejadian 1.25 tengah hari itu, mangsa T. Sarishna dari Taman Samudera, Batu Caves di sini, melecur 60 peratus di bahagian badan akibat disambar api berikutan tindakannya mengisi minyak dan cuba menjawab telefon bimbitnya.

Mangsa dipercayai membuka pintu belakang sebelah kiri keretanya untuk mengambil telefon bimbitnya yang sedang berdering, sambil tangannya memegang muncung minyak petrol.

Berita penuh oleh Mstar Online