Keputusan SPM 2011

Salam sejahtera,

Syukur kan akhirnya penantian berbulan tu berbaloi buat adik-adik yang telah menerima keputusan cemerlang di dalam SPM mereka hari ini. Tahniah dari akak...tumpang gembira bersama-sama ibu bapa adik-adik yang bangga dengan kejayaan adik-adik tersebut.

Saya teringat kenangan mengambil keputusan SPM dahulu. Berbelas-belas tahun yang lampau. Tapi kenangan itu masih terpahat di dalam memori. Mana taknya, sebagai anak sulung, harapan di bahu ni amat besar dan keputusan baik pula menjadi kebanggaan bersama emak abah dan para guru di sekolah. Diri sendiri juga terasa sangat puas hati kerana usaha selama ini berbalas akhirnya...

Pagi itu memang tak sabar nak ke sekolah dan sebaik masuk ke pintu pagar, kelihatan abah saya dah menunggu di pondok pengawal. Alamak, cuak juga dalam hati. Tak sangka abah dah menanti di sekolah lebih awal. Saya pula datang bersama kawan-kawan yang lain. Sebaik dah terima keputusan dan melangkah keluar pagar sekolah abah datang bertanya, "macam mana?" tanya abah. Saya tersenyum dan memberitahu pangkat 1.

Alhamdulillah saya lulus dan kredit semua mata pelajaran! Abah tak tengok pun kertas keputusan saya masa tu tapi masa dekat rumah baru dia memberitahu yang dia hampir-hampir menangis kerana keputusan saya itu. Mana tidaknya,saya orang pertama dalam keluarga kami yang dapat pangkat 1. Zaman tu sesiapa yang dapat pangkat 1 macam besar sangat dah kejayaannya. Belum tanya lagi aggregat berapa, hehe... Sistem sekarang dengan dulu tak sama. Sekarang orang tak tanya pangkat berapa tetapi "dapat berapa A?".

Buat adik-adik yang mendapat keputusan tidak mengembirakan jangan kecewa. SPM bukan garis penamat dalam usaha memburu kejayaan. Masih banyak tangga yang perlu didaki dan masih banyak denai dan cabaran yang mesti dilalui. Mengikut pengalaman, kebanyakan dari sahabat-sahabat saya yang berjaya hari ini, bukan semua mendapat SPM pangkat 1 pun. Mereka tidak putus asa, biarpun mendapat keputusan pangkat 2 dan 3 tetapi hari ini mereka semua bergembira kerana berjaya menjawat jawatan dan kerjaya yang bagus di mata masyarakat.

Memasuki universiti pastinya impian bagi semua selepas SPM. Namun, bagi yang tidak berjaya walaupun keputusan sangat baik, jangan kecewa. Kekadang ada sesuatu yang Allah telah rancangkan untuk kita. Berfikirlah dengan positif dan buat keputusan dengan rasional dan bijaksana. Mungkin ada setengah ibu bapa yang mengawal arah tuju anak-anak selepas SPM dan membelakangi impian anak-anak sendiri. Harap-harap masalah sebegini dapat diselesaikan sebaik mungkin oleh kedua pihak.

Bagi diri saya sendiri, SPM sememangnya titik tolak dalam membina kerjaya di masa depan. Bila difikirkan keadaan saya masa sekarang, ada tikanya saya menyalahkan diri kerana tersalah membuat keputusan memilih bidang untuk diceburi. Apapun akhirnya saya bersyukur kerana saya percaya ada hikmah disebalik semua yang telah saya lalui. Yalah nak kata apa lagi? Bukan itu masalahnya, walaupun nasib kita telah ditakdirkan oleh Allah, tetapi setiap hamba perlu berusaha untuk mengubah nasib diri dan bukan berserah dan pasrah dengan jalan yang telah dipilihnya.

Biarlah apa orang nak kata tentang diri adik-adik, yang penting jangan putus asa dan teruskan berusaha. Banyak juga saya lihat kengkawan yang cemerlang tika dibangku sekolah dan datang dari sekolah '1st class' akhirnya lingkup di universiti disebabkan kealpaan sendiri. Walaupun di bangku mana pun kita berada jangan lupa, kejayaan itu tidak sentiasa mengikut kita tetapi kita yang harus mengejar kejayaan tersebut.

Selamat memasuki dunia baru buat adik-adik semua!

0 comments: