Salam sejahtera,
Agak-agak ada tak yang tak pergi solat Jumaat hari ini??? Saya sudah tentu angkat tangan kerana saya seorang perempuan. Kalau awak bukan seorang Muslim juga boleh angkat tangan kerana solat Jumaat itu fardhu Ain yakni WAJIB ke atas semua lelaki yang beragama Islam sahaja. Sebagaimana dalil:
Nabi s.a.w bersabda:
الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة:عبد مملوك أو إمراءة أو صبي أو مريض
Maksudnya: Solat JUmaat adlh hak yg wajib bg setiap Muslim secara berjemaah melainkan 4 golongan:
1. Hamba sahaya. 2. Perempuan. 3. Budak yg tak balig. 4. Pesakit. (HR Abu Daud).
Ada juga kaum wanita yang pergi menunaikan solat Jumaat. Baca di sini hukum solat Jumaat bagi wanita. Telah tertulis di dalam Al Quran pula bahawasanya:
Firman Allah SWT:
“ | "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," (Surah Al-Jumu'ah: 9) | ” |
Ni ada lagi hadis sebagai dalil yang tak boleh disanggah:
“ | "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk" (Hadis riwayat Abu Daud) | ” |
Saya ada membaca status di fesbuk seorang kawan yang bercerita betapa ramainya golongan XY yang tak pergi ke masjid pada hari Jumaat. Dia bekerja di luar jadi, dapatlah melihat keadaan di tempat awam. Secara berseloroh, dia berkata mungkin 'lelaki-lelaki' tersebut macam golongan XX, tengah uzur dan tak boleh solat.
Tadi semasa saya membuang sampah, saya melihat seorang lelaki terdengkot-dengkot berjalan dengan sebuah kerusi kecil di tangannya. Langkahnya pendek, jelas menunjukkan ada masalah pada kakinya. Bersamanya seorang budak lelaki mengekor di belakang. Sayu hati saya melihat dari jauh. Tatkala orang lain ke masjid berkereta dan motorsikal dia berjalan kaki dalam keadaan macam itu.
Lelaki itu baru jelas uzurnya. Bukan 'uzur' syarie (period) yang macam kaum hawa tu. Andai kata saya pandai memandu kereta, sudah tentu saya tolong hantarkan dia ke masjid. Mana saya tahu lelaki tu nak ke masjid?
Mulanya saya mahu balik ke rumah, tetapi saya batalkan niat. Dari jauh saya memerhatikan kedua beranak itu berjalan keluar dari kawasan apartment ke jalan besar. Menunggu teksi untuk ke masjid. Hinggalah hilang dari pandangan barulah saya balik ke rumah. Moga Allah memberikan pahala berganda untuk tiap-tiap langkah yang mereka ambil.
Kalau boleh saya membuat perbandingan, kenapa kita yang sihat ini susah dan payah nak buat ibadat sedangkan ramai dari kita yang tidak mampu, kurang upaya dan uzur masih mahu menunaikan perintah Pencipta? Mengapa kita selalu ingat kesusahan dan musibah yang menimpa itu satu ujian daripada-Nya tetapi semasa senang, sehat dan dilimpahi kesenangan (mewah,kaya) kita tidak sedar bahawa Allah juga menguji kita sebenarnya.
Semoga Allah memberikan hidayah dan petunjuk-Nya bagi mereka yang berada di dalam kelalaian dan kesesatan.
Semoga berbahagia selalu orang-orang yang beroleh rahmat-Nya dan sentiasa mudah dan rajin melakukan kebajikan dan amal soleh.
Amin.
0 comments:
Post a Comment