Kalau ada bukti, silakan...








Hari ini ada lagi kes bayi meninggal disebabkan tersedak susu. Takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka bersabar. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lebih-lebih ibu yang mengandung 9 bulan bayi tersebut.

Ok, kes terbaru berlaku di Johor dan dikhabarkan ibu bapa malang itu mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak hospital. 

Cassindra berkata bayinya itu lahir sebulan lebih awal pada 4 Feb dan tidak mengalami sebarang komplikasi selama empat hari selepas itu. 
"Bagaimanapun, doktor memberitahu oleh kerana anak kami lahir pramatang, dia perlu diletakkan di bawah perhatian hospital. "Apabila melawat anak kami pada 8 Feb kami dapati ada kesan susu kering pada bibirnya dan mukanya kelihatan pucat," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Nusajaya pada Sabtu. 
Beliau mendakwa jururawat menggunakan cawan kecil untuk menyusukan bayinya dan bukan botol susu. Bayi itu juga tidak diletakkan dalam inkubator walaupun lahir pramatang.
"Angel diletakkan hanya semeter daripada kaunter jururawat, bagaimana mereka tidak perasan anak saya tersedak susu. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Rabu lepas kerana menghadapi masalah pernafasan," katanya. 
Angel meninggal dunia pada pukul 4.20 petang Khamis dan keluarganya dimaklumkan 25 minit selepas itu. 
Cassindra berkata tindakan undang-undang itu dibuat bagi mencari kebenaran di sebalik kematian anaknya itu. 
Pengarah Kesihatan Johor Dr Khairy Yaakob ketika dihubungi berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuh untuk menyiasat kejadian itu. [MSTAR Online]

Eloklah, pasukan penyiasat juga sudah ditubuhkan. Siasatlah betul-betul dan kalau ada bukti kesilapan dan kecuaian manusia, silakanlah saman. Semoga jawatankuasa penyiasat telus dan jujur dalam siasatan mereka.

Saman-dapat duit, ini bukan hal suka-suka hati tapi satu pengajaran kepada semua pihak. Namun, duit tidak dapat menggantikan kehilangan yang tiada ternilai dengan harta dan wang berjuta. 

Walaupun isu saman menyaman banyak dilakukan, tapi masih juga terjadi kes-kes yang tidak diingini. Sesungguhnya tiada siapa yang mahu perkara demikian terjadi. Ada ibu bapa yang redha menerima sebagai qada' dan qadar. Ada ibu bapa yang kecewa, tidak dapat menerimanya hatta juga keputusan akhir yang tidak memihak mereka.

Semoga keputusan akhir kelak diterima semua pihak dengan ikhlas walaupun pahit ditelan....

KAK AINA: Buat adik-adik akak yang ramai bekerja di bidang perubatan ni, diharapkan sentiasa berhati-hati dalam bertugas. Banyakkan berdoa supaya Allah memelihara demeh dari melakukan sebarang kecuaian dan kesilapan yang memudaratkan pihak lain. Insha Allah.

1 comments:

sabree hussin said...

mereka yang bertugas dalam bidang kedoktoran, yang memang selalu bergelumang dengan situasi hidup dan mati, memang perlu berhati-hati..

kalau tidak orang akan hilang kepercayaan kepada hospital