Menunggu, memerlukan kesabaran. Ada orang menunggu gaji masuk. Ada orang lain pula menunggu durian gugur, menunggu bas sampai, menunggu keputusan peperiksaan SPM, menunggu cuti panjang, menunggu jodoh sampai dll. Malah wujud beberapa perumpamaan untuk perbuatan menunggu iaitu 'menunggu bulan jatuh ke riba', 'bagai menanti buah yang tak gugur' dan 'menunggu kucing bertanduk'.
Sesungguhnya benarlah penantian itu satu penyiksaan. Namun, apalah yang terasa siksa sangat kan? Menunggu ialah suatu perkara/perbuatan yang kebanyakan orang tidak suka. Apa lagi kalau terpaksa menunggu orang. Akhirnya, hatipun naik panas dan darah menyirap-nyirap. Masakan tidak, menunggu sampai terbuang masa dengan sia-sia! Sebaliknya, ada yang sanggup menunggu sampai ke tua dan sampai hujung nyawa. Setiakah atau bodohnya orang begini?
Kalau menunggu itu amat siksa, rasanya paling siksa ialah menunggu saat melahirkan anak! Mengira detik masa untuk baby keluar selepas doktor sahkan rahim ibu sudah terbuka beberapa cm dan kontraksi mula berirama, sangat siksa! Sesiapa yang telah bergelar ibu pasti tahu akan rasanya. Sehinggalah doktor mengarahkan untuk push dan baby akhirnya keluar, barulah aman dunia. Alhamdulillah.
Memang siksa melahirkan anak. Namun, bukanlah siksaan sebenarnya kerana pahala berganda-ganda diberikan kepada wanita yang mengandung dan melahirkan anak. Alhamdulillah sudah 4 kali saya beranak. Tanggal hari ini ialah hari saya melahirkan Muhammad Salahuddin. Syukur, sudah genap 5 tahun dia petang tadi.
Menyorot kembali peristiwa 5 tahun lalu, di mana kontraksi saya bermula pada pukul 4 pagi. Masa tu tiba-tiba terjaga dan terasa perut memulas lain macam. Saya bangun ke tandas, tetapi 'hajat' tak kesampaian. Kalau nak mem'buang' tak de pulak rasa benda nak keluarnya. Lalu saya fahami ia ialah tanda saatnya sudah tiba anakku nak keluar menjengah dunia.
Apalagi, berdebar lalu di hati. Saya bangkit mengemas rumah, membasuh baju dan siap-siap semua sekali urusan rumah. Menjelang Subuh saya kejutkan suami dan beritahu yang masanya sudah tiba. Dia terkejut juga memandangkan due date yang diberikan doktor ialah 2 minggu lagi. Saya gesa dia mandi dan solat dahulu.
Dalam pukul 9 pagi baru saya ke klinik. Sakit, tapi masih boleh bertahan. Apa yang penting dalam kepala saya masa tu ialah siapkan urusan rumah dan anak-anak perlu dihantar ke rumah kakak ipar.
"Mengapa akak tunggu kat rumah?"tanya nurse di klinik. Saya hanya senyum. Diri juga menahan kesakitan.
"kalau anak ke-3, patutnya mesti cepat-cepat ke hospital sebab takut terberanak di rumah. Lainlah kalau anak sulung. Biasanya lama sedikit." Sambung nurse itu lagi.
Baik sungguh layanan masa tu. Sambil memeriksa bukaan rahim, dia berbual dengan saya. Sedikit sebanyak lega juga dalam hati. Suami sentiasa di sisi sambil mengaji dan berdoa. Bayangkan kontraksi lama kelamaan semakin kuat. Namun, 10 minit dirasakan bagai berjam lamanya. Dari pukul 9 ke 10. Kemudian 12 tengah hari. Masih belum masa untuk ditolak ke labour room.
Hampir pukul 2 barulah masuk labour room. Kemudian, menanti lagi di sana. Masuk pukul 3, 4, aduh sakitnya hanya Allah yang tahu! Macam-macam doa dibaca. Yang pastinya doa Nabi Yunus dalam kepala. Bagi yang tak hafal, kat dinding tu memang sudah sedia bertampal. Akhirnya, dalam 4.50 petang barulah saya selamat melahirkan Salahuddin.
Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-5, Salahuddin (Addin).
Semoga sentiasa di bawah lindungan Allah dan
Dia pelihara Addin supaya jadi anak soleh dan hamba-Nya yang bertaqwa.
Ameen.
Dalam masa yang sama hari ini, saya bakal mendapat anak saudara baru! Sudah melewati 12.00 tengah malam. Namun, masih belum ada khabar sama ada adik ipar saya Nur Amina sudah selamat melahirkan anak keduanya atau belum. Ingatkan dapat berkongsi tarikh yang sama dengan Addin tetapi Allah lebih berkuasa menentukannya.
Sejak pagi tadi, bukaan rahim Nur sampai malam ni masih 3cm. Allahuakbar! Allah Maha Besar! Sakitnya...hanya dia yang tahu rasanya. Semoga Allah meringankan bebannya dan meredakan ketegangannya. Moga Allah juga memudahkan jalan keluar anakandanya itu. Tak sabar menunggu khabar gembira :)
Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan. Marilah kita sama memanjatkan doa. Alfatihah pun boleh.
KAK AINA: Update 7:45 am. Nur masih tak bersalin. Adui, akak pulak terasa sakitnya...tapi kesakitan tak pernah mematahkan hati seorang ibu untuk melahirkan anak lagi. Tiada harta dunia yang boleh dibawa ke dalam kubur /akhirat KECUALI anak soleh yang akan mendoa dan membantu ibu bapanya di sana kelak. Agak-agak kita boleh bantu mak abah kita tak? (speechless...*sob*sob*)
Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan. Marilah kita sama memanjatkan doa. Alfatihah pun boleh.
KAK AINA: Update 7:45 am. Nur masih tak bersalin. Adui, akak pulak terasa sakitnya...tapi kesakitan tak pernah mematahkan hati seorang ibu untuk melahirkan anak lagi. Tiada harta dunia yang boleh dibawa ke dalam kubur /akhirat KECUALI anak soleh yang akan mendoa dan membantu ibu bapanya di sana kelak. Agak-agak kita boleh bantu mak abah kita tak? (speechless...*sob*sob*)
0 comments:
Post a Comment