Sampah sarap, barang terpakai yang dah tak nak guna, barang rosak dll semua masuk kategori barang terbuang dan patut dibuang. Kita yang berkemampuan ni, kalau dah tak mau sesuatu barang tu, alamatnya ke tong sampahlah penamat riwayatnya.
Adalah suatu hari tu, semasa saya membuang sampah, terserempaklah tukang sapu di perumahan kami sedang mencari-cari botol plastik di dalam tong sampah dan memijak-mijaknya. Mak cik yang agak berusia tu saya bahasakan dia kakak je.
"Buat apa kak?"
"Cari botol dik, untuk jual" jawabnya.
"Laaa yeke, nanti saya beri saya punya nak? Saya selalu buang macam tu aje. Nanti saya kumpul-kumpul dan beri pada akak ye"
Mak cik tu senyum. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Kak Hadijah.
Selepas hampir sebulan, dapatlah akak mengumpul botol 100 plus dalam 10 botol yang saiz besar tu. Langsung saya bawa kepadanya pagi tadi sewaktu menghantar Salahuddin ke sekolah.
"Terima kasih dik, beriya aje bawak sampai sini" Kata Kak Hadijah semasa bertemu di tempat kerjanya.
Tugas Kak Hadijah menyapu tepi jalan sahaja. Kebetulan, hanya waktu pagi saya berkesempatan untuk bertemu dia.
Kemudian dia kembali meneruskan kerjanya dan saya juga kembali menunggu van sekolah sampai.
"Hari tu adalah orang-orang sini komplen tukang-tukang sapu sini suka kutip barang-barang dan simpan dalam stor....." Siti membuka cerita.
Siti dan saya sama-sama mengantar anak ke Tadika Ummu Ain.
" Apalah salahnya kan? Lagipun barang-barang tu barang terpakai dan dah dibuang. Biarlah mereka ambil untuk dijual. Pada saya mereka ni tak boleh tengok orang lain senang..." ceritanya.
"Cuba tengok, saya bagi akak tu, botol kosong sedikit aje. Tapi, dia punya senyum macam suka sangat. Yelah setiap orang ada cara masing-masing untuk mencari rezeki. Selagi dia tak mengganggu kita biarlah...."ujar saya.
"Tulah pasal...macam itu pun nak komplen."kata Siti.
"Kalau stor tu menyebabkan bau busuk ke...sampah yang dikutip bersepah merata ke, barulah kita komplen."
Memang tukang-tukang sapu di tempat kami suka mengutip barang terbuang/terpakai untuk dijual. Kalau stor tempat simpan perkakasan tu, biasanya penuh dengan barang terbuang yang dikumpul. Tidak semestinya dari tong sampah, ada setengahnya diberikan penduduk. Yelahkan, dari dibuang untuk menjadi hamparan tempat pelupusan sampah, lebih baik diberikan kepada orang yang memerlukan untuk dijual. Memang pendapatnya tidak lumayan, tetapi sedikit sebanyak dapat menampung keperluan harian mereka.
Hidup kita ni kalau rasa senang sangat, kena bersyukur. Tak semua orang senang macam kita sampai barang rosak je kita terus buang dan kemudian beli baru. Kalau barang buangan/terpakai kita boleh menjadi rezeki buat orang lain, sepatutnya kita bersyukur juga sebab dapat membantukan?