Kalamullah: Pengantin Alquran

*Salam Sejahtera*

Setiap kali bulan Ramadhan pasti TV kita dipenuhi dengan pelbagai program menarik dan pengisian yang bersesuaian dengan tema. Program khas Ramadhan  sudah semestinya juga menyuntik rohani penonton. Namun ada juga yang dilihat sekadar indah pada tajuk tapi suntikannya tak sentap sampai ke lubuk hati.

Kali ini ada 1 program bertajuk 'Kalamullah' yang dihoskan oleh bekas juara Akademi Alquran Ustaz Ahmad Tarmizi Hj Ali. Sambil makan sahur, bukalah saluran TV3. Siaran bermula 5-6am. 

Kalamullah ialah program yang mengenengahkan bacaan Alquran oleh anak-anak Maahad Tahfiz. Selain bacaan secara hafazan, permulaan program dimulakan dengan pengenalan sekolah-sekolah tahfiz. Satu sekolah akan diperkenalkan dalam satu siri. Secara tak langsung, ini memberi kita pengetahuan tentang program yang ada di sekolah terbabit dan memberi pengetahuan kepada kita sekolah-sekolah maahad yang ada di negara kita.

Selesai bacaan surah, Ustaz Tarmizi akan menegur kesalahan dalam bacaan Alhafiz tersebut. Kemudian disusuli dengan pertanyaan soalan dari anak-anak Alhafiz yang lain berkaitan surah yang dibaca. Kemudian, Ustaz Tarmizi akan menjawab dan menjelaskan serba sedikit penerangan tentang ayat dan maknanya.

Menarik tau. Jangan lupa saksikan rancangan ini di rumah korang.

Siaran hari ini mendengarkan Surah yang disebut PENGANTIN ALQURAN. Pernah dengar tak? Betapa jahilnya saya. Ini pertama kali saya mendengar. Ia ialah surah Arrahman. Kenapa dipanggil pengantin Alquran? Ia disebabkan susunan ayat dan maknanya yang sangat indah. 
Pengantin Al-Quran ini telah digambarkan dengan indahnya oleh Allah s.w.t dalam surah A-Rahman. Sungguh, kalimah-kalimahnya yang mempesona dan nasihat-nasihatnya yang agung menimbulkan kesan. Surah ini mengandungi pelbagai hiasan dan pakaian indah, mutiara, permata dan manikam. Allah s.w.t dengan indahnya melukiskan bidadari-bidadari yang solehah, jelita, tidak pernah disentuh, bersimpuh di atas hamparan permaidani indah. Sungguh Allah Maha Agung!
Sila baca selanjutnya  di sini.

Arrahman bermaksud MAHA PEMURAH. Ada disebut nama Allah ini di dalam bacaan basmalah bersama 1 lagi nama iaitu Arrahim (MAHA PENYAYANG/PENGASIH). Tahu tak apa beza Arrahman dan Arrahim?

Arrahman
Selain berbeda pada maksudnya itu, Arrahman menjelaskan bahawa susungguhnya Allah itu MAHA PEMURAH terhadap seluruh manusia. Tidak mengira Islam ataupun bukan beragama Islam. Sebab itu kita lihat ramai bukan Islam yang kaya raya dan murah rezeki hasil sifat Maha Pemurah Allah terhadap hamba-hambanya. 

Arrahim
Manakala Arrahim Allah berikan hanya untuk hambanya yang mengakui DIA sebagai tuhan dan pencipta. Yakni Allah MAHA PENGASIH terhadap muslimin dan muslimah. 

Okehlah itu serba sedikit kutipan saya dalam program hari ini. Jangan lupa tau singgahlah sahur korang di rancangan Kalamullah:)

Surah Ar-Rahmaan

Bismillah

A001
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (Ar-Rahmaan 55:1) |

A002
Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. (Ar-Rahmaan 55:2) |

A003
Dia lah yang telah menciptakan manusia; - (Ar-Rahmaan 55:3) |

A004
Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (Ar-Rahmaan 55:4) | A005
Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu; (Ar-Rahmaan 55:5) |
A006
Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya. (Ar-Rahmaan 55:6)

A007
Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, (Ar-Rahmaan 55:7) |

A008
Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; (Ar-Rahmaan 55:8)

A009
Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. (Ar-Rahmaan 55:9)

A010
Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain: (Ar-Rahmaan 55:10) |

A011
Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang; (Ar-Rahmaan 55:11)

A012
Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum; (Ar-Rahmaan 55:12) |

A013
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Ar-Rahmaan 55:13)

A014
Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar, (Ar-Rahmaan 55:14)

A015
Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang; (Ar-Rahmaan 55:15)

A016
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:16) |

A017
(Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat. (Ar-Rahmaan 55:17) |

A018
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:18) |

A019
Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu; (Ar-Rahmaan 55:19) |

A020
Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya; (Ar-Rahmaan 55:20) |

A021
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:21)

A022
Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan; (Ar-Rahmaan 55:22)

A023
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:23)

A024
Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang; (Ar-Rahmaan 55:24) |

A025
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:25)

A026
Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: (Ar-Rahmaan 55:26)
A027
Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan: (Ar-Rahmaan 55:27) |
A028
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:28) |

A029
Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)! (Ar-Rahmaan 55:29)

A030
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)? (Ar-Rahmaan 55:30)

A031
Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! (Ar-Rahmaan 55:31)

A032
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:32)

A033
Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)! (Ar-Rahmaan 55:33)

A034
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:34)

A035
Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu); (Ar-Rahmaan 55:35) |

A036
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:36) |

A037
Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak; (Ar-Rahmaan 55:37)

A038
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:38) |

A039
Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya); (Ar-Rahmaan 55:39)
A040
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:40)

A041
Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka); (Ar-Rahmaan 55:41) |

A042
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:42)

A043
(Lalu dikatakan kepada mereka): "Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya ". (Ar-Rahmaan 55:43) |

A044
Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya! (Ar-Rahmaan 55:44)

A045
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:45)

A046
Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, - (Ar-Rahmaan 55:46)

A047
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:47)
A048
(Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; - (Ar-Rahmaan 55:48)

A049
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:49)

A050
Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; - (Ar-Rahmaan 55:50)

A051
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan. (Ar-Rahmaan 55:51)

A052
Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa). (Ar-Rahmaan 55:52) |
A053
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:53)

A054
Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya - dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik. (Ar-Rahmaan 55:54)

A055
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:55) |

A056
Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; (Ar-Rahmaan 55:56) |

A057
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:57)

A058
Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. (Ar-Rahmaan 55:58)

A059
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:59)

A060
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga? (Ar-Rahmaan 55:60)

A061
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:61)
A062
Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua); (Ar-Rahmaan 55:62)
A063
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:63)

A064
Kedua-duanya menghijau subur tanamannya; (Ar-Rahmaan 55:64) |

A065
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:65)

A066
Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya: (Ar-Rahmaan 55:66)
A067
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:67)

A068
Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima, (Ar-Rahmaan 55:68) |

A069
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:69)

A070
Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya; (Ar-Rahmaan 55:70)
A071
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:71)

A072
Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; (Ar-Rahmaan 55:72)

A073
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:73)

A074
(Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin; (Ar-Rahmaan 55:74)

A075
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:75) |

A076
Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah. (Ar-Rahmaan 55:76)

A077
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 55:77)

A078
Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. (Ar-Rahmaan 55:78)

0 comments: