Chong Wei vs Lin Dan, again!


Malam ni. Datuk Lee Chong Wei akan bertemu Lin Dan di peringkat akhir. All the best for him!

Ayuh Chong Wei
Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia selepas menewaskan lawannya dari China, Chen Jin 21-13, 21-9. – Agensi


KUALA LUMPUR - Hanya satu lagi halangan perlu ditempuhi Datuk Lee Chong Wei untuk dia mencipta sejarah menjadi pemain badminton Malaysia pertama dinobatkan sebagai juara dunia.
Di Wembley Arena, London semalam, seluruh dunia menyaksikan bagaimana jaguh sanjungan kita itu berada dalam kelas tersendiri dengan mudahnya memusnahkan penyandang juara tahun lalu, Chen Jin dalam straight set 21-13, 21-9.
“Ia satu kemenangan hebat hari ini dan biarpun saya tercicir sedikit pada awal set kedua, saya memang yakin dapat memenanginya.
“Selepas menang set pertama, saya sudah jangka Chen Jin akan tampil dengan permainan menyerang pada set berikutnya, jadi saya cukup bersedia berdepan corak permainannya itu,” ujarnya mengenai kemenangannya, semalam.
Kemenangan ke atas Chen Jin yang merupakan pilihan keenam kejohanan itu sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 8-2 memihak Chong Wei sejak 2005.
Lawan Chong Wei di final sama ada juara dunia tiga kali, Lin Dan mahu pun pemain veteran Denmark, Peter Hoeg Gade yang sama seperti Chong Wei, masih mencari-cari gelaran dunia sulungnya.
Tidak kira siapa di antara mereka, perlawanan akhir hari ini pastinya satu pertemuan epik kerana masing-masing merupakan musuh seteru Chong Wei yang sering kali bertarung hebat merebut kejuaraan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tidak perlu dinafikan, ramai menggangap pertembungan Chong Wei-Lin Dan sebagai gandingan terbaik untuk final ‘Grand Slam’ badminton ini, namun kebolehan Peter Hoeg, biarpun pada usia 34 tahun, langsung tidak boleh dipandang remeh kerana dia sama ‘lapar’ seperti Chong Wei.
Namun, Chong Wei tanpa teragak-agak meramal Lin Dan, musuh tradisi yang dia amat berdendam selepas pernah dikecewakan pada dua final besar iaitu Olimpik 2008 Beijing dan Sukan Asia 2010 Guangzhou sebagai lawannya hari ini.
“Saya fikir Lin Dan akan mengatasi Peter pada perlawanan lewat petang nanti, namun tidak kira siapa lawan saya, saya sudah bersiap sedia untuk menghadapinya,” katanya.
Kepuasan jelas terpancar pada wajah Chong Wei berikutan kejayaan melangkah ke final buat kali pertama selepas enam kali mencuba.
“Kepada mereka yang meragui keupayaan saya selama ini, saya harap mereka akur yang akhirnya saya berjaya ke final jua.
“Saya akan mencuba sedaya upaya untuk memenangi sesuatu yang selama ini begitu sukar dijangkaui. Percayalah, kejuaraan besar ini adalah sesuatu yang saya nantikan untuk ditambah ke dalam koleksi,” tambahnya.
Pada perlawanan semalam, Chong Wei mempamerkan permainan bermutu tinggi dengan variasi pukulan, memaksa Chen Jin bergerak ke setiap sudut gelanggang.
‘Cross court smash’ dan penguasaan di jaring menjadi senjata utama Chong Wei menyaksikan 23 mata dihasilkan menerusi dua elemen itu.
Meskipun melengkapkan kemenangan set pembukaan dengan mudah dalam masa 14 minit, permulaan gugup Chong Wei sedikit mencemaskan apabila dia satu ketinggalan 4-0, angkara kesilapan sendiri.
Chong Wei yang kebiasaannya lambat panas bangkit dari gaya permainan pasif dan berjaya menyamakan kedudukan kepada 8-8 dan sejak itu tidak menoleh ke belakang lagi.
Dia mengutip sembilan mata berturut-turut untuk menjarakkan diri kepada kedudukan selesa 17-8, sebelum memanfaatkan kesempatan ke atas lawannya yang sudah hilang punca sekali gus melengkapkan kemenangan 21-9.

3 comments:

Unknown said...

wah again! go chong wei!

Aina said...

*sob....

dah kalah dah pon:(

Rojak Punya said...

mana keturunan sidek yang lain?