Bila anak tiba-tiba tak nak ke sekolah

Sudah beberapa hari saya tidak nampak anak jiran pergi ke sekolah tadika. Selalunya ketika menghantar Salahuddin menunggu van tadikanya sampai, kami pasti terserempak. 

"Adik tak sekolah sebab sakit perut." Beritahu mamanya.

"Ooo yeke, kenapa?" Tanya saya balik.

"Entahlah, asal bangun pagi aje sakit perutnya mulalah datang. Lately ni memang dia suka buat perangai"

Lepas beberapa kali asyik mengadu sakit perut, mamanya telah membawa ke klinik. Bila diperiksa dia tidak ada apa-apa penyakit. Syukur, kemudian mamanya bercerita pada doktor sakit perut itu berlaku sejak keengganan anak perempuannya (6tahun) itu yang tidak mahu ke sekolah.

Sebenarnya, si anak ada memberitahu ketika di sekolah cikgu garang. Kalau buat bising cikgu nak stepler mulut. Kalau tak dengar cakap cikgu, cikgu nak tolak markah. Pernah sekali ketika membuat latihan bersama rakan-rakan, ada seorang kawannya meniru hasil kerja. Dia mengadu kepada cikgu. Kali pertama aduannya diterima dan cikgu 'memarahi' kawannya yang meniru itu. Apabila berlaku lagi dan mengadu untuk kali kedua, cikgu hanya berbuat tidak tahu. Jadi, dia berasa sangat kecewa.
Ada beberapa lagilah 'alasan' dan cerita yang berlaku menyebabkan anak jiran saya itu tidak mahu ke sekolah. Jika ke sekolah pun, papanya akan menghantar sendiri ke pintu masuk tadika dan bukan menaiki van sekolah seperti biasa. Menurut jiran, dia sudah menasihati anaknya menggunakan pendekatan psikologi. Dia tidak menyalahkan guru dan menerima 100% apa yang anaknya ceritakan.

"Adik cikgu tu bukannya marah betul.." 

"Adik, cikgu tu cakap aje, bukan stepler mulut pun kan?"

"Doktor cakap, sakit perut adik tu tiada apapun, nanti boleh ke sekolah ye"

Anak-anak kadangkala membuat karenah untuk mendapatkan perhatian. Jika perhatian tidak diperolehi di sekolah, dia memintanya di rumah. Bgitu juga sebaliknya. Namun, sebagai ibu bapa kita perlu menilai karenah dan ragam anak tersebut secara positif dan menilai sama ada dia memang sengaja buat hal atau ada 'kisah' di sebaliknya. Persoalan 'apa' dan 'kenapa' terjadi mesti kita cari jawapannya.

Berbalik pada kisah anak jiran saya ini, dia terlalu menitik beratkan kata-kata orang terhadapnya, sikap orang lain kepadanya dan juga pencapaian dirinya adakah akan memuaskan hatinya dan ibu bapa. Mungkin secara tak langsung, bila kita mendidik anak-anak mereka salah faham dan salah tafsir niat orang dewasa kepada mereka. Sama ada oleh ibu bapa atau di kalangan guru, mendidik bukan setakat mengajar apa terkandung dalam silibus pengajaran bahkan harus menyentuh emosi pelajar. Oleh itu ilmu psikologi anak-anak mesti ada. Guru yang baik bukan setakat pandai mengajar dan anak-anak muridnya jadi pandai. Sedangkan ada juga murid-murid yang mempunyai kelebihan di luar mata pelajaran.

Banyak jugalah saya bincangkan dengan jiran saya itu tentang anak-anak. Memandangkan wujud perbezaan antara anak dia (3orang, semua perempuan) dan anak saya (4orang, semua lelaki). Cara pendidikan anak-anak di rumah mungkin juga mempengaruhi anak-anak di sekolah. Jadi cikgu harus 'nampak' semua perbezaan ini dan tidak hanya menumpukan pada akademik semata.

Usia pra sekolah adalah usia yang sangat muda untuk tertekan dengan masalah pelajaran - risau tak dapat A, risau tak dapat hadiah, risau ibu bapa marah dsb. Walaupun kita menafikan bahawa kita menekan anak supaya mendapat kecemerlangan dalam akademik, tidak membandingkan antara anak-anak dll tapi sebenarnya secara tidak langsung kita melakukannya tanpa kita sedar.

"Payah kan nak mengajar anak zaman sekarang" ujar saya pada jiran.

"Doktor bagitahu, bila kita stress tidak kiralah kanak-kanak atau orang dewasa badan kita akan merembeskan banyak asid. Tu yang adik sakit perut" Cerita jiran saya.

Betul lah tu, kita yang dewasa ni kalau terlalu stress menyebabkan jadi hangin satu badan dan cepat lapar kan? .

Kesimpulan dari 'diskusi' tak sengaja kami itu, saya merasa kita semua sebagai ibu bapa mesti cukup ilmu untuk mendidik anak-anak. Semakin cerdik anak-anak, semakin berat cabaran ibu bapa. Semakin cemerlang anak-anak, semaki besar perhatian yang mesti kita berikan pada mereka. Sesekala kita mesti 'hulur'kan keseronokan untuk anak-anak nikmati supaya mereka tidak melalui zaman kanak-kanak ini dengan kebosanan semata-mata menimba ilmu. Jelaskan pada mereka pro dan kontra selari dengan usia mereka untuk difahami. Didik mereka nombor bukanlah penilaian utama dalam kecemerlangan bahkan ada lagi perkara lain yang boleh diambil perhatian. 

Mentaliti kita sebagai ibu bapa juga harus berubah. Kita juga memandang A+ dan #1 itulah paling terbaik. Beri anak kebebasan untuk pelajari apa yang mereka minat dan tanamkan minat mengikut potensi anak-anak. Setiap anak-anak berbeza kecenderungan mereka...Pandai-pandailah kita 'gali' sendiri kerana kalau kita tak kenal anak sendiri, jangan satu masa nanti terjadi perkara tidak diingin barulah menyalahkan anak sahaja dan orang lain sedangkan titik awalnya datang dari kita sebagai ibu bapa.

"a'ahlah....anak aku macam aku jugak kecik-kecik dulu..." 

Ayat ni tiba-tiba terpacul dari mulut jiran ketika bercerita. Saya mengiyakan. Jelas di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kalau kita dan anak-anak sama karenahnya, lagi senang kot untuk menyelesaikan masalah bersama-sama...

KAK AINA:
Setiap kali hari ibu saya terasa malas nak sambut dan menerima ucapan dari orang lain untuk diri ini kerana merasakan diri ini belum cukup sempurna dan bukan juga ibu yang baik. Saya kagum dengan emak saya - Dia cukup sabar melayani karenah anak-anaknya sampai anak-anak dewasa. Tidak semua ibu-ibu 'layak' menjadi ibu semata-mata melahirkan anak. Ibu sejati, ibu yang bukan sahaja menumpahkan kasih sayang dan menyediakan keperluan anak semata. Bahkan mendidik anak itu menjadi manusia yang elok dunia akhirat. Selamat Hari Ibu buat para ibu mithali dan ibu solehah!

Berguna? war-warkan. Terima kasih:)



0 comments: