Curi daun sireh nak cepat dapat jodoh?

Siapa pernah merasa makan daun sireh?

Sireh dimakan bersama kapur yang dicalit sedikit di atas daun. Kemudian, dilipat kecil bersama pinang, gambir dan suap dalam mulut sekaligus. Dalam mulut kita 'blend' lah sampai lumat, sampai mulut dan gigi bertukar kaler merah...

Kak Aina sudah lama tak makan sireh. Rasanya pun sudah lupa...pedas kot. Kalau siapa suka, akan kata sedap sebab daun sireh bukannya pahit macam makan daun mengkudu. Kalau sesiapa yang tak kenal daun sireh, rupanya seakan sama dengan daun kaduk yang terkenal dalam masakan nasi ulam. Daun sireh juga terkenal dalam membuat hiasan sireh junjung dalam adat pertunangan dan perkahwinan orang melayu.

Masa kecil Kak Aina suka menyibuk dekat arwah wan dan moyang ketika mereka makan sireh. Masa tu akak akan minta sedikit sireh yang sudah lumat ditumbuk di dalam gobek sireh. Memang best masa tu....bersila depan moyang dan kadang-kadang merayunya untuk membantu menggobek sireh... Sangat nostalgik :)

Orang kita masa kini sudah jarang makan sireh sama ada yang ditumbuk dalam gobek atau kunyah begitu sahaja. Ini kerana gigi jadi menjadi kurang menarik kalau diamal makan sireh selalu. Kemudian, selain dimakan, sireh ada banyak kegunaan lain. Antaranya mengubat masalah sakit kepala atau merawat masalah kewanitaan.

Curi daun sireh nak cepat dapat jodoh?

Ada sekali tu masa zaman Kak Aina masih muda belia dan berstatus bujang, akak menghadiri sebuah perkahwinan bersama emak saudara. Ketika hendak balik dia menghulurkan sekeping daun sireh yang sudah siap berlipat dengan pinang dan kapur. Lalu akak disuruh makan langsung saat itu juga. Rupa-rupanya sireh tersebut diambil secara diam-diam dan hendaklah dimakan oleh anak dara/bujangan yang bertujuan mengambil berkat dari pihak yang berkahwin/bertunang dan cepat bertemu jodoh. Makanya, akak pun makan jugalah walaupun tak suka rasanya yang pedas dan kelat.

Benarkah makan sireh curi dapat mengambil berkat untuk cepat mendapat jodoh? Mengambil secara diam-diam hak orang sama juga dengan mencuri. Lebih-lebih lagi makanan yang masuk ke mulut akan menjadi darah daging. Berdosa bukan?

Tak tahulah di mana asal nya tips ini. Namun, ramai juga yang suka-suka mengambil daun sireh untuk dimakan. Bukan untuk percaya 100%, tetapi terpulang kepada niat. Semua orang perlu berusaha untuk  mendapatkan jodoh masing-masing. Sama seperti bab mandi bunga. Kalau niatnya untuk menaikkan seri muka dan bertambah aura kejelitaan, akak rasa tiada salahnya. Namun, yang menjadikan ianya salah dan haram ialah apabila ia mencampur adukkan dengan jampi serapah atau bacaan-bacaan tertentu yang dikhuatiri boleh merosakkan akidah dan keimanan kita.


Berbalik kepada makan sireh tersebut, Kak Aina sendiri pernah makan lebih sekali sireh dari sireh junjung. Walaupun dikatakan kena ambil dan makan diam-diam, akak dan para sepupu tetap bercerita antara satu sama lain. Ini menjadikannya bukan suatu rahsia lagi, dan sireh yang diambil adalah dalam pengetahuan pihak pengantin/yang bertunang.

Anda yang bujang boleh mencuba tetapi percaya jangan. Lebih-lebih lagi, inilah masanya untuk anda merasa kudapan nenek moyang kita suatu masa dahulu yang sudah lapuk dek zaman...

KAK AINA: lepas makan sireh gosok gigi....

0 comments: