SUMBER
ALANGKAH baiknya jika terdapat sebuah al-Quran yang dapat memberi panduan untuk seseorang itu memberhentikan bacaan (wakaf) dan memulakan bacaan (ibtida’) pada ayat-ayat yang panjang yang tidak terdapat tanda-tanda wakaf."
Itulah luahan rasa yang menjadi cetusan idea pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abd. Rauf Hassan lewat solat Subuh, kira-kira tiga tahun lalu.
Malah ilham itulah yang telah membawa kepada terhasilnya Al-Quran al-Karim dengan Panduan Wakaf dan Ibtida’ yang dijangka berada di pasaran awal Julai ini.
Uniknya lagi, Al-Quran al-Karim dengan Panduan Waqaf dan Ibtida’ itu juga merupakan al-Quran yang pertama diterbitkan di Malaysia malah ia merupakan al-Quran yang pertama seumpamanya di dunia.
Tegas Dr. Abd. Rauf, belum terdapat penerbitan seperti itu sebelum ini, sama ada di dunia Arab mahupun di Nusantara.
Malah akui, anak kepada pakar ilmu tajwid dan tarannum terkemuka, Tan Sri Hassan Azhari itu, fikirannya terus melayang memikirkan idea tersebut sepanjang hari itu.
“Sewaktu dalam kereta ke tempat kerja, saya mula membayangkan satu sistem warna yang mudah dan menarik yang dapat memberikan panduan kepada pembaca al-Quran dalam waqaf dan ibtida'.
“Kemudian saya mula mereka dan mencipta mengunakan tiga warna dan saya letakkan dalam al-Quran bagi 20 ayat dalam surah al-Baqarah.