Kelainan sambutan Hari Bapa pada tahun ini

Selamat Hari Bapa....Happy Father's Day...

Itulah ucapan kita saban tahun buat yang tersayang yang bergelar bapa. paling hampir, sudah pasti ayahanda kita sendiri, suami kita, adik beradik kita, sepupu sepapat kita, dan sahabat handai belaka... Saban tahun, ucapan diberi tak pernah lupa! Saban tahun kita hulurkan hadiah atau berikan sambutan dengan meraikan dengan membawa keluar makan bersama atau sebagainya. Segalanya bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka selama ini terhadap keluarga tersayang...

Seandainya tidak mampu memberi hadiah dan membuat sambutan dengan makan-makan, cukuplah sekadar ucapan dan doa semoga panjang umur, sihat sejahtera dan bahagia dunia akhirat. Itu sudah juga mencukupi bagi seorang ayah apabila diri mereka diingati, dihargai dan disayangi.


Makanya semua itu sudah biasa kita buat saban tahun. Acap kali kita lontar kata-kata ucapan yang sama setiap tahun. Tidaklah membosankan, malah menghargai seseorang yang kita sayang tidak perlu menunggu hari jadi atau hari istimewa. Setiap hari juga dan setiap masa kita hargai mereka dan berdoa untuk mereka. Kalau kita tak solat macam mana nak berdoa kan?

Kepada anak-anak, pada hari bapa ini mari kita anjak sedikit paradigma kita dari kebiasaan kita...Kalau kita sayang dan hargai kasih sayang ibu bapa, berdoalah pada TUHAN supaya mereka selalu mendapat rahmat dari-NYA. Usia bukan penghalang, semasa usia kita mudalah kita harus membanyakkan amalan kita supaya penuh kantung timbangan pahala kita kelak. MATI tidak mengira usia! Mungkin kita akan mati terdahulu dari ibu dan ayah kita. Oh, masa itu terputus sudah khidmat kita untuk mereka! Oleh itu, sembahyanglah kita, sebelum ayah kita bersolat jenazah untuk kita!

Sebaliknya jika ayah dan ibu yang 'pergi' dahulu, maka terputus jua khidmat kita terhadap mereka. Tiada lagi ucapan hari bapa dan hari ibu untuk mereka. Namun ucapan hari ibu dan ucapan hari bapa tidak membantu mereka di dalam kubur. Tetapi, sementara masih hidup ini bolehlah memberikan kebahagiaan kepada ibu dan bapa.

"Terima kasih anakku, ingat juga kamu pada kami," getus hati nurani mereka. Hanya senyuman tercoret di wajah.

Anjakan paradigma juga termasuk perbuatan kita. Jika dahulu kita suka membantah kata-kata ibu ayah, suka melakukan perbuatan yang dilarang dan meninggalkan segala suruhan TUHAN, makanya kita berubahlah. Pasti perubahan yang baik itu 'hadiah' terbaik buat seorang ibu bapa yang akan merasakan bahawa selama ini dia telah berjaya mendidik anak-anak sehingga berjaya dalam hidup. Bukan sekadar berjaya dalam pelajaran, kerjaya, malah juga berjaya di dalam mendokong perjuangan 'akhirat'.

Mungkin setengah kita tidak bertuah memiliki ibu bapa yang mungkin kurang memberi kasih sayang dan cuai dalam melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga. Namun, jangan putus asa, teruskan berdoa semoga manusia yang menyebabkan kita lahir ke dunia yang menyuap perut kita dengan rezeki dari titik peluh mereka akan berubah menjadi lebih baik suatu hari nanti. Walau sejahat mana manusia, kita bukan TUHAN untuk menjatuhkan hukum terhadap mereka. Sebagai anak, tanggungjawab kita ialah berbuat baik kepada kedua ibu bapa sebagaimana yang diperintahkan oleh ALLAH.

Istimewanya, tahun ini Hari Bapa jatuh pada 27 Rejab iaitu hari berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Oleh itu, mari kita beriktibar dengan peristiwa bersejarah umat Islam ini untuk menjadi manusia yang lebih baik. Jika kita seorang ibu bapa, berusahalah menjadi ibu bapa cemerlang dan jika kita seorang anak, berusahalah menjadi anak yang cemerlang kepada kedua ibu bapa kita. Di sebalik keduanya, kita membentuk diri menjadi manusia yang akan dikasihi PENCIPTA kita.

Hikmahnya Israk dan Mikraj, ia berlaku ketika saat Nabi berduka selepas kematian bapa saudara dan isteri tercintanya. Peristiwa yang dilalui Nabi Muhammad s.a.w ini juga melimpahkan ummat manusia dengan anugerah tidak ternilai ialitu solat 5 waktu. Mari kita mencontohi manusia terbaik ini dalam menjadi bapa, ibu, anak dan juga manusia yang dikasihi oleh-NYA. Insha ALLAH.....Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik kan? Kalau bapa cemerlang, INSHA ALLAH anak pasti lebih cemerlang :)
 
SELAMAT HARI BAPA kepada semua yang sudah menjadi bapa. Tidak kiralah bapa angkat dan bapa saudara juga. KECUALI, bapa ayam!

Ya ALLAH,
Segala puji bagi-MU yang Maha Pemurah
Memberikan kami seorang ayah yang baik
Lelaki yang bertanggungjawab dan
Manusia yang menunaikan suruhan agama.

Ya ALLAH,
Terima ksih kerana memberi aku
Seorang lelaki yang menjadi bapa
kepada anak-anakku
dan dia melimpahi kami dengan kasih-sayangnya
yang tiada kekesalan

Ya ALLAH
Semoga kami semua mendapat kesudahan yang baik di dunia
Apabila kembali ke sisi-MU kelak.
Ameen.

0 comments: