Kerja jadi 'bodyguard' pun kena cuci lantai dan potong rumput

"Kami bukan gengster"

Artikel ini sudah beberapa hari diterbitkan di Kosmo Online. Sangat menarik. 


Bodyguard atau pengawal peribadi adalah berbeza dengan pengawal keselamatan. Walaupun bidang tugas mereka lebih kurang sama iaitu menjaga keselamatan, namun pengawal peribadi hanya menjaga keselamatan orang tertentu seperti yang ditugaskannya. Kemudian dia akan mengekor tuannya kemana sahaja hatta sampai luar toilet. Itu kalau kita tengok dalam tv dan dalam movie. Contoh macam cerita The Bodyguard lakonan Kevin Costner dan Whitney Houston atau Cerita Bodyguard lakonan Salman Khan dan Karena Kapoor.


  

Realitinya, adakah sama tugas bodyguard itu seperti yang diwayangkan kepada kita. Jom baca artikel ini. Baca dulu, baru tahu. :)


Artikel oleh: MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SEKILAS pandang, lelaki-lelaki ini berwajah garang dan berhati kering. Dengan tubuh yang tegap dan sering berkaca mata hitam, lagak mereka kadangkala seperti kaki pukul yang sanggup membelasah sasaran tanpa belas kasihan.
Bagaimanapun, pandangan itu mungkin berubah jika anda berpeluang berbual dengan Mahathir Manan, Pengarah Urusan CPP Training and Services Sdn. Bhd. Syarikat itu menyediakan perkhidmatan dan latihan pengawal peribadi di negara ini.
“Kami bukan gengster atau kerja pukul orang. Ada masanya pengawal peribadi juga disuruh mencuci lantai dan memotong rumput di laman rumah.
“Lebih lucu lagi ada klien meminta kami memilih jenis seluar dalam yang mereka hendak pakai selain mengatur makan minum mereka di rumah atau di luar,” kata Mahathir diiringi ketawa kecil.
Syarikat tempat Mahathir bekerja banyak menerima permintaan untuk melatih pengawal peribadi daripada orang kenamaan, syarikat-syarikat besar dan agensi penguatkuasaan kerajaan.
“Walaupun seorang pengawal peribadi dibayar gaji di antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan, tugas kami bukanlah mudah.
“Demi menjaga keselamatan klien, kami sendiri akan menjadi pemandunya untuk ke destinasi tertentu, memastikan tiada ancaman tersembunyi seperti penembak curi dan menyiasat latar belakang orang yang berurusan dengan klien,” jelasnya.
Mahathir memberitahu, pengawal peribadi kini bukan sahaja terdiri daripada bekas anggota polis dan tentera bahkan orang awam ramai yang memilih profesion itu.
“Malah, ada antara mereka yang kerja berkebun sebelum ini. Bagaimanapun, semua calon pengawal peribadi mesti bebas daripada rekod jenayah,” katanya sambil menegaskan, kaum wanita jarang bekerja dalam bidang itu memandangkan ia memerlukan komitmen masa yang tinggi.
Sudah namanya bekerja, kena maki dengan majikan iaitu klien sendiri merupakan perkara biasa. Menurut Mahathir, ada juga majikan yang mengarahkan pengawal peribadi membuat kerja yang berada di luar bidang tugas mereka.
“Kadang-kadang ada klien mengarahkan kami untuk menjadi pekebun dan menjaga pokok bunga dan hiasan mereka apabila mereka ke luar negara.
Serbu
“Ada juga yang perlu membasuh kolam dan mencuci lantai bahkan bilik air seperti pembantu rumah. Keadaan seperti itu tidak seharusnya berlaku,” jelas Mahathir.
Beliau berkata, walaupun dilengkapi dengan senjata api, ia merupakan pilihan terakhir yang akan digunakan khususnya dalam situasi kritikal dan tidak terkawal.
“Seperti yang saya katakan tadi, kami bukan samseng. Meskipun muka nampak garang, senjata api cuma dipakai semasa kecemasan. Sebenarnya, ia jarang digunakan sekalipun kami bertindak agresif demi melindungi klien,” katanya.
Kebanyakan senjata api yang mereka gunakan ialah pistol jenis Viking dan Glock yang memerlukan lesen khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).


MOHAMAD Kamal (kiri) dan Mahathir menganggap tugas pengawal peribadi penuh dengan cabaran dan godaan.

Berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, Mahathir berkata ia adalah peristiwa beliau mengawal seorang usahawan jualan langsung (MLM) yang diserbu pelanggannya di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan.
“Usahawan itu menghadapi masalah perniagaan menyebabkan dia tidak mampu membayar balik modal ejen syarikatnya.
“Keadaan pada masa itu sangat kritikal. Bayangkan dewan hotel itu dipenuhi tiga ribu orang yang sedang marah terhadap usahawan itu sedangkan hanya ada 10 orang pengawal peribadi untuk melindunginya,” cerita beliau.
Mujurlah, tambah Mahathir, mereka berjaya membawa keluar usahawan terbabit dan menyembunyikannya di dalam sebuah bilik.
“Ramai orang menyangka usahawan itu telah dibawa pergi menggunakan helikopter tetapi sebenarnya dia berada di bilik hotel yang sama. Namun, 10 pengawal peribadi tadi termasuk saya mengalami kecederaan yang agak serius kerana dipukul dengan objek keras di kepala, kaki dan tangan,” jelasnya.
Mahathir juga mendedahkan satu rahsia yang beliau simpan selama ini.
“Ada seorang klien yang merupakan usahawan berjaya tetapi hanya mempunyai seorang anak. Kerana khuatir keselamatan anaknya, saya ditugaskan mengawal anaknya dengan rapi sewaktu remaja itu balik dari sekolah.
“Saya juga kena tahu apa yang dia lakukan di dalam bilik tidurnya bahkan jika dia ingin mandi pun saya akan memantaunya dari luar.
“Kalau dia bertemu kawan-kawan atau teman wanitanya, saya pasti akan duduk berhampiran dengannya,” ujarnya.
Godaan
Kawalan ketat itu menyebabkan remaja itu berasa sungguh janggal kerana semua perkara yang dilakukannya akan diperhatikan.
“Tetapi ada masanya saya membiarkan dia bertemu teman wanitanya dan berbohong kepada usahawan terbabit kononnya anaknya itu lambat pulang ke rumah kerana kesesakan lalu lintas.
“Kini, remaja tadi belajar di luar negara. Dia juga belum mahu pulang ke negara ini kerana khuatir akan dikongkong oleh keluarganya,” beritahu Mahathir.
Sesetengah klien gemar menguji pengawal peribadi yang mereka upah. Ini termasuk sengaja meninggalkan sejumlah wang yang banyak di dalam kereta bagi mengetahui tahap kejujuran pengawal peribadi terbabit.
Bagi seorang pengawal peribadi, Mohammad Kamal Bolkin, keselamatan klien tidak boleh dikompromi. “Ibaratnya, jika ada lubang saya yang akan jatuh dahulu,” ujar beliau yang ditugaskan menjaga keselamatan seorang usahawan dari Kuala Lumpur.
Mohd. Zulkefli Jafri pula agak gugup semasa mengawal seorang klien yang kaya raya lebih-lebih lagi dia tidak mahir memandu kereta mewah BMW dan Porsche.
“Pada waktu itu saya gelabah dan takut sekiranya kenderaan itu rosak disebabkan oleh saya. Rupa-rupanya sistem kenderaan itu berbeza berbanding kereta jenis lain.
“Saya sekadar seorang pekebun sebelum ini jadi kurang mahir dengan kereta mewah,” katanya.

2 comments:

Riki Ganjaboy said...

Hehe..mcm menarik perhatian saya pula..nak ceburi bidang pengawal peribadi ini..😆

Anonymous said...

Saya ada duit RM20 billion. nk pki 2 bodyguard blh tak..hihi