Kerja jadi 'bodyguard' pun kena cuci lantai dan potong rumput

"Kami bukan gengster"

Artikel ini sudah beberapa hari diterbitkan di Kosmo Online. Sangat menarik. 


Bodyguard atau pengawal peribadi adalah berbeza dengan pengawal keselamatan. Walaupun bidang tugas mereka lebih kurang sama iaitu menjaga keselamatan, namun pengawal peribadi hanya menjaga keselamatan orang tertentu seperti yang ditugaskannya. Kemudian dia akan mengekor tuannya kemana sahaja hatta sampai luar toilet. Itu kalau kita tengok dalam tv dan dalam movie. Contoh macam cerita The Bodyguard lakonan Kevin Costner dan Whitney Houston atau Cerita Bodyguard lakonan Salman Khan dan Karena Kapoor.


  

Realitinya, adakah sama tugas bodyguard itu seperti yang diwayangkan kepada kita. Jom baca artikel ini. Baca dulu, baru tahu. :)


Artikel oleh: MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SEKILAS pandang, lelaki-lelaki ini berwajah garang dan berhati kering. Dengan tubuh yang tegap dan sering berkaca mata hitam, lagak mereka kadangkala seperti kaki pukul yang sanggup membelasah sasaran tanpa belas kasihan.
Bagaimanapun, pandangan itu mungkin berubah jika anda berpeluang berbual dengan Mahathir Manan, Pengarah Urusan CPP Training and Services Sdn. Bhd. Syarikat itu menyediakan perkhidmatan dan latihan pengawal peribadi di negara ini.
“Kami bukan gengster atau kerja pukul orang. Ada masanya pengawal peribadi juga disuruh mencuci lantai dan memotong rumput di laman rumah.
“Lebih lucu lagi ada klien meminta kami memilih jenis seluar dalam yang mereka hendak pakai selain mengatur makan minum mereka di rumah atau di luar,” kata Mahathir diiringi ketawa kecil.
Syarikat tempat Mahathir bekerja banyak menerima permintaan untuk melatih pengawal peribadi daripada orang kenamaan, syarikat-syarikat besar dan agensi penguatkuasaan kerajaan.
“Walaupun seorang pengawal peribadi dibayar gaji di antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan, tugas kami bukanlah mudah.
“Demi menjaga keselamatan klien, kami sendiri akan menjadi pemandunya untuk ke destinasi tertentu, memastikan tiada ancaman tersembunyi seperti penembak curi dan menyiasat latar belakang orang yang berurusan dengan klien,” jelasnya.
Mahathir memberitahu, pengawal peribadi kini bukan sahaja terdiri daripada bekas anggota polis dan tentera bahkan orang awam ramai yang memilih profesion itu.
“Malah, ada antara mereka yang kerja berkebun sebelum ini. Bagaimanapun, semua calon pengawal peribadi mesti bebas daripada rekod jenayah,” katanya sambil menegaskan, kaum wanita jarang bekerja dalam bidang itu memandangkan ia memerlukan komitmen masa yang tinggi.
Sudah namanya bekerja, kena maki dengan majikan iaitu klien sendiri merupakan perkara biasa. Menurut Mahathir, ada juga majikan yang mengarahkan pengawal peribadi membuat kerja yang berada di luar bidang tugas mereka.
“Kadang-kadang ada klien mengarahkan kami untuk menjadi pekebun dan menjaga pokok bunga dan hiasan mereka apabila mereka ke luar negara.
Serbu
“Ada juga yang perlu membasuh kolam dan mencuci lantai bahkan bilik air seperti pembantu rumah. Keadaan seperti itu tidak seharusnya berlaku,” jelas Mahathir.
Beliau berkata, walaupun dilengkapi dengan senjata api, ia merupakan pilihan terakhir yang akan digunakan khususnya dalam situasi kritikal dan tidak terkawal.
“Seperti yang saya katakan tadi, kami bukan samseng. Meskipun muka nampak garang, senjata api cuma dipakai semasa kecemasan. Sebenarnya, ia jarang digunakan sekalipun kami bertindak agresif demi melindungi klien,” katanya.
Kebanyakan senjata api yang mereka gunakan ialah pistol jenis Viking dan Glock yang memerlukan lesen khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).


MOHAMAD Kamal (kiri) dan Mahathir menganggap tugas pengawal peribadi penuh dengan cabaran dan godaan.

Berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, Mahathir berkata ia adalah peristiwa beliau mengawal seorang usahawan jualan langsung (MLM) yang diserbu pelanggannya di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan.
“Usahawan itu menghadapi masalah perniagaan menyebabkan dia tidak mampu membayar balik modal ejen syarikatnya.
“Keadaan pada masa itu sangat kritikal. Bayangkan dewan hotel itu dipenuhi tiga ribu orang yang sedang marah terhadap usahawan itu sedangkan hanya ada 10 orang pengawal peribadi untuk melindunginya,” cerita beliau.
Mujurlah, tambah Mahathir, mereka berjaya membawa keluar usahawan terbabit dan menyembunyikannya di dalam sebuah bilik.
“Ramai orang menyangka usahawan itu telah dibawa pergi menggunakan helikopter tetapi sebenarnya dia berada di bilik hotel yang sama. Namun, 10 pengawal peribadi tadi termasuk saya mengalami kecederaan yang agak serius kerana dipukul dengan objek keras di kepala, kaki dan tangan,” jelasnya.
Mahathir juga mendedahkan satu rahsia yang beliau simpan selama ini.
“Ada seorang klien yang merupakan usahawan berjaya tetapi hanya mempunyai seorang anak. Kerana khuatir keselamatan anaknya, saya ditugaskan mengawal anaknya dengan rapi sewaktu remaja itu balik dari sekolah.
“Saya juga kena tahu apa yang dia lakukan di dalam bilik tidurnya bahkan jika dia ingin mandi pun saya akan memantaunya dari luar.
“Kalau dia bertemu kawan-kawan atau teman wanitanya, saya pasti akan duduk berhampiran dengannya,” ujarnya.
Godaan
Kawalan ketat itu menyebabkan remaja itu berasa sungguh janggal kerana semua perkara yang dilakukannya akan diperhatikan.
“Tetapi ada masanya saya membiarkan dia bertemu teman wanitanya dan berbohong kepada usahawan terbabit kononnya anaknya itu lambat pulang ke rumah kerana kesesakan lalu lintas.
“Kini, remaja tadi belajar di luar negara. Dia juga belum mahu pulang ke negara ini kerana khuatir akan dikongkong oleh keluarganya,” beritahu Mahathir.
Sesetengah klien gemar menguji pengawal peribadi yang mereka upah. Ini termasuk sengaja meninggalkan sejumlah wang yang banyak di dalam kereta bagi mengetahui tahap kejujuran pengawal peribadi terbabit.
Bagi seorang pengawal peribadi, Mohammad Kamal Bolkin, keselamatan klien tidak boleh dikompromi. “Ibaratnya, jika ada lubang saya yang akan jatuh dahulu,” ujar beliau yang ditugaskan menjaga keselamatan seorang usahawan dari Kuala Lumpur.
Mohd. Zulkefli Jafri pula agak gugup semasa mengawal seorang klien yang kaya raya lebih-lebih lagi dia tidak mahir memandu kereta mewah BMW dan Porsche.
“Pada waktu itu saya gelabah dan takut sekiranya kenderaan itu rosak disebabkan oleh saya. Rupa-rupanya sistem kenderaan itu berbeza berbanding kereta jenis lain.
“Saya sekadar seorang pekebun sebelum ini jadi kurang mahir dengan kereta mewah,” katanya.

Datuk Hang Tuah menang AJL

Tahniah buat Datuk Hang Tuah (aka Datuk M. Nasir) di atas kejayaan Awan Nano sebagai juara lagu ke 26. Itu tandanya karya beliau masih relevan di era ini. Mana taknya beliau dikelilingi oleh ramai komposer muda-muda dan kala muzik Malaysia terarah lain dari ciptaan beliau sebelum ini. Itulah cabaran beliau tatkala mencipta 'Awan Nano' untuk Hafiz. 

Ada sesiapa yang tak puas hati ke?

Tribute untuk Sudirman juga sangat best! Gabungan Hazama, Black dan Azlan memang berjaya dan di saat lagu Salam Terakhir tu rasa ....(*sob*sob*)

KAK AINA: Pasal apa Datuk Hang Tuah? sebab M.Nasir jadi Hang Tuah dalam iklan Kit Kat kan. Awan Nano tu ialah awan berselerakkan di langit .... Budi Hekayat, penulis lirik Awan Nano cakap, mak dia bagi tahu.."tu lihat, awan nano di langit petang..."itu antara memori dalam lagu tulisannya. Tahu tak sebenarnya Budi Hekayat ialah Ketua Cabang PKR Parit Sulong? Nama sebenarnya Hasmi Hashim. Baca tentang beliau kat sini.

gambar blue carpet ajl26
Eceh....Mia pun datang AJL jugak:D
(pic kredit BN)

AJL tribute untuk arwah Sudir



Ada ke yang tak menonton Anugerah Juara Lagu malam ni? Mmmm mesti yang tengok tu sedang mencongak sama ada lagu kegemaran mereka menang tak malam ni ye.

Bagi akak, yang tak sabar malam ni ialah nak tunggu mereka buat tribute untuk arwah Sudirman Hj. Arshad. Menarik tu sebab banyak lagu die yang best. Tapi....kesian juga dia kat 'sana'. Semoga arwah sentiasa di bawah rahmat Ilahi. Insha Allah.

So far, enjoy. Memang terasa kurang manis AJL sebab Ally Iskandar tiada. Mungkin dia sedang honeymoon kot. Apapun, Faizal Ismail dan Cheryl tetap perform bagus.

oklah kita tunggu result nanti...

Termakan kata


Minggu lalu berkesempatan untuk berkunjung ke pasar malam. Hajat hati untuk membeli seluar bola untuk anak-anak. Sampai satu gerai yang menjual pakaian hanya ada 1 sahaja seluar yang saya berkenan.  Warnanya hitam dan kaler hitam biasanya masuk (sesuai) dengan apa jua kaler jersey. 

Saya: Ada satu je ke seluar ni bang?

Juru jual: A'ah ada satu je dik.

Saya: Alaaa...

Jurujual: Cuti Tahun Baru Cina ni semua stok habis dik.

Saya: (buat muka frust)

Jurujual: Ala jangan kecewa, di kedai saya tak de jual tapi mungkin kat tempat orang lain ada jual. Cubalah cari di kedai orang lain pulak.

Saya: oklah,.... 

Mungkin perkataan dan ayat yang dicakapkan oleh jurujual tu nampak biasa je. Tapi, sebagai pembeli yang tengah frust sebab tak dapat memperoleh apa yang dihajati, tiba-tiba terus sejuk hati. Dia siap suggest supaya cari di kedai lain pulak tu.

Oleh kerana kata-katanya tu, akak jadi rajin diri untuk pusing 2 kali jugalah pasar malam tu kot-kot jumpa gerai lain yang menjual seluar bola.

Selepas pusing 2 kali tetap tak jumpa seluar yang dikehendaki. Terfikir juga untuk beli aje seluar yang ada satu tu, tapi batalkan niat bila teringat kalau beli satu je mesti tak adil pulak kalau beli hanya untuk seorang anak sementara yang lain tengok aje....

Terasa frust sekali lagi. Bila teringat kata-kata jurujual tadi tu, terus lega. Kalau aku tak dapat beli hari ini, Insha Allah lain kali datang lagi. Lalu, kaki melangkah balik dengan gembira walaupun tak dapat beli yang dihajati hanya kerana telah termakan dek kata-kata juru jual yang ikhlas tersebut.

KAK AINA: Ya, saya mudah frust bila tak dapat sesuatu yang saya nak. Tapi, saya tidaklah meroyan depan orang, cuma menangis dalam hati sahaja. Heeee... :P dan....saya suka membeli di pasar malam sebab harga lebih murah. Kalau nak guna untuk berlasak-lasak, beli yang tak berjenama pun ok juga.

Mak nyah nak pergi umrah


Baca berita ' Mak nyah nak pergi umrah' kat sini.

Alhamdulillah....gembira dengan berita itu. Walaupun tidak ada kaitan dengan mereka, sebagai saudara seagama, hati kecil ini berasa juga akan kesyukurannya. Melihat mereka yang sesat kembali ke pangkal jalan dan betapa besarnya rahmat Allah dan kasih sayang-Nya terhadap hamba yang ingin berubah kepada kebaikan.

Tahniah buat Ustaz Hanafi Abdul Malik yang sekali lagi berjaya dalam dakwahnya terhadap golongan tersasar ini. Kalau sesiapa yang pernah mendengar ceramah beliau, memang benar-benar menusuk jiwa. Semoga ilmu dan kebenaran yang kita peroleh sentiasa telap di jiwa dan menjadikan kita istiqamah.

Menurut ustaz lagi, pelaksanaan umrah akan dilakukan pada Mac dan permohonan untuk mengerjakan umrah tersebut masih terbuka bagi yang berminat sehingga hujung Februari. Buat masa ini kumpulan tersebut sedang menyiapkan diri mereka untuk melaksanakan ibadat umrah kelak. Alhamdulillah. 

Perjalanan umrah ini dibayar seorang dengan kos RM 5k dan menerusi Rabbani Travel and Tour Sdn. Bhd yang turut menyediakan kursus persedian ibadah umrah.

KAK AINA: Sedih melihat perubahan seseorang yang rapat dengan diri ini dari kecil sampai SPM dia adalah lelaki. Tiba-tiba, dia telah berubah menjadi sorang perempuan. Sangat-sangat sedih melihat kekecewaan ibu bapanya. Semoga Allah juga membukakan hatinya untuk berubah dan bertaubat nasuha....Amin.

Di mana letaknya titik tengah semenanjung Malaysia?

Izinkan akak share dengan korang satu artikel ilmiah yang mungkin setengah orang tak tahu dan belum membacanya. Sumbernya ialah dari sini.

Artikel Oleh:

Rosli Abdul Jalil

bhnews@bharian.com.my
2012/01/22


Titik tengah Semenanjung


PERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang.

Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung.

Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar.

Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini.



Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.



Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.



Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan. 


Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.



“Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini.



Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.



Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.



"Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya.



"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.



Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi.



Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.



Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.



Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur.



Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan.



Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong.



Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini.



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar.



"Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya.



Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu.



"Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya.



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri.



"Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka.



"Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya.



Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya.



Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu.



"Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik.



"Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya.



Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap.

Sambung baca di sini.

Anak score A, ibubapa score RM

Zaman sekarang duit bukan penghalang lagi bagi ibu bapa untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak. Selagi ada daya, ibu bapa sanggup berusaha. Lebih-lebih lagi kehidupan di kota besar, bukan sahaja kos sara hidup tinggi, bahkan persaingan antara anak-anak di sekolah juga sangat sengit. 

Akak mengambil contoh di sekolah Luqman dan Almustofa, ada 12 kelas semuanya. 5 kelas teratas memang terdiri murid-murid yang majoriti score A setiap subjek. Memang terkedu juga bila lihat keputusan peperiksaan anak yang sangat baik tetapi mendapat kedudukan yang bawah.

Mungkin bukan semua, tetapi ada ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen sebaik masuk darjah 1. Isu ni jadi perdebatan antara kami suami isteri. Kalau ikut akak, mau juga hantar anak-anak ke tuisyen supaya lebih pandai. Sedangkan bagi suami, hal ini membebankan anak-anak yang sudah sedia penuh jadualnya. 

Kebanyakan sekolah di KL ada dua sesi. Bagi yang bersekolah kebangsaan sesi petang, paginya akan menghadiri kelas KAFA sama ada di SRA atau KAFA persendirian. Begitulah sebaliknya. Malam pula, diadakan kelas tuisyen atau mengikut aktiviti lain seperti mengaji, taekwando, silat dll. Wow sangat padat bukan? Lepas tu nak kena study dan siapkan homework cikgu bagi pulak kan. Hujung minggu pun jadual padat.

Kalau anak-anak enjoy dan rela hati untuk melakukan semua aktiviti dan mengikut kelas yang dihantar oleh ibubapa oklah. Jangan sampai anak-anak stress dan merasa terbeban dengan kerja, latihan dan harapan ibubapa yang menggunung padahal baru berusia 6 tahun.

Wordless Wednesday: Roti kepal




sini  ]

Sarapan roti kepal

Tahu tak roti kepal?

Haaa, tak payah pelik, sebenarnya ia roti keping biasa tu dikepalkan sebelum di campak ke dalam secawan milo panas. Hehe....Terbaekkk!

Sebenarnya, tempoh hari masa sediakan bekal roti sapu jem dan marjerin( +sedikit gula) untuk anak-anak bawa ke sekolah, akak potongkan kerak roti tersebut supaya mereka senang nak kunyah dan tak ambil masa lama untuk habiskan bahagian keraknya.

Jadi, lebihan kerak yang dipotong itu akak simpan untuk kegunaan masa depan. Angan-angan nak buat puding roti. Tak dan (tak sempat), menunggu masa depan tiba, tatkala kelaparan boleh juga dijadikan sarap terbaik. Cara akak:

1) Mula-mula bancuh secawan milo kosong (+ 2 sudu susu tepung full cream Duth Lady anak yang dah 2 bulan tak habis-habis). Kacau sebati di dalam air panas tu hingga naik bau harumnya.

2) Keluarkan kerak roti (kalau korang nak guna bahagian lembut pun boleh). Kepal kan kecil-kecil ikut sesuai saiz mulut anda. Masukkan ke dalam air milo, tak perlu rendam lama-lama terus suap ke mulut. 

Yummy. Jangan lupa baca doa sebelum makan.

KAK AINA: Ini sarapan alas perut pagi-pagi selepas bangun Subuh dan sebelum buat kerja rumah. Lepas buat kerja mesti lapar lagi. Jadi, kena masak yang berat-berat pula, macam mee goreng ke, nasi goreng ke dll. Hurmmmm...(mana tak gummuck!) - Gambar roti Kepal kat sini.

"Ibu, Aman nak main drum"



Baru-baru ni Luqman bercerita dia masuk bilik muzik.  Ada macam-macam instrumen muzik di dalamnya. Dalam banyak-banyak tu, adalah 1 benda yang dia teringin nak main.

"Ibu, Aman nak main drum"

"La...awat cakap kat ibu? Lain kali mintak lah kat cikgu..." 

Dia diam je...

Baru-baru ni dapat pulak surat (di atas). Pencarian bakat Pendaftaran murid baru untuk orkestra sekolah bakal diadakan. Sekali lagi dia sibuk meminta.

"Ibu, Aman nak main drum"

Ayyo..yo.. Orkestra ada main drum ke?

Ibu dan abah dah buat keputusan, Luqman tak akan join orkestra sebab jadual dah padat. Kalau masuk orkestra, nanti mesti ada kelas tambahan untuk latihan. Dahlah hari biasa sibuk dengan sekolah pagi sampai petang. Malam kena buat homework dan masuk tidur awal. 

Tambahan pula, hujung minggu dah dijadual main bola untuk kelab. Jadi nanti tiada masa pulak untuk belajar dan belajar. So, sorry sayang. Main drum dalam kelas muzik aje ye..

KAK AINA: Wow siap jemput Edrie dan Awie untuk bagi ceramah. Tak tahulah apa plan sekolah dengan otai muzik berdua tu. Hopefully, SBT, SKS akan terus maju jaya di peringkat arus perdana. Cayalah, GB!

Yeay, cuti seminggu!


Anak suka, ibu lagi seronok!

Ya, CNY tahun ni dapat cuti seminggu! Tapi, cuti tambahan 3 hari tu wajib diganti kemudian nanti selama 2 kali Sabtu. Tak mengapalah, kita 'enjoy katak' dulu ye anak-anak.

Sebenarnya seronok bukan pasal nak holiday kemana-mana pun. Cuti dalam Malaysia je.....Atau lebih tepat, cuti dalam rumah! Hehe....sekolah kebangsaan memanglah cuti, tapi sekolah tadika/agama/kafa cuti 2 hari sahaja.

Bila kanak-kanak yang terbuat silap

Ni Addin. Mata dia berdarah kat dalam sebab kena cucuk dengan jari kawan masa di tadika. Cikgu ada minta maaf pasal kejadian ni. Biasalah budak-budak. Nak marah pun mungkin tak sengaja. Yang penting bukan bergaduh sesama mereka.

Bila sampai rumah, tengok dia ceria je dan cakap tak sakit, hati ibu pun lega. Cuma masa mula nampak matanya tu, memang kecut perut dan ketar lutut ibu. Risau juga kalau jadi sesuatu yang tak diingini. Memang plan nak pergi klinik, tapi abahnya kata macam tak apa-apa so, oklah kan. Hemmm...tiba-tiba Encik Mat P jadi doktor pulak ye :)

Sekarang dah seminggu, mata Addin dah ok. Setiap hari sentiasa ceria dan bersemangat pergi tadika. Cuma bangun tidurnya liat sedikit.


KAK AINA: Puas berleter kat anak-anak supaya berhati-hati bila bergurau dengan kawan-kawan di sekolah. Jangan bergaduh, jangan mengejek dan jangan main tumbuk-tumbuk. Kalau bukan awak tersilap langkah, kawan tu yang tersilap terjah. Moga Allah memelihara keselamatan anak-anakku di luar rumah.

Bila doktor cuai...


Sayu hati, membaca kisah malang seorang anak kecil yang terpaksa dipotong pergelangan kakinya akibat jangkitan kuman. Baca di sini. Kedua ibubapanya mendakwa ia disebabkan kegagalan pihak hospital memberikan rawatan pada masa sepatutnya.

Kejadian di atas bukan pertama kali berlaku. Malah pernah berlaku sebelum ini, dan banyak juga kes-kes yang berlaku tetapi tidak dihebahkan kepada umum. Memang kita tidak dapat menolak ketentuan Ilahi dan takdir atas apa yang telah terjadi. Namun, sebagai ibu bapa yang menantikan kelahiran anak selama 9 bulan, pastinya di dalam hati kita mengidamkan anak yang lahir itu sihat dan sempurna sifatnya.

Kejadian yang sama telah terjadi kepada seorang ahli keluarga akak yang sangat dekat. Anak sulung yang dinantikan sekian lama lahir sebagai kanak-kanak CP (cerebral palsy). Puncanya berlaku kecuaian doktor sewaktu proses kelahiran. Alhamdulillah, ibu bapanya dapat membuktikan berlaku kecuaian manusia dan kini dalam proses tuntutan saman terhadap pihak hospital. Pihak hospital juga akhirnya mengakui telah berlaku kesilapan di pihak mereka.

Bukan duit yang dikejar semata. Jika korang melihat dengan mata sendiri, tentu akan sedar bahawa wang tidak dapat menggantikan masa depan dan kehidupan anak tersebut yang terpaksa dihabiskan terlantar di rumah sepanjang hayat. Bagaimana jika ibu bapanya tidak berusia lanjut? Bagaimana penjagaan dan kos rawatan sepanjang hidupnya? Tersentuh juga hati akak bila melihat kesabaran dan ketabahan ibu bapa yang menjaga anak CP ni. Mana taknya, bagi akak yang menjaga anak sihatpun tahap kesabaran tu nipis sangat-sangat....Asyik nak jadi tarzan je.

Alhamdulillah sudah lebih setahun usia anak itu. Sudah pandai senyum dan nampak orang. Jika sebelum ini, doktor pernah memberitahu bahawa dia juga mungkin buta. Doktor bukan tuhan. Allah Yang Maha Berkuasa, dan kepada-NYA memohon dikabulkan segala hajat. Harapan untuk melihat anak tersebut sembuh suatu hari nanti tidak pernah padam. Moga kes saman mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

KAK AINA: Syukur sebab dapat anak-anak yang sehat dan sempurna. Walaupun setiap hari marah sebab diorang nakal dan tak mendengar cakap, namun itulah nikmat yang tiada tandingannya....Thanks Allah:)

Menulis pun satu ibadah








Menulis pun suatu ibadah?

Bila sebut ibadah atau ibadat mesti kita merujuk kepada hal berkaitan keagamaan. Atas ibadah yang dilaksanakan, kita berharap akan mendapat ganjaran pahala dan juga keredhaan Tuhan Maha Pencipta.

Baca dan faham tentang ibadah dari sudut bahasa dan syara' serta cabang-cabangnya di SINI.

Menulis sebagai ibadah tidak semestinya menulis hal berkaitan agama, nasihat dan ilmu semata. Menulis sesuatu maklumat, sesuatu yang bermanfaat dan ianya boleh disebarkan demi kesejehateraan umum, maka ia juga suatu ibadah. Bukan khusus, tetapi ia termasuk di dalam kategori ibadah umum sama seperti kita bekerja mencari rezeki (yang halal), belajar (menuntu ilmu yang baik), tidur (untuk berehat) dan sebagainya.

Baru-baru ini terbit kisah rumahtangga orang popular yang hampir musnah gara-gara penulisan mereka di media sosial yang saling membuka aib hingga mencetuskan 'perang saudara'. Jangan tak percaya, terdahulu dari itu ramai orang saling bercakaran dengan tulisan di status laman sosial dan blog yang memfitnah dan menghina satu sama lain.

Beberapa hari lepas, jadi pulak hal seorang pelajar menulis ancaman terhadap pemimpin negara. Walaupun sekadar suka-suka, perkara tersebut mampu memusnahkan masa depannya. Yang kasihan, ialah ibu bapa yang menanti kajayaan si anak di rumah, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan pihak polis. Tak fikir panjang ke?

Mari membetulkan saf kita. Kalau setakat niat baik/betul tetapi caranya salah ia tetap tidak menjadi benar dan halal.

KAK AINA: Saf aku pun senget benget jugak. Sama-sama kita membetul dan saling menegur. Tegur jangan tak tegur. Tegurlah dengan berhikmah. Bak kata pepatah, bagai menarik rambut di dalam tepung. Macam mana tu ek? Cari gula-gula dalam tepung tahulah :) Cuba baca tulisan yang bermanfaat kat sini.

Kau tak suka, ada aku kisah????








Akak ingin meminjam kata-kata/ayat/bahasa popular orang masa kini, "Ada aku kisah?".

Bercakap soal pendirian diri sendiri dan tak pedulikan pandangan orang lain. Sama ada orang lain suka atau tak suka, mereka tidak kisah pun, lalu melontarkan ayat tersebut.

Betul, kita tak boleh memaksa orang lain setuju dengan kita. Begitu juga mereka sebaliknya. Sikap hormat-menghormati satu sama lain mesti disemaikan pada diri setiap orang. Kalau tak suka sekalipun pada benda yang orang lain suka, kita tidak berhak mengutuk dan mencaci minat mereka. Hormat. Cukuplah sekadar berkata, "saya tidak berminat" atau "tak gemar". Gunakan bahasa yang romantis bersopan supaya tidak mengecilkan hati seseorang. 

Contohnya, kalau tak suka sesuatu makanan, tak perlu samakan makanan kesukaan orang itu sama macam benda-benda pelik atau kotor. Kalau tak suka filem, drama dan lagu artis K-Pop, jangan dihinakan semua orang yang Korea yang tak berdosa. Ok, itu sekadar contoh dan mungkin sedikit over. Hehe...

Kekadang kita tak sedar kita telah melukai hati orang lain. Alahai kesian orang itu. Namun, bila terkena di batang hidung sendiri, barulah kita faham perasaan orang yang kita lukai hatinya. Namun, bagai dapat kita tahu kalau mereka tak cakap kan? Itulah pentingnya berbudi bahasa dan cakap berlapik dalam adat budaya orang Melayu. Hatta, semua bangsa lain juga menitik beratkan soal ini. Andai kita keterlanjuran kata tanpa kita sedar, sesungguhnya kita itu termasuk dalam kumpulan orang yang suka cakap lepas. Kalau dalam bahasa kasarnya, kita celupar! Mungkin ada yang tak setuju, tetapi hakikat itu selalunya pahit....

KAK AINA: Terkena batang hidung sendiri baru-baru ini. Kekadang nak kata sebab diri ini semakin berusia dan mudah sensitif, tidak juga. (hakikat yang pahit ditelan). Antonasi suara, bahasa badan dan riak muka kita bila bercakap turut memainkan peranan ke arah mengundang rasa berkecil hati. Kekadang mulut berkata " Ada aku kisah?", namun di hatinya siapa tahu.....?

Tema baru








Apa khabar semua? Lama tak bersua di alam maya kan? Moga korang semua sehat dan ceria hendaknya di tahun baru 2012.

Maafkan akak sebab lama tak meng'update' kan blog ini. Kata blog kesayangan, tetapi dibiarkan bersawang kan? Apakan daya, aral melintang di tengah jalan.....

Sempena tahun baru ni, akak pun ingin tumpang sekapal ambil mood baru dengan menukar layout blog. Kalau ada yang tak berkenan atau tak suka, akak minta maaf sebab akak dah jatuh suka. Biasalah lain orang, lain taste masing-masingkan. Tak perlu nak paksa orang lain untuk suka apa yang kita suka dan kalau sesuatu hal itu kita tak suka, jangan pula dikejikan minat mereka itu.

Contohnya kan, kalau korang tak de azam baru tahun ini, jangan dikutuk orang yang bersemangat nak tunaikan azam lama tak tertunai di tahun-tahun lepas. Yang penting, bagi yang ingin menunaikan azam tahun-tahun sudah tu, teruskan berusaha dan jangan putus asa kan? Pedulikan pada kata-kata orang yang hendak melemahkan semangat juang korang tu...

Jangan pandang belakang, maju ke hadapan!

KAK AINA: Tak ada azam baru. Azam lama pun tak ada. Yang ada cuma angan-angan, hajat hati dan harapan. Hopefully, tercapai. Eh, bukan ke sama maknanya dengan azam????? (lain kan..kan..kan..) :D