Pisang goreng tepi jalan bahaya?

Semalam teringin nak makan pisang goreng. Maka saya pun membeli dari mak cik tepi jalan. Bila saya lihat dia ialah orang kita, maka saya membeli banyak sedikit. Selepas sudah memesan, saya ternampak dia mengisi minyak ke dalam kuali. Minyak paket!

Sebagaimana telah didedahkan sebelum ini oleh kementerian kesihatan, juga oleh Persatuan Pengguna Islam tentang bahaya minyak masak yang dikitar semula. Minyak yang dikitar semula ialah minyak yang sudah kita guna untuk memasak, tetapi diproses semula untuk dijual. 

Menurut PPIM, terdapat pihak yang mengutip minyak-minyak masak terpakai dari kedai-kedai makan. Jika dahulu minyak terpakai atau kita sebut sisa minyak akan diproses menjadi lilin dan minyak biodiesel. Tapi sekarang ada yang memprosesnya menjadi minyak masak yang boleh diguna semula. Jika asalnya sisa minyak berwarna perang atau hitam, tapi selepas diproses ia bertukar lebih cantik dan nampak bersih seperti minyak yang baharu.

Minyak kitar semula biasanya dipaketkan tanpa label yang betul dan tepat. Ia bukan dari jenama yang kita semua sudah kenal di pasaran. Harganya juga lebih murah berbanding minyak berjenama. Jadi untuk untung lebih, kebanyakkan peniaga lebih memilih minyak paket berbanding minyak dalam botol plastik. 

Bagaimana memilih minyak masak yang sihat?
 - lihatlah pada label pada minyak masak. Ia mesti mempunyai maklumat pemakanan/nutrisi supaya penggguna mengetahui isi kandungan minyak yang akan digunakan. Oleh itu, pengguna dapat membuat keputusan untuk memilih antara harga yang murah dan nutrisi yang baik untuk kesihatan. 
 - minyak masak yang mempunyai kandungan lemak tepu paling sedikit lebih elok dan pilih minyak yang kandungan lemak tak tepu lebih tinggi. Lemak tak tepu dicatat sebagai Monosaturated fat dan Polyunsaturated pada label. Saturated ialah lemak jahat yang boleh menyebabkan obesiti dan masalah jantung.
 - minyak masak seperti minyak zaitun adalah yang terbaik untuk kesihatan. Namun harganya adalah paling mahal berbanding minyak yang lain. Tapi, kita juga boleh memilih minyak jangung atau bunga matahari.
 - mempunyai logo halal yang sah yakni logo halal oleh JAKIM.

Sebenarnya terpulang kepada pengguna untuk membuat keputusan. Biarlah kita membeli minyak yang berkualiti dan dijamin sihat dengan bayaran yang tinggi. Jika kita hanya mementingkan harga murah tetapi terpaksa membayar bil hospital dan bayaran rawatan kesihatan yang lebih tinggi pada masa depan, adakah berbaloi???

Peniaga? Alangkah bagusnya kalau pihak mereka juga mementingkan kesihatan awam/pengguna. Nak kata boikot, macam menyekat periuk nasi peniaga kecil bumiputera pula kan. Selain peniaga kecil tepi jalan, paling kita suka ialah membeli di pasar malam dan pasar tani. Belum lagi dikira pada musim bazar Ramadhan. 

Akhirnya saya pejam mata membeli juga pisang goreng yang sudah diorder. Ya, memang saya buat keputusan yang salah. Saya juga tidak memberitahu bahayanya menggunakan minyak kitar semula. Andai diadakan kampen kesedaran kepada peniaga dan pemantauan yang berkesan terhadap aktiviti kitar semula minyak masak mungkin dapat membantu tahap kesihatan yang baik di kalangan rakyat Malaysia.

Nak tahu tips memilih minyak masak yang lebih sihat di pasaraya dengan cepat? 
Minyak yang kaya dengan Lemak tak tepu (dari jenis mono atau poly) adalah lebih cair dan kebanyakkannya lebih jernih berbanding minyak yang mengandungi komponen lemak tepu. Minyak yang tinggi peratus kandungan lemak tepunya adalah lebih likat dan gelap. 
Baca tips selanjutnya dekat sini.


0 comments: