Isu orang bukan Islam yang memeluk agama Islam dan sorok-sorok pengislaman mereka memang jadi isu besar bila diviralkan di media sosial. Lebih-lebih bila melibatkan artis dan orang terkenal.
Tapi, apakah hukumnya? Berdosa ke tak?
Menurut Ustaz Zul Ramli M. Razali kepada Mstar Online:
... rakan terdekat atau keluarga tidak berhak untuk menghebahkan tentang pertukaran agama seseorang bukan Islam kepada Islam kerana ia adalah perkara peribadi.
Malah katanya, penyebaran berita tidak sahih tentang perkara itu di laman sosial juga tidak seharusnya berlaku kerana ia akan menimbulkan masalah lain seperti perbalahan keluarga.
"Seperti yang berlaku kepada selebriti yang didakwa memeluk Islam, individu yang menyebarkan hal itu sepatutnya mendapatkan kesahihan terlebih dahulu.
"Jika ia benar sekali pun tiada siapa berhak untuk menghebahkannya kepada orang lain kerana ia melibatkan peribadi mualaf berkenaan," katanya.
Zul Ramli turut menjelaskan pada zaman Rasulullah bahawa seseorang yang memeluk Islam boleh memilih untuk mengisytiharkannya atau menyembunyikan keimanan mereka.
"Kisah Saidina Umar yang mengisytiharkan pengislaman di hadapan ketua kabilah Quraisy umpamanya adalah contoh bahawa seseorang itu boleh mengisytiharkan keislaman serta memberitahu sanak saudara mereka.
"Kisah Abdullah bin al-Salam, seorang rahib Yahudi yang memeluk Islam kerana percaya dengan kebenaran Rasulullah SAW, namun meminta izin menyembunyikan pengislamannya.
"Beliau khuatir keselamatannya diancam orang Yahudi memandangkan beliau adalah tokoh rahib Yahudi terkenal dan Rasulullah SAW. membenarkan permohonan Abdullah bin al-Salam untuk menyembunyikan keimanan beliau itu," katanya.
Sementara itu, Zul Ramli berkata, masyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan mualaf kerana mereka adalah golongan istimewa yang perlu diberikan perhatian.
"Mualaf adalah tanggungjawab saudara Islam yang lain untuk membela nasib dan kebajikan termasuk sokongan moral agar mereka tidak berasa dipinggirkan.
"Ia dapat memotivasikan mereka untuk terus mengukuhkan akidah dan iman mereka terhadap agama Islam," ujarnya.
Soal dosa dan masuk neraka bukan perkara utama yang perlu diterapkan kepada seorang muallaf. Hati mereka perlu terlebih dahulu dijinakkan dengan menerapkan soal tauhid kepada Allah dan perkara-perkara yang indah di dalam Islam.
Ustaz Zul Ramli Mohammad Razali
0 comments:
Post a Comment