Nasi Lemak jer..

Alhamdulillah kami anak beranak dah selesai bersarapan..Akhirnya saya masak nasi lemak jer..boleh di makan sampai lunch. Bunyi macam orang malas kan?Biarlah saya mengaku memang ya! Lagipun bukan selalu saya masak nasi lemak. Dalam sebulan adalah sekali dua itu pun kalau rajin sangat. Saya gunakan santan kotak yang free kolesterol. Nak lebih baik gunakan susu rendah lemak.Tapi yang sebenarnya nasi lemak yang menggunakan santan fresh lagi kaw kaw rasanya. Macam nasi lemak buatan mak mertua saya, ada UMMPH!! Lagi satu masalah makan nasi lemak ni,lepas makan mesti mengantuk.Arrggh...

Apa khabarlah suamiku di Laos. Makan atau tidak?Katanya susah juga nak mendapat makanan halal. Tapi, ada juga kedai India yang dikatakan muslim. Dapatlah juga dia menikmati masakan yang ala-ala kedai mamak di Malaysia.

Nak Masak apa?

Sebagai suri rumah,memasak merupakan aktiviti rutin wajib. Kalau bekerja ada juga alasan untuk beli makanan siap atau makan di luar. Setiap kali sebelum mula ke dapur, kepala mesti buntu memikirkan apakah menu untuk hari ini. Semua bahan telah siap sedia di dalam peti ais, namun nak masak ape? kalau hari-hari masak jenis masakan dan lauk yang sama sahaja mesti boring. Kalau bertanya pada suami mesti jawapannya "ikut lah.." atau "apa-apa lah"... kalau didesak juga untuk memberikan pendapat barulah terpacul dimulutnya apa yang boleh saya masak..

Hari minggu macam ni, bangun pagi-pagi kusut pula kepala memikirkan sarapan pagi yang nak dimasak. Nasi Lemak?Jemput bawang?atau ajak anak makan biskut cicah air milo sahaja? mihun pun ada. Eemmm...saya rasa mesti ramai suri rumah yang juga berfikiran seperti saya. Memasak memang senang, tetapi ada perkara lain yang turut diambil kira seperti
  • ia makanan yang berkhasiat (takkan hari-hari nasi lemak kan),
  • semua ahli keluarga mesti menggemarinya (supaya tidak perlu masak lebih 1 jenis untuk mengikut citarasa setiap orang) atau
  • masakan itu mesti dapat dihabiskan supaya tidak membazir. Kalau hanya ikut citarasa tukang masak, alamatnya gemuklah dia, sebab kalau orang lain tak mau makan terpaksa lah dia makan kesemuanya untuk mengelakkan membazir. Macam itu ke?
Hehehe jangan terasa! Sepatutnya ibu-ibu perlu tanya siap-siap waktu malam kepada semua orang apa mereka hendak makan untuk sarapan pagi. Nanti tidak perlu termenung selepas Subuh berfikir seperti saya. Ok saya pergi memasak dulu.Anak-anak pun dah bangun tidur dan menonton kartun kegemaran di televisyen. Sekejap lagi mesti lapar. Nanti saya beritahu apa yang saya masak.

Selamat Hari Lahir ke-16

Petang tadi saya menerima panggilan telefon dari adik yang bersekolah di Seri Puteri, Cyberjaya. Dia memberitahu hari ini sekolahnya membuat hari Anugerah Cemerlang untuk pelajar cemerlang PMR 2007. Dia salah seorang daripadanya kerana mendapat keputusan 8A. Kemudian, dia bertanya sama ada mahu saya mengucapkan sesuatu kepadanya.Saya tidak dapat meneka apakah ia. Rupa-rupanya hari ini ialah hari lahirnya yang ke-16.Itulah sebabnya dia menelefon hanya untuk satu ucapan penuh bermakna iaitu "Happy Birthday Fatimah!"...

>>> Blog Fatimah

Aktiviti hujung minggu # 3

Taman Metropolitan Kepong

Perjalanan ke Kepong mengambil masa hampir setengah jam.Apa menariknya di sini? sebelum sampai ke taman ini, dalam 1km kita sudah boleh melihat pemandangan yang amat cantik di ruang udara. Kelihatan seperti 'burung-burung' yang terbang berkawan. Banyak sekali. Namun, apabila sudah menghampiri pintu masuk, barulah kita mengecam rupa-rupanya 'burung' itu ialah layang-layang!

Terkenal sebagai tempat bermain-layang, Taman Metropolitan sering diserbu oleh peminat layang-layang dari semua lapisan kaum dan usia. Pelbagai corak layang-layang termasuk watak kartun kegemaran kanak-kanak seperti doraemon boleh di dapati di sini. Oleh sebab itu, kawasan letak kereta selalu penuh dan banyak kereta yang bersidai di tepi jalan sahaja.
Selain layang-layang, kita boleh bersiar-siar, berjogging dan kanak-kanak bermain di taman permainan. Bagi kaki pancing, tasik di sini juga adalah lubuk ikan yang menanti masa makan umpan. Apa-apa pun aktiviti yang penting menghabiskan masa hujung minggu bersama tersayang menjadikan hubungan lebih erat dan mengukuhkan kasih sayang.

(Gambar:Internet)

Aktiviti hujung minggu # 2

Taman Tasik Titiwangsa
Kami sekeluarga memang selalu membawa anak-anak bermain di taman permainan.Almaklumlah kanak-kanak, semua jenis permainan digemari dan ingin dicuba.Aktiviti memanjat paling mereka sukai kerana mencabar kewibawaan mereka.Cuma, ibu sahaja yang risau takut mereka terjatuh.Nanti anak menangis,ibu pun menangis sama.Biasanya kami akan pergi bersama-sama adik,kakak ipar dan anak-anaknya iaitu Nurul Izzati dan Mohd Firdaus.

Daya tarikan buat masa ini ialah Eye on Malaysia. Pada tahun lepas mereka semua merasa naik kecuali saya kerana pada masa itu saya sudah sarat mengandungkan Muhammad Salahuddin. Gerun juga membayangkan jika tiba-tiba sakit perut semasa berada di puncak. Apabila malam tiba, pengunjung dipertontonkan dengan persembahan bunga api yang amat menarik sekali.Sangat mengujakan terutama sekali anak-anak.

Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan pentas daripada artis di pentas pertunjukan.Jika hendak menunggang kuda juga disediakan perkhidmatan menunggang kuda atau menaiki kereta kuda.Anak-anak boleh menunggang kuda sendirian dengan dikawalselia oleh penjaga kuda. Jika menaiki kereta kuda, anda dapat menikmati pemandangan sekeliling. Aktiviti menarik yang lain di antaranya ialah mengayuh sampan atau menaiki jet ski di tengah tasik.Dengan bayaran berpatutan anda mampu mengecapi saat-saat indah bersama anak-anak.Kemudahan surau juga ada disediakan membolehkan kita mengerjakan solat walaupun semasa berseronok.


Keseronokan bermain membuatkan masing-masing penat dan bila pulang semua anak-anak tertidur di dalam kereta.
(Gambar:Internet)

Aktiviti hujung minggu #1

Jika ada kesempatan dan masa terluang, kami akan menghabiskan masa bersama-sama di taman permainan atau membeli belah. Selalunya shopping barang dapur sahaja.Walaupun begitu,anak-anak amat teruja kerana dapat membeli sendiri keperluan mereka seperti diapers dan susu, selain dapat memilih makanan kesukaan mereka seperti Coco crunch, ribena, biskut tiger, aiskrim dan calcium. Pasar raya kegemaran kami seisi keluarga ialah Giant dan Carrefour. Nak kata harga barang di sini lebih murah tidak juga. Mungkin disebabkan ia paling dekat dengan rumah. Jika hendak membeli pakaian barulah kami ke Jusco atau gedung yang lain.Kos hidup di Kuala Lumpur memang tinggi.Kalau hendak berjimat, suami akan keluar shopping seorang diri supaya ibu dan anak-anak tidak meminta lebih daripada budget.Kesian suamiku dia terpaksa mengangkat barang berat sendirian...

Kanak-kanak yang tidak mahu makan 3

Bagaimana hendak mengatasi masalah anak tidak mahu makan?

Beberapa perkara perlu difahami oleh ibu bapa. Perkara yang utama sekali ialah memastikan bahawa waktu makan berjalan dalam suasana yang mesra dan menggembirakan seisi keluarga terutamanya anak -anak.

Displin pada waktu makan adalah penting. Semakin si anak itu membesar, semakin perlu baginya mempelajari adab dan tatatertib makan. Ibu bapa jangan sekali-kali menggalakkan anak menyimpan makanan dalam mulut terlalu lama. Waktu makan yang cukup perlu diberikan kepada si anak. Jika dia mengambil masa yang terlalu lama sehingga ibu telah selesai mengemas dan membasuh pinggannya sendiri. Si anak akan sedar bahawa bermain-main atau menyimpan makanan dalam mulut diwaktu makan adalah merugikan.

Ibu bapa sebenarnya berasa khuatir anak mereka akan kelaparan dan jatuh sakit kerana kurang makan. Itulah sebabnya mereka sering memaksa si anak makan. Jika si anak tidak mahu makan, makanan yang disediakan seharusnya disimpan didalam almari makan. Apa yang perlu disedari oleh ibu bapa ialah pada akhirnya, anak itu sendiri akan meminta makanan apabila dia lapar. Tujuan kita adalah untuk mendidik anak supaya mempunyai kelaziman makan baik.

Adakalanya, si ibu memberikan vitamin atau ubat penggalak makan (appetizers) seperti periactin supaya anaknya lebih berselera makan. Sukar untuk ditentukan kanank-kanak yang bagaimana yang bertambah selera makannya dengan mengambil vitamin atau ubat penggalak makan. Pada pendapat saya, perkara yang paling penting untuk menggalakkan sianak makan ialah strategi keibubapaan yang berkesan. Walau bagaimanapun, ini tidak mengambil kira unsur-unsur penyakit yang memerlukan rawatan perubatan.

Kesimpulan
Manusia, termasuk kanak-kanak memerlukan makanan. Tidak perlulah digunakan paksaan ke atas kanak-kanak kerana setiap kali dia lapar, dia sendiri akan mencari makanan. Oleh itu, perbuatan memujuk, merayu, memberi rasuah, mengancam, memukul, mengekori anak sekeliling rumah dan sebagainya semata-mata hanya untuk memberi anak makan bukanlah suatu tindakan yang bijak. Semua ini membazir waktu dan tenaga sahaja.

Kanak -kanak sebenarnya sukakan perhatian. Dia akan menunjukan berbagai-bagai ragam untuk mendapatkan perhatian. Asuhlah dia supaya berdisplin sewaktu makan dan tidak banyak karenah.

Sumber:
Laman web Dr.Hamid Arshat

Artikel berkaitan:

Kanak-kanak yang tidak mahu makan 1

Kanak-kanak yang tidak mahu makan 2
Susu Pediasure: Benarkah menggalakkan selera makan

Kanak-kanak yang tidak mahu makan 2

Bagaimana keadaan ini boleh wujud ?
Keadaan ini wujud kerana berbagai -bagai faktor. Sianak mungkin memang bertubuh kecil sejak di lahirkan. Walaupun dia membesar dengan kadar yang normal , tetapi ibunya masih menganggap dia kurang subur dan oleh itu mahukan anaknya lebih banyak makan. Si anak pula tidak perlu banyak makan dan jarang pula terasa lapar. Dia ingin melakukan aktiviti -aktiviti lain yang lebih menyeronok kan. Jika ibu bapa memaksa si anak makan juga, ketengangan pasti akan berlaku.
Pada peringkat bayi, masalah anak tidak mahu makan jarang berlaku kecuali jika dia tidak sihat.Tetapi, apabila usianya meningkat satu tahun lebih dan sudah boleh berjalan, dia ingin menerokai alam sekeliling.Dia ingin bermain dengan benda -benda yang terdapat dalam rumahnya dan kadangkala tidak menghiraukan waktu makan. Si ibu mungkin merasakan bahawa waktu penyusuan atau makan sudah tiba tetapi si anak tidak berminat. Dia akan membantah dan tetap berdegil tidak mahu makan. Jika si bu terus merayu, memujuk dan juga memaksa, ketegangan pasti akan berlaku.
Memaksa seseorang kanak-kanak itu makan akan menyulitkan lagi keadaan. Bak kata perpatah, kita boleh menarik kuda pergi ke tempat yang ada air tetapi dua puluh orang pun tidak boleh memaksanya minum. Si anak pula sedar bahawa dia boleh membantah , menolak pinggan makanan , menyimpan makanan dalam mulut tanpa menguyahnya , meluahkan makanan keluar dan berbagai-bagai cara lagi untuk menghampakan ibu bapanya. Dia sedar bahawa dia akan mendapat perhatian yang lebih pada waktu makan. Alangkah seronoknya si anak apabila ibu bapanya bermain-main dengannya bercerita sambil membacakan buku , berjoget dan merayu-rayu kepadanya.
Adakalanya, kanak-kanak yang berusia yang berusia lebih daripada satu tahun minum susu tetapi ibu bapanya terus memaksa. Akibatnya ,timbullah ketegangan. Ada kanak -kanak yang tidak sesuai minum susu tepung kerana mudah diserang sakit. Keadaan ini boleh berlaku jika si anak mempunyai kurang enzim lactase di bdalam dinding ususnya. Akibatnya, dia mungkin mengalami cirit atau sakit perut. Jika si anak menggalami cirit, si ibu biasanya akan terus mendapatkan rawatan bagi anaknya tanpa meyedari bahawa sakit itu berpunca daripada susu tersebut. Masalah akan berulang apabila si ibu memberikan anaknya susu tepung.
Apabila mencapai usia dua tahun, kebanyakan kanak -kanak sudah mula mahu melakukan sesuatu aktiviti dengan sendiri. Dia ingin memegang sudu dan makan sendiri walaupun lantai atau meja bersepah -sepah dengan makanannya. Jika ibu tidak sabar dan ingin segera memberi anaknya makan supaya dia dapat mengemas dan membuat kerja -kerja rumah yang lain , si anak mungkin membantah dan tidak mahu makan.
Jika si anak sentiasa dipaksa untuk makan dan dipukul pula jika tidak mahu makan, dia mungkin akan membenci waktu makan. Dia akan menganggap waktu makn suatu waktu yang amat tidak menyeronokkan. Dia akan mula membenci makanan. Adakalanya, kanak -kanak seperti ini menangis setiap kali makanan dihidangkan di hadapannya.
Anak yang sentiasa tidak gembira dan kurang mesra dengan ibu bapa atau penjaganya akan mempunyai selera makan yang kurang. Dia akan kurang makan dan berat badannya tidak akan meningkat dengan baik.

Sumber:
Laman web Dr.HAmid Arshat


Susu Pediasure: Benarkah menggalakkan selera makan

Kanak-kanak yang tidak mahu makan 1

Antaranya masalah-masalah yang biasa ditemui diklinik kanak-kank ialah masalah kanak-kanak yang tidak mahu makan. Ibu bapa sering mengeluh anak mereka tidak mahu makan. Antara keluhan-keluhan yang biasa didengari ialah:

"Anak saya tidak mahu makan. Susah hendak menyuruh dia makan dan dia pula sangat memilih orangnya."

"Walaupun puas dipujuk, dirayu dan dihidangkan dengan berbagai-bagai jenis makanan, dia tetap tidak mahu makan. Tetapi, dia sangat aktif dan suka bermain-main serta berlari-lari sepanjang masa.

" Dia terlalu kecil jika dibandingkan degan kanak-kanak yang sebaya dengannya. Kemungkinan dia menghidap penyakit yang menyebabkan dia tidak mahu makan".

"Dia tidak membesar, terlalu kerdil dan kurus pula".

Berbagai-bagai keluhan lagi yang didengari. Ibu bapa sering berasa risau terhadap keadaan anak mereka dan ingin tahu sama ada si anak menghidap sesuatu penyakit yang perlukan rawatan segera doktor.

Untuk mengetahui bagaimana keadaan ini boleh wujud, riwayat kanak-kanak tersebut perlulah diambil secara terperinci dengan bantuan ibu bapa. Pertemuan yang singkat diantara ibu bapa dan doktor biasanya tidak membolehkan doktor berkenaan melakukan pemeriksaan yang terperinci dan seterusnya memperoleh riwayat yang diperlukan. Oleh itu, dia tidak akan dapat menjelaskan dengan memuaskan bagaimana keadaan yang dialami oleh sianak boleh timbul. Seterusnya , dia tidak akan dapat memberikan cadangan-cadangan yang bernas yang dapat diterima oleh ibu bapa bagi melegakan perasaan mereka.

Berbagai-bagai cara mungkin telah dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka makan. Ada yang memujuk, merayu, berleter, memarahi dan mengugut anak mereka. Ada pula ibu bapa yang menggunakan strategi-strategi lain seperti menyanyi, bercerita, memukul gendang dan tidak kurang pula yang berjoget setiap kali makanan berjaya disuapkan kemulut sianak. Ada juga ibu yang mengekori anaknya keliling rumah sambil memegang mangkok berisi makanan. Banyaklah masa dihabiskan semata-mata untuk memastikan yang sianak makan.

Ada juga ibu bapa yang memberi 'rasuah' kepasa sianak supaya makan. Mereka berjanji akan memberikan aiskrim , gula -gula atau membawa anak menonton wayang jika dia mahu makan. Ada pula ibu bapa yang berjanji akan membenarkan anak mereka menonton televisyen hingga lewat malam jika dia boleh menghabiskan makanannya.

Jika si anak masih tidak mahu makan , ibu atau bapa akan memgugut untuk membawanya ke klinik berjumpa doktor. Anak yang berasa takut dengan ugutan sebegini mahu tidak mahu terpaksa makan juga akhirnya. Seorang ibu yang pernah saya temui menyatakan bagaiman rumitnya memberi anaknya makan sehinggakan dia hilang sabar lalu memicit hidung anaknya dan memasukkan makanan ke dalam mulut si anak dengan sudu. Si anak pula bertindak meluahkan kembali makanan itu.

Ada pula ibu yang memukul anaknya dengan tali pinggang jika dia tidak makan. Tindakan keterlaluan seperti ini mestilah dielakkan sama sekali. Waktu makan perlulah merupakan satu waktu untuk seisi keluarga bermesra sambil menikmati hidangan . Waktu makan yang penuh ketengan tidak akan menggembirakan kedua -dua belah pihak dan hanya mematikan selera sahaja.

Sumber:
Laman web Dr.Hamid Arshat

Punca Anak Menderhakai Ibubapa

Artikel ini banyak dijumpai di laman bloggers kita dan juga forum. Saya ingin kredit artikel ini kepada blog ini >>>http://soleh.net/2007/09/19/apa-punca-anak-derhaka/

Sabda Rasulullah s.a.w. :

“Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”

Dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya, bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif, itu salah.

Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka. Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.

Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.

Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup.

Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka. Inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita.
  • Doa anak-anak termakbul
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.

Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, sudah tentu membawa padah.

  • Bertaubat sebelum melarat
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini.

Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu? Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.
  • Hubungan dengan bapa
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa. Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.

Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.
  • Usah derhaka kepada mentua
Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? Ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau suami sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.

Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail.

Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru.

Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismal berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Ada 501 tips yang diberikan oleh penulis iaitu Robert D. Ramsey untuk mempertingkatkan potensi anak-anak kita dan seterusnya menempatkan anak-anak kita dikalangan winners.

Tips ini juga jika diamalkan mampu menjadikan anak-anak kita sebagai winners (pemenang). Penulis berpendapat apa yang membezakan antara winners dan losers adalah mudah iaitu:-

Winners percayakan diri mereka dan boleh membayangkan diri mereka di kalangan orang yang berjaya sementara losers merasakan diri mereka tidak boleh.

Tips:
  1. Mulakanlah hidup anak kita dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak malu dan merasa rendah diri. Dalam Islam sendiri, nama panggilan yang baik adalah digalakkan.
  2. Berikan anak kita pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.
  3. Pandanglah anak kita dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak kita lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran.
  4. Berikan peneguhan setiap kali anak kita berbuat kebaikan. Berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.
  5. Janganlah mengharapkan anak kita yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
  6. Apabila kita berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga. Seorang penulis menyatakan bahawa anak-anak akan terus membesar, tetapi masalah kerja itu selalunya akan terus berlalu dan tak akan kembali.
  7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah kita mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.
  8. Dengarlah cerita anak kita. Cerita itu tak akan dapat kita dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran kita untuk bercakap. Ini akan mengajar anak kita tentang giliran untuk bercakap.
  9. Tenangkan anak kita setiap kali mereka memerlukan ketenangan.
  10. Tunjukkan kepada anak kita bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.
  11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut hari lahirnya. Sediakanlah hadiah hari lahir yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak kita belajar menghargai. Anak-anak yang datang daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain.
  12. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.
  13. Luangkanlah masa bersama anak kita di luar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila kita berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan kita suami isteri.
  14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak kita. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.
  15. Hargailah permainan kesayangan anak kita. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan kita. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
  16. Janganlah membiarkan anak-anak kita tidur tanpa ciuman selamat malam .
  17. Terimalah yang kadang kala kita bukanlah ibu bapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi kita sebagai ibu bapa.
  18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.
  19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang kita pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak kita pula mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.
  20. Ingatlah, anak-anak juga mempunyai perasaan seperti kita.

Keletah 2









Webcam penghubung kasih sayang

Bulan ini menyaksikan lagi saya dan anak-anak ditinggalkan suami untuk ke luar negara bekerja. Kali ini dia ke Laos untuk tempoh yang lebih lama berbanding sebelumnya. Suamiku tercinta bertolak pada 6 April lalu dan sepatutnya pulang esok. Namun ada beberapa urusan yang belum selesai dan menyebabkan dia melanjutkan masa berada di sana. Sedih juga, tetapi demi rezeki kami mendokan abang dapat menjalankan amanah dengan tanggungjawab dan semoga Allah mempermudahkan segala urusan kerja di sana dan dapat balik cepat!!!!

Dalam kerinduan hidup berjauhan, kemudahan Internet memberi kami ruang untuk berhubung. Yahoo Messangger menyediakan ruang bukan hanya untuk bersembang, malah melihat wajah tersayang. Anak-anak juga dapat melihat abah mereka bekerja.

Sukaneka Tadika Hasanah 2008

Ini pertama kali Muhammad Luqman menyertai sukaneka.Walaupun masih janggal,dia telah mencuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik.Ibu mendoakan anak ibu akan lebih berjaya di masa akan datang dan menjadi contoh tauladan kepada adik-adik yang lain.Insya Allah!

Selamat Pengantin Baru adikku!














Alhamdulillah pada 7 Mac lalu adik saya Aini telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya Solehhuddin. Majlis berjalan lancar dan semua orang gembira dan bersyukur kerana sebuah lagi 'masjid' dapt dibina. Semoga keduanya dapat menguruskan rumahtangga yang bahagia dunia akhirat, serta dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh Allah swt.

Kepada Soleh, selamat datang ke dalam keluarga kami. Semoga dapat menjaga adik Ngah dan bakal anak-anak saudara Ngah dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Insya Allah. Amin....