Kanak-kanak yang tidak mahu makan 3

Bagaimana hendak mengatasi masalah anak tidak mahu makan?

Beberapa perkara perlu difahami oleh ibu bapa. Perkara yang utama sekali ialah memastikan bahawa waktu makan berjalan dalam suasana yang mesra dan menggembirakan seisi keluarga terutamanya anak -anak.

Displin pada waktu makan adalah penting. Semakin si anak itu membesar, semakin perlu baginya mempelajari adab dan tatatertib makan. Ibu bapa jangan sekali-kali menggalakkan anak menyimpan makanan dalam mulut terlalu lama. Waktu makan yang cukup perlu diberikan kepada si anak. Jika dia mengambil masa yang terlalu lama sehingga ibu telah selesai mengemas dan membasuh pinggannya sendiri. Si anak akan sedar bahawa bermain-main atau menyimpan makanan dalam mulut diwaktu makan adalah merugikan.

Ibu bapa sebenarnya berasa khuatir anak mereka akan kelaparan dan jatuh sakit kerana kurang makan. Itulah sebabnya mereka sering memaksa si anak makan. Jika si anak tidak mahu makan, makanan yang disediakan seharusnya disimpan didalam almari makan. Apa yang perlu disedari oleh ibu bapa ialah pada akhirnya, anak itu sendiri akan meminta makanan apabila dia lapar. Tujuan kita adalah untuk mendidik anak supaya mempunyai kelaziman makan baik.

Adakalanya, si ibu memberikan vitamin atau ubat penggalak makan (appetizers) seperti periactin supaya anaknya lebih berselera makan. Sukar untuk ditentukan kanank-kanak yang bagaimana yang bertambah selera makannya dengan mengambil vitamin atau ubat penggalak makan. Pada pendapat saya, perkara yang paling penting untuk menggalakkan sianak makan ialah strategi keibubapaan yang berkesan. Walau bagaimanapun, ini tidak mengambil kira unsur-unsur penyakit yang memerlukan rawatan perubatan.

Kesimpulan
Manusia, termasuk kanak-kanak memerlukan makanan. Tidak perlulah digunakan paksaan ke atas kanak-kanak kerana setiap kali dia lapar, dia sendiri akan mencari makanan. Oleh itu, perbuatan memujuk, merayu, memberi rasuah, mengancam, memukul, mengekori anak sekeliling rumah dan sebagainya semata-mata hanya untuk memberi anak makan bukanlah suatu tindakan yang bijak. Semua ini membazir waktu dan tenaga sahaja.

Kanak -kanak sebenarnya sukakan perhatian. Dia akan menunjukan berbagai-bagai ragam untuk mendapatkan perhatian. Asuhlah dia supaya berdisplin sewaktu makan dan tidak banyak karenah.

Sumber:
Laman web Dr.Hamid Arshat

Artikel berkaitan:

Kanak-kanak yang tidak mahu makan 1

Kanak-kanak yang tidak mahu makan 2
Susu Pediasure: Benarkah menggalakkan selera makan

0 comments: