Kanak-kanak yang tidak mahu makan 1

Antaranya masalah-masalah yang biasa ditemui diklinik kanak-kank ialah masalah kanak-kanak yang tidak mahu makan. Ibu bapa sering mengeluh anak mereka tidak mahu makan. Antara keluhan-keluhan yang biasa didengari ialah:

"Anak saya tidak mahu makan. Susah hendak menyuruh dia makan dan dia pula sangat memilih orangnya."

"Walaupun puas dipujuk, dirayu dan dihidangkan dengan berbagai-bagai jenis makanan, dia tetap tidak mahu makan. Tetapi, dia sangat aktif dan suka bermain-main serta berlari-lari sepanjang masa.

" Dia terlalu kecil jika dibandingkan degan kanak-kanak yang sebaya dengannya. Kemungkinan dia menghidap penyakit yang menyebabkan dia tidak mahu makan".

"Dia tidak membesar, terlalu kerdil dan kurus pula".

Berbagai-bagai keluhan lagi yang didengari. Ibu bapa sering berasa risau terhadap keadaan anak mereka dan ingin tahu sama ada si anak menghidap sesuatu penyakit yang perlukan rawatan segera doktor.

Untuk mengetahui bagaimana keadaan ini boleh wujud, riwayat kanak-kanak tersebut perlulah diambil secara terperinci dengan bantuan ibu bapa. Pertemuan yang singkat diantara ibu bapa dan doktor biasanya tidak membolehkan doktor berkenaan melakukan pemeriksaan yang terperinci dan seterusnya memperoleh riwayat yang diperlukan. Oleh itu, dia tidak akan dapat menjelaskan dengan memuaskan bagaimana keadaan yang dialami oleh sianak boleh timbul. Seterusnya , dia tidak akan dapat memberikan cadangan-cadangan yang bernas yang dapat diterima oleh ibu bapa bagi melegakan perasaan mereka.

Berbagai-bagai cara mungkin telah dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka makan. Ada yang memujuk, merayu, berleter, memarahi dan mengugut anak mereka. Ada pula ibu bapa yang menggunakan strategi-strategi lain seperti menyanyi, bercerita, memukul gendang dan tidak kurang pula yang berjoget setiap kali makanan berjaya disuapkan kemulut sianak. Ada juga ibu yang mengekori anaknya keliling rumah sambil memegang mangkok berisi makanan. Banyaklah masa dihabiskan semata-mata untuk memastikan yang sianak makan.

Ada juga ibu bapa yang memberi 'rasuah' kepasa sianak supaya makan. Mereka berjanji akan memberikan aiskrim , gula -gula atau membawa anak menonton wayang jika dia mahu makan. Ada pula ibu bapa yang berjanji akan membenarkan anak mereka menonton televisyen hingga lewat malam jika dia boleh menghabiskan makanannya.

Jika si anak masih tidak mahu makan , ibu atau bapa akan memgugut untuk membawanya ke klinik berjumpa doktor. Anak yang berasa takut dengan ugutan sebegini mahu tidak mahu terpaksa makan juga akhirnya. Seorang ibu yang pernah saya temui menyatakan bagaiman rumitnya memberi anaknya makan sehinggakan dia hilang sabar lalu memicit hidung anaknya dan memasukkan makanan ke dalam mulut si anak dengan sudu. Si anak pula bertindak meluahkan kembali makanan itu.

Ada pula ibu yang memukul anaknya dengan tali pinggang jika dia tidak makan. Tindakan keterlaluan seperti ini mestilah dielakkan sama sekali. Waktu makan perlulah merupakan satu waktu untuk seisi keluarga bermesra sambil menikmati hidangan . Waktu makan yang penuh ketengan tidak akan menggembirakan kedua -dua belah pihak dan hanya mematikan selera sahaja.

Sumber:
Laman web Dr.Hamid Arshat

0 comments: