Tahun Baru

Setelah berbulan berehat menulis, hari baru di tahun baru 2011 ini aku kembali! Laman blog aku berwajah baru juga! Aku harap dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang ada dalam penulisan terdahulu.

Beberapa rakan tertanya-tanya juga kemanakah hilangnya aku dalam beberapa bulan ini. Ada, tak kemana-mana pun! Cuma mengasingkan diri sebentar untuk memberi ruang kepada keluarga dan melapangkan masa untuk menguruskan masalah yang telah melanda keluarga kami beberapa bulan yang lalu.

Masalah? Sebenarnya ia bukan masalah. Lebih tepat musibah yang terkandung 1001 hikmah yang datang menguji diri untuk menjadi manusia yang lebih baik, dan matang dalam bertindak. Semoga Allah memberi pahala kepada kesabaran kami dan keredhaan kami serta menggantikan kehilangan kami dengan suatu yang lebih baik dan bermanfaat untuk semua di hari akan datang.

Maaf belum bersedia untuk bercerita lanjut. Mungkin suatu hari yang paling lapang aku akan menulis dengan panjang setiap kejadian tersebut. Sempena tahun baru ini, tiada azam yang hendak dikongsikan kerana saban tahun cakap banyak pun tiada satu yang berjaya terlaksana 100%. Betul, kita hanya merancang Allah yang menentukan, tetapi jika tiada usaha masakan akan berjaya! Dah berusaha tetapi tak berjaya? Huh, itu tandanya bukan berusaha tetapi buat sekadar melepas batuk ditangga.

Untuk semua, aku mendoakan kebaikan dan rahmat Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang akan sentiasa terus-terusan mencurahi kita. Walaupun dilanda masalah dan musibah, orang selalu cakap pada kita, " sabarlah...ada hikmah disebaliknya....". Hakikat sebenar, bagi kita yang menanggung tiada yang lebih baik selain redha atas ketentuan Allah dan meningkatkan amalan kepada-Nya supaya sabar kita itu sentiasa berterusan...berterusan dan semakin meningkat tahapnya. Pada satu tahap, sabar ada hadnya. Syukur jika ia di tahap tertinggi. Namun, jika di tahap bawah, seseorang mungkin akan tersasar dan kecundang dalam masalah tersebut. Alhamdulillah pada ketika ini aku ada orang-orang yang baik sentiasa memberikan sokongan moral dan nasihat. Syukur juga kerana Allah tidak membiarkan aku kecundang dalam gelap seorang diri!

Bagi aku, perjalanan hidup kita ini menuju ke dua arah. Sama ada jalan yang lurus (Allah) atau jalan yang sesat. Ujian demi ujian akan ditempuhi untuk menuju jalan yang lurus. Sedangkan untuk menuju jalan yang sesat amat mudah dan sentiasa terbuka luas pintunya. Sedangkan jalan yang lurus sebenarnya lebih luas tetapi menjadi sempit disebabkan pandangan mata manusia yang sesat dan buta hati. Tatkala merenung nasib sendiri yang ditimpa musibah, kita tidak sedar rupa-rupanya ada insan lain yang lebih susah nasibnya, lebih menderita sakitnya, lebih miskin hartanya, lebih perit ujian menimpanya dan sebagainya. Paling bahagia, disebalik kesusahan yang aku alami terselit kemudahan dan nikmat yang tiada terputus dari-Nya. Moga anda juga dapat merasakan begitu dan tabah dalam menerima ujian Ilahi.

Terima Kasih tidak terhingga buat *SEMUA yang menyokong selama ini dan menghulurkan bantuan. Terima kasih juga atas doa-doa dan ucapan semangat buat kami sekeluarga. Moga Allah yang dapat membalas jasa baik tuan/puan semua sewajarnya. Insha Allah.

Kesempatan ini juga aku memohon maaf jika ada terkasar bahasa, tersilap perbuatan dan bersikap berahsia. Bukan tidak mahu berkongsi cuma memerlukan waktu untuk bertenang. Akhir kata, selamat tahun baru 2011 dan selamat membaiki diri menjadi lebih baik. Berusahalah, selagi ada mampu, sementara sehat mental dan fizikal, dan selagi nyawa dikandung badan.

*SEMUA - ibubapa, adik beradik, kawan-kawan dan jiran tetangga. Maaf tak dapat nak sebut nama setiap orang. Ramai sangat......Terima kasih yaaaa :)

0 comments: