Risau di hati, cabaran menanti....

Bukan lagi sesuatu yang luar biasa bagi kita di Malaysia mendengar remaja mengadakan hubungan kelamin atau seks sebelum kahwin. Kebelakangan ini pula, kita diberitakan semuda usia 10 tahun atau mungkin lebih muda dari itu telah terjebak dalam hubungan terlarang ini. Dengan pemikiran yang naif, tidak terfikir pula bagaimana semuda usia itu anak-anak remaja kita dan lebih-lebih lagi beragama Islam sudah mampu melakukannya. Nauzubillahu min zalik!

Malang sekali jika generasi akan datang yang dilapisi oleh golongan ini sudah awal-awal lagi rosak akhlak dan pemikiran mereka. Tidak sanggup untuk memikirkan bagaimana mereka semakin cekap dalam hal-hal sebegini berbanding kita pada zaman kanak-kanak dan bergelar remaja dahulu. Adakah ibubapa masa kini begitu jahil dalam mendidik anak-anak mereka atau dipengaruhi oleh teknologi semasa dan media tanpa sekatan. Penggunaan Internet juga salah satu ruang yang menyediakan pelbagai informasi dalam sekelip mata sahaja. Bagaimana pun, ia bukanlah alasan bagaimana kita sebagai ibu bapa boleh melepaskan pandangan dari mengawal aktiviti anak-anak terutama yang mempunyai talian Internet di rumah melainkan, mereka mendapatkannya di luar rumah seperti di kafe siber.

Pengalaman saya bekerja di sebuah kafe siber, membuktikan anak-anak muda mudah terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti sebegini. Bukan setakat golongan pelajar menengah, malah ada di antaranya masih dibangku sekolah rendah telah terlibat sama. Bukan tidak menghalang, tetapi sebagai pekerja biasa tiada apa yang dapat dilakukan melainkan pandang dan lihat. Terasa juga malu, tetapi saya buat tak tahu juga akhirnya. Kadang-kadang terfikir sama ada duit gaji yang saya perolehi itu berkat atau tidak...

Mempunyai anak-anak yang meningkat usia terdetik juga rasa risau bagaimanakah mereka menjelang usia remaja nanti. Cabaran ibu bapa pada zaman sekarang lebih besar dan hanya ilmu keibubapaan dan didikan agama yang kuat dapat membendung gejala mungkar ini. Namun segalanya terserah juga kepada anak-anak itu apabila mereka sudah baligh dan mampu membezakan baik buruk sesuatu. Anak yang sudah dewasa juga sudah tidak mampu kita kawal dan hanya kepada Allah jua kita bertawakal. Yang penting semasa mereka di bawah umur, sebagai ibubapa kita harus berusaha sebaik mungkin mendidik anak-anak supaya mereka menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa......Sesungguhnya seseorang yang beriman itu tidak akan melakukan kejahatan dan kemungkaran selagi iman mereka masih teguh dan mementingkan keluarga terutama perasaan ibu bapa sebelum bertindak mengikut perasaan.

Bercakap tentang seks, rasanya ibu bapa masakini lebih terbuka untuk bercakap tentang seks dengan anak-anak. Kita mungkin tidak lagi hanya mengharapkan guru-guru akan mengajar di dalam subjek sains di sekolah. Namun, kita selalu tertanya pada usia anak berapakah sesuai untuk kita ajar mereka pendidikan seks? Di antara ibu dan bapa, siapakah paling layak bercakap dengan anak-anak tentang seks? Bermacam-macam lagi pertanyaan yang timbul, malah di akhirnya kita terus tertanya tanpa mendapat jawapan atau mencari jawapan.

Kali ini saya ingin berkongsi satu lagi artikel menarik untuk panduan mereka yang bergelar ibu bapa.... Let's talk about sex, hasil tulisan Briggite Rozario. Selamat membaca dan menambah ilmu!

0 comments: