Kebelakangan ini dia agak asyik dengan permainan online di nickjr.com. Terdapat bermacam-macam permainan mengikut siri kartun tv yang boleh membantu merangsang daya kreativiti dan otak anak kita. Laman berbahasa Inggeris tersebut juga secara tidak langsung menambah perbendaharaan kata bahasa Inggeris mereka. Namun, susah juga jika terlampau asyik dan leka. Alhamdulillah setakat ini aku boleh lagi mengawal kerana ia menjadi suatu ganjaran yang hanya akan diberikan jika berjaya melakukan sesuatu atau selepas melaksanakan arahan ibu dan abah. Hehe, tapi bila sudah diberikan peluang, hero bertiga ini akan mula berebut peluang menjadi orang pertama menggunakan komputer. Lalu, apa yang abah mereka cadangkan ialah berdasarkan jam di komputer mereka akan memastikan dari jam ke jam berikutnya adalah waktu untuk Luqman, berikutnya Almustofa dan akhir sekali Salahuddin. Kadang-kadang ada juga terbabas waktu, tetapi dengan kerjasama dan toleransi sesama mereka semua masalah dapat diatasi. Kelakar juga, sebab pengaruh kartun ini boleh mengundang pembelajaran positif (wonder pets-bekerjasama) atau sebaliknya.
Teringat semasa aku kecil-kecil dahulu (sekolah rendah) emak selalu membewa ke khutub khanah desa untuk meminjam buku cerita. Emak dan abah memang menggalakkan aku membaca buku sehingga ia menjadi hobi nombor 1. Antara buku kanak-kanak yang masih aku ingat ialah koleksi cerita Sang Kancil, cerita dongeng dan siri Tidurlah Intan memang aku minati. Naik tahap dua (darjah 4-6) siri cerita penyiasatan seperti 7 penyiasat, 5 penyiasat, anak-anak Hadi (Hardy boys) dan Nancy Drew pula menjadi pilihan. Masih kuingat, aku dan kawan-kawan suka menyorokkan buku cerita yang menarik untuk dibaca dan dipinjam di bahagian rak buku yang agak kurang pembacanya. Ini kerana dihadkan jumlah buku cerita yang boleh dipinjam dalam satu-satu masa. Begitupun mempunyai hobi suka membaca ini tidak pernah pula melayakkan aku menjadi peminjam buku terbanyak di sekolah. Huhu...
Setelah gugel beberapa kali di Internet, aku jumpa laman kanak-kanak online berbahasa Melayu yang mengandungi pelbagai koleksi cerita kanak-kanak seperti yang aku gemari ketika kecil dahulu. Terdapat juga permainan dan lagu kanak-kanak untuk dimuat turun. Para ibu bapa juga boleh melayari bersama anak-anak untuk menarik minat mereka membaca secara interaktif selain bermain permainan yang disediakan. Klik di sini. Menerusi Internet, aku ada alternatif lain untuk menggalakkan anak-anak membaca. Walaupun tidak dapat membawa mereka ke perpustakaan, harap masa-masa bersama ini terpahat dalam memori mereka seperti saat aku dan emak membelek buku cerita bersama-sama.....
Antara laman kanak-kanak lain yang menarik dilayari ialah:
Fisher-price.com
Literacycenter.net
Arabic