Macam-macam hari ini

Alhamdulillah berita melaporkan index kualiti udara hari ini semakin baik. Mana taknya semalam hujan lebat ribut petir di KL ni. Anak-anak sibuk tengok hujan di luar tingakap. Pemandangan kabur....Tak tahulah di tempat orang, kat apartmen aku ni masa hujan lebat tu, habis barang-barang orang yang tinggal di tingkat atas jatuh ke bawah. Apa lagi ting tong lah bunyi bising. Dekat jalan raya terutama di MRR2 Hulu Kelang menuju Ampang jalan sudah jam giler. Dekat Lebuhraya DUKE pula, ada sebuah kereta rosak. Jalan raya dekat bawah rumah kami ada pokok tumbang. Salah satu melintang di tengah jalan. Apa lagi, ada manusia bijak sikit 'konar' jalan sebelah melawan arus. Nasib baik pengguna bertoleransi faham makna berkongsi jalan ketika waktu susah.

Sekarang memandangkan musim orang demam, batuk dan selsema termasuk jangkitan H1N1. Malaysia sahaja semakin hari bertambah rekodnya. Kebetulan anak-anak pun demam, batuk dan selsema. Di kampung, satu rumah semua demam, batuk dan selsema sejak balik dari KL hari tu. Anak-anak, bermula dengan Luqman (batuk+selsema), kemudian Almustofa demam. Berikutnya Salahuddin demam dan selsema. Semalam time untuk monthly checkup dengan Dr. Wan. Apa lagi bawa semuanya turun padang ke Klinik Famili. Kami pergi awal dan dapat giliran pun awal. Selepas itu sempat hantar Luqman ke sekolah tadika.

Alhamdulillah semuanya demam, batuk dan selsema biasa. Tak serius dan selepas makan ubat hari ini sudah makin ok. Berbanding Luqman, dia masih batuk-batuk. Mungkin sebab dia bersekolah dan banyak menghirup udara luar berbanding adik-adik yang banyak menghabis waktu di dalam rumah. Pertemuan dengan Dr. Wan semalam mungkin yang terakhir sebab selepas ini aku akan chekup untuk trimester akhir dengan doktor lain pula. Dr. Wan menegur hubby yang makin kurus. Apalagi dia mengambil kesempatan menyuruh hubby buat pemeriksaan darah. Mana tahu kalau-kalau ada kencing manis katanya. Alhamdulillah normal. Mungkin faktor keletihan dan makan yang kadang-kadang tak tentu masa menyebabkan beratnya berkurang 7kg. Tidak pasti sejak bila, tetapi kali akhir tahun lepas timbang berat dia 65kg. Huhu..kalau lah aku yang kurus ceng gitu seronok sungguh...(mode: berangan :D )

Sebenarnya ramai sangat yang tegur dia semakin kurus. Jangan kata aku tak bagi makan cukup sudahlah. Hari-hari kalau tiada aral mesti buatkan bekal untuk dibawak ke pejabat. Teringat mak cik Rahimah (emak kawan baik aku, Sh.Laily yang juga pernah sama-sama bekerja dengan kami dahulu) mesti bangun awal pagi sebelum Subuh untuk menyiapkan sarapan untuk keluarga dia sebelum pergi pejabat. Kagum sungguh aku! Moga mak cik sehat selalu hendaknya. Minta maaf, tempoh hari lupa nak ucap selamat hari lahir ke-53 (kot) pada 14 Jun.

Semalam adik-adik aku sibuk sms bertanya sama ada jadi atau tidak balik Raub minggu ni. Insya Allah nak buat sedikit baca doa selamat untuk keselamatan adik aku Mamat. Alhamdulilllah, tadi telefon dia ternyata semakin ceria dan kembali macho suaranya. Walaupun belum pulih sepenuhnya, kami berasa kesyukuran kepada Allah yang amat sangat. Jadualnya malam ini mak dan abah nak hantar pulut kuning dan rendang ke masjid. Alaaa.. tak sempatlah nak balik hari ini. Insya Allah esoklah kami semua balik...Kepada Has yang hendak balik ke Seremban, berhati-hati di jalan raya ok. Nak sambut hari jadi anaknya Aniq Ilham yang genap berusia setahun pada 24 Jun lepas. Berhati-hati di jalan raya ok. Semoga selamat pergi dan balik Temerloh.

Luqman bawa balik rekod kemajuan prestasi aka buku report peperiksaan. Alhamdulillah dapat no.15/27 orang pelajar. Semua subjek dapat 'A' dengan peratusan 89.4%. Namun, penilaian keseluruhan sahsiah tidak berapa cemerlang. Bab ini aku memang faham sangat-sangat, sebab itu aku suka berleter dengan dia, tapi dia buat dek sahaja...Dahulu aku ingat Luqman ni ada masalah dyslexia sehingga aku terfikir untuk berjumpa pakar. Memandangkan dalam sebulan lepas (tempoh yang aku sendiri bagi untuk menilai kemajuan diri dia) banyak peningkatan dari segi pembelajaran, jadi, aku putuskan sendiri dia bukan seorang dyslexia. Masalah dia (yang aku risau sangat-sangat) itu mungkin berpunca dari kurangnya latihan dan fokus. Alhamdulillah dengan tumpuan lebih dan keyakinan diri dia mampu melakukannya! Ibu abah sentiasa mendoakan kejayaan buat anak-anak bukan sahaja di dunia, malah juga kejayaan di akhirat.
Insya Allah, Amin.

Kini kita sudah berada di bulan Rejab yang mulia. Ramai yang mula berpuasa sunat Rejab. Alhamdulillah dan syabas atas ketaqwaan anda. Semoga Allah menerima puasa anda dan memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda. Apa pun, yang lebih penting ialah jangan lupa mengganti puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan. Pagi tadi sempat menonton sedikit daripada rancangan 'Tanyalah Ustaz' di TV9 pukul 7am-8am setiap Jumaat-Ahad. Minggu ini kita berpeluang mendengar Ustaz Zahazan menjawab pelbagai soalan dan kemuskilan berkenaan tajuk "Bulan Rejab". Kepada sesiapa yang berminat jangan lupa menontonnya...Untuk santapan minda dan rohani berkenaan bulan Rejab, boleh rujuk di sini juga di sini.

Peranan Ibu

Sejak mengandung ini, saya berasa sering mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dengan baik. Kadang-kadang saya sedar bahawa perubahan hormon dan mood sering kali saya jadikan alasan untuk marah-marah dan penat untuk melayan karenah anak-anak. Selalu saya biarkan anak-anak berdikari tatkala saya terbaring pening kepala atau kemalasan melanda. Ada pertanyaan mereka saya layan dengan hanya anggukan kepala atau menjawab entah,tak tahu....

Saya biarkan Luqman dan Almustofa mandi sendiri, memakai baju sendiri, menyapu roti kaya sendiri (yang sudah tersedia di atas meja), bermain sesama mereka tiga beradik dan menonton tv tanpa saya sekali. Hanya jika ada kesukaran melakukan sendiri barulah saya bangkit membantu dan menghulurkan bantuan. Selagi mereka mampu saya akan minta mereka buat sendiri. Selagi tidak bergaduh sesama mereka, saya akan berehat dengan aman. Jika keamanan saya terganggu, saat itulah 'tarzan' akan menjerit seperti singa...

Kecuali si Addin yang baru beusia 2 tahun, saya terpaksa menyiapkan dirinya. Mana boleh dibiarkan dia layan diri sendiri lagi. Nak nahas!! saya sedar, cuma terasa diri ini agak teruk apabila saya tidak memberikan perhatian sama rata antara 3 orang anak saya. Peluk cium juga berkurangan, berdukung tidak lagi, kecuali masa makan, saya akan meyuapkan mereka sekaligus hatta si Luqman supaya dia makan banyak..

Dengan kesempatan yang ada ini, saya membelek kembali artikel-artikel pilihan yang pernah saya letakkan di blog ini. Dengan sedikit kemaskini saya berharap dapat mengembalikan kesedaran diri supaya saya akan sentiasa menjadi ibu yang baik kepada anak-anak tidak kira dalam apa jua keadaan. Anak-anak semakin membesar dan dalam usia 6 tahun pertama inilah saya harus mendidik mereka sebaik mungkin. Saya juga tidak mahu menyesal di kemudian hari disebabkan kesalahan saya mendidik mereka.

Jangan hanya mulut kata sayang tetapi praktikal tak mengikut cara yang betul. Jangan hanya pandai menasihatkan orang lain tetapi keluarga sendiri diabaikan. Jangan hanya pandai beranak ramai tetapi tak mampu memberi kasih sayang seadilnya...Insya Allah.

Berikut artikel pilihan tulisan doktor fevret saya, Prof. Madya Dr. Harlina Haliza Siraj.


Perutusan media Wanita JIM sempena Hari Ibu 2009 didahulukan dengan rakaman ucapan takziah kepada keluarga ketiga-tiga orang ibu yang menjadi korban jenayah ragut dalam minggu ini, iaitu arwah Jamilah Selamat, 31 tahun dari Air Hitam Johor, Saripah Mohd. Nor, 33 tahun dari Ketereh Kelantan dan ibu warga emas, Tom Salleh yang berusia 86 tahun dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Mereka bertiga menjadi mangsa peragut bermotosikal yang kejam dan tidak mempunyai pertimbangan perikemanusiaan. Apa yang lebih menyayatkan hati, kedua ibu muda tersebut juga didapati sedang hamil. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Ilahi, sementara keluarga terbabit didoakan terus tabah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi pemergian bonda mereka yang selama ini menjadi tonggak kasih sayang keluarga.

Apa yang nyata, jenayah ragut semakin menjadi-jadi di seluruh pelusuk tanahair. Memetik laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah bulan lalu, jenayah ragut di ibu negara semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Statistik mencatatkan kenaikan sebanyak 600 kes iaitu 1,206 kes pada bulan Januari hingga April, berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu. 50% dari kes ragut ini dikatakan dilakukan oleh penagih dadah yang perlu mendapatkan wang untuk bekalan dadah harian mereka, di samping faktor pengangguran akibat kemelesetan ekonomi.

Dalam masa yang sama, ribuan para ibu di Malaysia hari ini, sebenarnya telah, sedang dan akan terus menumpahkan airmata kesedihan, menangisi anak-anak kesayangan mereka yang terbabit secara langsung dalam jenayah dan gejala sosial yang melambangkan keruntuhan akhlak, nilai dan moral segelintir generasi muda hari ini. Masyarakat amnya hanya cenderung menuding jari menyalahkan ibu dan bapa yang dikatakan gagal mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. Para ibu yang malang ini juga sentiasa tertanya-tanya, di manakah kesilapan mereka mendidik anak-anak ini, yang asalnya ibarat kain yang putih bersih. Entah bila dan bagaimana anak yang dibesarkan itu berubah menjadi agen perosak masyarakat yang mengancam ketenteraman dan kesejahteraan orang lain!

Wanita JIM akur sesungguhnya tiada penyelesaian simplistik dan jawapan yang mudah kepada permasalahan yang kompleks ini, yang dicetuskan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Namun hakikatnya, perubahan struktur keluarga moden dan pegangan nilai yang menjadi batu asas institusi kekeluargaan hari ini, sememangnya mempunyai kesan yang amat ketara kepada perkembangan anak-anak generasi muda Malaysia. Tidak dapat dinafikan, pembabitan ibu ke dalam sektor kerjaya di luar rumah sebenarnya mengurangkan peruntukan masa, tenaga dan emosi para ibu untuk menguruskan keluarga dan rumahtangganya. Dari menjadi ibu yang sepenuh masa berada di rumah memberikan tumpuan kepada keluarga, ibu bekerjaya kini perlu pintar mencari ruangan masa berkualiti untuk dihabiskan bersama keluarga. Walaupun kebanyakan ibu bekerjaya begitu komited terhadap keperluan dan tuntutan keluarganya, mahu tidak mahu tanggungjawab memikul amanah di tempat kerja sering men`curi’ tumpuan dan me`misah’kan wanita dari keluarganya. Anak-anak di pelbagai peringkat usia pula sentiasa memerlukan bimbingan yang khusus untuk menjamin pertumbuhan jasmani, minda, emosi dan spiritual yang sihat.

Perkembangan mutakhir mengenai gejala sosial dan jenayah yang membabitkan khususnya generasi muda hari ini, menjadi pencetus kepada lima (5) penegasan Wanita JIM seperti yang disenaraikan di bawah :

1. Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

3. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

4. Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.

5. Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Ayuh segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.

Sempena Hari Ibu 2009, ayuh pastikan keluarga tidak akan kehilangan wanitanya dan wanita juga tidak akan mensia-siakan penghormatan menjadi tonggak keluarganya sebagai satu anugerah yang amat berharga dari Allah SWT!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita JIM Pusat 2007-2009

Sempena Sambutan Hari Ibu 2009

8 Mei 2009



Susu Pediasure - Benarkah menggalakkan selera makan?

Sebelum ini saya ada berkongsi beberapa artikel menarik daripada website Dr. Hamid Arshat tentang 'kanak-kanak yang tidak mahu makan'. Sebetulnya saya juga mengalami masalah yang sama di mana anak saya tidak mahu makan. Paling tepat untuk dikatakan ialah tidak mahu makan nasi.

Anak kedua saya Almustofa memang jarang makan nasi. Sama ada sekali sehari atau tidak makan nasi langsung. Walaubagaimanapun, susuk badannya tetap maintain, iaitu tak kurus atau gemuk. Berbanding abang dan adiknya yang kuat makan (nasi), Luqman lebih kurus dan Salahuddin lebih berisi. Pernah saya ajukan kepada seorang doktor, Luqman mungkin mewarisi susuk badan macam abahnya yang memang kurus. Jika dilihat sejarah lalu, saya juga seorang yang kurus kala usia dengannya.

Almustofa walaupun tidak makan nasi, dia suka makan buah-buahan dan juga roti yang disapukan dengan kaya. Dia juga masih menyusu botol pada masa ini walaupu tidak sekerap dahulu. Ada masanya dia akan makan nasi jika ada lauk telur goreng yang diletakkan cili sos. Tetapi tidak lah sampai hari-hari dan setiap waktu makan saya menyediakan telur goreng untuknya. Adakala dia akan makan sesuap dua jika berlaukkan ikan, atau jika mengadap abahnya makan dia akan meminta disuapkan nasi kosong sahaja. Jika kena cara pujuk dan 'rasuah' dia sanggup untuk makan nasi beberapa suap. Tabiat buruknya, jika disuapkan nasi berlauk ikan yang tidak dihancurkan dahulu bersama nasi dia akan menyimpan nasi di dalam mulut dalam jangka masa lama. Walaupun dipaksa menelan dia akan menyimpan terus sehinggalah kita benarkan dia membuang dari mulutnya itu. Pernah sekali dia tertidur dengan nasi di dalam mulutnya.

Susu Pediasure - Benarkah menggalakkan selera makan?
Ketika anak seorang dan pengalaman pun kurang, saya dan suami sering gusar jika anak kurang selera makan. Lebih-lebih lagi sejak usia setahun dan boleh berjalan, Luqman sudah mulai susut berat badannya. Doktor pakar kanak-kanak Dr.Azizi (kini sudah bergelar Datuk) yang merawatnya mencadangkan kami memberi Luqman susu Pediasure. Bermula hanya dengan tin kecil kami beralih kepada tin besar apabila Almustofa lahir dan juga mulai diberikan susu tepung pada usia setahun lebih.

Sejak itu, bila-bila masa anak-anak saya kurang berselera untuk makan, saya akan memberinya minum susu pediasure yang berasaskan soya untuk meningkatan selera makannya. Alhamdulillah memang betul, tak lama kemudian mereka akan semakin berselera untuk makan. Saya ada google beberapa pendapat orang lain tentang susu ini. Rata-rata mempunyai pandangan yang sama. Namun ada juga pendapat yang menidakkan keberkesanannya.

Sebenarnya tidak semua orang mampu untuk membeli susu ini setiap bulan. Begitu juga saya.Ini kerana harganya melebihi RM50 di pasaran membuatkan saya memberi anak-anak pada waktu yang dirasakan perlu sahaja. Jika tidak, saya memberi anak-anak susu Dutch Lady 123 coklat dan kini kami bertukar pula kepada Dugro 3+ dengan perisa coklat juga.

Kenapa perisa coklat?

Pertama kali hendak menceraikan Almustofa dengan susu badan (usianya setahun lebih) dia mengalami elegik susu atau intolerant lactose. Bayangkan dalam sehari dia akan mengalami cirit birit sehingga melecet dan kemerahan kulitnya. Kasihan dia, pada masa itu saya tidak tahu puncanya kerana kami bercerai susu sebab saya telah disahkan mengundung kali ketiga ketika itu. Akhirnya, kepada doktor kami mengadu, dan barulah saya tahu punca utama dia cirit-birit.

Doktor telah mencadangkan supaya Almustofa diberikan susu yang berasaskan soya seperti Pediasure, Isomil dll. sebagai permulaan, kami mencuba pek percubaan (isomil perisa original) dan Almustofa menangis tidak mahu menyusu. Suami kemudian membeli susu Pediasure. Jika dia tidak suka juga, Luqman boleh minum susu itu dan tidaklah membazir. Alhamdulillah, Almustofa menyukainya. Sejak itu Luqman turut mahukan susu coklat dan tak mahu lagi minum susu warna putih. Mana tidaknya, setiap kali melihat adik menyusu botol dia akan meminta juga. Sudah pasti dia mahukan susu yang warnanya sama dengan adik...hehe

Menginjak umur dua tahun lebih, saya mencuba-cuba secara beransur menukar Almustofa kepada susu biasa (bukan soya). Jika berlaku cirit birit saya akan menukar kembali kepada susu Pediasure. Akhirnya saya mendapati dia sudah tidak mengalami masalah intolerant lactose. Alhamdulillah sejak itu saya selang selikan pemberian susu soya Pediasure kepada anak-anak.

Pada hari ini, sudah lama kami tidak lama membeli susu Pediasure. Kalau tidak silap pernah sekali dalam tahun ini (2009) kami membeli untuk Salahuddin ketika selera makannya berkurangan. Ketika diberikan kepada Almustofa, dia tidak mahu. Dia sudah pandai membezakan susu coklat biasa(dugro) dan Pediasure. Dia juga pandai memilih tin susu, hanya susu yang dia gemari sahaja. Emmmmm...sudah besar anak ibu. Cerewet lah pula!

Bacaan lanjut >> Abbott Malaysia

[update-mei 2012] ~ Status HALAL 
Dear Valued Consumer:
Abbott Nutrition produces Halal products at various locations under the supervision of the Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA) or the Islamic Religious Council of Singapore (MUIS). The following products sold in the Malaysian retail market, are free from Haram and doubtful ingredients, hence Halal and suitable for consumption by Muslims.
  • Similac
  • Simlac Gain
  • Similac LF
  • Similac Neosure
  • Isomil
  • Isomil Plus
  • Gain Plus
  • Gain Kid
  • Grow 3+
  • Grow 6+
  • Pediasure Complete
  • Pediasure
  • Ensure
  • Glucerna
  • ProSure
 For further enquires, contact us. [read more...]
Tiada halal JAKIM pada tin susu Pediasure mahupun semua susu keluaran Abbott.(betulkan jika saya salah). Kalau query ke direktori jakim juga tiada maklumat tentang syarikat dan produk. Ini kerana susu keluaran Abbott mendapat sijil halal daripada Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA) di mana ia merupakan salah satu dari pada badan Islam luar negara yang diiktiraf oleh jakim.


Info ini berguna? Sila kongsikan.





Pembedahan tempurung kepala

Kali ini artikel pilihan saya berkenaan pembedahan tempurung kepala seperti yang dilakukan ke atas adik saya yang kemalangan jalan raya bulan lepas. Artikel ini mengandungi kisah mereka yang turut mengalami keadaan yang sama. Semoga pesakit akan cepat sembuh dan kembali normal seperti sediakala...Insya Allah. Bersabarlah dalam menghadapi dugaan Nya....

Dibuang untuk selamatkan nyawa

oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.abdullatib@kosmo.com.my

JARI tangan Pakar Bedah Neuro Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Farizal Fadzil menyapu lembut cecair iodin di sekitar kepala Mohd. Hanif yang berlekuk. Suasana di Bilik Bedah Neuro 1 itu senyap seketika apabila Farizal memulakan torehan. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Farizal.

Tumpuan mereka terpaku pada lekukan di sebelah kanan kepala pesakit. Dengan penuh teliti umpama mengukir karya seni, lapisan kulit kepala itu dibuka, mendedahkan selaput otak yang berwarna putih. Kemudian, seorang petugas membawa sekeping tempurung kepala di dalam mangkuk khas. Tulang itu dicuci sebelum dicantum semula ke kepala pesakit.

Lapan bulan lalu, sebahagian tempurung kepala Mohd Hanif terpaksa ‘ditanggalkan’ selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tempurung setebal 16x12 sentimeter itu disimpan di dalam bank tulang HKL pada suhu -70 darjah Celsius. Menurut doktor, tulang itu masih boleh berfungsi walaupun selepas sembilan bulan disimpan di bawah suhu sejuk beku itu.

“Cukup empat plat dan lapan skru,” tiba-tiba Farizal bersuara setelah menanda pada kepingan tulang itu. Berdiri cukup hampir dengan meja pembedahan, penulis ditunjukkan skru yang hanya sebesar setengah milimeter dan plat sebesar kuku jari kelengkeng bayi yang digunakan bagi menyambung kedua-dua tempurung itu.

Pembedahan kranioplasti memerlukan ketelitian krana ia melibatkan pelindung otak yang sangat sensitif. Proses melekatkan kembali tempurung kepala itu berlangsung tidak sampai 15 minit. Tepat pukul 5.30 petang, Jumaat lalu, bahagian terakhir kulit kepala Mohd Hanif sempurna dijahit. Enam jam sebelum itu, di Wad Neuro 4A, isteri Mohd Hanif, Najati Jalil mengelus lembut rerambut halus di kepala suaminya dengan penuh kasih sayang. Di dalam hatinya cuma Tuhan yang tahu. Semenjak Mohd. Hanif terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, HKL sudah menjadi seperti rumah kedua Najati. Namun, guru dua anak ini reda dengan ketentuan Ilahi. Bagaimanapun, beliau amat berharap pembedahan kranioplasti yang dijalankan lapan bulan lalu akan berjaya.

“Tapi untuk sementara waktu, bentuk kepalanya akan leper. Selepas tekanan otaknya stabil dan tiada jangkitan, kita akan pasang semula tempurung itu,” terngiang-ngiang Najati dengan penjelasan doktor pakar ketika itu.

Mengharungi detik duka sepanjang Mohd Hanif koma dan mengalami beberapa komplikasi lain, akhirnya Tuhan memakbulkan doa Najati.

“Keadaannya semakin baik. Dia sudah boleh membuka mata setiap kali saya memanggil namanya,” cerita wanita berusia 31 tahun yang berasal dari Muar, Johor ini. Sejak dibuang sebahagian daripada tempurung kepalanya, Mohd Hanif cepat letih dan lebih banyak tidur.

“Pernah berlaku jangkitan tetapi mujur cepat dikesan dan dirawat. Ini termasuk satu pembedahan pintasan bagi membuang lebihan cecair di dalam kepalanya,” ujar Najati sambil menunjukkan bahagian yang dibedah. Sesekali, terbias riak bimbang di wajah wanita ini.

Kranioplasti teknik purba

Menurut Pakar Perunding Neurosurgeri di Jabatan Neurosurgeri HKL, Dr. Azmi Alias, pembuangan sebahagian tempurung kepala bukanlah sesuatu yang baru. Bukti arkeologi mendedahkan teknik itu telah digunakan oleh masyarakat prasejarah untuk mengubati penyakit berkaitan kepala. Pada zaman ini, teknik yang dikenali sebagai kranioplasti ini sering digunakan untuk merawat mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan otak yang serius.

“Sistem auroregulasi yang gagal berfungsi menyebabkan tekanan intrakranial meningkat secara mendadak. Ini boleh menyebabkan pusat otak yang mengawal sistem pernafasan dan jantung tertekan, seterusnya menyebabkan kematian,” jelas Azmi.

Secara umum, otak manusia membentuk sistem saraf pusat yang mengawal segala aktiviti tubuh seperti pernafasan, degupan jantung, pergerakan anggota, kawalan hormon, pemikiran, ingatan dan perasaan. Justeru, prosedur membuang sebahagian tempurung kepala dilakukan agar tekanan intrakranial boleh dialir keluar dan dikurangkan melalui bukaan di bahagian tulang kranium tersebut. Selain kemalangan, jangkitan dan keretakan tulang kranium serta ketumbuhan memerlukan pesakit menjalani pembedahan ini.

Menceritakan aspek fisiologi dan psikologi bagi mereka yang menjalani pembedahan ini, Azmi menjelaskan walaupun ada, semuanya akan beransur hilang mengikut peredaran masa. Jelas beliau, pesakit lazimnya akan mengalami sindrom trefin seperti letih, sakit kepala, hilang tumpuan, cepat marah, kurang toleransi terhadap bunyi bising, kurang daya ingatan dan lemah anggota badan.

“Semua ini disebabkan oleh tekanan atmosfera secara langsung terhadap peredaran darah mikro dan sistem aliran cecair di bahagian korteks otak yang terdedah tanpa perlindungan tempurung kepala.

“Selain itu, kadangkala berlaku perubahan pada struktur anatomi otak seperti pembesaran sistem ventrikel dan perpindahan struktur otak ke arah yang bertentangan,” jelasnya.

Lekuk ubah rupa pesakit

Menyentuh mengenai kesan lekuk, Azmi menerangkan, ia masih boleh dilihat dengan jelas jika melibatkan bahagian dahi dan atas mata seterusnya menjejaskan rupa paras pesakit.

“Disebabkan inilah, pembedahan kosmetik diperlukan bagi memberi perlindungan kepada bahagian otak dan memperbaiki semula bentuk kepala yang abnormal,” katanya. Azmi berkata, fungsi tulang tempurung sebagai benteng pertahanan bagi otak adalah sangat kritikal.

Secara am, terdapat tiga jenis bahan yang digunakan bagi membentuk plat kranioplasti dan semuanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ia bergantung kepada keadaan pesakit. Apa pun, kajian mendapati pesakit yang menjalani pembedahan kranioplasti ini mengalami perubahan kesihatan yang lebih baik.

Kebanyakan mereka yang asalnya kerap mengalami sakit kepala sebelum pembedahan, kini berkurangan malah ada yang hilang langsung.

Azizi tidak ingat apa-apa – Ibu

DULU, Azizi Khalib, 17, merupakan seorang remaja dan murid yang ceria. Dia aktif dalam sukan kegemarannya, bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tetapi keceriaan bertukar menjadi kisah sedih apabila motosikal yang dinaiki terbabit dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Teh, 3 Mac lalu. Ekoran kemalangan itu, berlaku pendarahan otak menyebabkan tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

“Saya pilu melihat keadaannya. Sebelum ini dia ada beritahu hasrat untuk melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tapi kini masa depannya tidak menentu,” ujar ibunya, Roslina Che Ros, 39.

Tempurung kepala Azizi yang dikeluarkan masih berada di makmal Hospital Pulau Pinang (HPP). Kos pembedahan bagi memasukkan semula tempurung kepalanya yang dijadualkan pada 6 Julai ini kira-kira RM1,200. Azizi kerap menangis bila menyentuh bahagian kepalanya yang tidak bertempurung. Menurut Roslina, ramai rakan sekolah Azizi turut bersedih melihat wajah anaknya itu yang tidak seceria dulu.

Azizi yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM November ini tidak mampu mengingati apa-apa selepas kemalangan itu. Malah dia tidak dapat mengeja namanya sendiri. Apa yang hanya mampu dilakukan ialah menangis apabila berasa sakit atau tidak selesa. Bagi memastikan Azizi dijaga sepenuhnya, Roslina yang bekerja di sebuah kilang di Perai dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan, mengambil keputusan berhenti kerja. Selain Azizi, tiga anaknya yang lain ialah Mohd Amirul, 14, Nor Atika, 12, dan Nor Aini, 10. Suami Roslina, Khalid Yahya, 45, cuma bekerja kampung termasuk membuat buluh pancang yang ditempah penduduk kampung untuk projek menanam sayur-sayuran. Roslina yang cekal menguruskan keluarganya memberitahu, beliau tetap menaruh harapan tinggi agar anaknya itu kembali pulih.

“Terkini, doktor di HPP memberitahu pembedahan itu boleh dilakukan pada 6 Julai depan. Biarpun fizikal Azizi tidak pulih sepenuhnya, saya berharap ingatannya kembali normal kerana saya rindu untuk mendengar suaranya memanggil saya ibu.

“Biarpun berat mata memandang, sebagai ibu saya sentiasa berdoa agar kepada Tuhan selain reda dengan ketentuan-Nya,” ujar Roslina. – ABD. RAZAK OSMAN

*** Untuk pengetahuan anda tempurung kepala adik saya tidak disimpan, malah ditanam di dalam tanah seperti kita menanam uri bayi. Jika selepas ini dia hendak menampal kembali bahagian tengkorak yang telah dibuang, mungkin bahan plastik akan digunakan menggantikan yang telah ditanam tersebut. Sebab kenapa tidak disimpan, tidak pula diketahui...

Happy Father's Day

Masa kecil dahulu aku tak suka dengan abah sebab abah garang. Kalau kata merotan memang abah lah orangnya. Emak seorang yang lemah lembut dan pendiam. Abah selalu cakap, kalau dia tak ada, habis lah emak kena pijak kepala.

Yang sebenarnya aku memang nakal! Mana satu anak abah yang terror panjat pokok, mandi sungai, balik lewat senja, menangkap ikan dalam parit dan longkang kotor, melepak rumah orang dan macam-macam lagi??? sebagai anak sulung sepatutnya aku menjadi contoh kepada adik-adik, tetapi itu lah aku!!

Walaupun aku tak pernah bawa adik-adik sekali pergi merewang, tapi abah tetap marah.Adik-adik belaka tak berani lawan cakap abah. Aku tak melawan directly, tetapi nasihat-nasihat dia aku tak makan saman jugak. Kalau nak buat something yang akan mendatangkan kemarahan dia mestilah secara sorok-sorok. Balik rumah mesti sebelum waktu dia balik kerja. Kadang-kadang leka bermain tak sedar masa berlalu. Tetiba je terdengar bunyi motor yang aku kenal amat sangat dah dekat dengan tempat aku bermain. Kalau aku berada atas pokok, diam-diam lah aku di atas sana. Kalau aku berada dalam parit, menyoroklah aku di sebalik rumput panjat atau bawah jambatan. Kalau tidak sah sah kaki aku kene sebat dengan rotan. Alaaa..tak sakit pun!! Hehe..sebab itu aku berani buat lagi..lagi dan lagi....Adik selalu nak ikut mana aku pergi. Huh no way! Tak merasalah. Nanti kalau jadi apa-apa aku juga yang susah. Lagipun bawa adik tak macho lah!!

Meningkat remaja, aku dah tak nakal sangat sebab belajar di sekolah agama. Walaupun aku sekolah agama, aku bukan lah alim sangat pun. Abah pun bukan alim juga orangnya, tapi soal sembahyang bang (solat) mesti kena patuh. Kami adik beradik dilarang couple (kawan rapat dengan lelaki) hatta kalau berkawan dengan perempuan pun dia akan memastikan orang itu baik-baik dari keluarga yang baik juga...huhu inilah abah aku. Kalau dia tahu orang itu pernah date dengan mana-mana lelaki (terutama tengah jalan/atas moto) sah sah kami kena bebel dan mendapat amaran. Pada hal perempuan itu bukan kawan kami pun....sampai habis sekolah aku memang tak ade peluang nak cintan cintun macam orang lain. Lagi pun sapa lah hendak kat aku yang tak cun ni...??? (eh ade....ade....mamat tu....hahhahahaa)

Bab belajar aku memang menjadi contoh kepada adik-adik. Tapi yang tak syok setiap kali nak exam abah suka sekat masa menonton tv sebab kata dia kalau adik-adik aku boleh dapat result pekse (peperiksaan) elok macam aku tak apalah. So, aku bertambah geram dengan abah...(Alaa.. dia tak de aku buka je tv, tapi jangan lupe lap skrin tv sebelum tutup nanti dia boleh detect. TAPI, abah aku lagi bijak, dia rase belakang tv...huhu panas!! aku dah kantoi...

Habis sekolah menengah, aku tak sambung bidang agama tetapi beralih ke bidang IT- bidang yang tak berapa glamer masa mula aku nak ambil kursus itu. Abah aku bising dan membebel sebab takut aku susah nak dapat kerja nanti. Alhamdulillah tak lama lepas itu, IT mula dicanang satu Malaysia...sana sini sebut IT...so, abah aku kat ceruk kampung dah faham apa itu IT. Masuk U dia belikan aku PC menggunakan duit kwsp dia. Macam-macam kesusahan terpaksa dihadapi untuk mengeluarkan duit dan membeli PC yang kini tersimpan dalam kotak kat rumah. Alahai...ada ke mamat tu persoal sama ada aku ni betul-betul anak abah aku sebab dalam surat beranak aku yang lama (sebelum hilang dan ganti baru) tercatit kerja dia sebagai askar melayu. HUHU hangin lah abah. Akhirnya merasa juga aku sebuah komputer dan abah sendiri bersusah payah menghantarnya ke Sintok. Dia bermandi peluh untuk memasang meja komputer yang berat macam... macam......eemm berat macam 30kg beras kot...kesian abah. Apa pun terima kasih atas segalanya dan aku minta maaf sebab dengan kemudahan itu pun aku tak boleh score baik dalam peperiksaan.

Abah, dah besar panjang baru Ngah (aku lah tu) sedar betapa bangganya kami memiliki abah sebagai bapa,ayah dan abah kami...Agaknya kalau abah tak garang ...kalau abah tak kuat berleter dan membebel mesti Ngah dan adik-adik tak jadi manusia berguna pada hari ini....Abah lah orang pertama mengajar ABC dan 123...abah lah yang mengajar membaca dan menghafal sifir...terlalu banyak perngorbanan dan jasa abah kepada Ngah dan adik-adik. Belum terbalas segala jasa-jasa abah itu oleh kami....Ngah tahu abah kecewa sebab lepas kahwin Ngah tak bekerja lama dan sekarang pula jadi suri rumah sepenuh masa. Apalah sangat yang dapat Ngah bantu abah mak dan adik-adik. Setakat yang termampu aje....Insya Allah kalau ada rezeki lebih, mana tahu suatu hari dapat Ngah dan adik-adik membalas jasa-jasa abah dan mak.

Sempena hari bapa ini Ngah nak beritahu yang kami adik beradik sayangkan abah seperti mana kami sayang mak. Dahulu mungkin kami berfikiran tak matang. Sekarang, setelah masing-masing besar panjang baru faham. Malah, ada di antara kami (termasuk Ngah juga) kadang-kadang dah terikut style abah yang suka membebel dan garang itu. Hehehe di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke dalam nasi...Semoga Allah panjangkan usia abah dengan keberkatan dan dilimpahi kesihatan yang baik. Selamat Hari Bapa....

Buat suami tercinta, bapa mertua, ipar duai, sahabat handai dan semua yang bergelar bapa, ayah, papa, babah, abah, abi, walid dan sebagainya 'Selamat Hari Bapa' juga....semoga anda menjadi bapa kebanggaan anak-anak dan keluarga tercinta...


Lagi lagi jerebu

Dah lama aku perasan yang pemandangan alam sekitar agak blur dan kelabu. Since tak de keluar berita mengatakan jerebu melanda, aku ingat mungkin mata aku yang problem kot..hehe..hubby pulak cakap biasa lah sejak hujan tak turun dan turun sikit-sikit biasalah pembakaran terbuka akan menyebabkan keadaan berjerebu...persoalannya pembakaran di mana???

Semalam akhirnya keluar dalam berita. 'Pelabuhan Klang, Cheras catat kualiti udara tidak sihat'. Huh sakit hati juga bila melihat alam sekitar dicemari dan lebih-lebih lagi masalah yang timbul berulang-ulang seolah-olah tiada tindakan diambil. Semua ini, berbalik kepada diri kita sendiri. Sejauh mana kesadaran yang ada di dalam diri kita. Kalau semua orang tidak mementingkan diri Insya Allah segalanya dapat dibanteras. Tiada guna mengharapkan sebelah pihak sahaja mengambbil tindakan. Bila dah terjadi semua nak tunding jari salahkan orang lain...

Mula-mula dah merancang dengan hubby nak bawa anak-anak jalan kat taman. Since Almustofa asyik merengek-rengek nak main layang-layang, Taman Metropolitan target utama. Suasana berjerebu pula, mungkin membantutkan rancangan kami. Mak(mertua), Akak, CT dan M ikram dah turun KL. Belum sempat nak bawa mereka jalan kemana-mana. Ingat kalau pergi main layang-layang boleh bawak Ikram sekali. Dia pun ada beritahu tak pernah pergi, lalu adalah.

Semalam hubby bawa Mak dan Akak melawat Ay Teh kat hosital dan shopping kat Jusco. Tak sempat nak tanya apa yang dibeli sebab aku tak pergi pon. Balik rumah semalam dah 12.30am, aku dah tidur. Huh malam tadi mimpi yang menakutkan dan meletihkan...tah apa tah...mimpi terencat bila hubby balik rumah dengan Almustofa. Ingat dapat sambung semula mimpi, tapi mimpi cerita lain pula. Bangun Subuh, sakit badan-badan..tak silap aku 3 kisah dalam satu malam...tapi semuanya cuma mainan tidur semata...aarrrgghhh penatnya laa..

Oh jerebu...lagi lagi jerebu...boleh buat sajak tensen macam ni....

Template baru

Kebetulan melawat blog Shera yang saya rasa cantik memandangnya...terdetik di hati untuk menukar layout blog 'Laman CahayaMata' ini. Sudah sekian lama teringin menukarnya tetapi belum berjaya...akhirnya saya bertemu panduan di web ini dan memilih template dekat web ini...so, kepada kengkawan yang berminat boleh merujuk laman web tersebut...selamat mencuba! tetapi awas jangan lupa buat backup file html dan widget dari blog sebelumnya.


[PETUA] untuk para ibu bapa

Kebetulan saya terbaca petua ini dalam satu forum.Sebetulnya saya sudah biasa mendengar amalan begini tetapi saya sendiri juga tidak mempraktikkannya.Kadang-kadang kalau teringat saya hanya akan membaca Alfatihah dan tiup ke ubun2 dan telinga anak.Itu je.Apa pun untuk para pembaca kalau rajin bolehlah menjadikannya suatu amalan harian untuk mendapat anak-anak yang soleh dan mendengar cakap.Jika anak-anak anda terlampau nakal bolehlah mencuba, mana tahu Allah akan mengabulkan doa ibubapa yang ikhlas...ikhtiar apa salahnya.Lebih baik daripada asyik mengeluh dan mencerca anak sendiri kan:D

Jangan dilupakan, jika anak itu berubah menjadi taat sesungguhnya Allah Taala jua yang menghendaki ia berlaku.Jika sebaliknya, jangan berputus asa kerana mendidik anak kecil perlukan kesabaran.Ingatlah melentur buluh biarlah dari rebungnya dan ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak..

Petikan:

Ramai ibu bapa selalu lupa untuk menasihati anak-anak ketika anak sedang tidur. Ini ada satu petua dari ibu saya

1. Setiap malam apabila anak tidur hendaklah kita wiridkan Ya Latif ke ubun-ubun kepalanya sebanyak yg mungkin atau memadai 100 kali.

2. Membaca surah Alfatihah 1 kali, surah Al-insyirah (Alam Nasyrah) 1 kali

3. Bercakap-cakaplah dengan anak ketika dia sedang tidur dengan menyeru kepada nama penuhnya berbinkan atau berbintikan kepada kita sebagai ibu kandung mereka. percakapan itu hendaklah berupa nasihat, pujian dan berceritalah tentang perasaan kasih sayang kerana sesungguhnya percakapan kita kepada anak yg sedang tidur itu sangatlah bekesan kepada jiwa dan rohnya.

4.Apabila kita sedang berbual-bual dengan anak sewaktu dia sedang tidur kita akan lihat matanya bergerak-gerak, walaupun dia sedang tidur.

5.Ayah dan ibu hendaklah selalu menyapu air lebihan wuduk yang ada pada kita misalnya air yang masih basah di tangan ke muka dan ubun-ubun anak. Cubalah petua itu dan Insya Allah kesannya akan anda dapat lihat sendiri. Selamat mencuba......

Selain itu, pernahkah anda menyediakan air jampi untuk mengubah sikap anak dari nakal menjadi baik? atau suatu ketika dahulu anda pernah minum air jampi yang diberikan oleh emak dan ayah supaya menjadi anak yang mendengar cakap atau minum air untuk penerang hati dan mendapat kejayaan dalam peperiksaan?Saya pernah juga mengalaminya dan melihat emak saudara memberikan sepupu minum air jampi tersebut.Bagaimana pun ianya dijampi sendiri oleh ayahnya yang juga seorang ustaz.

Berikut adalah petikan soalan yang diajukan oleh seorang pembaca terhadap Ustaz Asri di dalam laman Minda Tajdid.Mungkin jawapan kepada soalan ini boleh dijadikan panduan kepada kita dalam melakukan sesuatu usaha untuk mendidik anak supaya apa yang kita lakukan tidak menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.Kadang kita ni suka mengikut amalan seseorang atau diturunkan oleh ibubapa kepada kita padahal kita tidak paham pun ayat atau jampi yang digunakan.Lagi satu kita cepat percaya bahawa kerana air tersebut hajat kita diperkenankan.Walaupun niat baik,tak semestinya kita tunduk dengan cara yang tidak berlandaskan syariat.Kita bukan setakat kene wajib percaya apa yang baik itu datang dari Allah, malah kena yakin baik buruk itu juga ketentuan Allah dan hanya kepada Nya jua kita bermohon sesuatu bukan bergantung harapan pada air jampi,amalan tertentu atau ayat Alquran yang kita baca....

Jampi Perangai - Disiarkan pada Feb 15, 2009 dalam kategori Akidah

Soalan: Ibu saya ada mengambil air jampi dari seorang ustaz untuk diminum oleh ayah yang mempunyai perangai yang buruk. Ustaz itu menyuruh dicampurkan air tersebut dalam minuman ayah tanpa disedarinya. Apakah hal ini diajar oleh Islam?

Jawapan:
Tidak dinafikan baginda Nabi s.a.w pernah menjampi penyakit seperti mana baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih.

Namun dakwaan bahawa dengan air atau kismis atau apa bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi s.a.w. sendiri.

Baginda tidak menjampi kaum Quraish agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi s.a.w akan menjampi telaga zam-zam kerana itu sumber air Quraish ketika itu. Pasti Quraish akan berubah apabila terminum.

Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik.

Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah s.w.t.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 256-257(maksudnya):“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman). dan orang-orang yang engkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin