Peranan Ibu

Sejak mengandung ini, saya berasa sering mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dengan baik. Kadang-kadang saya sedar bahawa perubahan hormon dan mood sering kali saya jadikan alasan untuk marah-marah dan penat untuk melayan karenah anak-anak. Selalu saya biarkan anak-anak berdikari tatkala saya terbaring pening kepala atau kemalasan melanda. Ada pertanyaan mereka saya layan dengan hanya anggukan kepala atau menjawab entah,tak tahu....

Saya biarkan Luqman dan Almustofa mandi sendiri, memakai baju sendiri, menyapu roti kaya sendiri (yang sudah tersedia di atas meja), bermain sesama mereka tiga beradik dan menonton tv tanpa saya sekali. Hanya jika ada kesukaran melakukan sendiri barulah saya bangkit membantu dan menghulurkan bantuan. Selagi mereka mampu saya akan minta mereka buat sendiri. Selagi tidak bergaduh sesama mereka, saya akan berehat dengan aman. Jika keamanan saya terganggu, saat itulah 'tarzan' akan menjerit seperti singa...

Kecuali si Addin yang baru beusia 2 tahun, saya terpaksa menyiapkan dirinya. Mana boleh dibiarkan dia layan diri sendiri lagi. Nak nahas!! saya sedar, cuma terasa diri ini agak teruk apabila saya tidak memberikan perhatian sama rata antara 3 orang anak saya. Peluk cium juga berkurangan, berdukung tidak lagi, kecuali masa makan, saya akan meyuapkan mereka sekaligus hatta si Luqman supaya dia makan banyak..

Dengan kesempatan yang ada ini, saya membelek kembali artikel-artikel pilihan yang pernah saya letakkan di blog ini. Dengan sedikit kemaskini saya berharap dapat mengembalikan kesedaran diri supaya saya akan sentiasa menjadi ibu yang baik kepada anak-anak tidak kira dalam apa jua keadaan. Anak-anak semakin membesar dan dalam usia 6 tahun pertama inilah saya harus mendidik mereka sebaik mungkin. Saya juga tidak mahu menyesal di kemudian hari disebabkan kesalahan saya mendidik mereka.

Jangan hanya mulut kata sayang tetapi praktikal tak mengikut cara yang betul. Jangan hanya pandai menasihatkan orang lain tetapi keluarga sendiri diabaikan. Jangan hanya pandai beranak ramai tetapi tak mampu memberi kasih sayang seadilnya...Insya Allah.

Berikut artikel pilihan tulisan doktor fevret saya, Prof. Madya Dr. Harlina Haliza Siraj.


Perutusan media Wanita JIM sempena Hari Ibu 2009 didahulukan dengan rakaman ucapan takziah kepada keluarga ketiga-tiga orang ibu yang menjadi korban jenayah ragut dalam minggu ini, iaitu arwah Jamilah Selamat, 31 tahun dari Air Hitam Johor, Saripah Mohd. Nor, 33 tahun dari Ketereh Kelantan dan ibu warga emas, Tom Salleh yang berusia 86 tahun dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Mereka bertiga menjadi mangsa peragut bermotosikal yang kejam dan tidak mempunyai pertimbangan perikemanusiaan. Apa yang lebih menyayatkan hati, kedua ibu muda tersebut juga didapati sedang hamil. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Ilahi, sementara keluarga terbabit didoakan terus tabah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi pemergian bonda mereka yang selama ini menjadi tonggak kasih sayang keluarga.

Apa yang nyata, jenayah ragut semakin menjadi-jadi di seluruh pelusuk tanahair. Memetik laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah bulan lalu, jenayah ragut di ibu negara semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Statistik mencatatkan kenaikan sebanyak 600 kes iaitu 1,206 kes pada bulan Januari hingga April, berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu. 50% dari kes ragut ini dikatakan dilakukan oleh penagih dadah yang perlu mendapatkan wang untuk bekalan dadah harian mereka, di samping faktor pengangguran akibat kemelesetan ekonomi.

Dalam masa yang sama, ribuan para ibu di Malaysia hari ini, sebenarnya telah, sedang dan akan terus menumpahkan airmata kesedihan, menangisi anak-anak kesayangan mereka yang terbabit secara langsung dalam jenayah dan gejala sosial yang melambangkan keruntuhan akhlak, nilai dan moral segelintir generasi muda hari ini. Masyarakat amnya hanya cenderung menuding jari menyalahkan ibu dan bapa yang dikatakan gagal mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. Para ibu yang malang ini juga sentiasa tertanya-tanya, di manakah kesilapan mereka mendidik anak-anak ini, yang asalnya ibarat kain yang putih bersih. Entah bila dan bagaimana anak yang dibesarkan itu berubah menjadi agen perosak masyarakat yang mengancam ketenteraman dan kesejahteraan orang lain!

Wanita JIM akur sesungguhnya tiada penyelesaian simplistik dan jawapan yang mudah kepada permasalahan yang kompleks ini, yang dicetuskan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Namun hakikatnya, perubahan struktur keluarga moden dan pegangan nilai yang menjadi batu asas institusi kekeluargaan hari ini, sememangnya mempunyai kesan yang amat ketara kepada perkembangan anak-anak generasi muda Malaysia. Tidak dapat dinafikan, pembabitan ibu ke dalam sektor kerjaya di luar rumah sebenarnya mengurangkan peruntukan masa, tenaga dan emosi para ibu untuk menguruskan keluarga dan rumahtangganya. Dari menjadi ibu yang sepenuh masa berada di rumah memberikan tumpuan kepada keluarga, ibu bekerjaya kini perlu pintar mencari ruangan masa berkualiti untuk dihabiskan bersama keluarga. Walaupun kebanyakan ibu bekerjaya begitu komited terhadap keperluan dan tuntutan keluarganya, mahu tidak mahu tanggungjawab memikul amanah di tempat kerja sering men`curi’ tumpuan dan me`misah’kan wanita dari keluarganya. Anak-anak di pelbagai peringkat usia pula sentiasa memerlukan bimbingan yang khusus untuk menjamin pertumbuhan jasmani, minda, emosi dan spiritual yang sihat.

Perkembangan mutakhir mengenai gejala sosial dan jenayah yang membabitkan khususnya generasi muda hari ini, menjadi pencetus kepada lima (5) penegasan Wanita JIM seperti yang disenaraikan di bawah :

1. Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

3. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

4. Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.

5. Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Ayuh segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.

Sempena Hari Ibu 2009, ayuh pastikan keluarga tidak akan kehilangan wanitanya dan wanita juga tidak akan mensia-siakan penghormatan menjadi tonggak keluarganya sebagai satu anugerah yang amat berharga dari Allah SWT!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita JIM Pusat 2007-2009

Sempena Sambutan Hari Ibu 2009

8 Mei 2009



2 comments:

Janna Wan Muhammad said...

kalau gitu....I'm not a good mother..or even worse..I'm not doing my duty as a mother..since 3 of my kids bathe,feed,even buat milo by themselves...err..except for Yasmin la blom pandai wat milo....even Aina yg whom not yet 2 years old makan sendiri jer...

thus..it makes me a bad mother.I thought i have done a good job as mother...by teaching them how to prepare themselves..by themselves...

Aina said...

oooowwhh kak janna, so sorry sis..

saya tak bermaksud nak buat orang lain berfikir mereka ibu yang tak baik bila kata saya biar anak berdikari sendiri. sy yakin ada lebih banyak kebaikan dr keburukan buat begitu. cuma masa itu keadaan saya yang tak bersemangat,kepenatan dan moody mungkin menyebabkan sy rase down...but i believe u are really a good mother and wife..also a great woman!