Suka seafood?

*Salam Sejahtera*

Makanan laut seperti sotong, udang dan kerang merupakan fevret kebanyakan orang. Akak pun suka, terutamanya sotong. Sotong kurita yang coklat tu tak suka sangat, tapi kalau masuk dalam Yong Tau Fu emmm ngap jugak. Hehe..

Sama ada dalam tomyam, dalam char kue teow, yong tau fu, sea food bakar dll jenis masakan pastinya menambat selera. Tapi di sebalik kesedapan sementara tu ada padah yang menanti kita. Penyakit yang disebabkan sea food, gaut @ gout!

Melewati kisah pesakit gout, kebanyakkan diakibatkan oleh makanan laut, kekacang atau daging merah. Asid urik yang tinggi di dalam badan juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dalam jangka waktu panjang. Gout juga banyak menyerang kaum lelaki. Bukan hanya golongan berusia, yang agak muda juga boleh terkena gout. 

Bukan bermakna golongan wanita tidak terlepas, dikatakan selepas agak berusia dan selepas menopous wanita boleh mendapat gout. Ini kerana pada tahap sebelumnya mereka dilindungi oleh hormon estrogen di dalam badan.


Selain seafood, makanan yang mengandungi kandungan purina tinggi seperti makanan organ dalaman haiwan juga menyumbangkan kadar asid urik yang tinggi  di dalam badan. Organ seperti otak, usus lembu, hempedal ayam dan juga daging kambing.

Kepada kita yang masih sihat ni berhati-hati dan berpada-padalah dalam pemakanan yer. Katanya sakit gaut tu umpama ditusuk jarum kerana ia menyerang sendi. Hatta kalau disentuh dengan kapas yang lembut tu pun akan terasa sakit juga. Biasanya asid urik terkumpul di bahagian ibu jari sama ada kaki atau tangan.

Kisah 1
PAGI itu, ibu jari kaki kiri Muazan Zainuddin, 52, terasa berdenyut-denyut dan membengkak. Dia bingkas bangun untuk mengambil ubat bagi meredakan kesakitan yang dialaminya. Malangnya, seluruh tubuh badannya tidak dapat bergerak. Kepalanya terasa pening manakala tengkuknya mengalami kekejangan hampir tiga jam.
Lantas, anak-anaknya bergegas menghubungi ambulans dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut. Di hospital, badan Muazan dimasukkan air bagi meneutralkan paras asid urik yang naik secara mendadak.
Situasi itulah yang kerap dialami Muazan apabila dia diserang gout. Peningkatan asid urik dalam darah telah menyebabkan penyakit gout bertambah kronik. Ibu jari kakinya membengkak kemerah-merahan sehingga dia sukar bergerak. Sakitnya bukan kepalang seperti tapak kaki terpijak jarum.
“Gout ini sekali terkena sukar untuk sembuh tetapi kita boleh cegah serangan gout,” ujar Muazan yang menjalani rawatan susulan di hospital setiap bulan. [sumber...]
Kisah 2

Sementara itu, Azlan Bahrum, 27, menyifatkan kesakitan pada ibu jari kaki kanan yang dialaminya tujuh tahun lalu hanya sakit sendi biasa. Apatah lagi, doktor yang memeriksanya menyatakan kesakitan itu berpunca daripada kekurangan kalsium pada tulang.
“Doktor langsung tidak mengesyaki saya menghidap gout memandangkan usia yang masih muda. Saya kerap diberikan suntikan dan ubat tahan sakit apabila mengalami kesakitan terutamanya selepas makan makanan laut.
“Namun, selang setahun barulah saya didiagnosis menghidap gout. Itupun selepas mengalami kecederaan pada tangan akibat jatuh tangga. Selepas insiden itu, tulang buku jari hantu kiri yang terseliuh membengkak dan berdenyut-denyut. Rupa-rupanya, sendi yang lemah menyebabkan asid urik berkumpul,” jelas Azlan yang sudah dua kali menjalani pembedahan mengeluarkan asid urik pada tulang buku jari hantu dan tumit kaki kirinya. [sumber..]

Tentang gout

Gout merupakan sejenis penyakit yang menyerang sendi. Serangan tersebut boleh berlaku secara akut atau kronik iaitu kesakitan yang berulang-ulang.
Dahulu, penyakit gout dikenali penyakit raja dan orang-orang kaya kerana ia kerap menyerang golongan berkenaan. Barangkali pada masa itu, golongan tersebut mampu menikmati makanan yang mahal seperti daging, hidupan laut ataupun minuman keras. Hari ini, gout boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, bangsa dan jantina.
Kaedah pembedahan yang digunakan untuk mengeluarkan kristal garam asid urik yang terkumpul pada sendi ibu jari kaki.

Hormon pelindung
Dalam kebanyakan kes, golongan lelaki lebih cenderung diserang gout berbanding wanita. Wanita dilindungi oleh hormon estrogen yang membantu menstabilkan keseimbangan sistem dalaman badan dan mencegah paras asid urik dalam darah meningkat.
“Bagaimanapun, wanita juga berisiko mengalami penyakit gout selepas menopaus,” terang Perunding Perubatan dan Reumatologi, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, Dr. Shahdan Shahid, mengenai gout yang boleh menyerang individu seawal usia 13 tahun.
Jelas Shahdan, gout berlaku disebabkan gangguan metabolisme asid urik yang tinggi dalam badan sehingga ia menyebabkan berlakunya radang pada sendi. Selain sendi pada ibu jari, gout juga boleh berlaku di telinga, tengkuk, bahu, tulang pinggul mahupun lutut.
Peningkatan asid urik berpunca daripada tiga faktor iaitu pengambilan makanan yang tinggi purina seperti hidupan laut, kekacang dan daging merah. Bahkan, kekurangan air dalam badan boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah, sekali gus menyebabkan keadaan pesakit gout lebih buruk.
Masalah buah pinggang.
Asid urik ialah bahan hasil daripada pemecahan sel-sel matang asid ribonukleik (RNA) dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang mati dalam hati. Ia terhasil daripada pengambilan makanan yang tinggi kandungan protein purina.
Protein tersebut akan diuraikan menjadi asid amino dan sebahagian lebihan asid amino pula diuraikan menjadi asid urik. Gout bukan saja berlaku dalam kalangan lelaki yang mengalami masalah buah pinggang.
“Gout juga menyebabkan seseorang itu berisiko mengalami kerosakan buah pinggang pada kemudian hari,” ujar Shahdan mengenai penyakit gout yang turut dialami 8.3 juta penduduk di Amerika Syarikat tiga tahun lalu.
Sementara itu, Perunding Nefrologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Fan Kin Sing menyatakan sesetengah penghidap gout mengambil sikap sambil lewa tentang aspek gaya hidup sihat, pemakanan dan rawatan gout.
Mereka berpendapat gout hanya penyakit sendi yang boleh diatasi dengan suntikan dan pengambilan ubat tahan sakit. Sedangkan, serangan gout berkait rapat dengan kesihatan buah pinggang. Kekerapan mengambil ubat tahan sakit mengundang bahaya pada organ tersebut.
“Apabila buah pinggang gagal berfungsi, ia menyukarkan sistem perkumuhan asid urik yang lazimnya disingkirkan melalui najis dan air kencing. Kesannya, lebihan asid urik yang terperangkap di dalam darah akan berkumpul di buah pinggang sekali gus membentuk hablur garam.
“Hablur-hablur itulah yang akan merosak dan mengecutkan buah pinggang sehingga seseorang itu mendapat gout, batu karang dan hipertensi,” jelas Kin Sing kepada Kosmo!.
RAMUAN herba Cina ini dipercayai dapat membantu meredakan serangan gout.


Bahaya purina
Dalam pada itu, Ketua Pakar Pemakanan, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Lim Ai Leng memberitahu amalan pemakanan yang betul dan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari dapat membantu mencegah serangan gout.
Amalan tersebut dapat membantu meneutralkan paras asid urik dan menyingkirkannya daripada badan. Tahap asid urik yang normal dalam darah ialah antara 0.21 hingga 0.42 mmol/L.
“Pesakit gout harus mengelak daripada makan makanan laut seperti kerang, ikan salmon, ikan bilis, udang dan ketam kerana kandungan purinanya tinggi. Purina ialah sejenis protein yang membentuk asid urik hasil proses metabolisme dan berpotensi menyebabkan serangan gout.
“Purina juga terdapat dalam organ-organ dalaman haiwan seperti hati dan hempedal ayam, perut, otak dan usus lembu serta daging kambing. Sebab itu, saya sarankan pesakit sentiasa amalkan diet mengikut panduan piramid makanan,” jelas Ai Leng yang tidak menggalakkan pesakit minum minuman keras kerana ia meningkatkan paras asid urik dalam badan. [sumber...]
*Pppssstt: semoga Allah kurniakan kita kesihatan yang baik selalu. Amin.

0 comments: