"Hidup kami susah. Anak-anak terpaksa cari rumah yang adakan kenduri. Mereka membawa pulang lauk untuk kami makan sama-sama,"
Ini kata-kata seorang ibu yang saya petik dari dalam ruangan berita negara di akhbar Kosmo Online. Bukan nak cerita tentang ibu ini, cuma tiba-tiba teringat cerita seorang mak cik kepada saya. Makcik ni mempunyai anak ramai dan rapat-rapat pula. Suatu hari mereka pergi kenduri.
Ketika sampai di rumah kenduri, anak-anaknya berasa sangat gembira kerana itulah masanya mereka dapat makan makanan yang enak seperti lauk ayam, daging, nasi minyak dsb. Masuk ke rumah kenduri tersebut mereka sekeluarga duduk bersila dan satu talam hidangan pastinya hanya untuk mereka sekeluarga. Tiba-tiba mak cik terdengar suara di belakang yang mengatakan sekejap lagi kalau mereka makan habislah lauk ...Tak pasti sama ada gurauan atau perli, hatinya sangat tersinggung. Lantas, dia bangun dan bingkas mengajak anak-anaknya balik ke rumah. Anak-anaknya yang kecil menangis kerana mahu makan ayam di rumah kenduri. Hatinya yang terguris tidak mengendahkan langsung tangisan anaknya itu.
Pulang ke rumah dia ke kedai membeli daging ayam. Ayam tersebut di masak goreng dan diberikan anak-anaknya makan. Tersenyum puas anak-anak walaupun kecewa pada mulanya. Mak cik pula tumpang gembira walaupun wang yang digunakan untuk membeli daging ayam tersebut mungkin sudah melebihi bajet sepatutnya...
Saya agak terkedu mendengar ceritanya. Tanpa sebarang perkataan saya hanya tersenyum. Orang miskin juga punya maruah. Mungkin mak cik ini tidaklah semiskin dan sedaif hingga terpaksa mengemis atau kebulur untuk makan lauk kenduri, tetapi hatinya yang terguris dek kata-kata mulut busuk orang menyebabkan dia sanggup mencari sendiri daripada meminta atau menanggung malu. Egokah mak cik ini kerana dia juga boleh memekakkan telinganya demi anak-anaknya yang ingin makan makanan sedap yang susah untuk mereka nikmati di rumah?? Susah nak cakap sebab kita tak berada dalam situasi tersebut...
0 comments:
Post a Comment