Cerita Almustofa
2 minggu lepas peperiksaan. Aku malas nak suruh Almustofa membaca atau studi. Biarlah, sebab dia pun baru pertama kali hendak menghadapi peperiksaan. Aku yakin dia mampu buat yang terbaik dan Insya Allah soalan senang je. Kelmarin balik sekolah dia bercerita cikgu tunjuk kertas soalan dan keputusannya Almustofa dapat banyak 100. Aku teruja mendengarnya. Kemudian dia memberikan sekeping surat memberitahu 28 Mei tadikanya mengadakan Hari Ibubapa di mana cikgu akan menyerahkan buku laporan prestasi di sambil memberikan penjelasan perkembangan pembelajaran anak-anak di sekolah.
Di dalam surat yang sama, cikgu menetapkan sambutan Hari Guru akan diadakan sebelum cuti penggal bermula. Ermm kena sediakan makanan sendiri untuk dibawa ke sekolah. Sudah acap kali aku menyediakan mee sebagai bekalan. Kali ini macam nak buat pulut pulak. Ermmm..pulut kuning dengan rendang ayam. Macam best je kan. Luqman mendengar cadangan aku menyatakan sokongan. Hehe kebetulan baru-baru ini jiran kami memberi pulut kuning dengan rendang daging. Dia makan tak puas lah tuh. Apa pun, harap plan menjadi. Insya Allah...
Cemburu
Almustofa manja tetapi dia juga paling keras hati. Dia juga banyak tanya. Macam-macam soalan
Ini cerita Addin pulak
Memang betul kalau kita tunjuk contoh yang baik atau tak, kanak-kanak memang cepat belajar. Addin sekarang sudah pandai baca Alfatihah, bersolat serba sedikit (dengan bacaan yang tepat tapi agak pelat pada sesetengah rukun). Bukan ibu atau abah yang mengajar, tetapi dia banyak mengikut dan mendengar abang-abangnya bersolat. Tapi kadang kalau kita menegur untuk membetulkan kesalahannya dia akan marah dan merajuk. Kadang-kadang pula dia membaca Alfatihah 2 ayat terus sujud. Lepas sujud terus berdoa..Alahai....
Selain itu Addin juga kuat mengajuk cakap orang. Kalau aku membebel pada abang-abangnya dia akan turut sama membebel dengan perkataan dan ayat yang sama. Bila dikerling sama ada tersenyum atau menjeling dan tarik muka. Kadang-kadang aku lihat dia ni lain dari yang lain. Kata orang setiap anak-anak mempunyai cara berbeza, penampilan berbeza dan fizikal pun ada juga yang berbeza.
Kebelakangan ini aku suka menyebut perkataan 'aku' di depan anak-anak. Contoh ayat, "habislah baju aku.." atau "bertuah betullah anak aku". Addin dalam diam pandai menggunakan perkataan itu dalam percakapannya. Contoh ayat "mana aku punya?". Aku jadi terkedu sekejap pada kali pertama mendengar dia guna perkataan itu.
Kartun: Awasi dan jelaskan baik - buruk
Wonder pets dahulunya ialah siri tv yang aku suka tengok bersama anak-anak. Kini sudah jarang menontonnya sejak episodnyanya asyik berulang-ulang yang sama je..Anak-anak pula sudah pandai 'berlakon'. Hampir betul sebutan dialong siri kartun itu semua dihafalnya. Kalau yang elok oklah tapi kalau termasuk episod Wonder pets menyelamatkan Krismas maaflah ye. Jadi sebelum mereka melakonkan watak-watak itu ibu pun ambil langkah drastik menghentikan tontonan kecuali pada episod tertentu sahaja. Mungkin cara aku ni salah dan agak melampau. Tetapi tak mahu mereka melakukannya di belakang jadi terpaksalah. Jika depan mata bolehlah juga ditegur.
Sebenarnya banyak cerita kartun yang ditayangkan tidak berapa sesuai ditonton oleh kanak-kanak. Selain menyelitkan cerita tentang Krismas, Santa dan Holloween ada banyak perkataan yang tidak elok seperti ' Si Lembab', 'bodoh' atau sebagainya. Kadang jadi pelik mengapa pihak alih bahasa tidak menukar skrip mengikut kesesuaian kanak-kanak di negara kita. Ini belum lagi adengan cium antara 'kekasih' walaupun cuma sepasang anjing!
Mungkin aku terlalu protektif. Sebenarnya inilah realiti. Anak-anak akan berjumpa, mendengar dan melihat pelbagai aksi dan belajar macam-macam perkara yang dilihat disisi tv bila mereka melangkah ke luar rumah. Di sekolah akan ada kawan sebaya yang mungkin mempengaruhi. Jadi, bila peranan kita sebagai ibu bapa untuk membetulkan kesalahan dan kesilapan yang terjadi di dalam rumah kita dan menerangkan apa yang elok atau tidak elok apabila anak-anak menonton cerita yang kita fikir tidak sesuai. Paling baik teguran pada masa itu juga. Kalau disimpan takut lupa pula..
Banyak iklan yang menyanyi dan menari juga Addin suka tiru. Sekali dua tengok kita pasti suka tengok keletah anak-anak yang pintar. Bila sudah acap kali timbul pula kegusaran di hati, kalau lah suatu hari anak-anak berminat nak jadi penyanyi, pelakon atau penari. Dengan perkataan paling tepat nak jadi artis. Alahai ....
Kisah Alfatih
Hehe adik pun nak masuk blog juga! ok ok...kisah Alfatih pendek aja sebab dia masih kecil. Buat masa ini dia sudah berumur 8 bulan setengah. Sekarang sudah pandai berdiri dan pusing satu rumah sama ada berpegang pada kerusi (sebagai walker) atau dinding untuk ke satu-satu tempat. Belum pandai merangkak tapi dah nak berjalan dulu gamaknya.
Gigi Alfatih sudah ada 4 batang (dua atas, dua bawah). Dia juga sudah pandai panggil ibu. Seronokkkkk, masa mula-mula dulu dengar dia sebut "be" dan sekarang dah betul "bu". Cuma bila sebut 2 sukukata bukan jadi 'ibu' tetapi 'abe' atau 'abu'. Hehe, abang-abangnya semua begitu juga dulu. Lama juga nak betul sebut perkataan 'abu' sebagai 'ibu'. Dan lagi, dia juga sudah pandai gigit ibu dan bila geram cubit ibu. Adooiii...hihi sayang anak-anakku semua!
Kesimpulan untuk semua 4 cerita di atas, kita sama-samalah ambil tahu tentang anak-anak kita. Perkembangan semasa diorang dan tahap kesihatan diorang. Jangan sampai orang lain tolong beritahu kita dan betulkan untuk kita. Bukan aku kata aku ni ibu yang prihatin sangat sebab ada juga yang aku terlepas pandang.
1) Imunisasi anak - inilah perkara utama yang aku dah terlewat dapatkan untuk anak-anak. Addin dan Alfatih terutamanya masih perlu banyak suntikan vaksinasi dari klinik.
2) Doktor gigi - patut 4-6 bulan sekali check up kan. Kami biasa buat setahu sekali tetapi bajet tahun ni lari, jadi dah lewat beberapa bulan.
3) Ajar anak sendiri mengaji - bukan tak buat tetapi jarang-jarang. Patut jadikan amalan harian selepas solat (paling afdal). Aku harap dapat mencapai tahap ini.
Harap anda dapat sesuatu dari perkongsian saya ini.