Lif rosak, jalan jem
Sudah dua hari lif rosak masih dalam penyelenggaraan. Nasib baik ada 1 yang ok tetapi memandangkan ada 15 tingkat maka ramailah yang akan memenuhkan lif tersebut pada waktu pagi. Nasib baik aku dapat bersiap awal dengan anak-anak untuk kesekolah, jadi dapatlah menempatkan diri dalam kesempitan. Kalau di jalanraya macam jem jugak lah sebab lif akan berhenti di beberapa tingkat yang tiada orang akan masuk kerana mungkin yang menekannya sudah turun atau naik menggunakan tangga. Aku duduk tingkat 10, huh tak laratlah nak panjat tangga sambil mendukung Alfatih yang beratnya mungkin sudah 7-8kg. Aduhai...
Dalam pada bersiap awal nak menghantar Almustofa ke sekolah, boleh pulak hari ini Addin dan Alfatih bangun awal. Apa lagi, plan nak mengikut ibu hantar abang Almustofa sekolah lah. Dan dan nak keluar, mula-mula Addin sibuk nak mandi dulu. Lepas dah siapkan dia, Alfatih mereyas (bahasa orang Dong) pula. Terpaksa pula tukar pampers. Keluar rumah macam biasa tetapi berdepan dengan lif jem lambat pula nak sampai giliran. Sempat lah aku nak masuk rumah dua kali mengambil botol air Almustofa yang tercicir dan mengambil duit seringgit buat membeli karipap untuk Addin. Sebaik lif tiba, memang penuh. Aku selitkan anak-anak dan akhirnya berlari-lari mengejar van sekolah. Nasib baik sempat...
Kumpul duit majikan
Ini kisah bibik yang sama aku cerita dalam posting sebelum ini. Ya, aku sudah tanya namanya, Su. Sudah beberapa hari tak berjumpa Su sewaktu menghantar Almustofa ke sekolah. Mungkin majikannya menghantar sendiri anak ke sekolah. Su kini sedang menghitung hari untuk pulang bercuti ke Medan. Alhamdulillah majikannya yang baik hati itu memberi cuti 2 minggu sempena cuti sekolah bulan Jun ini. Belum pun sampai setahun dia bekerja di Malaysia. Dia yang datang ke Malaysia dengan dibawa oleh ibu saudaranya yang bekerja di Shah Alam. Umur Su lebih kurang aku juga, sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak perempuan. Pernah aku minta hendak melihat foto keluarganya di Medan. Langsung keesokannya dapat aku menatap wajah 2 orang anaknya yang comel. Foto perkahwinannya juga dapat aku lihat. Wah! Jangan tak percaya, grand bangat...
Sempena balik bercuti majikannya sudah menitip beberapa buah tangan untuk keluarganya di sana. Malah dia sendiri sudah membeli ole-oleh untuk keluarga terutama anak-anak perempuannya. Jadi setiap kali bertemu pasti ada sahaja cerita terbit di mulutnya. Jelas keterujaan hatinya. Antara satu cerita menarik, dia memberikan satu tabung berisi duit kepada majikannya. Di dalamnya berisi duit majikan yang dia kutip dari dalam seluar, baju, dll. Majikan yang baik itu memberitahu dia tak kisah pun pasal duit tersebut. Kadang Su keluar ke Giant sendiri bersama anak-anak majikan, dia akan menggunakan duit sendiri bahkan membeli macam-macam untuk anak-anak tersebut. Kekadang pula dia membawa anak bergunting rambut, dia tak lokek untuk membayar dengan duitnya sendiri. Anak-anak itu sudah macam anaknya sendiri. Itulah naluri seorang ibu yang merindui anak-anaknya. Menumpang kasih dan mencurahkan sayang pada anak orang.
Alhamdulillah....aku tumpang gembira melihat kasih sayang Su dengan keluarga majikannya. Tampak berbeza sewaktu pertama kali dia bekerja dengan keluarga ini. Walaupun aku hanya mendengar cerita sebelah pihak tetapi aku percaya dengan ceritanya. Walaupun banyak kita dengar kisah-kisah tidak elok tentang pembantu rumah Indonesia, aku gembira di depan mata dapat melihat versi yang baik. Di akhir cerita pasal tabung duit itu, dia memberitahu majikannya telah membelikan sebuah slow cooker khas untuk merebus daging untuk dibawa pulang ke Medan. Memang dia wajar mendapat balasan baik walaupun dia tidak mengharapkannya. Katanya lagi, "saya tidak mahu kak, nanti di 'sana' kita akan di tanya. Saya tak mahu ambil duit orang".
Benar kata pepatah, buat baik dibalas baik, budi baik dikenang juga dan hutang budi dibawa mati..:)
Petua nak dapat anak ikut gender
Ini kisah Su lagi! Hehe..Terkejut aku tetiba suatu pagi dia bertanya sama ada aku tak mahukah mendapat anak perempuan....Ketika itu ada lagi seorang bibik yang bernama Rasmi yang masih bujang. Tiba-tiba malu aku dibuatnya. Dalam masa yang sama teringin juga aku nak mendengar petua tersebut. Aku jawab aku tak kisah lelaki atau perempuan. Kalau dapat lelaki sahaja semua pun aku bersyukur sangat.
Su memberitahu kalau nak dapat anak perempuan, selepas bersama suami mengiringlah ke kiri setengah jam. Insya Allah. Aku hanya senyum. Dia menyambung ceritanya lagi bahawa kalau nak dikira dia sudah 5 kali mengandung tetapi 3 kali keguguran dan 2 daripadanya ialah lelaki. Aku berkata dalam hati, agaknya petua tersebut menjadi buat dirinya kot. Hahaha... apapun cubalah ye kalau sesiapa yang mahu mencuba petua ini. Aku???? Tak mau komen lebih-lebih...:P
Anak Anugerah Allah
Begitulah tajuk perbincangan dalam program 'Tanyalah Ustaz' pada minggu ini. Ustaz jemputan kali ini ialah Ustaz Hanafi Abdul Malek. Sangat terkesan dihati mendengar bicara beliau. Dengan pengisian yang melekat di hati semoga menjadi panduan kepada kita dalam mendidik anak-anak yang cemerlang di dunia dan juga di akhirat.
Dalam perbincangan tersebut, ustaz sempat menitipkan sedikit petua sebagai ikhtiar untuk pasangan yang belum mendapat anak. Caranya ialah dengan minum air susu kambing segelas yang dikisar bersama segenggam kurma. Cukup sekali minum dan lihat dalam tempoh setahun. Dalam tempoh itu juga boleh amalkan untuk minum susu kambing dan makan buah kurma 7 biji (lebih pun tidak mengapa) yang dimakan pada setiap pagi. Insya Allah sebagai ikhtiar dan selebihnya tawakal kepada Allah. Menurut beliau, ini ialah petua orang arab.
Keluar masuk wad
Semalam dapat sms adik aku Mamat bagitahu 8 Jun mak akan masuk wad semula dan 10hb akan jalani operasi membuang batu karang. Ini kali ke-3 jadual ditetapkan dan dua waktu sebelum ini telah dibatalkan walaupun sudah masuk wad menunggu giliran. Erm bukan sahaja abah tetapi kami adik beradik merungut dan berleter tak habis sebab dari jauh mak abah datang tetapi hanya jalan-jalan makan angin.....
Apa nasib mak. Kasihan dia, tetapi apakan daya, kalau kami kaya boleh gak sponsor mak operasi kat hospital swasta. Apakan daya, walaupun lebih 10 tahun sudah berlalu, sejak pertama kali mak operasi membuang batu karang di Hospital Tawakal, penyakit ini datang semula. Bertahun kebelakang ini mak berulang alik menjalani proses laser, tetapi akhirnya pembedahan terpaksa juga dijalankan. Mak memang tabah. Kalau ada satu hari yang mak kesakitan amat sangat, itu tandanya batu akan keluar melalui saluran kencing. Selepas keluar memang keadaan mak lega tetapi bukan semua batu itu berjaya keluar melalui saluran kencing. Masih banyak yang berada di buah pinggang mak (kiri kanan). Memikirkan keadaannya,................aku tak mampu untuk membayangkan bagaimana rasa sakit yang ditanggung. Semoga operasi kali ini berjaya dilakukan pada tarikh ditetapkan. Tak sanggup mendengar dan melihat mak sakit lagi...Insya Allah.
Ya Allah Engkau kuatkanlah semangat emak melalui ujian ini. Semoga kesihatannya akan membaik seperti sediakala. Amin....
Di hujung smsnya Mamat berharap kali ini jadilah operasi pembedahan mak. Kalau tak jadi juga dia mengajak kami adik beradik menyerang doktor yang menelefon abah beritahu tarikh baru ini. Haha tergelak aku dibuatnya! Apapun aku sokong!
Mamat: Selepas setahun
Tanggal 12hb Mei yang lalu genap setahun peristiwa Mamat eksiden motor. Kalau sesiapa yang masih ingat aku ada menulis kisahnya tahun lepas.1. 2. Kini Mamat telah sembuh sepenuhnya dan sudahpun berkahwin pada Januari lalu. Tiada apa yang kami harapkan semoga perkahwinan dibina akan berkekalan dunia akhirat dan dapat menimang zuriat soleh solehah. Insya Allah.
0 comments:
Post a Comment