Betulkan yang bisa, biasakan dengan yang betul
Ini tagline pengacara di dalam salah satu segmen program Alhidayah iaitu program keagamaan TV3 pada setiap hari Jumaat pukul 1 tengah hari. Aku suka tagline tu. Kebiasaan kita semua susah untuk mengubah sesuatu yang sudah menjadi tabiat (habit) sejak lama biarpun hakikatnya ia salah. Tidak kira dari sudut mana satu pun jika bertujuan kebaikan sepatutnya kita perlu berlapang dada menerima perubahan. Hatta di dalam sudut agama juga jika selama ini kita hanya bertaklid buta menerima ajaran dari guru/ibubapa kita sejak lahir atau kecil kita harus memperbanyakkan diri dengan ilmu dengan belajar supaya apa yang kita lakukan atau buat selama ini kita benar-benar faham sebab dan musababnya. Bila ilmu penuh di dada kita juga tidak akan mudah terpengaruh dan diperdaya dengan ajaran sesat dan pandangan jumud terhadap Islam. Moga aku pun dapat mengubah diri ini daripada kebiasaan yang tak berapa betul kepada yang lebih betul. Amin
Riak ke saya?
Seseorang menegur saya kerana meletakkan foto repot kad Luqman di dalam fesbuk. Album tersebut sudahpun saya padam. Pokoknya saya cuma hendak berkongsi perasaan sebagai seorang ibu apabila menerima keputusan anaknya. Di samping itu saya berharap mendapat pandangan kawan-kawan dari kalangan guru bagaimana hendak membantu membaiki kelemahan yang ada. Setelah berfikir ada betulnya. Banyak lagi cara yang saya boleh fikirkan untuk membaiki kelemahan dirinya kerana dia anak saya dan saya ibunya. Sebagai ibu seharusnya saya lebih faham selok belok diri anak sendiri. Betul tak?? Kata seseorang tersebut, keputusan yang buruk itu mungkin akan mengaibkan dia dan jika elok pula ia mungkin akan menimbulkan riak di dalam hati saya. Mmmm maaf saya tidak pernah berfikir untuk riak. Kadang kala yang kita kata bukan itu mungkin juga ya, riak. Jika saya bangga sekalipun tidak salah saya berasa demikian kerana setiap ibu bapa pasti bangga dengan kejayaan anak mereka. Persoalannya perbuatan menunjuk-nunjuk itulah yang tidak bagus. Sekali sekala memang elok kita ambil kisah pandangan orang lain. Kita selalu dengar orang bercakap, pedulikan pandangan orang asalkan aku bukan seperti yang dikatakan. Memang benar hanya Allah sahaja yang tahu apa terselindung dalam hati seseorang itu tetapi tidak salah berlapang dada menerima pandangan orang. Jika saya berharap hendak menjadi ibu yang lebih baik pada masa depan tidak salah menerima teguran tersebut kan???
Buai dan tempat henjut bayi
Semasa membuat pemeriksaan dengan doktor di klinik, Alfatih saya serahkan kepada hubby untuk mendukungnya. Sambil memeriksa, Doktor Wan Kamariah menjawab beberapa pertanyaan saya tentang masalah dalam wanita. Kemudian dia menegur hubby yang sedang mendodoikan Alfatih. "Salah cara itu. Itu boleh mendatangkan gegaran kepada bayi dan menyebabkan pendarahan dalam otak". Sebenarnya hanyunan bukan kuat mana pun, tetapi menghenjut di bahagian kepala adalah tidak dibenarkan. Selain itu buai dan tempat henjut bayi (tak tau panggil apa tapi seperti dalam gambar dibawah) juga boleh mendatangkan mudarat jika digunakan/henjut secara kuat sehingga menyebabkan gegaran. Anda boleh mendapatkan bacaan lanjut tentang bahaya penggunaan buai dari sini. Walaupun kami tidak pernah menggunakan buaian tetapi mendodoikan anak-anak ditangan secara hanyun dan henjut juga boleh mendatangkan mudarat rupanya. Nauzubillah. Sekali lagi mari kita betulkan yang biasa dan biasakan dengan yang betul (pinjam tagline Alhidayah).
Aku dan saya
Sekejap-sekejap guna 'aku'...kejap-kejap guna 'saya' pula. Itu ganti nama yang saya guna dalam penulisan blog ini. Kekadang semasa menulis tidak sedar mana satu digunakan. Bila semak balik, baru perasan. Sebetulnya saya menulis mengikut kata hati ketika itu. Hehe boleh tak bagi jawapan macam ni? Dengan kawan-kawan pun ada sesetengah saya guna aku bila bercakap termasuk dengan adik beradik. Pernah sekali, dengan kawan-kawan saya bercakap guna ganti diri 'saya', tiba-tiba seorang dari mereka menempelak saya supaya jangan guna 'saya' tetapi gunakan 'aku'. Alasannya 'saya' itu terlalu sopan. Apapun aku atau saya atau lain-lain perkataan yang sewaktu dengannya bergantung juga kepada keadaan semasa dan dengan siapa digunakan. Ada setengah yang lain berpendapat 'aku' terlalu kasar untuk digunakan. Maaf jika anda berpendapat saya kasar dalam berbahasa....:)
Gulai tempoyak ikan patin
Semasa kunjungan Najwa aka Uminaj (blogger dapurumi.blogspot) ke rumah saya, Has dan suaminya Alias mengirim bersama semangkuk (sebenarnya penuh seperiuk) Patin masak tempoyak. Sementelah mereka tidak dapat turut sekali ke KL sebab Alias terpaksa berkerja. Alhamdulillah memang best dan sedap. Ini kali pertama aku makan selepas habis pantang. Nasib baik Alfatih tidak meragam perutnya sebab ibu makan banyak. Hehe...mungkin berkat air tangan si tukang masak yang berzikir sambil memasak kut..Apa pun buat Has dan suami terima kasih daun keladi. Insya Allah kalau diizinkan Allah kami pula akan berkunjung ke Temerloh. Bila? ..(hanya Allah yang tahu)
Gulai ikan patin masak tempoyak pemberian Has
Ikhlas kerana Allah dan bukan kerana manusia
Semalam terdengar satu segmen agama di radio IKIM. Segmen apa, tak pasti. Yang menarik perhatian saya seorang pemanggil bertanya kepada ustaz bagaimana jika seseorang itu malas hendak berbuat kebaikan jika ianya dilakukan hanya kerana manusia. Jadi dia menangguhkan dulu sehingga dia betul-betul akan melakukan perubahan tersebut bila sudah terbuka hati untuk membuatnya kerana Allah Taala. Pemanggil itu memberi contoh soal memakai tudung/menutup aurat.
Menurut ustaz tersebut ada pandangan yang mengatakan tidak mengapa membuat kebaikan kerana manusia. Contoh menutup aurat itu ialah wajib dan mesti dilakukan. Menunggu untuk ikhlas berbuat kerana Allah mungkin mengambil masa yang lama sedangkan perkara itu tuntutan syarak. Tetapi, dalam masa yang sama kita harus belajar untuk menimbulkan keikhlasan dalam diri supaya perbuatan baik kita dibuat kerana Allah Taala. Bukan hanya dalam aspek menutup aurat, mungkin kita boleh luaskan skop ikhlas ini dalam bersedekah, membantu orang susah dan lain-lain lagi. Insya Allah moga lama-lama nanti akan terbit ikhlas dan hidayah daripada Allah di hati-hati kita semua...