Pagi ni hantar Luqman pergi menunggu bas sekolah macam biasa. Semalam dia menangis dapat tahu kami breakfast dengan nasi lemak. Jadinya aku dah janji akan belikan nasi lemak sebagai bekal hari ini. Punya bersemangat dia berlari menuju ke tempat menunggu bas. Kedai yang menjual nasi lemak pula hanya bersebelahan. Malangnya tiada jualan nasi lemak pagi ini. Aku sendiri pun dah membayangkan kalau ada sambal kerang nak beli barang sedikit untuk makan tengah hari.
Aku terlupa. Kebiasaannya, pada hari Rabu memang Mak Cik menjual nasi lemak tidak buka kedai. Disebabkan sudah jarang berbeli dan bercuti panjang lalu aku terlupa kebiasaan tersebut. Kedai tersebut hanya menjual kuih sahaja pagi ini. Tiada rotan akar pun berguna. Aku pun belilah karipap 2 biji dan sebuku donut. Malangnya Luqman menolak. Dia mahukan nasi lemak juga. Alhamdulillah kedai runcit berdekatan yang selalu buka lewat, dibuka awal hari ini. Lalu aku ke sana membeli Twiggies perisa coklat sebungkus. Hurmmm baru dia menerima dengan berlapang dada. Dalam hati geram juga dengan perangainya itu.
Sambil menunggu bas, aku berbual dengan seorang bibik dan 3 orang anak asuhannya. 2 daripadanya perempuan dan bersekolah tadika yang sama dengan Luqman. Aku bertanya kepada si kakak, dia mendapat nombor berapa di dalam kelas. Nombor 3 jawabnya. Bibik memberitahu, peperiksaan yang lepas dia mendapat nombor 1. Hurrmm cerdik budak perempuan itu. Lalu aku bertanya macam mana Luqman di dalam kelas dan sepanjang minggu peperiksaan. Dia bercerita Luqman malas menjawab soalan. Bila orang dah siap menjawab dia masih menulis. Akhirnya cikgu terpaksa duduk sekali untuk membantu dia selesaikan menjawab kertas soalan.....Tambah budak perempuan yang aku tak tahu namanya itu, Luqman juga suka bermain dan selalu dimarahi oleh cikgu.
Dengan cerita itu akhirnya terjawab persoalan ibu dan abah tentang keputusan peperiksaannya baru-baru ini. Aduhai....Begitu rupanya, tapi aku bukan risaukan tentang keputusan tersebut tidak mencerminkan prestasi sebenarnya. Aku yakin dia boleh buat, tetapi dengan bantuan sedemikian tidak termampu oleh semua guru hendak melakukannya....Bagaimana tahun hadapan dia akan menjalani alam persekolahan yang sebenarnya????? Inilah yang paling aku risau...
Aduhai...sesiapa ada tips tak untuk menangani masalah anak sedemikian???Saya rasa Luqman perlukan bantuan untuk membuat segala kerja dengan cepat. Kalau di rumah dia juga begitu. Kalau dimarahi semakin lambat lah dia menyiapkan kerjanya kerana emosinya sudah terganggu. Kecuali, jika diugut untuk tidak dibenarkan menonton kartun atau bermain games. Atau juga ibu kena pegang rotan sebelah menakutkannya. Tapi, takkan sampai macam itu aku kena buat. Tak berapa munasabah dan takkan membantunya, betul tak?? Aku pun dah sampai tahap hypertension melayan karenah mereka yang pelbagai saban hari.
Selain itu, kalau makan nasi atau makan mee dia mengambil masa yang lama kadang-kadang itu untuk menghabiskan makanannya. Lebih-lebih lagi jika dia makan sambil menonton tv. Kadang-kadang hampir berjam-jam untuk habiskan makanan di dalam pinggan (mungkin juga faktor masakan tersebut bukan kegemarannya tetapi terpaksa makan kerana ibu suruh makan. Jika tidak nanti ibu tutup tv). Tabiatnya yang mudah menangis juga menyakitkan hati aku. Bukan kena cubit atau pukul pun. Tiada sakit di mana-mana pun. Mungkin hatinya sahaja sakit hehe. Bila nak suruh bukakan komputer kerana dia hendak bermain game menangis...Bila hendak menonton kartun tetapi tv aku tutup dia menangis...Hatta bila tak mampu melakukan sesuatu menangis juga...Tidak tahu nak buat kerja sekolah menangis juga...Aduhai
Bukan ibu dan abah tidak pernah memberitahu mana yang elok/patut dilakukan tetapi dia mengangguk sahaja. Tidak pun dia menjawab "Ya". Tetapi, hasilnya tidak memberangsangkan. Kalau sesiapa ada tips/cara/pendapat untuk saya membantu anak sedemikian silalah kongsikan di sini ya.. Terima kasih sangat-sangat....
0 comments:
Post a Comment