Pendekatan psikologi mendidik anak

Memetik kata-kata hikmah seorang ibu yang memiliki 13 orang anak, Puan Noor Jannah Ahmad Dini:

Sesekali bila berjumpa rakan-rakan lama, mereka sering kata saya seorang yang sabar melayan kerenah anak-anak seramai itu.

Sebenarnya saya malu dengan tanggapan tersebut kerana saya bukanlah seorang yang sabar. Sesekali saya juga naik angin. Tetapi, anak-anaklah sebenarnya yang menyabarkan dan mematangkan saya untuk seboleh-bolehnya menjadi ibu yang terbaik bagi mereka
” [baca lanjut di idesa.net.my]

Saya dan suami sendiri lahir dari keluarga yang agak besar juga. Saya mempunyai 8 adik beradik (seorang meninggal semasa lahir) dan suami mempunyai 9 adik beradik. Susah payah emak dan abah mendidik kami adik beradik sehingga besar amat saya hargai walaupun keluarga kami bukanlah satu keluarga yang boleh menjadi contoh tauladan bagi keluarga yang lain. Definisi 'keluarga contoh' mungkin berbeza bagi sesetengah orang. Tapi bagi saya, lahir di dalam sebuah keluarga bahagia dan aman damai tanpa masalah sosial yang berat amat saya syukuri. Normal bagi setiap manusia ada suka dan duka dalam kehidupan. Namun kami lalui bersama dengan bekerjasama dan saling menyayangi. Berbanding keluarga suami yang pernah mendapat anugerah keluarga contoh. Mungkin kerana hampir kesembilan anak-anak berjaya ke IPT dan memperoleh kerjaya yang elok.

Adik ipar saya pula mempunyai 16 adik beradik dan biras saya pula mempunyai 13 adik beradik. Melihat kepada jumlah ini memang kami akan terkesima mendengarnya. Kagum juga bagaimana ibubapa mendidik anak-anak seramai itu. Adik saya Aini bercerita tentang ibu mertuanya yang memanjakan semua anak-anaknya 16 orang itu dengan sama rata walau pun sudah besar panjang. Dalam bab membantu emak, baik lelaki atau perempuan mereka sama-sama ringan tulang membantu kerja-kerja rumah. Aini agak kagum, kerana berbanding keluarga kami yang lebih ramai perempuan pun saling bergaduh nak buat kerja rumah.(hehehe). Tahun lepas kalau tak silap, keluarga mereka mendapat anugerah keluarga memiliki anak paling ramai. Alhamdulillah..

Apapun, bukan lah anugerah yang kita kejarkan. Bukanlah jumlah anak siapa paling ramai menunjukkan mereka itu keluarga terhebat atau ibubapa paling berjaya. Ia bergantung kepada keadaan. Jika anak 10 tetapi semuanya menghuni 'pusat 1Malaysia' (pusat serenti, pusat pemulihan akhlak dll) mungkin hilang bahagianya. Mungkin juga beranak hanya seorang tetapi dapat memberikan bakti sebaik mungkin kepada kedua ibubapa dengan hasil pekerjaan yang mungkin juga bukan sebagai pegawai besar itulah satu kejayaan yang sebenarnya.

Bagaimana hendak berjaya? Semua orang sudah tentu mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran. Kemudian masuk U dan akhirnya mendapat pekerjaan yang baik. Namun, ia bukan berhenti setakat di situ. Seperti mana kita berdoa untuk kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, maka, masuk syurga itulah kejayaan yang hakiki.

Begitu mudah untuk menentukan mana yang baik dan buruk untuk diri kita. Tetapi, untuk melaksanakannya amatlah payah. Kekadang kita diduga dengan bermacam ujian dan masalah yang membebankan jiwa raga. Pokok pangkalnya dari hati. Jika hati kita 'mati' maka semuanya tidak menjadi. Hati yang baik (ikhlas, redha, sabar, pemaaf, tiada hasad dll) akan melahirkan jati diri insan terpuji, tutur bicara yang menyenangkan insan lain dan akhirnya menzahirkan perbuatan yang sentiasa mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya....

Pendekatan psikologi - suatu ilmu yang perlu saya dan anda juga pelajari. Banyakkan membaca mungkin? Jika anda tahu sesuatu sila kongsikan bersama. Di sini. Pendekatan psikologi selalunya lebih berhikmah di mana akhirnya anak-anak dapat mempelajari sesuatu perkara dari kesilapannya.

0 comments: