Alkisah di negeri Mat Kilau, berita kematian bekas seorang pembesar negeri telah dicanangkan. Suram alam mendengar berita. Pokok dan rumput berhenti bergoyang. Seketika. Bunga di laman astakona hampir-hampir layu lantaran dek kesedihan. Apatah lagi manusia, rakyat seluruh negeri. Adik beradik bekas pembesar meratap hiba. Sahabat handai membatalkan urusan pagi hingga malam untuk menziarah kali akhir. Anak isteri bekas pembesar dikatakan mula mengira bahagian harta. Pusaka bekas pembesar di seluruh negeri.
Tidak sampai 5 minit berita tersebar, sekali lagi canang berbunyi. Bekas pembesar masih hidup! Masih boleh menghirup udara walau tak senyaman yang sihat. Masih Yang Maha Kuasa meminjamkan nyawa kepada jasadnya di dunia nan fana ini. Masih boleh menghulur tangan berjabat salam. Lemah, tetapi masih mampu memberi!
Pokok dan rumput kembali menari. Tanda syukur kepada Yang Maha Kuasa. Bunga kembali mekar berseri-seri. Bagai akarnya dijirus air dan baja nan asli. Adik-beradik sudah bersiap hendak berangkat ke pusara. Para sahabat juga sudah tiba untuk berziarah. Anak isteri berwajah sedikit ceria, walaupun disangkal keikhlasan mereka. Prasangka manusia memang sukar dielakkan.
Berita telah sampai kepada Menteri Besar. Ketua kepada semua pembesar dalam negeri Mat Kilau. Nasib sahaja khabaran tersebut tidak sempat masuk ke dalam istana. Mengurut dada lapang, sang Penasihat Raja menunduk kepala. Lantaran bicaranya cerita palsu telah tersebar. Hatinya sedikit marah kepada pacal yang menyampai khabaran itu padanya. Jika sampai hingga ke pengetahuan Sultan, tentu baginda naik murka. Seolah-olah hendak mempermainkan baginda.
Adik beradik bekas pembesar juga marah bercampur hairan. Bagaimana kisah hidup mati boleh dipermain-mainkan? Sahabat handai yang bergegas datang terasa hikmahnya. Jika tidak kerana khabaran palsu itu, tentu mereka sedang sibuk mengira untung dan mengejar dunia sahaja. Sedangkan saat ini, mereka sedang berfikir bilakah waktu mereka pula akan tiba? Bukankah berpahala mengingati mati?
Alkisahnya salah faham bermula apabila dua wanita bergelar isteri dan bekas isteri kepada bekas pembesar saling berkomunikasi menerusi angin. Esak tangis wanita berlebih-lebihan telah menyebabkan tersilap fahaman berlaku. Difahaminya ialah bekas pembesar yang sedang nazak itu sudah pun meninggal dunia. Meninggalkan rumah nan indah, wang bersepah-sepah dan anak isteri cantik jelita!
Bekas pembesar masih bernyawa! Disebut-sebut orang, semoga panjang umur bekas pembesar itu hendaknya. Sang bijaksana memberitahu, jika umur yang lebih panjang memberikan kebaikan buat seseorang maka mohonlah kepada Yang Maha Kuasa untuk lanjut usianya. Jika sebaliknya, berdoalah, meminta kebaikan diberikan untuknya. Kita tidak tahu perancangan Yang Maha Kuasa. Mana yang lebih baik, hidup atau pun mati?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui...." - Surah Al-Baqarah ayat 216.
0 comments:
Post a Comment