Alkisah bekas pembesar yang disayangi -penutup

Suasana pagi Jumaat aman tenteram. Syukur kepada Yang Maha Kuasa kerana masih dipinjamkan usia sehari lagi. Setelah timbul perkhabaran palsu itu, tiada siapa yang tahu apa terpendam di dalam hati bekas pembesar. Tubuh kurus itu terbaring lemah. Tiada bicara terluah. Anak isteri, adik beradik, saudara dan sahabat handai setia di sisi. Bacaan ayat suci berkumandang mengisi harinya..Esak tangis anak isteri sesekali muncul di antara bacaan kalimah suci. Bekas pembesar semakin nazak.

Janji Yang Maha Kuasa itu pasti. Tidak pernah mungkir atau lewat sesaat untuk ditunaikan. Sebelum Subuh hari Sabtu, Izrail telah menunaikan tugasnya.

"Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada Nya kita kembali.."

Urusan disegerakan menghormati jenazah yang sudah bersedia untuk pergi. Doa dan tangis mengiringi. Pemergian yang kekal abadi ke alam yang baru. Meninggalkan segala yang dicintai dan dimiliki. Permergiannya bekas pembesar seorang diri. Tanpa protokol dan upacara rasmi.

"Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya" [Hadith Nabi s.a.w]

Dalam kesayuan talkin dibaca. Mentari menyinar terik perit bumi Mat Kilau. Mercik peluh anak-anak adam yang masih hidup. Dalam hati terdetik bila ajal sendiri akan tiba. Selesai sudah segala yang fardhu. Berangkat pulang meninggalkan pusara nan merah. Tertanya-tanya apakah nasib bekas pembesar di sana?

Hanya Yang Maha Kuasa mengetahui segalanya. Semoga aman rohnya di sana. Semoga Yang Maha Kuasa menerima kebaikan dirinya selama berkelana di dunia fana. Semoga beroleh kebaikan di akhirat sana. Amin dan Alfatihah buat bekas pembesar yang disayangi.

Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Yang Menguasai hari Pembalasan (hari akhirat).
Hanya kepada Engkau (Ya Allah) kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.
Bimbinglah kami ke jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang yang Engkau telah anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat.

0 comments: