Kasihnya ibu...

Pagi ini hati aku begitu tersentuh dengan berita yang ditulis tentang arwah Yasmin Ahmad. Banyak berita yang keluar tentang luahan hati Mak cik Inom ini, tetapi kali ini hampir menitis airmata aku membaca kisahnya. Memang betul syurga letaknya di kaki ibu..redha seorang ibu akan memastikan kesejahteraan si anak di dunia sampai akhirat. Semoga Allah memberikan rahmah dan tempat yang baik buat arwah di sana dan mengampunkan dosa-dosanya berkat keredhaan dari seorang ibu....amin

Sumber: MStar Online
Yasmin tidak mahu 'pergi' selagi belum dapat restu mak

'SYURGA itu di bawah tapak kaki ibu' maka sebab itu setiap doa yang keluar dari mulut ibu sentiasa akan dikabulkan Tuhan. Dan seandainya titisan air mata yang keluar dari kelopak mata ibu, amat besarlah dosanya buat anak-anak jika terguris hati ibu.

Tetapi tidak bagi ibu kepada arwah Yasmin Ahmad, Mak Inom, setiap air mata yang mengalir dari matanya adalah tangisan kesyukurannya kerana memiliki anak seperti arwah Yasmin yang dianggapnya 'One in a million' (Satu dalam berjuta) di atas muka bumi ini.

Arwah Yasmin merupakan seorang anak yang taat dan patuh terhadap kedua ibu bapanya dan beliau tidak pernah sekali mengguris perasaan kedua-dua mereka.

Mengimbau kembali kenangan bersama arwah Yasmin, Mak Inom menceritakan bagaimana arwah Yasmin tidak mahu pergi meninggalkan ibunya biarpun telah terlantar koma di hospital.

Saat Mak Inom melempias segala duka yang terbuku di hati terkenangkan anak yang sudah tiada, bagaikan membuka mata untuk menyedari betapa hebatnya martabat seorang ibu disisi Allah S.W.T.

Ketika arwah Yasmin rebah di TV3, sewaktu melakukan pembentangan pada 23 Julai, arwah didapati sudah tidak bernafas dan jantungnya telah berhenti berdenyut.

Namun satu keajaiban berlaku setiba arwah Yasmin di hospital. Jantung dan pernafasannya kembali berfungsi.

Bagi Mak Inom itu adalah petanda bahawa arwah Yasmin tidak mahu meninggalkannya selagi tidak mendapat restu dari ibu yang amat disayanginya.

Tangisan seorang ibu... Mak Inom begitu rindukan panggilan telefon dari arwah Yasmin.

"Sebelum arwah sampai ke hospital, selama 30 minit pernafasannya terhenti dan sepatutnya arwah memang dah pergi meninggalkan kita ketika itu.

"Tapi mak diberitahu, arwah kembali bernafas setelah tiba di Hospital Pakar Damansara (HPD).

"Mak tahu arwah sebenarnya dah meninggal masa tu, cuma arwah kembali semula untuk mendapatkan restu mak...," kata Mak Inom yang sedih dengan kehilangan anak kesayangannya.

Begitu hebatnya naluri seorang ibu yang dapat merasakan denyutan nadi si anak yang sedang bertarung dengan maut.

Mak Inom sendiri menceritakan bagaimana dia sendiri tidak mahu melepaskan anaknya itu dari meninggalkannya kerana dia amat menyayangi anaknya itu.

"Pada mulanya susah untuk mak redhakan pemergian arwah, sukar buat mak kerana arwah seorang anak yang sangat baik. Mak tak sanggup.....

"Tapi setelah Dr Jemilah dan Orked berkali-kali pujuk mak, "Mak... Redhakan mak... Redhakan... Redhakan kak Yasmin pergi..." mak terpaksa akur.

"Sebaik saja mak cakap "mak redhakan pemergian Yasmin", secara serta merta arwah menghembuskan nafasnya terakhir walaupun mesin bantuan hayat yang digunakan belum dimatikan lagi.

"Masa tu ramai yang menyedari bahawa arwah hanya menunggu restu dari mak," beritahu Mak Inom yang ketika itu tidak dapat lagi membendung airmatanya yang tergenang.

Bagi Mak Inom sendiri, dia terasa suatu kehilangan yang besar sejak pemergian arwah Yasmin dan apa yang amat dirinduinya dari arwah adalah panggilan telefon yang sering dibuat oleh arwah.

"Mak sangat rindu panggilan telefon dari Yasmin... setiap hari dia akan telefon mak, no matter how far, arwah sangat-sangat mengambil berat tentang mak," kata Mak Inom.

Ketika itu ayah arwah Yasmin, Pak Ahmad mencelah, menceritakan bagaimana pada satu ketika dia menjawab panggilan dari Yasmin, namun perkataan pertama yang keluar dari mulut Yasmin adalah "mak mana?".

"Abah ingat lagi pada masa tu Yasmin telefon dan abah yang jawab panggilan tu, abah tak sempat cakap 'hello' pun, Yasmin terlebih dulu dah tanya "mak mana?".

"Abah ingat dia nak la bercakap dengan abah dulu, rupanya tidak, mak jugak yang dia cari.

"Tapi arwah tak pernah membezakan kasih sayang, cuma arwah sangat-sangat rapat dengan maknya," jelas Pak Ahmad yang turut terasa dengan kehilangan anaknya itu.

Biarpun Mak Inom dan Pak Ahmad sedih dengan pemergian arwah Yasmin, namun jauh di sudut hati mereka ada tanda kesyukuran dan gembira memiliki anak yang begitu menyayangi mereka sehingga ke akhir hayatnya

1 comments:

Aina said...

nak mencari redha ibu bapa senang tetapi susah nak buat..contohnya, kita tak telefon mak ayah kita hari-hari walaupun hanya perlu mendial nombor rumah.kalau time tak de kredit hphone lagi lah sakit...

kalau call mak ayah, memang kebanyakan kita suka bercakap dengan emak.kalau dengan ayah biasanya tak tahu nak cakap apa. mungkinkah kerana para bapa ini kurang mengambil tahu hal anak-anak dahulunya? atau ayah anda seorang yang 'tidak mesra alam'...??

apa pun sebagai anak, patutnya kita yang perlu ubah cara bapa kita. apa salahnya sekadar bertanya, 'apa khabar?'..'sehat tak?'..'durian dah gugur ke'..dll...