Kasih, sayang, cinta, rindu, dendam dan benci...

Ini ialah kisah tentang kasih, sayang, cinta, rindu, dendam dan benci...Perasaan untuk berkasih sayang dan saling menyintai adalah fitrah kemanusiaan yang dikurniakan oleh Allah yang tiada tinggi nilainya... Tidak kira terhadap sesiapa sahaja, ia merupakan anugerah yang harus disyukuri dan bila hati yang ingin berkasih sayang dan menyintai itu dikhianati dan dilukai, maka akan hadir dendam dan benci. Hargai perasaan yang suci murni ini dengan ikhlas dan tulus kerana Allah. Bila ia sudah tiada atau 'ditarik' kembali oleh Allah yang Maha Memberi maka sudah terlambat untuk menyesali. Rindu pula akan hadir untuk menghuni hati yang sepi dan menyelubungi ruang yang dikosongkan...

Kisah 1: Apabila kasih sudah beralih arah

Saya mula mengikuti kisah dalam DCCK ini sejak di sekolah menengah lagi, kini saya berusia 25 tahun. Saya membaca sekadar hobi, habis baca saya terus melupakan, kerana saya tak terfikir kejadian itu boleh berlaku dalam kehidupan keluarga saya.

''Bila saya membaca kisah Zukhene minggu lalu, terbuka pintu hati saya untuk berkongsi cerita, rupanya ada juga orang yang menghadapi masalah sama seperti ibu saya.

''Sebagai anak kedua saya masih tak boleh melupakan saat-saat kebahagian hidup emak dan ayah, mereka bagaikan loving couple. Dulu emak pernah bekerja, tapi berhenti sebab terpaksa ikut ayah posting setiap dua tahun, boleh dikatakan seluruh semenanjung kami dah jelajah. Emak tak pernah merungut walaupun penat.

''Emak juga pandai memasak, cakap aja apa nak makan besok lusa pasti tersedia. Kerana pandai masak emak mudah dapat kawan kerana meminati resipinya. Dan emak memang peramah, berbanding ayah agak sedikit pendiam.

''Emak juga pandai buat kek, pendek kata kalau hari lahir kami sekeluarga tak pernah beli kek, bila balik rumah semuanya sudah tersedia selain pelbagai jenis juadah yang enak-enak, semua emak buat sendiri. Begitu juga kalau ada ipar duai yang meminta buatkan kek, emak tak pernah lokek dia akan buat dan beri percuma.

''Semasa kami kecil rumah kami sering ada majlis hari jadi. Bukan untuk kami saja. Bahkan untuk meraikan adik beradik dan saudara ayah. Tak tahu macam mana emak tahu tarikh lahir mereka. Yang bestnya emak yang buat kek-kek itu.

''Begitulah kehidupan kami bertahun-tahun dalam kegembiraan, walaupun ada pergaduhan kecil antara kami adik beradik, itu perkara biasa, budak-bukan namanya. Tetapi malangnya sejak tiga tahun lepas keadaannya sudah berubah.

''Berpunca bila ayah mula tak balik rumah. Bila ibu dan kami tanya, ayah kata ada kerja. Saya melihat perubahan itu. Saya merasa curiga. Tapi kerana ayah tak pernah buat hal. lagipun sememangnya ayah kuat berkerja, kami percaya ayah. Namun saya merasakan ada sesuatu yang ayah sembunyikan.

''Emak sering tak tidur malam. Sayalah temankan mak, kasihan emak badannya semangkin susut dan cengkung. Saya hairan, emak tak marah-marah bila ayah balik lewat, dia macam biasa siapkan makan. Kalau ayah balik pagi emak buatkan sarapan. Lepas tu ayah mandi dan terus bersiap-siap pergi kerja. Emak tetap layan ayah dengan baik. Tak pernah masam muka. Ibu hantar ayah ke keretanya dan salam ayah.

''Begitulah keadaan ayah sejak kebelakangan ini, sering pulang jauh-jauh malam, kalau takat jam 2 pagi dah jadi perkara biasa, emak akan tunggu ayah, bukakan pintu dan tanya ayah kalau belum makan emak akan siapkan, tanpa banyak soal.

''Tetapi sepandai-pandai tupai melompat sesekali jatuh ke tanah juga, begitulah ayah, peristiwa saya terjumpa ayah memang memalukan, satu hari ketika saya ke supermarket dengan kawan, tiba-tiba saya terlihat ayah sedang sibuk membeli belah dengan seorang perempuan. Kawan saya pun nampak. Ya Allah malunya.

''Bila tiba di pejabat saya telefon emak bertanya ayah ke mana, dengan jujur emak kata ayah kerja luar daerah, sehari dua baru balik, ada kerja katanya. Ya Allah jujurnya emak, tak terlintas pun di hatinya bahawa ayah ada perempuan lain. Tetapi sebagai anak tak kan saya nak berdiam diri. Beberapa minggu kemudian baru saya berani bercerita dengan emak tentang peristiwa disupermarket itu.

menceraikan

''Malangnya sejak tembelang ayah pecah, dia jadi tak tentu arah, entah macam mana dia boleh bertindak menceraikan emak. Emak terkejut, kami adik beradik amat terkilan dengan perbuatan ayah. Tak berapa lama selepas itu kami dapat tahu ayah kami telah berkahwin dengan perempuan itu. Ayah amat kejam.


''Emak menerimanya dengan tangisan, tanpa banyak bicara selain meminta maaf kalau dia ada tersalah atau terkasar, dan memohon ampun jika tidak dapat melayan ayah seperti yang ayah kehendaki, kerana kini emak sudah 50 tahun.

''Hingga kini emak tetap emak sikapnya tak berubah langsung terhadap ayah. Malah emak nasihatkan kami jangan biadap dengan ayah. Walaupun emak tahu kami adik beradik amat marah dengan ayah. Masalahnya kami amat kasihankan emak.

''Malangnya, di satu pihak ayah memburuk-burukkan emak pada orang, kata ayah emak tak pernah menjaga kebajikannya. Emak tak jaga anak-anak. Emak malas dan emak isteri yang derhaka! Oh Tuhan. Apa dah jadi dengan ayah kami ini?

''Ayah marah abang, ketika abang cuba bersemuka dan bertanya kepada ayah apa yang terjadi, kata ayah abang dengar cerita sebelah emak sahaja yang banyak berbohong. Bila abang bercerita lebih lanjut, ayah kata kami adik beradik menyusahkan hidupnya.

''Kami empat beradik ini sudah dewasa, kami nampak dan kami kaji, kami tahu siapa yang membuat onar. Namun kasih emak pada ayah semakin tebal, emak nasihatkan kami jangan menderhaka kepada ayah.

''Malangnya semakin emak berdiam diri, cerita pembohongan ayah memburukkan emak menjadi-jadi dan sampai ke telinga saya. Kata ayah pada kawan-kawan dan adik-beradiknya, konon emak queen control, emak pentingkan diri sendiri, tak menjalankan tugas sebagai suri rumah apalagi sebagai isteri. Ya Allah, saya terkedu seperti orang yang dipukau saya tak dapat menjawab apa-apa pun selain daripada menangis.

''Namun saya mengaku, saya pernah menghubungi perempuan itu cuba menceritakan keadaan sebenar, bahawa emak bukan seperti yang dia ceritakan dan sebarkan. Malang sungguh ayah mengamuk dan memaki hamun marahkan saya. Kata ayah saya tak tahu apa-apa tentang emak jadi jangan masuk campur.

''Tapi saya puji, emak tak lekang dari tikar sembahyang. Masih minta kami hormat ayah. Saya ada banyak bukti tentang perbuatan buruk ayah. Tapi terlalu perit untuk bercerita pada emak. Maaf ayah saya tak dapat nak hormat ayah! Saya amat kesal orang yang saya hormati satu ketika dulu telah mengkhianati kami.

''Abang memang ambil berat tentang ayah. Dia mencari jalan membantu ayah kembali kepada emak. Tapi kerana tiada pengalaman abang gagal selamatkan perkahwinan ayah dan emak. Namun emak tetap reda dengan apa yang terjadi padanya.

"Pada Zukhene awak beruntung kerana ayah awak belum berkahwin. Itu tandanya dia masih sayangkan awak sekeluarga, tetapi ayah saya sudah tidak sayangkan kami lagi.

''Kepada ayah kami nak tanya adakah perempuan itu telah ayah uji cintanya seperti ibu? Kami harap janganlah dia cuma cintakan ayah kerana kedudukan dan duit ringgit ayah. Pada kami, hati, cinta dan kasih ibu terhadap ayah terlalu tinggi hingga kini. Saya mohon ayah jangan fitnah emak lagi dengan kata-kata yang ayah sendiri tahu tidak benar.

''Namun seperti ibu, jauh di sudut hati ini saya memohon kepada Allah agar ayah kembali pada kami. Kami rindukan ayah seperti dulu suka gelak ketawa, dan terlalu sayangkan keluarga, semoga Allah makbulkan doa kami". Demikian cerita Bismi tentang ayahnya yang sudah bertukar corak dan bertukar kasih.

Setelah membaca kisah Bismi tentu pembaca boleh membuat kesimpulan. Adakah isteri telah membuat salah maka hukumannya dia diceraikan, ataupun cerai sudah menjadi perkara biasa bila kasih sudah beralih arah.

Kisah 2:
Abah sentiasa jadi imam solat di rumah

SAYA telah pun berumah tangga dengan seorang lelaki yang saya kenali ketika menuntut di luar negara dulu, beliau seorang suami dan ayah yang sangat baik, saya juga bertuah kerana dikurniakan ibu, ayah mertua dan ipar duai yang sangat-sangat baik, Alhamdulilah... tetapi saya masih lagi berwaspada kerana malang tidak berbau.

Merujuk kepada kisah DCCK minggu lalu, berbalik kepada kisah DCCK keluaran 2 Ogos, saya terpanggil untuk memberikan reaksi tentang nasib ibu dan perangai ayahnya. Cerita beliau ada persamaan sedikit dengan kisah saya.

Saya anak bongsu daripada tiga beradik. Saya dilahirkan dalam keluarga sederhana, tetapi emak meninggal dunia semasa saya berumur tujuh tahun. Jadi segala keperluan arwah, abah yang menguruskannya. Tetapi di sebalik itu abah seorang yang sangat baran hinggakan jiran-jiran tetangga amat simpati kepada kami, yang jadi mangsa keadaan adalah kakak saya.

Beliau dipukul dan dimaki. Saya dan abang juga tidak terlepas daripada tempiasnya, cuma kakak kena lebih teruk daripada kami. Abah pernah menyatakan emak meninggal dunia disebabkan kakak.

Air muka

Abah tak pernah peduli tentang air muka anak-anak. Kalau baran dia datang dia boleh pukul atau maki kami walaupun di khalayak ramai. Kami tiga beradik inilah yang menangis bersama di dalam bilik.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan tahun berganti tahun, tetapi perangai abah tidak pernah nampak perbezaannya, sehinggalah ditakdirkan abah terkena angin ahmar, kakaklah yang menjaga abah sehingga hujung nyawanya.

Saya dan abang memberikan berbagai alasan untuk tidak menjaga abah, tetapi kakak sanggup berhenti kerja sebagai Akauntan semata-mata ingin menjaga abah, walaupun suaminya tidak merelakannya.

Kakaklah yang menjaga abah, tetapi setelah kakak menasihatkan kami, akhirnya kami akur dan menjaga abah setakat yang termampu, apa yang kakak kata kita hanya akan ada ibu dan ayah sekali sahaja dunia dan akhirat walau sejahat mana sekali pun abah dia tetap bapa kami yang sah.

Oleh itu pada saya kita hormatilah kedua-dua ibu bapa kita walau sejahat mana sekalipun dia, insya-Allah satu hari Allah SWT akan menyedarkan mereka tentang dosa yang telah mereka lakukan.

Tetapi walau macam mana pun kami bertiga tetap sayangkan abah dunia dan akhirat sebab abahlah yang menggantikan emak selepas kematian emak. Dia bersusah payah mencari duit bagi menyekolahkan kami sehingga kami berjaya.

Dia jugalah mengajar kami untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak kami.. Walau sebaran manapun abah, dia tidak pernah lupa untuk menjadi imam ketika berjemaah dengan anak-anaknya.

Ziee, Kuala Lumpur

Kisah 3: Sayangilah dia selagi ada

Bro menerima satu e-mel yang cukup menyentuh perasaan iaitu berkaitan luahan seorang isteri yang kematian suaminya setahun lalu akibat barah.

Membaca setiap ayat dalam e-mel berkenaan, Bro berasa sebak kerana amat memahami betapa rindunya si pengirim e-mel itu terhadap arwah suaminya. Dia menceritakan bagaimana di siang hari dia tersenyum tetapi di malam hari dia merintih dan menangis seorang diri.

Dia menangis meratapi pemergian suaminya, dia rindukan belaian dan gurau senda yang kini semuanya hanya menjadi kenangan. Sebagai hamba Allah, Bro membalas e-melnya dengan memberikan sedikit nasihat.

Kepada semua kaum wanita terutamanya yang bergelar isteri sayangilah suami anda, penuhilah setiap hajatnya selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Sesungguhnya ajal maut di tangan Allah, kita tidak tahu apa yang hendak terjadi di masa depan, mungkin hari ini kita menolak hajatnya, mungkin esok dia tiada lagi, ketika itu menyesal pun sudah tidak berguna lagi.

Jalankan tanggungjawab anda sebagai isteri dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya apa juga yang anda lakukan untuk suami anda biarpun hanya menghidangkan secawan kopi, ia sudah mendatangkan pahala.

bercakap kasar

Janganlah bercakap kasar dan janganlah cuba hendak menjadi queen control. Sesungguhnya syurga anda terletak di bawah telapak kaki suami anda. Mungkin ada di antara anda berbangga apabila mampu mengawal suami dan gembira melihat suami mengikut cakap anda sehingga timbul istilah 'takutkan bini', tetapi persoalannya apakah ia akan mendatangkan pahala?

Bro sentiasa percaya kehidupan suami isteri memerlukan kefahaman yang disulami dengan perasaan kasih, sayang dan cinta yang mendalam.

Bro tujukan pesanan ini kepada isteri-isteri yang mempunyai suami yang baik seperti mana arwah suami pengirim e-mel kepada Bro itu.

Ingatlah selagi orang yang kita cintai wujud di muka bumi Allah ini, sayangilah dia sepenuh hati kita. Mungkin ada perkara yang dia lakukan melukakan hati kita tetapi janganlah sampai kita membencinya.

Banyak-banyaklah berdoa kepada Allah agar rumah tangga kita diberkati sehingga akhir hayat.

Kepada pengirim e-mel tersebut, Bro doakan semoga roh Allahyarham suaminya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Bro - Al Fatihah

*** Kita adalah manusia biasa yang tidak lepas dari berbuat kesalahan dan kesilapan. Sama ada kecil atau besar, malah paling besar dosa terhadap Allah Taala. Selagi ada nyawa di badan, kita boleh bertaubat dan berpeluang untuk bertaubat nasuha sehinggalah Izrail datang men'jemput'.

Sesama manusia, kadang-kadang dalam sedar atau tidak dan sengaja atau tidak disengajakan kita sering melukakan hati mereka. Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan juga dan pengkhianatan dibalas dengan dendam kesumat, tiada kebaikan di akhir cerita. Memberi kemaafan bukan setakat di hari raya sahaja, bahkan sepatutnya sebaik melakukan kesilapan tersebut.

Ego dan malu - 2 benda yang menjadi penghalang mulut untuk mengucapkan dan tangan untuk meluahkan hasrat hati. Hanya airmata menjadi pengganti atau hati yang keras terus menyimpan niat suci.

Aku akui diri ini seorang anak yang bukan baik sangat. Sebagai isteri sering juga mengabaikan suami dan menyakiti hatinya. Lebih-lebih lagi sebagai ibu, terhadap anak-anak.....saban hari aku menyakiti mereka fizikal dan emosi. Walaupun untuk mendidik ada tindakan yang melampau apabila akal dikuasai nafsu amarah.

Ya Allah! Aku hanya mampu untuk cuba membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik dari hari ke hari. Aku sedar bila aku banyak bertindak mengikut nafsu, maknanya aku telah jauh dari jalanmu yang lurus...Teguhkan lah hati aku dan berilah aku kesabaran untuk menjadi anak, isteri dan ibu yang solehah dunia akhirat. AMIN

Marilah kita bersama menambahkan ilmu dan mendekatkan diri kembali di jalan Allah. Ujian demi ujian yang menimpa kita untuk menyedarkan kita tentang pelbagai perkara. Tinggal lagi di mana kita letakkan akal fikiran untuk menilai hikmah dan rahsia di sebaliknya..dan, bukan menangisi nasib malang atau bertawakal semata tanpa usaha membaikinya. Insya Allah

Semoga 3 kisah di atas mengetuk pintu hati anda dengan rahmah!

0 comments: