Kaedah Rawatan bagi Ibu Dalam Pantang Bersalin

Dipetik dari buku 'Ensiklopedia Perbidanan Melayu-Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan ' oleh Datin Sharifah Anisah Barakbah

Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ni terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung. Tidak dinafikan amalan ini agak leceh, tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan. Sekiranya penjagaan diri semasa dalam pantang bersalin diabaikan, kesannya mungkin tidak berlaku serta-merta. Namun apabila melalui kelahiran yang banyak, usia mula meningkat, daya tenaga semakin menurun, barulah terasa lenguh-lenguh dan bisa urat, sendi serta otot, sakit pinggang dan kebas tangan. Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan ibu menjadi dingin dan lemah tenaga batin.

Berikut adalah amalan-amalan ketika dalam pantang yang perlu dilakukan ketika berpantang.

* Amalan Intensif Ubat Periuk

Minum ramuan ubat periuk adalah bagi membantu mengeluarkan angin, lendir dan darah kotor. Ini adalah untuk membersihkan, menyegarkan dan mengembalikan fungsi rahim di samping melawaskan sistem perkumuhan dan membantu pembuangan lemak berlebihan. Ia juga dapat memulih tenaga sekaligus dapat mengembalikan kesihatan serta kecantikan.

* Amalan Herba untuk Kerapian Bahagian Sulit

Selepas mengambil ubat bersalin selama 44 hari, ibu-ibu disyorkan mengambil rumusan herba untuk kerapian bahagian alat sulit sehingga 100 hari. Diambil sebagai amalan harian sebelum sarapan pagi untuk merapikan dan merapatkan otot saluran faraj serta menguatkan mulut rahim .

* Rawatan Bertuam

Bertuam dilakukan selama 2 minggu pertama selepas bersalin dengan menggunakan batu sungai atau batu tanah liat. Rahim tidak boleh ditekan, hanya dituam. Tujuannya adalah untuk membantu mengecutkannya dengan mengeluarkan darah bantal dan angin toksin.

* Rawatan Bertungku

Bertungku dilakukan selepas 2 minggu sehingga 44 hari ketika tempoh berpantang. tekan perlahan-lahan sehingga tenggelam sedikit tungku. Mula dari bahagian hulu hati ke sekeliling pinggang. Kemudian ke cawan peha dan berakhir di tundun. Buat berulang kali selama setengah jam. Dan akhiri di peha, celahan peha, lutut, kaki dan tapak kaki.

Bertungku selepas 44 hari. Bolehlah menekan dan mencungkil peranakan. Perlu dapatkan mereka yang mahir jik atidak akan menyebabkan peranakan lari atau tidak kembali ke asal. Jika tiada mereka yang mahir bolehlah memakai bengkung sahaja.

* Mandian Ibu Bersalin

Selepas bertuam, teruskan mandi dengan air rebusan herba ke seluruh badan dari leher ke bawah secara perlahan-lahan. Ini adalah supaya air meresap ke liang roma. Dilarang membasuh rambut dengan air panas atau air rebusan herba yang panas bagi mengelakan sakit kepala atau rambut gugur. Gunakan air biasa.

* Rawatan Urutan Tradisional

Urutan yang baik membantu memulihkan aliran darah, mencuci dan mengeluarkan darah, angin serta lendir yang kotor dan melawasakan nifas daripada tersekat atau tersumbat. Urutan dapat menenangkan emosi, meringankan tubuh badan yang lesu dan melegakan bisa otot dan sendi.

Dilarang mengasak, menekan, memaksa atau menolak peranakan dalam tempoh 2 minggu pertama. Ini kerana peranakan masih lemah, luka dan bengkak. Hanya urut dibahu, leher, dada dan payudara. Kemudian dari bahu ke siku, lengan dan jair-jemari.

Selepas 2 minggu sehingga 44 hari baru boleh disentuh di bahagian kedudukan rahim.

* Rawatan Berlulur

Boleh dibuat sebelum atau selepas mandi iaitu dengan mengosok anggota badan bagi mengeluarkan daki serta sel mati. Lulur akan meresapi pori-pori dan menghindari kemasukan angin sejuk yang mengakibatkan kebas, bisa otot, sendi dan urat saraf.

* Rawatan Berbengkung

Mengikut ilmu perbidanan moden, kegunaan bengkung, terutama bagi ibu bersalin normal adalah untuk mengelakkan kemasukkan angin sejuk di liang-liang perut. Selain itu dapat memudahkan pengeluaran angin panas dan kotor iaitu dengan ikatan barut dan ubat yang sempurna. Bengkung perlulah panjang dari bawah payudara hingga ke bawah pinggul. Jika pendek ini akan menjejaskan kedudukan rahim kerana bengkung itu akan menekan rahim ke bawah dan menyebabkan posisi rahim menjadi rendah. Selain itu, bahagian pinggul serta paha akan tertinggal seperti terlebih isi dan akan menjejaskan potongan badan. Di bahagian pinggang mengecil sedangkan di bahagian atas dan bawah kelihatan besar.

Minyak berubat boleh digunakan sebagai pelembab kulit. Ianya bagi mengecutkan peranakan, mengempiskan perut dan merampingkan pinggang.

* Rawatan Mandi Wap atau Bertangas

Dilakukan selepas hari ke-30 iaitu selepas darah nifas kering. Tujuannya adalah untuk mengaktifkan pengeluaran peluh sebagai rawatan pengenyahkan racun di badan. Serta membantu proses penyembuhan dan pengecutan saluran sulit dan peranakan. Ini dapat menghidari penyakit puan.

* Rawatan Ukup Wangi

Dilakukan selepas 40 hari sehingga 100 hari. Tujuannya adalah untuk menghilangkan bau herba dan rempah ratus yang menyerap ke badan selepas rawatan bertangas dan wandi wap di peringkat awal.

* Senaman Kemutan Otot Rahim

Dilakukan ketika rawatan bertangas dan ukup wangi. Senaman dibuat dengan cara tarikan nafas dari ari-ari naik ke dada sambil mengemut saluran faraj seperti tahan kencing dan kemut dubur seperti tahan kentut atau najis. Wap herba akan disedut masuk ke faraj. Pergerakan otot dalaman dapat membantu mempercepatkan pengeluaran sisa toksin dan memperkemaskan kesihatan serta kedudukan rahim.


* Darah Nifas

Selepas bersalin ciri keluar seperti darah haid tetapi berwarna kehitaman pekat, berlendir serta berkepingan dan berbau hanyir/busuk. Keluar bersama-sama darah bantal (darah yang terkumpul di dalam rahim melekat dengan uri) sedikit demi sedikit sehingga 2 minggu. Kemudian berkurangan ke sederhana cair sehingga berdebu kehitaman/coklat.

Nota:

Buku 'Ensiklopedia Perbidanan Melayu-Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan ' ini ditulis oleh Datin Sharifah Anisah Barakbah iaitu pengasas Nona Roguy dan juga pengamal kesihatan tradisional melayu. Buku ini mengandungi panduan lengkap untuk ibu-ibu mengandung, pantang bersalin dan penjagaan bayi. Di sini saya hanya menulis secara ringkas apa yang terkandung di dalam buku ini. Terdapat pelbagai pengetahuan mengikut perbidanan melayu iaitu dari proses kehamilan, berpantang dan juga penjagaan bayi. Selain itu turut memuatkan mengenai ketidaksuburan, keguguran serta resepi-resepi penyediaan herba melayu.


Lagi panduan..........

Pemakanan seimbang dan berkhasiat seperti:

* Nasi panas sederhana lembut, bubur nasi, spagetti, pasta dan makaroni.

* Sayur-sayuran yang disyorkan ialah bawang putih, bawang merah, bawang besar, halia,
lengkuas, daun dan bunga kunyit, ulaman lemuni, ulaman pegaga, daun pudina, daun kari,
brokoli, karet dan sawi, serai , lengkuas, ‘cauli-flower’, ‘baby-jagung’.

* Ikan segar yang dsiyorkan ialah ikan merah, tenggiri, haruan, jenahak, selar kuning, kerisi,
kurau, kerapu, siakap, kod, bawal putih dan senangin.

* Makanan bijirin iaitu gandum (oats), empingan jagung (corn flakes), bran, muesli, beras merah, beras perang, beras, kismis kuning dan hitam, kekacang soya (tauhu, tempe dan tofu), kekacang badam, walnut, makadamia, gajus dan bijan, roti putih, roti wholemeal/wholegrains, roti canai, chapati, tosei, roti puri dan kari.

* Buah-buahan yang boleh disyorkan ialah epal merah, oren manis (limau manis), kurma,
buah zaitun, buah tin (fig), delima, pir, lai, pic, aprikot, strawberi, anggur (jangan berlebihan
boleh akibatkan batuk), jus epal, ribena dan sirap.

* Minuman berkhasiat disyorkan susu, susu soya, horlicks, milo, teh herba dan air suam.

* Gunakan pemanis iaitu madu lebah asli, gula merah, gula perang dan raw sugar.

* Teruskan amalan Vitamin sebagai suplimen anda semasa menyusu bayi.

Bagi yang mampu dan rajin untuk menyediakan kemudahan perawatan secara tradisional seperti di kampung boleh mengikut panduan berikut.

Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.

Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri.

Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang.

Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi (Vitex negundo), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai (Lawsonia terma), daun bonglai, daun mengkudu (Morinda citrifolia) dan rempah halba.

Berikut ialah contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi:

1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
10 helai daun limau purut
6 batang daun serai bersama serai
Halia muda sebesar 4 kali ibu jari
7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
Seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
Segenggam halba (dipunjutkan)

Cara menyediakan air mandian:
  • Ambil periuk tanah ukuran sederhana.
  • Sediakan bahan-bahan di atas.
  • Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana.
  • Masukkan halba yang dipunjutkan.
  • Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja
Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua.

Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari [kaki kanan] dahulu diikuti kaki [kaki kanan] kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri.

Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.

Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit.


Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot disamping menghalang air dari masuk ke dalam badan.


Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.

BERTANGAS

Amalan bertangas dilakukan selepas mandi.

Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan prolapse (keluar tombong).

Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.

Ramuan Tangas:

9 keping asam gelugur
2 camca besar garam jantan
3 helai daun sirih (Piper betel)
Segenggam inai (Lawsonia terma)
Halia sebesar ibu jari (Zingiber officinale)
3 biji manjakani

Caranya :

Rebus semua bahan bersama air hingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk hasil yang baik ia dilakukan dua tiga kali sehari hingga 44 hari. Air yang sudah sejuk jangan dibuang, sebaiknya jadikan pencuci bahagian sulit


*** Saya sengaja mengepil artikel ini sebagai panduan. Walaupun sudah beranak tiga, ada sesetengah perawatan yang saya lakukan tidak mengikut cara di atas. Tidak semestinya cara di atas paling terbaik untuk diikuti, tetapi kesan daripada kesilapan cara saya merawat diri dalam berpantang dapat saya rasai. Walaupun emak ada untuk membantu sewaktu berpantang, tetapi bukan 24 jam dia nak awasi kita kan...culas pon yer. Harap puan-puan di luar sana dapat mendisiplinkan diri dengan panduan pakar dan orang berpengalaman supaya tahap kesihatan lebih terjamin. Bukan untuk suami dan anak-anak sahaja, paling utama untuk kebaikan diri sendiri di masa depan...:D

1 comments:

日月神教-任我行 said...
This comment has been removed by a blog administrator.