Selamat Datang Ramadhan Almubarak

Esok akan bermulanya 1 Ramadhan. Insya Allah, kita semua sempat bertemu Ramadhan sekali lagi dan menjalani ibadah dengan penuh istiqamah dan ketaqwaan berbanding Ramadhan yang lepas. Sekaligus mengumpul pahala berlipat kali ganda...

Walaupun berpuasa dalam keadaan mengandung akhir trimester, aku harap dengan kesempatan yang ada untuk menjalani puasa dan berterawih dalam seminggu 2 ini sebelum melahirkan anak. Insya Allah esok nak balik ke kampung sempena cuti sekolah. Memandangkan hubby masih di luar negara, kami sekeluarga balik bercuti seminggu bersama adik ipar sahaja. Kalau aku tidak terberanak di kampung, kami akan balik semula ke kl dan menyambung puasa di sini pula..

Tahun ini juga aku berharap anak sulung aku Luqman dapat lah mula menjalani ibadah puasa memandangkan umurnya sudah menginjak 6thn. Pada tahun lepas dia hanya sempat berpuasa separuh hari di sekolah. Bangun sahur pun pukul 7pg...haha harap kali ini dia mampu untuk berpuasa penuh, biarpun bukan sebulan...Amin...Insya Allah

Di kesempatan ini, buat semua rakan-rakan yang mengenaliku dan juga rakan siber selamat menyambut Ramadhan Almubarak. Kalau ada kesempatan Insya Allah kita bersua lagi. Minta ampun dan maaf andai ada terkasar bahasa dan tersilap kata sepanjang kita berkenalan dan berada di alam siber. Doakan juga semoga aku selamat bersalin pada bulan yang penuh berkat ini..Amin dan terima kasih.

Pergi Tak Kembali

Tentu Ramai dapat mengagak tajuk posting ini tentang siapa. Jika sebelum ini aku pernah kepilkan artikel 'Kasihnya Ibu' mengenai ibu arwah Yasmin Ahmad, kali ini aku kepilkan artikel mengenai isteri arwah Ustaz Asri (Rabbani) yang mengulas kematian suaminya. Semoga cerita isteri arwah, menjadi iktibar dan pedoman kepada kita yang masih hidup untuk membaiki kelemahan dalam hubungan kita dengan suami/isteri/anak-anak/ibu bapa/adik-beradik dan sesama manusia. Lebih-lebih lagi hubungan dengan Pencipta supaya ada 'bekalan' mencukupi sebelum tiba masa kita pula dijemput pergi dan tak kembali lagi...



PERGI tak kembali... meratapi pemergian arwah Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, yang telah meninggalkan kita untuk selamanya. Suatu kehilangan yang besar buat kita semua dan pastinya yang amat meratapinya adalah isteri arwah, Haliza Shahadan, yang paling rapat dengannya.
Haliza yang ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, menceritakan detik-detiknya bersama suami tercinta pada pagi sebelum arwah meninggal.

"Saya mulanya tak percaya... Yelah, arwah meninggal pada pukul 11.05 pagi, pukul 10 pagi tu saya masih bersama dia. Masa tu dia memang nampak tak sihat, dia pun ada kata dia pening-pening.

"Arwah ada sakit gastrik, kencing manis dan gout, pagi tu dia cuma minum air madu dengan limau... Lepas tu dia ada muntah-muntah.

"Saya suruh dia berehat dulu... Tapi dia komited dengan kerja dan dia nak jugak pergi kerja.
"Bila dia dah keluar, dia sampai kat stesen minyak Mobil, dia telefon saya dia kata:

"Ummi, tolong hantar Abi kat pejabat lah, Abi tak larat."


"Saya kata saya tak kisah, jadi saya pun memandu sampai ke Mobil tu, lepas itu bawa kereta dia dan hantar dia sampai ke pejabatnya di Bukit Sentosa. Lepas tu dia ada singgah di Shell, dia masuk bilik air, lama jugak dia kat dalam tu, jadi saya pun pergi ketuk tanya dia ok ke tidak?, dia kata dia ok.


"Bila dia keluar dari tandas tu, dia suruh Azadan ambil barang-barang dia masukkan dalam van. Masa tu jelah saya sempat tengok wajah dia dan tak ada apa-apa berlaku ketika itu," kata Haliza.


Namun, kesedihan Haliza tidak berakhir di situ sahaja, dia turut menceritakan kenangan manis antaranya dengan arwah pada malam sebelum arwah meninggal ketika mereka menghabiskan masa bersama berdua.


"Sebelum ni, dia selalu sibuk dan tak ada masa, tapi malam semalam dia 'call' saya dia kata" Abi dah on the way balik, kita makan kat luar jom?."

Saya pun kata: "Ok lah, Ummi pun lapar..."


"Masa tu dia kata: "Mintak apa saja".

Jadi kami pun makan di kedai, lepas balik makan malam tu, kami 'spend time' tengok tv bersama... Malam tu 'nice' sangat," kata Haliza dalam keadaan senyum namun masih ada kesedihan diraut wajahnya.


Meskipun mempunyai waktu untuk bersama suami yang dicintainya, namun Haliza menyatakan dia masih rasa terkilan kerana tidak dapat memeluk suaminya itu dengan erat seperti biasa yang dilakukannya.


"Apa yang membuatkan saya terkilan adalah sebab saya tak dapat peluk dia dengan erat pada saat-saat akhir. Selalunya memang kami mesra, selalu saya akan cium tangan dan peluk dia dengan erat.

"Cuma malam tu saya tahu dia penat, jadi saya cuma salam tangan dan cium pipi dia je," jelas Haliza yang mula menitiskan air mata.


Haliza turut menceritakan pengorbanan arwah yang sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk bulan madu mereka semasa mengerjakan umrah selepas 16 tahun berkahwin.


"Saya tak sangka dia sanggup bayar beribu-ribu ringgit untuk satu bilik sebab nak berbulan madu semasa mengerjakan umrah. Bagaimanapun kami gembira sebab dapat berbulan madu dan mengerjakan umrah bersama," katanya.

Diajukan soalan sama ada Haliza mempunyai perasaan cemburu sepanjang bersama suaminya, dia mengatakan dia sentiasa cemburu namun bersebab kerana ingin menjaga suaminya itu dengan baik dan mahu suaminya menjadi seorang ikon yang dihormati orang ramai.


"Cemburu saya bersebab, supaya dia menjadi ikon yang dihormati, saya tidak mahu suami saya jadi orang yang lupa daratan, sebab tu saya jaga dia sungguh-sungguh, bukan kerana cemburu tak tentu pasal tetapi saya nak orang hormat dia sebagai seorang ustaz yang baik, saya tidak mahu ada orang yang cakap belakang pasal sikap dia.

"Tapi kita hanya manusia biasa, kita tak tahu apa yang Allah aturkan untuk kita. Kita tiada kelebihan untuk mengetahui hari esok, kalau kita tahu hari esok, pasti kita akan lebih bersedia.


"Sebab itu, kita kena menyintai seseorang dengan sepenuh hati kita, tak kira anak ke, suami ke kita kena cinta dengan sepenuh hati.
"Untuk arwah, saya memang cintakan dia sungguh-sungguh, sebab saya takut dia terpesong dalam dunia artis yang berbagai-bagai karenah ni," jelas Haliza yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinannya bersama arwah Ustaz Asri.

Bagaimanapun Haliza bersyukur terhadap Allah s.w.t kerana memberinya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangganya.


"Alhamdulillah, saya bersyukur terhadap Allah kerana memberi saya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangga kerana ustaz sendiri banyak menghabiskan masa di luar dan selama itu saya sudah mula berdikari. "Tapi lepas ini saya masih tidak tahu kerana saya hanya berserah pada keadaan dan ketentuan Allah," katanya

Berita sepenuhnya boleh dibaca di MStar.Online. Semoga Allah mencucuri rahmah ke atas roh arwah dan mengampunkan segala dosa-dosanya...Amin.

Luqman Oh Luqman

Masa aku menulis ni, baru lepas melepaskan sedas cubitan (ala-ala manja berbaur sakit hati) pada Muhammad Luqman. Baru balik sekolah tadika terus buat perangai. Dekat pintu rumah pulak tu, habis jiran tetangga dengar suara dia melalak. Geramnya ibu......:(

Sejak dah pandai balik rumah sendiri, dia tak beri ibu menjemput dekat tempat bas sekolah menurunkannya. Apa pun untuk keselamatannya, kena juga ibu berhati-hati agar tak menyesal kemudian jika berlaku suatu yang tak diingini. Jadi, pada hari-hari tertentu ibu akan mengintai dari jauh sama ada dia ok atau tidak di perjalanan. Maklumlah budak umur ni kadang suka melencong atau bermain seketika di tepi jalan.

Kebetulan semalam aku nak buang sampah dan panaskan enjin kereta. Jadi tunggu pukul 12pm supaya dapat menjemput dia sekali. Dari jauh aku lihat dia turun bas jalan perlahan-lahan bak kura-kura. Memang ini satu kesukaan dia berjalan seperti 'kura-kura'. Kemudian, bila dah nampak ibu terus dia berlari balik rumah meninggalkan ibu dibelakang.

Hari ini Jumaat, dia balik awal pukul 11.30am. Aku memang terpaksa tunggu sebab hari Jumaat suasana agak sunyi dan lengang di bawah. Pada hari lain ada ramai bibik dan para ibu menunggu anak-anak mereka balik sekolah. Bila dia nampak ibu di sebalik tiang terus dia berlari meninggalkan ibu. Di depan lif dia dah buat muka sedih cakap nak balik sendiri. Aku melencong ke peti surat dan membiarkan dia balik sendiri ke tingkat 10. Aku menyusul kemudiannya.

Sebaik pintu lif terbuka kedengaran suara dia menangis. Huh..apasal pula??? Dia beritahu nak mandi berdua dengan Almustofa balik sekolah. Dia frust bila lihat Almustofa sudah mandi. Alahai anak..sebab itu je dia meraung depan pintu. Aku teruslah sakit hati. Suruh masuk tak mahu. Seketika kemudian....bila dia masuk dapatlah secubit. Dah kena baru dia diam dan sekarang sedang mandi sendirian....sebelum mandi tadi dia sempat bertanya sama ada hari ini dia boleh menonton kartun. "oooo minta macam-macam tapi tadi buat ibu marah tak minta maaf pun!" dia diam tak menjawab.

Kepada ibu-ibu yang penyabar,
Bagaimana korang menangani anak-anak di dalam situasi begini??huhhh..:sigh:

"lambat nya lah abah balik..."


Baru beberapa hari abah tiada, anak mula tertanya-tanya..."lambat nya lah abah balik..." keluh Almustofa. Beberapa kali aku beritahu abah kerja jauh, kena naik kapal terbang...bukan naik kereta...dia masih tak faham-faham. Ayik bertanya soalan yang sama. Huh..penat ibu nak menerangkan...esok dia tanya soalan yang sama lagi....tak pun mengeluh sorang-sorang masa bermain :)) Lagi dia tanya..."kenapa dia tak nak balik rumah kita?" adoi..panjang pulak kena terangkan pada dia. Luqman pula dah boleh sikit-sikit mengeja dan membaca, so dapatlah dia chatting dengan abahnya dekat Skype. Itu pun ejaan tak berapa betul. Terpaksa ibu terangkan pada abah maksudnya. Tidak pun dia akan bertanya dulu pada ibu bagaimana nak eja perkataan yang dia nak tulis...

Alahai anak...alahai ibu...

Sabar...sabar...sabar...setakat mana boleh sabar kalau hari-hari buat salah yang sama...bukan tak beritahu elok-elok tapi masih tak ikut arahan yang diberikan dengan baik..elok..bila ibu dah menjerit pun masih buat-buat tak dengar, mana hati tak membara...maka, terjadilah hal yang tak sepatutnya terjadi...
Alahai anak...
Ibumu ini banyak kerja nak dilakukan. Bukan setakat menjaga dirimu nan seorang..adik-adik jua nak dijaga. Adik di dalam perut juga perlu diambil kira. Tugasan rumah sentiasa ada. Kalau ditangguh semakinlah menimbun jadinya...Kalau yang tua tak mahu mendengar kata. Mana si adik nak mencontohinya. Kalau ibu buat tak tahu sahaja, nanti anak naik tocang pula.. Bermanja-manja ada masa dan hadnya. Ibu penat siapa membantunya...
Alahai ibu...
Anak-anakmu masih belum mumayyiz lagi...Apalah sangat usia baru 6 tahun sahaja. Jangan melayan dia seperti sudah dewasa. Kadang kita yang tua juga banyak berbuat salah dan berdosa... Nak mendidik bukan dengan memukul dan herdik. Nanti membesar jadi perengus macam yang dah terdidik. Mungkin ibu bertujuan baik. Perlu ingat, cara yang salah tak menghasilkan kesudahan yang baik....
Gros smile
Alahai ibu...Alahai anak...
Sama-sama lah bekerja sama....Abah tiada buat sementara. Jika ada pun semacam tiada...lantaran sibuk dengan kerja dan urusannya..Tetapi abah tetap fikirkan keluarga. Semua yang diusahakan untuk masa depan bersama. Moga kelak beroleh sejahtera...
smiley modelling claysmiley modelling clay
Alahai anak..alahai ibu..
Sabar..sabar..sabar... Amat senang nak dapat pahala. Laksanakan peranan masing-masing dengan ikhlas. Bahkan lagi senang nak mendapat dosa...bila marah menguasai kita. Mudahnya syaitan menghasut kita...jauhlah nanti dari nikmat dan bahagia...
Alahai anak..alahai ibu..
Bersusah-susah dahulu. Bersenang-senang di kemudian hari..Dahulu ibu pun nakal juga. Cakap atuk dan wan selalu tak ikut juga. Mungkin kuah jatuh di pinggan sahaja. Jangan pula buat-buat lupa. Anak kecil banyak karenahnya. Bersyukur kerana beroleh anugerah-Nya. Tidak semua bertuah mendapatnya. Yang dah mendapat harus hargainya.
big smiley
Alahai semua..
Sekadar luahan rasa. Bila tekanan melanda, dan airmata jatuh diriba..Semuanya jadi tak tentu hala. Tulisan ini sekadar memujuk hati. Memohon doa daripada Ilahi. Moga Dia memberi hidayah. Agar ibu dan anak mendapat pedoman. Agar selamat dunia dan akhirat. Menjadi golongan syurga idaman..memilik rumah penuh keamanan!
big smileyegg 08 Cute Egg Emoticons

Kasih, sayang, cinta, rindu, dendam dan benci...

Ini ialah kisah tentang kasih, sayang, cinta, rindu, dendam dan benci...Perasaan untuk berkasih sayang dan saling menyintai adalah fitrah kemanusiaan yang dikurniakan oleh Allah yang tiada tinggi nilainya... Tidak kira terhadap sesiapa sahaja, ia merupakan anugerah yang harus disyukuri dan bila hati yang ingin berkasih sayang dan menyintai itu dikhianati dan dilukai, maka akan hadir dendam dan benci. Hargai perasaan yang suci murni ini dengan ikhlas dan tulus kerana Allah. Bila ia sudah tiada atau 'ditarik' kembali oleh Allah yang Maha Memberi maka sudah terlambat untuk menyesali. Rindu pula akan hadir untuk menghuni hati yang sepi dan menyelubungi ruang yang dikosongkan...

Kisah 1: Apabila kasih sudah beralih arah

Saya mula mengikuti kisah dalam DCCK ini sejak di sekolah menengah lagi, kini saya berusia 25 tahun. Saya membaca sekadar hobi, habis baca saya terus melupakan, kerana saya tak terfikir kejadian itu boleh berlaku dalam kehidupan keluarga saya.

''Bila saya membaca kisah Zukhene minggu lalu, terbuka pintu hati saya untuk berkongsi cerita, rupanya ada juga orang yang menghadapi masalah sama seperti ibu saya.

''Sebagai anak kedua saya masih tak boleh melupakan saat-saat kebahagian hidup emak dan ayah, mereka bagaikan loving couple. Dulu emak pernah bekerja, tapi berhenti sebab terpaksa ikut ayah posting setiap dua tahun, boleh dikatakan seluruh semenanjung kami dah jelajah. Emak tak pernah merungut walaupun penat.

''Emak juga pandai memasak, cakap aja apa nak makan besok lusa pasti tersedia. Kerana pandai masak emak mudah dapat kawan kerana meminati resipinya. Dan emak memang peramah, berbanding ayah agak sedikit pendiam.

''Emak juga pandai buat kek, pendek kata kalau hari lahir kami sekeluarga tak pernah beli kek, bila balik rumah semuanya sudah tersedia selain pelbagai jenis juadah yang enak-enak, semua emak buat sendiri. Begitu juga kalau ada ipar duai yang meminta buatkan kek, emak tak pernah lokek dia akan buat dan beri percuma.

''Semasa kami kecil rumah kami sering ada majlis hari jadi. Bukan untuk kami saja. Bahkan untuk meraikan adik beradik dan saudara ayah. Tak tahu macam mana emak tahu tarikh lahir mereka. Yang bestnya emak yang buat kek-kek itu.

''Begitulah kehidupan kami bertahun-tahun dalam kegembiraan, walaupun ada pergaduhan kecil antara kami adik beradik, itu perkara biasa, budak-bukan namanya. Tetapi malangnya sejak tiga tahun lepas keadaannya sudah berubah.

''Berpunca bila ayah mula tak balik rumah. Bila ibu dan kami tanya, ayah kata ada kerja. Saya melihat perubahan itu. Saya merasa curiga. Tapi kerana ayah tak pernah buat hal. lagipun sememangnya ayah kuat berkerja, kami percaya ayah. Namun saya merasakan ada sesuatu yang ayah sembunyikan.

''Emak sering tak tidur malam. Sayalah temankan mak, kasihan emak badannya semangkin susut dan cengkung. Saya hairan, emak tak marah-marah bila ayah balik lewat, dia macam biasa siapkan makan. Kalau ayah balik pagi emak buatkan sarapan. Lepas tu ayah mandi dan terus bersiap-siap pergi kerja. Emak tetap layan ayah dengan baik. Tak pernah masam muka. Ibu hantar ayah ke keretanya dan salam ayah.

''Begitulah keadaan ayah sejak kebelakangan ini, sering pulang jauh-jauh malam, kalau takat jam 2 pagi dah jadi perkara biasa, emak akan tunggu ayah, bukakan pintu dan tanya ayah kalau belum makan emak akan siapkan, tanpa banyak soal.

''Tetapi sepandai-pandai tupai melompat sesekali jatuh ke tanah juga, begitulah ayah, peristiwa saya terjumpa ayah memang memalukan, satu hari ketika saya ke supermarket dengan kawan, tiba-tiba saya terlihat ayah sedang sibuk membeli belah dengan seorang perempuan. Kawan saya pun nampak. Ya Allah malunya.

''Bila tiba di pejabat saya telefon emak bertanya ayah ke mana, dengan jujur emak kata ayah kerja luar daerah, sehari dua baru balik, ada kerja katanya. Ya Allah jujurnya emak, tak terlintas pun di hatinya bahawa ayah ada perempuan lain. Tetapi sebagai anak tak kan saya nak berdiam diri. Beberapa minggu kemudian baru saya berani bercerita dengan emak tentang peristiwa disupermarket itu.

menceraikan

''Malangnya sejak tembelang ayah pecah, dia jadi tak tentu arah, entah macam mana dia boleh bertindak menceraikan emak. Emak terkejut, kami adik beradik amat terkilan dengan perbuatan ayah. Tak berapa lama selepas itu kami dapat tahu ayah kami telah berkahwin dengan perempuan itu. Ayah amat kejam.


''Emak menerimanya dengan tangisan, tanpa banyak bicara selain meminta maaf kalau dia ada tersalah atau terkasar, dan memohon ampun jika tidak dapat melayan ayah seperti yang ayah kehendaki, kerana kini emak sudah 50 tahun.

''Hingga kini emak tetap emak sikapnya tak berubah langsung terhadap ayah. Malah emak nasihatkan kami jangan biadap dengan ayah. Walaupun emak tahu kami adik beradik amat marah dengan ayah. Masalahnya kami amat kasihankan emak.

''Malangnya, di satu pihak ayah memburuk-burukkan emak pada orang, kata ayah emak tak pernah menjaga kebajikannya. Emak tak jaga anak-anak. Emak malas dan emak isteri yang derhaka! Oh Tuhan. Apa dah jadi dengan ayah kami ini?

''Ayah marah abang, ketika abang cuba bersemuka dan bertanya kepada ayah apa yang terjadi, kata ayah abang dengar cerita sebelah emak sahaja yang banyak berbohong. Bila abang bercerita lebih lanjut, ayah kata kami adik beradik menyusahkan hidupnya.

''Kami empat beradik ini sudah dewasa, kami nampak dan kami kaji, kami tahu siapa yang membuat onar. Namun kasih emak pada ayah semakin tebal, emak nasihatkan kami jangan menderhaka kepada ayah.

''Malangnya semakin emak berdiam diri, cerita pembohongan ayah memburukkan emak menjadi-jadi dan sampai ke telinga saya. Kata ayah pada kawan-kawan dan adik-beradiknya, konon emak queen control, emak pentingkan diri sendiri, tak menjalankan tugas sebagai suri rumah apalagi sebagai isteri. Ya Allah, saya terkedu seperti orang yang dipukau saya tak dapat menjawab apa-apa pun selain daripada menangis.

''Namun saya mengaku, saya pernah menghubungi perempuan itu cuba menceritakan keadaan sebenar, bahawa emak bukan seperti yang dia ceritakan dan sebarkan. Malang sungguh ayah mengamuk dan memaki hamun marahkan saya. Kata ayah saya tak tahu apa-apa tentang emak jadi jangan masuk campur.

''Tapi saya puji, emak tak lekang dari tikar sembahyang. Masih minta kami hormat ayah. Saya ada banyak bukti tentang perbuatan buruk ayah. Tapi terlalu perit untuk bercerita pada emak. Maaf ayah saya tak dapat nak hormat ayah! Saya amat kesal orang yang saya hormati satu ketika dulu telah mengkhianati kami.

''Abang memang ambil berat tentang ayah. Dia mencari jalan membantu ayah kembali kepada emak. Tapi kerana tiada pengalaman abang gagal selamatkan perkahwinan ayah dan emak. Namun emak tetap reda dengan apa yang terjadi padanya.

"Pada Zukhene awak beruntung kerana ayah awak belum berkahwin. Itu tandanya dia masih sayangkan awak sekeluarga, tetapi ayah saya sudah tidak sayangkan kami lagi.

''Kepada ayah kami nak tanya adakah perempuan itu telah ayah uji cintanya seperti ibu? Kami harap janganlah dia cuma cintakan ayah kerana kedudukan dan duit ringgit ayah. Pada kami, hati, cinta dan kasih ibu terhadap ayah terlalu tinggi hingga kini. Saya mohon ayah jangan fitnah emak lagi dengan kata-kata yang ayah sendiri tahu tidak benar.

''Namun seperti ibu, jauh di sudut hati ini saya memohon kepada Allah agar ayah kembali pada kami. Kami rindukan ayah seperti dulu suka gelak ketawa, dan terlalu sayangkan keluarga, semoga Allah makbulkan doa kami". Demikian cerita Bismi tentang ayahnya yang sudah bertukar corak dan bertukar kasih.

Setelah membaca kisah Bismi tentu pembaca boleh membuat kesimpulan. Adakah isteri telah membuat salah maka hukumannya dia diceraikan, ataupun cerai sudah menjadi perkara biasa bila kasih sudah beralih arah.

Kisah 2:
Abah sentiasa jadi imam solat di rumah

SAYA telah pun berumah tangga dengan seorang lelaki yang saya kenali ketika menuntut di luar negara dulu, beliau seorang suami dan ayah yang sangat baik, saya juga bertuah kerana dikurniakan ibu, ayah mertua dan ipar duai yang sangat-sangat baik, Alhamdulilah... tetapi saya masih lagi berwaspada kerana malang tidak berbau.

Merujuk kepada kisah DCCK minggu lalu, berbalik kepada kisah DCCK keluaran 2 Ogos, saya terpanggil untuk memberikan reaksi tentang nasib ibu dan perangai ayahnya. Cerita beliau ada persamaan sedikit dengan kisah saya.

Saya anak bongsu daripada tiga beradik. Saya dilahirkan dalam keluarga sederhana, tetapi emak meninggal dunia semasa saya berumur tujuh tahun. Jadi segala keperluan arwah, abah yang menguruskannya. Tetapi di sebalik itu abah seorang yang sangat baran hinggakan jiran-jiran tetangga amat simpati kepada kami, yang jadi mangsa keadaan adalah kakak saya.

Beliau dipukul dan dimaki. Saya dan abang juga tidak terlepas daripada tempiasnya, cuma kakak kena lebih teruk daripada kami. Abah pernah menyatakan emak meninggal dunia disebabkan kakak.

Air muka

Abah tak pernah peduli tentang air muka anak-anak. Kalau baran dia datang dia boleh pukul atau maki kami walaupun di khalayak ramai. Kami tiga beradik inilah yang menangis bersama di dalam bilik.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan tahun berganti tahun, tetapi perangai abah tidak pernah nampak perbezaannya, sehinggalah ditakdirkan abah terkena angin ahmar, kakaklah yang menjaga abah sehingga hujung nyawanya.

Saya dan abang memberikan berbagai alasan untuk tidak menjaga abah, tetapi kakak sanggup berhenti kerja sebagai Akauntan semata-mata ingin menjaga abah, walaupun suaminya tidak merelakannya.

Kakaklah yang menjaga abah, tetapi setelah kakak menasihatkan kami, akhirnya kami akur dan menjaga abah setakat yang termampu, apa yang kakak kata kita hanya akan ada ibu dan ayah sekali sahaja dunia dan akhirat walau sejahat mana sekali pun abah dia tetap bapa kami yang sah.

Oleh itu pada saya kita hormatilah kedua-dua ibu bapa kita walau sejahat mana sekalipun dia, insya-Allah satu hari Allah SWT akan menyedarkan mereka tentang dosa yang telah mereka lakukan.

Tetapi walau macam mana pun kami bertiga tetap sayangkan abah dunia dan akhirat sebab abahlah yang menggantikan emak selepas kematian emak. Dia bersusah payah mencari duit bagi menyekolahkan kami sehingga kami berjaya.

Dia jugalah mengajar kami untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak kami.. Walau sebaran manapun abah, dia tidak pernah lupa untuk menjadi imam ketika berjemaah dengan anak-anaknya.

Ziee, Kuala Lumpur

Kisah 3: Sayangilah dia selagi ada

Bro menerima satu e-mel yang cukup menyentuh perasaan iaitu berkaitan luahan seorang isteri yang kematian suaminya setahun lalu akibat barah.

Membaca setiap ayat dalam e-mel berkenaan, Bro berasa sebak kerana amat memahami betapa rindunya si pengirim e-mel itu terhadap arwah suaminya. Dia menceritakan bagaimana di siang hari dia tersenyum tetapi di malam hari dia merintih dan menangis seorang diri.

Dia menangis meratapi pemergian suaminya, dia rindukan belaian dan gurau senda yang kini semuanya hanya menjadi kenangan. Sebagai hamba Allah, Bro membalas e-melnya dengan memberikan sedikit nasihat.

Kepada semua kaum wanita terutamanya yang bergelar isteri sayangilah suami anda, penuhilah setiap hajatnya selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Sesungguhnya ajal maut di tangan Allah, kita tidak tahu apa yang hendak terjadi di masa depan, mungkin hari ini kita menolak hajatnya, mungkin esok dia tiada lagi, ketika itu menyesal pun sudah tidak berguna lagi.

Jalankan tanggungjawab anda sebagai isteri dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya apa juga yang anda lakukan untuk suami anda biarpun hanya menghidangkan secawan kopi, ia sudah mendatangkan pahala.

bercakap kasar

Janganlah bercakap kasar dan janganlah cuba hendak menjadi queen control. Sesungguhnya syurga anda terletak di bawah telapak kaki suami anda. Mungkin ada di antara anda berbangga apabila mampu mengawal suami dan gembira melihat suami mengikut cakap anda sehingga timbul istilah 'takutkan bini', tetapi persoalannya apakah ia akan mendatangkan pahala?

Bro sentiasa percaya kehidupan suami isteri memerlukan kefahaman yang disulami dengan perasaan kasih, sayang dan cinta yang mendalam.

Bro tujukan pesanan ini kepada isteri-isteri yang mempunyai suami yang baik seperti mana arwah suami pengirim e-mel kepada Bro itu.

Ingatlah selagi orang yang kita cintai wujud di muka bumi Allah ini, sayangilah dia sepenuh hati kita. Mungkin ada perkara yang dia lakukan melukakan hati kita tetapi janganlah sampai kita membencinya.

Banyak-banyaklah berdoa kepada Allah agar rumah tangga kita diberkati sehingga akhir hayat.

Kepada pengirim e-mel tersebut, Bro doakan semoga roh Allahyarham suaminya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Bro - Al Fatihah

*** Kita adalah manusia biasa yang tidak lepas dari berbuat kesalahan dan kesilapan. Sama ada kecil atau besar, malah paling besar dosa terhadap Allah Taala. Selagi ada nyawa di badan, kita boleh bertaubat dan berpeluang untuk bertaubat nasuha sehinggalah Izrail datang men'jemput'.

Sesama manusia, kadang-kadang dalam sedar atau tidak dan sengaja atau tidak disengajakan kita sering melukakan hati mereka. Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan juga dan pengkhianatan dibalas dengan dendam kesumat, tiada kebaikan di akhir cerita. Memberi kemaafan bukan setakat di hari raya sahaja, bahkan sepatutnya sebaik melakukan kesilapan tersebut.

Ego dan malu - 2 benda yang menjadi penghalang mulut untuk mengucapkan dan tangan untuk meluahkan hasrat hati. Hanya airmata menjadi pengganti atau hati yang keras terus menyimpan niat suci.

Aku akui diri ini seorang anak yang bukan baik sangat. Sebagai isteri sering juga mengabaikan suami dan menyakiti hatinya. Lebih-lebih lagi sebagai ibu, terhadap anak-anak.....saban hari aku menyakiti mereka fizikal dan emosi. Walaupun untuk mendidik ada tindakan yang melampau apabila akal dikuasai nafsu amarah.

Ya Allah! Aku hanya mampu untuk cuba membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik dari hari ke hari. Aku sedar bila aku banyak bertindak mengikut nafsu, maknanya aku telah jauh dari jalanmu yang lurus...Teguhkan lah hati aku dan berilah aku kesabaran untuk menjadi anak, isteri dan ibu yang solehah dunia akhirat. AMIN

Marilah kita bersama menambahkan ilmu dan mendekatkan diri kembali di jalan Allah. Ujian demi ujian yang menimpa kita untuk menyedarkan kita tentang pelbagai perkara. Tinggal lagi di mana kita letakkan akal fikiran untuk menilai hikmah dan rahsia di sebaliknya..dan, bukan menangisi nasib malang atau bertawakal semata tanpa usaha membaikinya. Insya Allah

Semoga 3 kisah di atas mengetuk pintu hati anda dengan rahmah!

Kaedah Rawatan bagi Ibu Dalam Pantang Bersalin

Dipetik dari buku 'Ensiklopedia Perbidanan Melayu-Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan ' oleh Datin Sharifah Anisah Barakbah

Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ni terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung. Tidak dinafikan amalan ini agak leceh, tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan. Sekiranya penjagaan diri semasa dalam pantang bersalin diabaikan, kesannya mungkin tidak berlaku serta-merta. Namun apabila melalui kelahiran yang banyak, usia mula meningkat, daya tenaga semakin menurun, barulah terasa lenguh-lenguh dan bisa urat, sendi serta otot, sakit pinggang dan kebas tangan. Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan ibu menjadi dingin dan lemah tenaga batin.

Berikut adalah amalan-amalan ketika dalam pantang yang perlu dilakukan ketika berpantang.

* Amalan Intensif Ubat Periuk

Minum ramuan ubat periuk adalah bagi membantu mengeluarkan angin, lendir dan darah kotor. Ini adalah untuk membersihkan, menyegarkan dan mengembalikan fungsi rahim di samping melawaskan sistem perkumuhan dan membantu pembuangan lemak berlebihan. Ia juga dapat memulih tenaga sekaligus dapat mengembalikan kesihatan serta kecantikan.

* Amalan Herba untuk Kerapian Bahagian Sulit

Selepas mengambil ubat bersalin selama 44 hari, ibu-ibu disyorkan mengambil rumusan herba untuk kerapian bahagian alat sulit sehingga 100 hari. Diambil sebagai amalan harian sebelum sarapan pagi untuk merapikan dan merapatkan otot saluran faraj serta menguatkan mulut rahim .

* Rawatan Bertuam

Bertuam dilakukan selama 2 minggu pertama selepas bersalin dengan menggunakan batu sungai atau batu tanah liat. Rahim tidak boleh ditekan, hanya dituam. Tujuannya adalah untuk membantu mengecutkannya dengan mengeluarkan darah bantal dan angin toksin.

* Rawatan Bertungku

Bertungku dilakukan selepas 2 minggu sehingga 44 hari ketika tempoh berpantang. tekan perlahan-lahan sehingga tenggelam sedikit tungku. Mula dari bahagian hulu hati ke sekeliling pinggang. Kemudian ke cawan peha dan berakhir di tundun. Buat berulang kali selama setengah jam. Dan akhiri di peha, celahan peha, lutut, kaki dan tapak kaki.

Bertungku selepas 44 hari. Bolehlah menekan dan mencungkil peranakan. Perlu dapatkan mereka yang mahir jik atidak akan menyebabkan peranakan lari atau tidak kembali ke asal. Jika tiada mereka yang mahir bolehlah memakai bengkung sahaja.

* Mandian Ibu Bersalin

Selepas bertuam, teruskan mandi dengan air rebusan herba ke seluruh badan dari leher ke bawah secara perlahan-lahan. Ini adalah supaya air meresap ke liang roma. Dilarang membasuh rambut dengan air panas atau air rebusan herba yang panas bagi mengelakan sakit kepala atau rambut gugur. Gunakan air biasa.

* Rawatan Urutan Tradisional

Urutan yang baik membantu memulihkan aliran darah, mencuci dan mengeluarkan darah, angin serta lendir yang kotor dan melawasakan nifas daripada tersekat atau tersumbat. Urutan dapat menenangkan emosi, meringankan tubuh badan yang lesu dan melegakan bisa otot dan sendi.

Dilarang mengasak, menekan, memaksa atau menolak peranakan dalam tempoh 2 minggu pertama. Ini kerana peranakan masih lemah, luka dan bengkak. Hanya urut dibahu, leher, dada dan payudara. Kemudian dari bahu ke siku, lengan dan jair-jemari.

Selepas 2 minggu sehingga 44 hari baru boleh disentuh di bahagian kedudukan rahim.

* Rawatan Berlulur

Boleh dibuat sebelum atau selepas mandi iaitu dengan mengosok anggota badan bagi mengeluarkan daki serta sel mati. Lulur akan meresapi pori-pori dan menghindari kemasukan angin sejuk yang mengakibatkan kebas, bisa otot, sendi dan urat saraf.

* Rawatan Berbengkung

Mengikut ilmu perbidanan moden, kegunaan bengkung, terutama bagi ibu bersalin normal adalah untuk mengelakkan kemasukkan angin sejuk di liang-liang perut. Selain itu dapat memudahkan pengeluaran angin panas dan kotor iaitu dengan ikatan barut dan ubat yang sempurna. Bengkung perlulah panjang dari bawah payudara hingga ke bawah pinggul. Jika pendek ini akan menjejaskan kedudukan rahim kerana bengkung itu akan menekan rahim ke bawah dan menyebabkan posisi rahim menjadi rendah. Selain itu, bahagian pinggul serta paha akan tertinggal seperti terlebih isi dan akan menjejaskan potongan badan. Di bahagian pinggang mengecil sedangkan di bahagian atas dan bawah kelihatan besar.

Minyak berubat boleh digunakan sebagai pelembab kulit. Ianya bagi mengecutkan peranakan, mengempiskan perut dan merampingkan pinggang.

* Rawatan Mandi Wap atau Bertangas

Dilakukan selepas hari ke-30 iaitu selepas darah nifas kering. Tujuannya adalah untuk mengaktifkan pengeluaran peluh sebagai rawatan pengenyahkan racun di badan. Serta membantu proses penyembuhan dan pengecutan saluran sulit dan peranakan. Ini dapat menghidari penyakit puan.

* Rawatan Ukup Wangi

Dilakukan selepas 40 hari sehingga 100 hari. Tujuannya adalah untuk menghilangkan bau herba dan rempah ratus yang menyerap ke badan selepas rawatan bertangas dan wandi wap di peringkat awal.

* Senaman Kemutan Otot Rahim

Dilakukan ketika rawatan bertangas dan ukup wangi. Senaman dibuat dengan cara tarikan nafas dari ari-ari naik ke dada sambil mengemut saluran faraj seperti tahan kencing dan kemut dubur seperti tahan kentut atau najis. Wap herba akan disedut masuk ke faraj. Pergerakan otot dalaman dapat membantu mempercepatkan pengeluaran sisa toksin dan memperkemaskan kesihatan serta kedudukan rahim.


* Darah Nifas

Selepas bersalin ciri keluar seperti darah haid tetapi berwarna kehitaman pekat, berlendir serta berkepingan dan berbau hanyir/busuk. Keluar bersama-sama darah bantal (darah yang terkumpul di dalam rahim melekat dengan uri) sedikit demi sedikit sehingga 2 minggu. Kemudian berkurangan ke sederhana cair sehingga berdebu kehitaman/coklat.

Nota:

Buku 'Ensiklopedia Perbidanan Melayu-Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan ' ini ditulis oleh Datin Sharifah Anisah Barakbah iaitu pengasas Nona Roguy dan juga pengamal kesihatan tradisional melayu. Buku ini mengandungi panduan lengkap untuk ibu-ibu mengandung, pantang bersalin dan penjagaan bayi. Di sini saya hanya menulis secara ringkas apa yang terkandung di dalam buku ini. Terdapat pelbagai pengetahuan mengikut perbidanan melayu iaitu dari proses kehamilan, berpantang dan juga penjagaan bayi. Selain itu turut memuatkan mengenai ketidaksuburan, keguguran serta resepi-resepi penyediaan herba melayu.


Lagi panduan..........

Pemakanan seimbang dan berkhasiat seperti:

* Nasi panas sederhana lembut, bubur nasi, spagetti, pasta dan makaroni.

* Sayur-sayuran yang disyorkan ialah bawang putih, bawang merah, bawang besar, halia,
lengkuas, daun dan bunga kunyit, ulaman lemuni, ulaman pegaga, daun pudina, daun kari,
brokoli, karet dan sawi, serai , lengkuas, ‘cauli-flower’, ‘baby-jagung’.

* Ikan segar yang dsiyorkan ialah ikan merah, tenggiri, haruan, jenahak, selar kuning, kerisi,
kurau, kerapu, siakap, kod, bawal putih dan senangin.

* Makanan bijirin iaitu gandum (oats), empingan jagung (corn flakes), bran, muesli, beras merah, beras perang, beras, kismis kuning dan hitam, kekacang soya (tauhu, tempe dan tofu), kekacang badam, walnut, makadamia, gajus dan bijan, roti putih, roti wholemeal/wholegrains, roti canai, chapati, tosei, roti puri dan kari.

* Buah-buahan yang boleh disyorkan ialah epal merah, oren manis (limau manis), kurma,
buah zaitun, buah tin (fig), delima, pir, lai, pic, aprikot, strawberi, anggur (jangan berlebihan
boleh akibatkan batuk), jus epal, ribena dan sirap.

* Minuman berkhasiat disyorkan susu, susu soya, horlicks, milo, teh herba dan air suam.

* Gunakan pemanis iaitu madu lebah asli, gula merah, gula perang dan raw sugar.

* Teruskan amalan Vitamin sebagai suplimen anda semasa menyusu bayi.

Bagi yang mampu dan rajin untuk menyediakan kemudahan perawatan secara tradisional seperti di kampung boleh mengikut panduan berikut.

Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.

Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri.

Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang.

Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi (Vitex negundo), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai (Lawsonia terma), daun bonglai, daun mengkudu (Morinda citrifolia) dan rempah halba.

Berikut ialah contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi:

1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
10 helai daun limau purut
6 batang daun serai bersama serai
Halia muda sebesar 4 kali ibu jari
7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
Seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
Segenggam halba (dipunjutkan)

Cara menyediakan air mandian:
  • Ambil periuk tanah ukuran sederhana.
  • Sediakan bahan-bahan di atas.
  • Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana.
  • Masukkan halba yang dipunjutkan.
  • Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja
Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua.

Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari [kaki kanan] dahulu diikuti kaki [kaki kanan] kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri.

Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.

Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit.


Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot disamping menghalang air dari masuk ke dalam badan.


Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.

BERTANGAS

Amalan bertangas dilakukan selepas mandi.

Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan prolapse (keluar tombong).

Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.

Ramuan Tangas:

9 keping asam gelugur
2 camca besar garam jantan
3 helai daun sirih (Piper betel)
Segenggam inai (Lawsonia terma)
Halia sebesar ibu jari (Zingiber officinale)
3 biji manjakani

Caranya :

Rebus semua bahan bersama air hingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk hasil yang baik ia dilakukan dua tiga kali sehari hingga 44 hari. Air yang sudah sejuk jangan dibuang, sebaiknya jadikan pencuci bahagian sulit


*** Saya sengaja mengepil artikel ini sebagai panduan. Walaupun sudah beranak tiga, ada sesetengah perawatan yang saya lakukan tidak mengikut cara di atas. Tidak semestinya cara di atas paling terbaik untuk diikuti, tetapi kesan daripada kesilapan cara saya merawat diri dalam berpantang dapat saya rasai. Walaupun emak ada untuk membantu sewaktu berpantang, tetapi bukan 24 jam dia nak awasi kita kan...culas pon yer. Harap puan-puan di luar sana dapat mendisiplinkan diri dengan panduan pakar dan orang berpengalaman supaya tahap kesihatan lebih terjamin. Bukan untuk suami dan anak-anak sahaja, paling utama untuk kebaikan diri sendiri di masa depan...:D

Ya Allah lindungi kami...permudahkan urusan kami!

Malam ini, hubby bertolak ke Port Moresby, Papua New Guinea, penerbangan 12.10 pagi nanti. Insya Allah pagi esok juga sampai, akan berada di sana 3 - 4 minggu dan dijangka pulang 7hb bulan depan. Memandangkan aku dijangka bersalin dalam minggu pertama bulan september itu nanti, kerisauan mengulit hati kerana bimbang tiada orang yang menemani dalam labor room dan memberi semangat di sisi nanti. Namun, dia beritahu akan cuba melakukan yang terbaik di sana dan berharap dapat balik Malaysia lebih awal. Entahlah aku tak mengharap sangat, sebab pengalaman sebelum ini pun dia selalu balik sama ada tepat pada waktu yang ditetapkan atau menetap lebih lama kerana timbul beberapa masalah teknikal di tempat kerja. Frust juga rasanya kerana sejak awal dah berangan nak dia temankan seperti masa bersalinkan hero bertiga tu. Apapun aku redha dan berdoa semoga Allah akan memudahkan segala urusan kami dan melindungi kami dari apa jua kesulitan. Tambahan dengan isu penularan virus H1N1 di seluruh dunia, kami yang sentiasa berada di dalam rumah juga belum tentu selamat dari jangkitan. Risiko lebih tinggi terutama kepada ibu mengandung, jadi sebolehnya aku mengelak mendedahkan diri di khalayak yang ramai. Apapun tidak dapat dielakkan juga untuk keluar rumah membeli barang keperluan, mengambil anak sekolah dan pergi ke klinik. Oleh itu, kembali kepada Allah kita berserah dan memanjat doa agar semuanya selamat. Amin....

H1N1 - Cara Jangkitan & Langkah Pencegahan

Terkini !! 12 mati akibat H1N1

Menakutkan dan merisaukan semua orang. Hampir saban waktu ada kes terbaru dilaporkan dan setiap hari jumlah kematian juga meningkat. Di sini saya kepilkan slide dari seminar Influenza A (H1N1) Outbreak Within Malaysia Premises yang diambil dari Forum Bincang.net. Kredit untuk ahli senior yang prihatin, Meor...








Bersama-samalah kita mengambil langkah pencegahan untuk kebaikan bersama. Di samping itu, kita perbanyakkan berdoa dan bersolat hajat memohon perlindungan Allah untuk menghindari kita, keluarga kita dan seluruh masyarakat Malaysia dari penyakit berjangkit ini. Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah jua yang memberi dan menyembuhkan penyakit. Semoga mereka yang sedang menghidapnya bersabar dan akan mendapat kesembuhan...Amin

Kotak fikiran si kecil

Suatu petang balik dari kerja, sperti biasa Mak Anjang bergurau dengan anak-anak saudaranya Aman, 6thn; Almustofa, 4thn; dan Addin, 2thn.


Mak Anjang: Tembamnya lah Addin ni...(sambil memicit pipi gebu Addin)
Aman: A'ah dia tu tembam, tapi comel...macam arnab
Mak Anjang: ??? (apa kene mengena dengan arnab?)
Almustofa: Pipi saya pulak macam mana?
Aman: Pipi awak biasa-biasa jer...
Mak Anjang:??? (gelak besar)


Macam-macam...
Suatu hari Mak Long datang melawat keluarga Aman. Sewaktu berbual-bual dengan Aman, Mak Long bertanya tentang persekolahannya...


Mak Long: Aman pernah tak kena pukul dengan cikgu dekat sekolah?
Aman: (diam berfikir)...
Aman: emmmm..Aman tak nampak pun hanger kat sekolah...
Ibu: (huhu rasa macam nak menangis pon ada, sebab ibu selalu pukul guna hanger baju tu...)


*** Moral : Jangan pukul anak guna penyangkut baju (hanger) -walaupun perlahan ye :))

Kasihnya ibu...

Pagi ini hati aku begitu tersentuh dengan berita yang ditulis tentang arwah Yasmin Ahmad. Banyak berita yang keluar tentang luahan hati Mak cik Inom ini, tetapi kali ini hampir menitis airmata aku membaca kisahnya. Memang betul syurga letaknya di kaki ibu..redha seorang ibu akan memastikan kesejahteraan si anak di dunia sampai akhirat. Semoga Allah memberikan rahmah dan tempat yang baik buat arwah di sana dan mengampunkan dosa-dosanya berkat keredhaan dari seorang ibu....amin

Sumber: MStar Online
Yasmin tidak mahu 'pergi' selagi belum dapat restu mak

'SYURGA itu di bawah tapak kaki ibu' maka sebab itu setiap doa yang keluar dari mulut ibu sentiasa akan dikabulkan Tuhan. Dan seandainya titisan air mata yang keluar dari kelopak mata ibu, amat besarlah dosanya buat anak-anak jika terguris hati ibu.

Tetapi tidak bagi ibu kepada arwah Yasmin Ahmad, Mak Inom, setiap air mata yang mengalir dari matanya adalah tangisan kesyukurannya kerana memiliki anak seperti arwah Yasmin yang dianggapnya 'One in a million' (Satu dalam berjuta) di atas muka bumi ini.

Arwah Yasmin merupakan seorang anak yang taat dan patuh terhadap kedua ibu bapanya dan beliau tidak pernah sekali mengguris perasaan kedua-dua mereka.

Mengimbau kembali kenangan bersama arwah Yasmin, Mak Inom menceritakan bagaimana arwah Yasmin tidak mahu pergi meninggalkan ibunya biarpun telah terlantar koma di hospital.

Saat Mak Inom melempias segala duka yang terbuku di hati terkenangkan anak yang sudah tiada, bagaikan membuka mata untuk menyedari betapa hebatnya martabat seorang ibu disisi Allah S.W.T.

Ketika arwah Yasmin rebah di TV3, sewaktu melakukan pembentangan pada 23 Julai, arwah didapati sudah tidak bernafas dan jantungnya telah berhenti berdenyut.

Namun satu keajaiban berlaku setiba arwah Yasmin di hospital. Jantung dan pernafasannya kembali berfungsi.

Bagi Mak Inom itu adalah petanda bahawa arwah Yasmin tidak mahu meninggalkannya selagi tidak mendapat restu dari ibu yang amat disayanginya.

Tangisan seorang ibu... Mak Inom begitu rindukan panggilan telefon dari arwah Yasmin.

"Sebelum arwah sampai ke hospital, selama 30 minit pernafasannya terhenti dan sepatutnya arwah memang dah pergi meninggalkan kita ketika itu.

"Tapi mak diberitahu, arwah kembali bernafas setelah tiba di Hospital Pakar Damansara (HPD).

"Mak tahu arwah sebenarnya dah meninggal masa tu, cuma arwah kembali semula untuk mendapatkan restu mak...," kata Mak Inom yang sedih dengan kehilangan anak kesayangannya.

Begitu hebatnya naluri seorang ibu yang dapat merasakan denyutan nadi si anak yang sedang bertarung dengan maut.

Mak Inom sendiri menceritakan bagaimana dia sendiri tidak mahu melepaskan anaknya itu dari meninggalkannya kerana dia amat menyayangi anaknya itu.

"Pada mulanya susah untuk mak redhakan pemergian arwah, sukar buat mak kerana arwah seorang anak yang sangat baik. Mak tak sanggup.....

"Tapi setelah Dr Jemilah dan Orked berkali-kali pujuk mak, "Mak... Redhakan mak... Redhakan... Redhakan kak Yasmin pergi..." mak terpaksa akur.

"Sebaik saja mak cakap "mak redhakan pemergian Yasmin", secara serta merta arwah menghembuskan nafasnya terakhir walaupun mesin bantuan hayat yang digunakan belum dimatikan lagi.

"Masa tu ramai yang menyedari bahawa arwah hanya menunggu restu dari mak," beritahu Mak Inom yang ketika itu tidak dapat lagi membendung airmatanya yang tergenang.

Bagi Mak Inom sendiri, dia terasa suatu kehilangan yang besar sejak pemergian arwah Yasmin dan apa yang amat dirinduinya dari arwah adalah panggilan telefon yang sering dibuat oleh arwah.

"Mak sangat rindu panggilan telefon dari Yasmin... setiap hari dia akan telefon mak, no matter how far, arwah sangat-sangat mengambil berat tentang mak," kata Mak Inom.

Ketika itu ayah arwah Yasmin, Pak Ahmad mencelah, menceritakan bagaimana pada satu ketika dia menjawab panggilan dari Yasmin, namun perkataan pertama yang keluar dari mulut Yasmin adalah "mak mana?".

"Abah ingat lagi pada masa tu Yasmin telefon dan abah yang jawab panggilan tu, abah tak sempat cakap 'hello' pun, Yasmin terlebih dulu dah tanya "mak mana?".

"Abah ingat dia nak la bercakap dengan abah dulu, rupanya tidak, mak jugak yang dia cari.

"Tapi arwah tak pernah membezakan kasih sayang, cuma arwah sangat-sangat rapat dengan maknya," jelas Pak Ahmad yang turut terasa dengan kehilangan anaknya itu.

Biarpun Mak Inom dan Pak Ahmad sedih dengan pemergian arwah Yasmin, namun jauh di sudut hati mereka ada tanda kesyukuran dan gembira memiliki anak yang begitu menyayangi mereka sehingga ke akhir hayatnya