Luqman dan Ramadhan Karim...

Sebelum Ramadhan aku gusar memikirkan bagaimana Muhammad Luqman akan berpuasa tahun ini. Memikirkan juga perangainya yang suka menangis bila lapar, aku kurang yakin dia dapat menjalani puasa penuh. Memandangkan 1 Ramadhan kali ini jatuh pada cuti sekolah, kami balik ke kampung aku di Dong, Raub. Harapan aku dengan adik-adik aku ramai di rumah, dapatlah mereka membantu aku mengawal Luqman dan memujuknya untuk berpuasa....

1 Ramadhan; sahur pertama itu Luqman bangun hanya untuk minum air. Pada siang hari dia tidak mengeluh lapar tetapi dalam diam dia ke dapur mencari air. Kali pertama dia kantoi apabila Mak Tamnya ternampak ketika dia mengisi air dalam kole. Walaupun ditegur, dia spontan minum air itu, tetapi seteguk cuma. Menjelang petang pula, pukul 7 itu dia meneguk sedikit air lagi. Aku tak memarahi dia memandangkan itu hari pertama dia berpuasa dan masih dalam proses belajar. Hubby juga berpesan supaya aku memberitahu Luqman sebab kenapa kita wajib berpuasa dan mengingatkannya supaya tidak makan berlebihan ketika berbuka puasa. Dia juga berpesan supaya mengajar anak solat kerana itu rukun Islam kedua sebelum puasa.

Alhamdulillah Luqman mampu berpuasa penuh hari-hari seterusnya. Waktu sahur juga dia akan bangun untuk makan nasi. Walaupun susah untuk dikejutkan, dia tetap bangun sebelum masuk imsak. Sebelah malam pula dia mengikut Pak Tih dan Atuk ke masjid menunaikan solat terawih di masjid. Di rumah juga dia mula menunaikan solat fardhu walaupun ada waktunya nya tidak cukup 5. Sejuk hati ibu melihatnya. Ada ketika gelihati juga melihat keletah anak-anak yang baru nak belajar puasa dan sembahyang. Yelah teringat dulu-dulu masa ibu kecil, lagilah liat nak puasa dan sembahyang. Moga anak-anak ibu tak malas dalam menunaikan ibadah hendaknya. Amin...

Hari ini 14 September genaplah usia Luqman 6 tahun. Selamat Hari Lahir!! Semasa ibu memberitahunya bahawa hari ini adalah hari lahir dia, dia hanya tersenyum dan tidak meminta apa pun atau berkata apa pun. Maaflah tiada apa pun yang istimewa untuk ibu dan abah berikan sempena hari lahir Aman kali ini. Hanya doa mengiringimu, semoga semua anak-anak ibu dan abah akan menjadi anak soleh dan insan berguna dunia dan akhirat. Insya Allah

1 comments:

ummu said...

salam Ain..
anak saya pun baru belajar puasa tahun ni.Tahniah Luqman..dapat puasa.anak makcik asyik tak larat jer