Antara saat-saat paling membahagiakan selain setelah sah bergelar isteri dan berjaya memegang sekeping ijazah ialah apabila selamat melahirkan anak yang pertama. Mana tidaknya setelah itu kita akan naik 1 pangkat lagi iaitu bergelar seorang ibu. Mahal harganya gelaran itu dan tidak boleh dibeli dengan RM. Tidak semua orang berjaya mendapat title 'ibu', 'emak', 'mama', 'ummi' atau 'bonda'.
Ada yang mendapat title ini dengan mengambil anak angkat atau menjadi ibu tiri seseorang. Walau pun begitu tidak semua orang sanggup memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu walaupun hanya sebagai ibu angkat atau ibu tiri. Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat. Paling mengagumkan ialah apabila sesorang itu ditakdirkan untuk menjadi seorang ibu tunggal. Menguruskan rumahtangga dan anak-anak sendirian tanpa seorang lelaki mencabar kewibawaan dan memerlukan kesabaran yang unggul.
Apa-apapun menjadi seorang ibu, tidak kiralah di kategori ibu yang macam mana, tanggungjawab mendidik anak-anak dan membesarkan mereka merupakan tugas paling mulia di dunia. Sama ada melahirkan seorang atau 16 orang anak, seorang ibu itu tetap seorang ibu mithali yang menyayangi anak-anak mereka walau apa pun yang terjadi. Tak tahulah nak kata apa tentang 'ibu' yang dilabelkan 'ibu ayam', 'ibu buang anak' atau lain-lain jenis ibu yang tidak bertanggungjawab di luar sana. Semoga ada hidayah buat mereka untuk kembali ke pangkal jalan dan menjadi ibu yang benar-benar sejati. Sempena hari ibu ini saya amat bersyukur kerana masih mempunyai ibu.
"Emak, terima kasih kerana membesarkan anak-anakmu dengan penuh kasih sayang. Tak terbalas lagi jasa emak dan abah sehingga ke hari ini...semoga Allah memberkati emak abah dunia akhirat.
Emak,hanya setelah Ngah bergelar seorang ibu barulah mengerti betapa beratnya tanggungjawab emak dan betapa sabarnya emak mendidik kami. Emaklah idola. Tak tercapai rasanya diri ini menjadi ibu yang baik sepertimu. Doakan Ngah. Doakan kami anak-anakmu supaya dapat menjadi ibu yang baik dunia akhirat...".Amin
Selain emak saya, ibu mertua dan kakak ipar saya,kak Amah merupakan wanita yang saya kagumi dalam mendidik anak-anak. Mungkin ada yang menafikan kehebatan mereka sebagai seorang ibu kerana manusia mana ada yang istimewa. Namun, saya menilai mereka yang berada di hadapan saya. Ibu mertua saya wanita yang boleh saya kira sebagai 'iron lady'. Walau pun dia wanita biasa yang bergelar suri rumah tetapi peranannya sebagai seorang ibu amat mengagumkan saya. Kak Amah sebagai seorang ibu tunggal begitu tabah dan cekal melalui hari-harinya dengan dua orang anak-anaknya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya sebagai mereka.
Terima Kasih Ya Allah atas nikmat yang engkau kurniakan kepada kami. Semoga engkau menjadikan kami, anak-anak dan keturunan kami manusia yang beriman dan beroleh balasan baik di akhirat kelak.........
0 comments:
Post a Comment