Doakan mangsa banjir


Hari ini suami saya dah pulang dari Medan, Indonesia. Paling seronok, anak-anak yang berlari membuka pintu untuk abah mereka. Alhamdulillah dia pulang dengan selamat dan sihat walafiat. Semestinya ole-ole tidak dilupakan untuk kami. Terima kasih, abang...tapi bulan depan nak keluar negara lagi. Emmm..sabar jelah. Kata orang sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan. Betul ke??


Tak lama lagi Aidil Adha. Saya dapat panggilan telefon dan sms dari kakak dan adik ipar yang bimbang tidak dapat pulang berhari raya di kampung sebab banjir.Tambahan pula ramalan gelombang kedua banjir bakal berlaku tidak lama lagi. Walaupun rumah mertua saya di felda Jengka 14 selamat dari dinaiki air tetapi jika laluan LPT ditutup maknanya mereka terpaksa berhari raya di Kuala Lumpur. Tahun ini bapa mertua saya, Hj.Daud Insya Allah akan menjalankan ibadah korban. Jadi, kalau tak balik kampung sedihlah jugak. Nasib baik kampung saya, Kampung Dong di Raub selamat. Insya Allah tiada laluan utama yang ditutup jika berlaku banjir melanda di sana.


Memikirkan kebimbangan tidak dapat balik beraya,dan dibandingkan dengan nasib mangsa banjir yang kemusnahan rumah dan harta benda, kami lebih bersyukur kerana tahu semuanya selamat. Lebih kasihan,keluarga yang kehilangan nyawa orang tersayang mereka. Marilah kita sama-sama berdoa agar segalanya akan berlalu dengan selamat dan keadaan akan kembali sempurna seperti sediakala. Insya Allah....

(Gambar:Internet)

Keletah













Cahayamata ibu abah

Ajarilah anak-anak kamu dan keluargamu kebaikan, dan lengkapkanlah mereka dengan adab (tata susila) - Riwayat Abdul Razak dan Said bin Mansur
Perkenalkan, inilah cahayamata saya...buah hati ibu dan abah. Tiga orang,hero kesemuanya. Sebagai surirumah sepenuh masa, saya gembira dapat melihat anak-anak membesar di depan mata sendiri. Namun,ia memerlukan kesabaran yang kuat.

Nakal sememangnya sifat semulajadi kanak-kanak.Kanak-kanak yang normal akan aktif dan kreatif. Sentiasa mencabar kewibawaan kita dengan karenah mereka yang merunsingkan. Tipulah jika saya tidak pernah marah anak-anak saya, bahkan saya juga pukul mereka. Itulah jadinya jika kemarahan mengatasi akal fikiran.


Menjadi ibubapa adalah anugerah yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Bukan semua orang bertuah memiliki cahayamata. Lebih lagi, anak-anak saya normal dan sempurna.I tulah yang saya tanam difikiran apabila hendak mengawal nafsu marah. Alhamdulillah,jika kita tanamkan kasih sayang terhadap anak-anak kita dan menjadi contoh teladan yang baik, sikap mereka juga akan lebih baik dan berdisiplin.






Muhammad Luqman
14 September 2003





Muhammad Almustofa
10 Mei 2005








Muhammad Salahuddin
3 Februari 2007

Dengan nama Allah Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Ini pertama kali saya mencoret di dalam blog sendiri. Bagaimana hendak bermula ye? Biarlah saya mulakan dengan memberitahu beberapa perkara dan peristiwa sempena DISEMBER ini....

Tika dan saat ini saya dan anak-anak berjauhan dengan suami tercinta yang bekerja di Medan, Indonesia. Alhamdulillah dengan adanya kemudahan teknologi Internet dan komputer masakini kami dapat berhubung selain menggunakan telefon. Abang, sayang rindu....anak-anak walau pada mula tidak berasa kehilangan tetapi hari demi hari tanpa abah menemani mereka bermain, tiada suara gelak ketawa abah bergurau, mereka mula sedar dan bertanya, "di mana abah?" "Abah kerja, cari duit..." itulah yang saya beritahu mereka...Saya sedar, kami bukanlah keluarga pertama dan terakhir yang terpaksa berjauhan demi mencari rezeki. Namun,itulah pengorbanan yang harus dilakukan untuk masa depan yang lebih baik.

21 Disember ini genap 5 tahun perkahwinan saya dan suami tercinta.Dalam usia yang masih mentah ini saya amat bersyukur kerana kami masih dapat bertolak ansur dalam menangani karenah masing-masing. Tiada yang sempurna di mata semua orang. Setiap kita ada kelemahan. Namun, apabila kita telah bersedia menerima pasangan seadanya, dan saling membantu untuk melengkapi hidup bersama maka keserasian akan wujud dan kebahagiaan akan terserlah. Alhamdulillah suamiku seorang yang bertanggungjawab. Dia juga seorang ayah yang penyayang. Terima kasih abang, kerana memberi kami kasih sayang yang tidak berbelah bahagi...

"Berkorban apa sahaja..harta ataupun nyawa".10 Zulhijjah datang lagi. Bagi yang berkemampuan dan sampai seruan menunaikan haji ke Makkah, semoga mendapat haji mabrur dan pulang dengan selamat. Namun apakah erti pengorbanan bagi kita? Para sahabat dahulu berkorban harta di jalan Allah dengan bersedakah kepada fakir dan orang yang memerlukan. Mereka juga berkorban nyawa dengan berjihad, yakni berjuang dan berperang menentang musuh Islam sehingga gugur syahid. Kita?? kita di zaman ini juga banyak berkorban. Berkorban harta untuk tujuan hiburan yang melalaikan, berkorban masa melakukan perkara tidak mendatangkan keuntungan, dan berkorban nyawa di jalanraya.

DISEMBER....penghujung tahun! Apakah kesimpulan yang dapat kita rumuskan sepanjang kehidupan dalam 2007 ini sebelum tirainya dilabuhkan??Entah...Azam saya pada tahun baru 2008 ialah untuk menunaikan semua azam-azam 2007 yang belum terlaksana...Macam itu ke?