Bila anak bongsu mula bertindak seperti seorang abang

Dear blog,

Alfatih sudah besar nampaknya. Anak bongsuku yang sudah pun berusia 6 tahun. Semakin tinggi, semakin manis roman wajahnya dan semakin berkurang juga sikap suka merajuknya.

Baru ini kami hendak ke kolam. Dia menyarung baju mandi kesayangannya. Bila selesai, aku lihat sudah agak ketat dan sendat ditubuhnya. Aku saran dia menanggalkan kembali baju itu dan menyarung baju abangnya. Kataku hendak memujuk, bahawa dia sudah besar dan tidak cantik memaki baju yang ketat sehingga menampakkan susuk anunya. Pakai sahaja baju abang kerana abang juga sudah besar. Dia gembira mendengar kata-kata ibu dan memberitahu bahawa baju miliknya itu kelak hendak diberikan pula kepada adik baby. Baby manapun aku tak tahu. 

Menjadi tradisi jika baju lama yang masih elok sudah tidak padan akan diwarisi oleh adik di bawahnya. Aku tidak mengambil berat kata-kata Alfatih secara serius. Mungkin itu kata-kata seorang budak yang sukakan anak kecil, terutama bayi.

Baru ini sepupunya datang ke rumah. Dia sangat suka melayan Sumayyah Hazirah yang baru berusia 8 bulan. Memang sudah layak beradik gayanya. Kata benakku. Bila Sumayyah balik, dia dan abangnya mengikut sama balik ke kampung. Cuti sekolah, kan.

Malam tadi adik iparku, ummi kepada Sumayyah menelefon. Dia memberitahu Alfatih ada menyelitkan baju mandi dalam beg baju Sumayyah. Katanya, dia sudah tidak padan dan mahu berikan baju tersebut kepada Sumayyah pula. Ummi Sumayyah bertanya sama ada aku yang menyuruhnya. Aku menidakkan. Kami tergelak dengan keletahnya. 

Sudah besar Alfatih. Kelak boleh jadi abang yang baik, Insha ALLAH. Kalau tiada rezeki adik kandung, adik sepupu pun boleh juga kan. Ibu bangga dengan Alfatih. 

Setahun lepas....baju inilah yang diberikan kepada Sumayyah :D 
Haih... Kalau untuk gegirl, mestilah cari yang beropol-ropol baru sesuai, kan...?

0 comments: