Sempurna

Lewat malam kelmarin menonton drama 'orang putih' di 8TV, Desperate Housewives. Tertarik dengan pasangan Scavo, si isterinya bertanya mengapa suaminya memilihnya sebagai isteri sedangkan ramai lagi wanita yang lebih cantik. Dengan rasa rendah diri si suami memberitahu bahawa dirinya juga bukan lelaki yang sangat kacak atau bijak. Berbanding isterinya itu seorang wanita yang bijak dan berjawatan tinggi. Jawapan yang mengharukan hati si isteri itu dibalas dengan pengucapan penghargaan bahawa suaminya lelaki yang 'sangat berjaya'. Berjaya mengharungi saat-saat susah dan senang sepanjang perkahwinan mereka.

Dalam babak lain, watak surirumah bernama Susan dan anak perempuannya Julie. Julie koma kerana dipukul seorang yang misteri. Sebagai ibu Susan berasa kecil hati kerana sepanjang anak perempuannya koma, pelbagai cerita dan rahsia anaknya terbongkar daripada mulut orang lain. Sebagai ibu berbagai persoalan timbul kerana Julie yang ditatang bagai minyak penuh itu dan selalu memberi semangat kepadanya ketika saat-saat sukar suatu ketika dulu sanggup menyembunyikan pelbagai rahsia. Mungkin juga kerana sikapnya yang cepat melatah, emosional dan terlampau mengambil berat menjadikan anaknya malas untuk bercerita. Saat dia sudah sedar, Julie memberitahu ibunya bahawa dia kini bukanlah anak gadis ibunya yang sempurna dan dia juga bukan lagi Julie yang suatu ketika dulu sering memberi semangat kepada ibunya pada ketika ibu menghadapi masalah. Beredarnya masa, dia juga melakukan kesilapan dan terjebak dengan masalah.

Demikian lah secebis kisah kesempurnaan yang dilihat dalam kehidupan kita. Dalam hidup berpasangan atau mendidik anak-anak kita perlu yakin dengan takdir Allah dan qada' dan qadar yang ditentukan buat kita. Mendambakan suatu yang sempurna seperti mendapat pasangan hidup yang sempurna dan memiliki sebuah kehidupan yang sempurna idaman semua orang. Namun dalam masa yang sama juga kita akui kita hanya merancang tetapi DIA yang menentukan segalanya.
Google Image

Sebagai orang Islam, landasan syariat berdasarkan Alquran dan Assunnah menjadi petunjuk kehidupan seharian. Apa yang wajib ditaati dan apa yang wajib dijauhi mesti diikuti supaya paling tidak kehidupan yang hampir sempurna dapat dibina. Tiada makhluk yang sempurna di dunia melainkan Allah jua Yang Maha Sempurna. Dalam soal mencari jodoh, bukan hanya sekadar cinta menjadi ukuran untuk membina keluarga malah banyak lagi faktor lain. Begitu juga dalam mendidik anak-anak, bukan hanya menghantar ke sekolah dan memberikan kasih sayang yang cukup untuk memenuhi syarat menjadikan mereka manusia yang berguna.

Kebanyakan mengaku bahawa setiap orang tiada yang sempurna. Bila terjalinnya ikatan perkahwinan, dan akhirnya memiliki anak-anak kita sering kecewa dengan hasil atau pendapatan daripada hubungan tersebut. Menyedari suami/isteri/anak bukan seperti yang diharapkan dan lebih buruk mereka banyak kelemahan berbanding diri sendiri yang memang serba kekurangan. Akhirnya yang ada ialah kehidupan yang serba daif sama ada dari segi kurang sumber kewangan, tiada kasih sayang dan gagal untuk menjadi manusia yang cekal menghadapi cabaran hidup. Ada yang redha menerima seadanya ketentuan hidup dan lebih ramai yang rebah dalam perjuangan.

Apa yang penting sebenarnya bukanlah kesempurnaan yang dicari, tetapi berusaha melengkapi kekurangan tersebut dengan kelebihan yang kita miliki. Kekecewaan dan putus asa hanya akan menyebabkan kehidupan menjadi tidak bahagia. Doa, usaha, tawakal dan redha menjadi benteng kekuatan diri orang Islam. Kecantikan rupa akhirnya akan luntur dek bertambah usia, kekayaan harta boleh menjadi semakin berkurang atau bertambah seiring waktu beredar dan hanya ilmu yang akan semakin bertambah dan berasa semakin jahil pula bila selalu ditimba. 


Kesempurnaan yang mana satu kita dambakan????? 


Pohonlah daripada-Nya kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat supaya kehidupan yang paling sempurna di 'sana' kelak dapat kita miliki. Amin...

Kata orang bila melihat kelemahan/kekurangan pasangan di depan mata, kena cepat-cepat tutup mata dan bayangkan kebaikan dan kecantikan yang pernah diberikan kepada kita. Seringkali menilai diri sendiri supaya kurang mencari kelemahan orang lain. Sentiasa membaiki kekurangan diri bukan untuk menjadi sempurna atau terbaik di mata pasangan tetapi untuk mendapat redha Ilahi. Kerana dengan redha-Nya akan terbuka luas pintu-pintu rahmat yang akan memberi kemudahan untuk kita melaksanakan cita-cita dan merealisasikan matlamat hidup. Akhirnya angan-angan akan menjadi kenyataan. Insya Allah.

0 comments: