Kanak-kanak dan susu (kalsium)

Baru-baru ini saya ditegur oleh kakak ipar tentang pengambilan susu di kalangan anak-anak saya. Katanya jangan biarkan anak-anak tak minum susu sebab nanti bila dah besar tulang mereka menjadi tidak kuat seperti yang terjadi kepada anak muridnya. Cerita beliau yang juga seorang guru sekolah menengah, kebanyakan anak muridnya mudah retak tulang bila aktif bersukan terutama bola sepak. Ini merumitkan.

Pada sesi pertemuan dengan Dr. Wan baru-baru ini saya sempat bertanya. Memandangkan anak bongsu saya yang berusia 2 tahun sudah bercerai susu badan, akhir-akhir ini dia seakan-akan merajuk untuk 'neneng' hatta di dalam botol susunya. Bila seorang tidak menyusu botol, maka abang-abangnya juga tidak meminta. Bagaimana pun anak-anak saya masih minum susu (dugro 3+ perisa coklat) untuk cicah biskut atau minum susu segar untuk makan bersama cereal...


Menurut Dr.Wan pengambilan susu sekurang-kurangnya 2 gelas sehari sudah mencukupi. Jika anak-anak kurang berminat dengan susu, gantikan dengan yougart, cheese (dimakan dengan roti) atau minuman soya. Susu segar pelbagai perisa yang dipek di dalam kotak kecil juga sesuai diberikan kepada anak-anak. Selain menarik minat mereka, ia juga tahan lama biar pun disimpan di luar peti sejuk.

Berikut petikan artikel bertajuk "Usah abaikan susu" yang ditulis oleh Rahayu Mohd Salleh di dalam Harian Metro:

“Bagi kanak-kanak pula, apabila mereka sudah tidak mengambil susu daripada botol, biasanya mereka akan terus berhenti minum susu,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Suriati Akmal Mahari. Keperluan kalsium untuk wanita berbeza sepanjang hayat mereka. Jika wanita dewasa perlukan kira-kira 800 mg sehari, keperluannya lebih tinggi di kalangan wanita hamil dan wanita yang menyusukan bayi.

“Bagi wanita hamil dan menyusukan bayi, disarankan supaya pengambilan kalsium dipertingkatkan iaitu antara 1,200 hingga 1,500 mg sehari. Ini kerana bayi dalam kandungan akan menarik kalsium daripada ibunya dan jika ibu hamil itu tidak meningkatkan pengambilannya, ia boleh memberi kesan kepada ibu terutama dari segi kesihatan gigi. Kata orang dulu-dulu, setiap kali mengandung, setiap kali itulah gigi patah sebatang. Sebenarnya, ia disebabkan kekurangan kalsium dalam tubuh ibu yang hamil. Menerusi pengalaman saya di bidang sakit puan, masalah gigi di kalangan wanita hamil masih berlaku. Mungkin mereka tidak mengalami masalah teruk hingga menyebabkan gigi patah tetapi boleh dikatakan di kalangan 20 wanita hamil, ada seorang yang mengalami masalah gigi. Sesetengahnya tidak pernah mengalami masalah gigi tetapi ia hanya berlaku ketika hamil misalnya gigi berlubang, tampalan pada gigi tertanggal, gigi terhakis dan serpihan pada gigi,” katanya. Apapun, menurutnya, kesedaran terhadap pengambilan kalsium tidak seharusnya tertumpu ketika seseorang wanita itu hamil atau menyusukan bayi kerana kepentingannya harus bermula sejak kecil lagi.


Kekurangan kalsium tidak memperlihatkan kesan yang drastik misalnya boleh menyebabkan serangan penyakit tertentu. Mungkin atas alasan ini, ramai yang tidak begitu endah pada kepentingan kalsium.Namun, ia seharusnya diberi perhatian untuk membolehkan seseorang itu mempunyai simpanan kalsium yang mencukupi sepanjang hayat mereka bagi mengelakkan masalah osteoporosis yang lazimnya berlaku ketika wanita berada di peringkat usia menopaus. Apatah lagi kini, jangka hayat untuk wanita dan lelaki kian meningkat.

Bagi wanita, jangka hayat mereka boleh menjangkau sehingga usia 80 tahun lantas bekalan khasiat dalam tubuh sebegini memang penting supaya mereka mempunyai simpanan kalsium mencukupi sekali gus membantu mereka memperoleh taraf kehidupan yang lebih berkualiti pada usia sedemikian,” katanya. Tidak perlu menanti hingga masalah osteoporosis menjengah malah di kalangan wanita muda, antara petanda yang menunjukkan kekurangan kalsium dalam tubuh adalah apabila mereka sering mengalami masalah kejang kaki khususnya pada bahagian betis. Lantas, budaya pemakanan sihat harus dipupuk sejak kecil terutama membabitkan pengambilan kalsium.

Jika anak tidak lagi minum susu daripada botol, galakkan mereka supaya minum susu daripada cawan. Di kalangan wanita yang tidak tahan dengan bau makanan atau minuman hasil tenusu seperti telur, keju dan dadih, ada pelbagai pilihan makanan bukan hasil tenusu yang dapat membekalkan kalsium. Antaranya adalah sayur-sayuran hijau seperti brokoli serta makanan lain termasuk kekacang dan sardin. Selain itu, sumber makanan lain yang diperkayakan dengan kalsium juga kian banyak di pasaran termasuk roti, jus dan biskut.

InfoHasil tenusu (kandungan kalsium dalam mg):
Segelas susu - 240 mg
150 gram dadih rendah lemak - 225 mg
2 cedok kecil ais krim - 120 mg

Bukan hasil tenusu (kandungan kalsium dalam mg):
2 keping roti putih - 83 mg
1 keping capati - 42 mg
Separuh keping roti naan - 137 mg

Menu ringkas untuk menambah kalsium:
- Nikmati bijirin yang dicampur bersama susu segar ketika barbarian
- Nikmati dadih buah-buahan rendah lemak sebelum makan tengah hari
- Jika memilih sandwic untuk makan tengah hari, sertakan keju dalam hidangan
- Brokoli bersama lobak merah dan kentang juga enak jika dijadikan hidangan sampingan ketika memanggang ayam

2 comments:

Janna Wan Muhammad said...

salam aina...akak kak janna a.k.a hairanaz dari forum Bincang.net...akak dtg melawat rumah aina nih...comel2 anak2 aina...sumer boy yer...berlawan ngan akak la plak..sumer girls,tahniah sbb nak dpt baby lagi, take care....nanti akak buh link blog aina di blog akak yer ! aina nak letak link blog akak pom bulih gak...hehehe.

Janna Wan Muhammad said...

bila nak update blog nih...? asik updet jenel kat BDN je....heheheeh