Salam Ramadhan almubarak...
Di kesempatan ini, saya ingin memetik sebaran dari status muka buku (FB) Ustaz Zaharuddin (uzar) tentang muafakat para ulamak kita dalam Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah yang baru lalu. Berikut catatan beliau:
Sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia tahun 1433 Hijrah ini, Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam yang diberi anugerah rezeki oleh Allah s.w.t bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.
Dengan itu, kami menyeru seluruh umat Islam agar menyambut bulan Ramadan yang mulia ini dengan kesedaran bahawa ia adalah suatu bulan mujahadah bagi mencapai taqwa melalui latihan kerohanian dan ketahanan terhadap dugaan syahwat yang pelbagai serta peningkatan ilmu terhadap inti Al-Quran serta menambahkan bacaannya. Allah s.w.t menyebut :
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Ertinya: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai pentunjuk bagi manusia dan bukti keterangan dari petunjuk dan pembeza (di antara yang benar dan salah). (Al-Baqarah: 185)
Sempena bulan Ramadan, bulan tarbiah dan perjuangan ini, kami ingin menegaskan beberapa hal berikut :-
1. Menyeru para ilmuan Islam dan masyarakat awam agar kembali memikirkan dan berusaha memberikan fokus serta penelitian terhadap amalan dan isu-isu yang paling utama di bulan Ramadan seperti :-
a) Meraih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Hal ini ternyata dengan sangat jelas melalui arahan Allah dan RasulNya. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang seseorang dari mencapai sasaran ini perlu diberikan perhatian yang lebih utama.
b) Bulan Mengingati Fungsi Al-Quran : Allah menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebatkan.
c) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
d) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.