Katakan 'TIDAK' kepada ROKOK

Saya amat bersyukur kerana bertemu jodoh dengan lelaki yang bukan seorang perokok. Cukuplah 25 tahun sebelum itu saya hidup serumah bersama seorang ayah yang merokok. Hingga kini dia masih tegar dan kami adik beradik tidak pernah henti berharap dan berdoa moga suatu hari kelak abah akan berhenti merokok. Mungkin juga kerana tahap kesihatannya yang baik (Alhamdulillah) tanpa sebarang penyakit kronik pada usia 65 tahun maka dia menjadi sukar untuk berenggang dengan 'sahabat' no 1 nya itu. Walaupun begitu, dia tidak pernah bersetuju anak-anaknya terutama dua adik lelaki saya untuk menjadi perokok. Pernah suatu ketika mereka dimarahi kerana cuba berjinak-jinak dengan 'kegemaran' orang lelaki itu ketika zaman remaja. Syukur, adik-adik saya itu jenis anak soleh yang mendengar kata. Mesti mereka 'kembang setaman' jika membaca tulisan ini. Haha...

Di sini saya ingin berkongsi sebuah artikel menarik, namun membuat kita menggeleng kepala kerana tabiat merokok yang sukar dielakkan. Moga jadi teladan buat kita semua.


Oleh:NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR (Kosmo Online)

Perokok cilik Indonesia


KETAGIHAN merokok yang melanda segelintir kanak-kanak berusia bawah enam tahun di seluruh dunia harus ditangani segera.


AGAK sukar untuk mempercayai seorang kanak-kanak, Aldi Ilham, 8, yang berasal dari Sukabumi, Indonesia merokok di hadapan rumahnya dan boleh menghabiskan dua kotak rokok sehari tanpa dimarahi oleh ibu bapa.
Dia yang mula merokok ketika berumur empat tahun itu enggan ke sekolah dan hanya bermain serta menghisap rokok sepanjang hari.
Walaupun jika dilihat pada umurnya, ia amat mengejutkan tetapi pemandangan sebegini bukanlah sesuatu yang asing di Indonesia. Dianggarkan satu juta kanak-kanak di Indonesia di bawah umur 16 tahun di negara itu menghisap rokok dengan satu per tiga daripada mereka merokok sebelum berumur 10 tahun.
Selain Aldi, seorang lagi kanak-kanak, Ardi Rizal yang kini berumur empat tahun pernah mengejutkan dunia kerana menghisap rokok sebanyak 40 batang rokok sehari ketika berusia dua tahun. Dia akan membuat perangai jika ketagihan rokoknya tidak dipenuhi.
Ardi menjadi terkenal setelah klip videonya sedang menghisap rokok tersebar luas di internet.