Lama betul aku tak updet blog. Sementelah cuti sekolah, aku pun cuti berblog. Hehe tidak lah begitu, tetapi sebenarnya tiada idea untuk menulis. Menulis sesuka hati dan merapu bolehlah. Tetapi menulis untuk 'sharing for caring' agak payah...
Cuti sekolah kami sekeluarga tidak kemana-mana pun. Balik kampung pun tidak. Hubby pun tiada di Malaysia sekarang, jadi aku pun duk melepak di rumah dan kereta sejuk di pakir. Itulah malangnya jika isteri tidak tahu memandu kereta. Memang hendak menyambung balik pengajian yang tertunda bertahun dulu, tetapi masa selalu menghadkannya...(heh alasan je tu)
Seminggu dua ini agak aman dan tenang kerana aku sudah mampu menahan suara dan nafsu marah kerana keletah anak-anak. Ada juga ketika yang hampir hendak meletup nasib baik tidak berterusan. Beberapa minggu sebelum aku hampir setiap hari hypertension kerana anak-anak yang bermacam keletah dan karenah yang membeban jiwa. Hobi memanjat mereka kadang sampai peringkat menyakitkan diri masing-masing tetapi tidak pernah serik untuk memanjat lagi. Nak dikatakan hyperaktif, rasa-rasanya tidak lah terlalu hyper tetapi mereka memang aktif. Hendak dibiarkan sahaja takut jatuh nanti sakit, jadinya ibu terpaksa menjadi tarzan.
Kata orang tak elok cakap jatuh. Contohnya "jangan panjat nanti jatuh,sakit...". Mulut ibu seperti doa. Maka, tidak lama kemudian mesti anak akan jatuh. Akhirnya aku membiarkan mereka memanjat dengan syarat supaya berhati-hati, jangan main tarik kaki ketika abang/adik memanjat dan sila bertanggungjawab atas perlakuan/tindakan yang dilakukan. Dalam hati aku berserah kepada Allah supaya tiada perkara tidak elok terjadi. Huh...tak pasti berkesan atau tidak, selepas itu mereka memanjat suka hati tanpa sembunyi-sembunyi di belakang ibu. Tetapi semasa mereka memanjat aku buat-buat tidak nampak supaya mereka tidak berasa bangga berada di atas.
Kemudian mak abah aku datang tidur di rumah. Bising mulut abah melihat cucu-cucunya begitu suka memanjat. Akhirnya, suatu malam Luqman terjatuh, tetapi dia tidak menangis. Senak perutnya menahan sakit. Hati aku terasa sakit melihatnya begitu. Apa nak dikatakan lagi? Akhirnya aku beritahu dia..."nampaknya ibu terpaksa tidak membenarkan Aman memanjat lagi sebab, tidak dapat bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri dan tidak berhati-hati ketika memanjat. Kalau abah tiada dan atuk tiada siapa nak hantar ke klinik?" dia diam sahaja. Beberapa ketika dia dan Almustofa masih cuba memanjat. Namun beberapa hari ini mereka sudah tidak aktif memanjat. Sama ada sudah bosan dengan aktiviti itu, sudah termakan dengan kaedah psiko ibu atau sebab yang mana satu tidak lah aku pasti. Alhamdulillah semoga ada istiqamah dalam tindak tanduk kami yang baik ini...
Faktor rumah atas dan kurang melakukan aktiviti luar rumah mungkin penyebab anak-anak mencari sesuatu yang mencabar untuk memenuhi sifat suka bermain mereka. Sebagai ibu aku sedar tetapi aku pulak jenis yang suka menghabiskan masa di dalam rumah sahaja. Seusia mereka rasanya aku juga lebih nakal dan lebih 'adventure' dalam meneroka dunia kanak-kanak. Almaklumlah anak kampung dan tinggal di kampung yang memiliki sungai yang cantik dan bersih dan pokok-pokok yang tinggi dan rimbun yang sesuai untuk memanjat. Sayang keadaan sudah berubah. Sungai juga sudah tidak sebersih dulu. Kemunculan pelbagai permainan baru mengalih minat kanak-kanak dan para ibu bapa seperti aku juga lebih suka jika anak-anak bermain video game dan Internet di rumah dan berada di depan mata berbanding merayau di luar rumah yang penuh dengan risiko yang mengundang risau di hati.
Alhamdulillah minggu lepas pula anak-anak berpeluang mengikut Tok Chu mereka ke Port Dickson melihat sepupu tamat latihan KAGAT. Ramai yang pergi sama. Nenek, mak long, mak ngah, Tok chik sekeluarga dan sepupu sepapat sehingga mereka menyewa 2 chalet 3 bilik selama 3hari 2malam di sana. Berdekatan pantai sememangnya mengundang keseronokan dan kegembiraan berganda apabila dapat bermain pasir di pantai dan mandi di kolam resort penginapan. Diberitakan oleh mak saudara mereka, anak-anak aku Luqman, Almustofa dan Salahuddin semua dah pandai berenang. Alhamdulillah ...iyer ke? Semacam tidak percaya pula. Mak mertua menyampaikan pesan, ajarlah anak-anak seperti mana nasihat rasulullah supaya mengajar anak 3 perkara iaitu memanah, berenang dan menunggang kuda. Aku tersenyum sahaja mendengar pesanan itu. Insya Allah....