Showing posts with label Keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label Keibubapaan. Show all posts

GPS Tracker

Salam,

Bila terjadi kejadian murid 'hilang' beberapa hari lalu, ada cadangan supaya anak-anak dibekalkan dengan jam tangan yang mempunyai GPS tracker supaya memudahkan ibu bapa memantau keberadaan anak-anak mereka. Walaupun cadangan ini sangat baik dan dilihat munasabah, ianya tidak dapat dibenarkan kerana jam tangan itu juga mempunyai fungsi lain seperti boleh menelefon dan sms. Bukan berciri fizikal seperti telefon pintar biasa pun, tetap tidak diizinkan dibawa ke sekolah walaupun ada ibu bapa yang memberitahu sudah membelikan satu untuk keperluan anak-anak mereka.

Hasil carian imej untuk jam tangan gps tracker


Pelbagai warna yang menarik memang sangat mencuit hati. Ada hikmahnya juga ia tidak dibenarkan untuk dipakai oleh anak-anak di sekolah, takut nanti ada yang menyalahguna dan tidak fokus untuk belajar. Namun, ibu bapa boleh memakaikan anak-anak mereka apabila bukan di waktu persekolahan. Tiada siapa pun nak larang.

Kantoi

Anakku hendak bersolat. Umurnya 6 tahun.

'Ambil wuduk dulu', pesan saya. Dia berhenti bermain komputer lalu masuk ke toilet.

Dia masuk bilik solat. Selepas takbir, saya terdengar bunyi ....poot!


Saya kalih kepala ke arahnya. Boleh pulak dia senyum kepada saya semasa tengah solat. Kantoi!!!

Dia faham makna pandangan saya - kena ambil wuduk semula!

Kalau ibu tak nampak, sah dia teruskan sahaja solat sampai habis.  Sudah berulang kali saya berpesan, 'Solat betul-betul. Ibu tak nampak, tapi ALLAH nampak'.

Bukan senang nak mendidik anak-anak. Lebih-lebih kalau anak-anak 'menurun' perangai kita dahulu.

Sabar jelah...

Musim Anugerah

PEPERIKSAAN akhir tahun di sekolah dah habis, sampai masa keputusan pula diumumkan. Kemudian sekolah akan mengadakan hari anugerah untuk pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Setakat hari ini anak-anak saya belum ada rezeki memanjat tangga pentas Hari Anugerah untuk mendapat hadiah. 
Memang besar harapan ibu bapa melihat anak-anak berjaya. Namun kita tidak boleh meletakkan syarat kejayaan itu ialah apabila kamu menang anugerah dan berapa kali kamu mendapatnya. Anak-anak ke sekolah untuk belajar. Mereka bukan artis yang mengukur kejayaan bidang nyanyian dan lakonan berdasarkan jumlah trofi yang dimenangi. Maka, walaupun tidak berjaya, anak-anak masih ada ruang untuk belajar lebih rajin dan terus berusaha sehingga ke peringkat tertinggi.

Saya pernah menampal keputusan peperiksaan anak-anak yang cemerlang di media sosial. Walaupun tidak layak ke pentas anugerah, mereka tetap cemerlang di mata saya sebagai ibu yang banyak mendorong dan membebel supaya mereka rajin belajar. Jadi saya gembira untuk berkongsi rasa kebahagiaan itu. Namun, suami saya menegur dan meminta supaya saya membuang tampalan gambar-gambar tersebut. Untuk apa katanya? Menunjuk-nunjuk? Kecil hati saya masa itu. Dia asyik bekerja di luar, manalah tahu susah payah saya mengajar dan memotivasikan anak-anak di rumah. 

DI SEBALIK pandangan seorang ayah dan kebanggaan seorang itu, ada pro dan kontra di situ. Suami saya memberitahu supaya jangan menekan aspek peperiksaan kepada anak-anak. Kalau anak tak lulus peperiksaan hari ini, jangan anggap seolah-olah nanti gelaplah masa depannya. Jangan ukur nilai kualiti anak dengan peperiksaan. Banyak cabang lain yang mesti kita ketengahkan selain peperiksaan. Jika belajar semata-mata untuk peperiksaan, maka hilanglah kualiti ilmu yang dipelajari. Saya terdiam.

Bagaimana menangani anak kecil bila dapat adik baru?

Jawapan kepada soalan di atas:

Layankan ajelah...hihi. Macam adik saya yang baru melahirkan anak ketiganya baru-baru ni. Dibedung si kakak yang berusia 3 tahun tu dengan kain pelikat apabila diminta nak 'jadi macam adik'.

Malu bunting pelamin?

Awal bulan lepas sepupu saya selamat mendirikan rumahtangga. Dalam usia muda (24 tahun, isteri 23 tahun) dia berani untuk memikul tanggungjawab sebagai suami. Sebagaimana beraninya dia dalam memikul senjata di medan Lahad Datu menjaga kedaulatan negara diceroboh pengganas Sulu dahulu. Syukur tak lama selepas itu, sepupu saya yang juga 'ustaz askar' ni diberitakan oleh isterinya yang dia sudah pun hamil. Alhamdulillah... Bunting pelaminlah tu!

Memandangkan saat diberitahu hamil, usia perkahwinan mereka masih sangat muda. Mereka hanya sempat bersama beberapa minggu sebelum sepupu saya kembali bertugas di Tawau. Isterinya pula tinggal di semenanjung. Oleh yang demikian, tidak terlintas difikiran rezeki yang sampai itu, secepat ini.

Yang kelakarnya dia berasa malu pula. Malu-malu kucing lah tu... "Macam mana ni mak? Tak mengapa ke?" Itulah soalan yang menerjah ibunya di corong telefon. Saya yang mendengar cerita ibunya jadi tergelak sama. Masakan tidak, saya dahulu begitu juga. Perkataaan 'bunting' selalu kita merujuk kepada haiwan yang hamil. Untuk manusia kita guna perkataan 'hamil' atau 'mengandung'. 'Peknen' pula perkataan Inggeri yang dimelayukan ye...

Apa yang pelik? Hubungan mereka sudah halal dengan ikatan perkahwinan yang sah dan sepatutnya tiada apa perlu dimalukan. Sepupu saya malu sebab cepat sangat. Itulah rezeki namanya. Sebagaimana juga orang yang mengandung saban tahun. Kerana malu, dirahsiakan sehinggalah perut nampak barulah diketahui orang. Ada suami, apa nak kisah kan? Mulut orang bukan boleh ditutup.

Yang dah kahwin rasa malu, lagi pelik jika mengandung luar nikah tetapi tak ada rasa malu melakukan dosa. Buat adik sepupuku yag bakal menimang anak sulung ini, kakakmu ini mendoakan semoga bayi yang dikandung isterimu itu sihat sejahtera selalu dan akan lahir dengan selamat kelak. Insha ALLAH.

Agrhhh...bosannya!

السلام عليكم

Anak-anak saya tidak sehat. Nasib baik tidak serentak kesemuanya demam. Mula-mula Addin, sehingga terpaksa 2 hari dia tidak bersekolah. Hari ini abangnya Almustofa pula. Maka, duduklah dia sendirian di rumah kala adik beradik yang lain bersekolah.

"Argh, bosannya ibu!" Keluh Almustofa. Kebetulan adik bongsu balik ke kampung. Langsung dia tiada kawan nak bermain.

"Ada banyak benda awak boleh buat. Macam-macam kerja ada. Baca buku pun boleh."Jawab saya.

"Tapi, jangan fikir nak bermain game!" Sambung saya lagi hingga mengundang kemarahannya. 

Melatih anak lelaki melakukan kerja rumah



السلام عليكم

Sekian lama saya mendengar cerita anak-anak lelaki orang lain yang terdidik untuk melakukan kerja-kerja rumah. Bukan setakat mencuci pinggan makan sendiri, bahkan memasak, mengemas rumah, menyidai baju, melipat baju dan segalanya. Pokok pangkal segala rutin biasa seorang suri rumah atau perempuan. Lebih bagus, pandai menjahit, mengait, menyulam dan segala kepakaran yang kurang anak gadis masakini memilikinya.

Cikgu merungut

Tinggal seminggu lebih lagi baki persekolahan sebelum bermulanya cuti pertengahan penggal pertama. Untuk makluman, cuti sekolah akan bermula 26 Mei hingga 10 Jun 2012. 

Peperiksaan pertengahan tahun juga sedang giat dijalankan sama ada di sekolah atau tadika. Surat pemberitahuan juga sudah diedarkan lebih awal supaya ibu bapa dapat memastikan kehadiran anak-anak ke sekolah pada hari peperiksaan berlangsung.

Namun, adakalanya tak semua murid dapat hadir. Sakit atau kerana kes kecemasan menjadi aral untuk mereka tidak dapat hadir ke sekolah. Kebiasaannya, cikgu akan mengadakan peperiksaan ulangan untuk murid-murid yang tidak hadir. Itulah antara tugas mulia guru yang memerlukan dedikasi dan komitmen yang tinggi - Terpaksa buat kerja dua kali.

Adapun begitu jugalah yang terjadi di tadika anak sahabat saya. 2 hari anaknya tidak dapat hadir ke sekolah. Dia sendiri telah berjumpa dengan guru kelas lebih awal untuk menjelaskan yang mereka terpaksa balik ke kampung atas urusan mahkamah. Ketika diberitahu, reaksi guru itu seperti kurang menerima. Namun dia cuba bersangka baik.

Bila anak tiba-tiba tak nak ke sekolah

Sudah beberapa hari saya tidak nampak anak jiran pergi ke sekolah tadika. Selalunya ketika menghantar Salahuddin menunggu van tadikanya sampai, kami pasti terserempak. 

"Adik tak sekolah sebab sakit perut." Beritahu mamanya.

"Ooo yeke, kenapa?" Tanya saya balik.

"Entahlah, asal bangun pagi aje sakit perutnya mulalah datang. Lately ni memang dia suka buat perangai"

Lepas beberapa kali asyik mengadu sakit perut, mamanya telah membawa ke klinik. Bila diperiksa dia tidak ada apa-apa penyakit. Syukur, kemudian mamanya bercerita pada doktor sakit perut itu berlaku sejak keengganan anak perempuannya (6tahun) itu yang tidak mahu ke sekolah.

Sebenarnya, si anak ada memberitahu ketika di sekolah cikgu garang. Kalau buat bising cikgu nak stepler mulut. Kalau tak dengar cakap cikgu, cikgu nak tolak markah. Pernah sekali ketika membuat latihan bersama rakan-rakan, ada seorang kawannya meniru hasil kerja. Dia mengadu kepada cikgu. Kali pertama aduannya diterima dan cikgu 'memarahi' kawannya yang meniru itu. Apabila berlaku lagi dan mengadu untuk kali kedua, cikgu hanya berbuat tidak tahu. Jadi, dia berasa sangat kecewa.

Berpisah tempat tidur dengan anak

girl sleeping in bed with parents
link
Saya ditanya oleh seorang kawan tentang berkongsi bilik tidur dengan anak-anak.

"Kau buat macam mana ye?" 

Beritahunya lagi, suaminya ada komplen tentang hal tersebut.

Saya puas juga berfikir untuk memberikan pendapat. Ini kerana, saya memang tidak bawa anak-anak tidur sekali di bilik. Bahkan saya yang pergi tidur di bilik mereka. Bila anak-anak dah tidur, pandai-pandailah kita cari 'jalan pulang'. 

Anak-anak kekadang merasa tidak selamat bila berjauhan dengan ibu bapa, terutamanya si ibu. Bagi anak-anak berusia 1-3 tahun (bahkan mungkin lebih) selalu berada di bawah ketiak emak dan bila sampai masa hendak berpisah pastilah akan terasa kehilangan dan juga takut.

Bagi saya, di permulaan diri sendiri juga akan terasa janggal. Anak juga bijak, bila mana tengah tidur malam ia boleh terasa ruang sebelah kosong. Dia akan menangis dan mencari-cari ibu. Aduhai, suami kenalah beralah sekali sekala dan membiarkan isteri tidur bersama anak. Insha Allah, lama kelamaan mereka akan terbiasa tidur sendiri. Dalam hal ini, suami isteri harus bekerja sama untuk menggalakkan anak tidur sendiri di bilik mereka. Jangan hanya pandai komplen dan kritik pasangan. Luahkan pujian dan kata-kata semangat kepada anak-anak.

Lebih mudah lagi jika ada anak yang besar untuk menjaga adik yang kecil. Untuk memudahkan proses ini dilaksanakan, saya memang menghalang anak-anak menonton filem hantu kerana ini akan menyebabkan mereka lagi ketakutan bila berjauhan dari ibu bapa.

Soal pemisahan tempat tidur bukan sahaja di kalangan ibubapa dengan anak-anak, bahkan kalangan anak-anak berlainan jantina. Ada setengah ibu bapa berpendapat tidak kisah atau tidak mengapa bila mana mereka berkongsi bilik dengan anak dan juga anak-anak lelaki dan perempuan berkongsi bilik bersama. Mungkin juga keadaan rumah yang kecil dan sempit mennyebabkan mereka menerima sahaja keadaan itu.

Saya pernah mendengar cerita di mana ibu bapa disoal anak kecil tentang 'sesuatu' yang mereka lihat tetapi mereka tidak faham kenapa dan bagaimana ia terjadi. Ibu bapa menjadi tergamam dan tersentak namun benda dah jadi barulah nak terngadah. Berhati-hatilah sebelum terjadi. Kalau rumah sempit pun pandai-pandailah adjust ruang agar pemikiran anak-anak kecil yang bersih dan suci itu tidak dinodai dengan pemandangan yang tidak sepatutnya mereka lihat.

Menghina atau bergurau?

*salam sejahtera*

Petikan pantun:

" Kerana pulut santan binasa,
sebab mulut badan binasa..."

Baru ni kecoh ada artis nak saman menyaman bila mulut tak berlapik tu terlepas kata menyebabkan tercalar perasaan orang lain. Lebih teruk, ia dikatakan menghina dan mengaibkan. Kemudian, isu lawak yang menggunakan peribadi dan keadaan fizikal seseorang sebagai bahan gelak ketawa di pentas. Rasanya ini bukan perkara baru, kerana kita sering gelak sekali bila ada komedi yang menampilkan orang yang gemuk, hitam metalik, jongang, sengau dan sebagainya...

Barangkali, ketandusan idea atau sikap sopan santun sudah hilang dalam diri kita? Jangan kata artis, pelawak, pelakon, ahli politik(?) bahkan kita orang biasa juga suka bergurau menggunakan 'MO' yang sama. Kekadang silap orang kita nampak sangat tapi sebenarnya kita pun ada buat silap yang sama...kenapa ek jadi macam tu??? Akhirnya keluar kenyataan.."sebenarnya saya tak berniat untuk menghina sesiapa pun" atau "'ini sekadar bergurau aje" dll. 

Persoalannya, kenapa ada masa kita gelak sekali dan ada masa kita marah dan tak setuju dengan 'gurauan' sedemikian? Ada orang cakap, "bergurau boleh, tapi biarlah bertempat". Oooooo maknanya, nak gurau a.k.a kutuk orang kat pentas tak boleh, kat tv tak boleh, twitter/muka buku pun tak boleh tapi cakap belakang bolehlah? Cakap kat kedai kopi, kutuk kat tepi padang atau mengumpat di tepi longkang elok sangat lah?? Haaaaa...tu pasal mulut pun bau longkang!

Bukan di kalangan orang peringkat rendah (IQ), tapi ada golongan cerdik pandai dan belajar tinggi yang dua kali lima jugak. Mungkin kita label atau letak term molek sikit sebab orang itu kita suka. Kita pun gelak sekali sebab orang kesukaan kita tu bergurau 'manja' je, dan lagi pula dia bercakap pasal fakta. Jika pada orang yang kita tak suka pulak, kita cakap dia tu bodoh. Oppss...

Itulah kita ni kan...dabel standard? Pilih kasih?

Perlu tak mengawal selera makan?

*Salam sejahtera*

Tajuk di atas dirujuk. Merujuk kepada kanak-kanak dan bukannya orang dewasa yer :)

Alkisahnya....
Addin: Ibu nak makan lagi. 
Ibu: Weh tadi baru kejap awak makan nasi. Dah 2 kali tambah kan? 
Addin: Alaaa ibu, saya lapar lagi....
Ibu: Awak nak jadi gemuk ke? Dah la awak tu 'lebih sikit' dari orang lain... 
Addin: Ala ibu ni.....cita-cita Addin kan nak jadi kuat....
Ibu: ???????cita-cita tu (gelak dalam hati)

Tua tapi beranak kecik

*Salam Sejahtera*

Kisah 1
Masa mak saya lahirkan adik bongsu umurnya 38 tahun. Selepas tu mak dah tak beranak. Katanya dia memang dah tak mengandung selepas itu dan bukan sebab ambil apa-apa ubat atau pakai injet atau implan untuk elak mengandung. Nak jadi cerita, abah saya pergilah mendaftar surat beranak dan kononya pendaftar  terkejut sebab abah saya dah tua masih beranak kecik.

"Nak daftar cucu ke pak cik" tanya pendaftar.

"tak lah, anak" jawab abah. Pendaftar tu senyum. Dia tengok ic mak dan tengok umur baru 38. Oooo katanya. Maksudnya bini pak cik ni muda lagi.

Abah dan mak gap umur 10 tahun Abah saya cepat beruban dan simpan janggut serta jambang yang dah beruban juga.Jadi masa umur 48 tahun tersebut, dia kenampakan agak lebih berusia dari umur sebenarnya.

Salah ke orang tua nak beranak kecik???

Kerry Cambell: Hilang hak penjagaan anak kerana botox

*Salam sejahtera*

Susulan kisah yang saya terbaca semalam di blog Budak Botak, "Kerry Campbell Cucuk Anaknya Berumur 8 Tahun Dengan Botox " hari ini TMZ.com melaporkan bahawa Kerry hilang kelayakan dan hak penjagaan terhadap anaknya tersebut. 




Sebelum itu, Kerry telah disiasat oleh pihak Perkhidmatan Penjagaan Kanak-kanak (CPS) di San Francisco yang mendapat banyak aduan awam setelah Kerry membuat pengakuan panas bahawa dia telah menyuntik anaknya Britney, 8 tahun dengan botox untuk tujuan memenangi pertandingan kecantikan.

Hadiah hari ibu

*Salam sejahtera*

Agak-agak apa hadiah untuk diberikan kepada wanita yang bergelar ibu pada Hari Ibu ini? Ya, terpulang kepada citarasa ibu atau isteri anda. Tetapi takkan nak beli hadiah tanya mereka kan. Pandai-pandai lah sendiri meneka kegemaran ibu/isteri anda...Selalunya para ibu/isteri menerima sahaja dengan penuh gembira hadiah yang diberikan..Apa yang penting anak dan suami menghargai kehadiran mereka sebagai tunjang keluarga.

Seronok juga membaca artikel tentang apa hadiah diberikan kepada ibu sempena hari ibu. Macam-macam jawapan diberikan. Paling koman pun ajak ibu makan berdua-duaan di restoren kegemaran ibu. Paling best ada yang nak bagi ibunya phone 'berry' atau ipad. Hehe ibu gila gajet betul tuh.

Oklah sekadar suka-suka jom cuci mata sambil mikir hadiah yang menarik sempena Hari ibu:

Lepaskan anak-anak itu 'bebas'


*Salam sejahtera*

Anak-anak kecil yang sedang membesar memang mudah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. banyak faktor menyumbang dan salah satunya rakan sebaya. Cerita saya ini menyentuh sedikit bab ini..

Baru-baru ini saya mendengar seorang ibu mengeluh kepada saya yang adik iparnya kerap melarang anaknya bermain dengan anak-anaknya. Terasa juga hati kawan saya itu, namun berat mulutnya untuk bertanya kenapa si adik ipar buat begitu. Anak si adik ipar dalam setahun umurnya dan anak-anak kawan saya pula dalam usia lingkungan 1-6tahun semuanya 3 orang. Apa yang terfikir oleh kawan saya, puncanya mungkin kerana anak-anaknya terlalu lasak dan nakal.

Pengharaman Botol Susu Bayi Polikarbonat Bisphenol A Berkuat Kuasa 1 Mac 2012

Begitulah tajuk berita di mstar online hari ini. Boleh klik untuk baca. Alamak, saya sendiri tidak pasti sama ada botol susu anak-anak saya dari jenis yang mana. Setahu saya mungkin jenis yang bahaya kot sebab jelas-jelas saya membelinya pada harga yang murah sahaja di JJ. Kalau yang bukan jenis Polikarbonat sudah tentu harganya lebih mahal kan?

Pendekatan psikologi mendidik anak

Memetik kata-kata hikmah seorang ibu yang memiliki 13 orang anak, Puan Noor Jannah Ahmad Dini:

“ Sesekali bila berjumpa rakan-rakan lama, mereka sering kata saya seorang yang sabar melayan kerenah anak-anak seramai itu.

Sebenarnya saya malu dengan tanggapan tersebut kerana saya bukanlah seorang yang sabar. Sesekali saya juga naik angin. Tetapi, anak-anaklah sebenarnya yang menyabarkan dan mematangkan saya untuk seboleh-bolehnya menjadi ibu yang terbaik bagi mereka
” [baca lanjut di idesa.net.my]

Saya dan suami sendiri lahir dari keluarga yang agak besar juga. Saya mempunyai 8 adik beradik (seorang meninggal semasa lahir) dan suami mempunyai 9 adik beradik. Susah payah emak dan abah mendidik kami adik beradik sehingga besar amat saya hargai walaupun keluarga kami bukanlah satu keluarga yang boleh menjadi contoh tauladan bagi keluarga yang lain. Definisi 'keluarga contoh' mungkin berbeza bagi sesetengah orang. Tapi bagi saya, lahir di dalam sebuah keluarga bahagia dan aman damai tanpa masalah sosial yang berat amat saya syukuri. Normal bagi setiap manusia ada suka dan duka dalam kehidupan. Namun kami lalui bersama dengan bekerjasama dan saling menyayangi. Berbanding keluarga suami yang pernah mendapat anugerah keluarga contoh. Mungkin kerana hampir kesembilan anak-anak berjaya ke IPT dan memperoleh kerjaya yang elok.

Adik ipar saya pula mempunyai 16 adik beradik dan biras saya pula mempunyai 13 adik beradik. Melihat kepada jumlah ini memang kami akan terkesima mendengarnya. Kagum juga bagaimana ibubapa mendidik anak-anak seramai itu. Adik saya Aini bercerita tentang ibu mertuanya yang memanjakan semua anak-anaknya 16 orang itu dengan sama rata walau pun sudah besar panjang. Dalam bab membantu emak, baik lelaki atau perempuan mereka sama-sama ringan tulang membantu kerja-kerja rumah. Aini agak kagum, kerana berbanding keluarga kami yang lebih ramai perempuan pun saling bergaduh nak buat kerja rumah.(hehehe). Tahun lepas kalau tak silap, keluarga mereka mendapat anugerah keluarga memiliki anak paling ramai. Alhamdulillah..

Apapun, bukan lah anugerah yang kita kejarkan. Bukanlah jumlah anak siapa paling ramai menunjukkan mereka itu keluarga terhebat atau ibubapa paling berjaya. Ia bergantung kepada keadaan. Jika anak 10 tetapi semuanya menghuni 'pusat 1Malaysia' (pusat serenti, pusat pemulihan akhlak dll) mungkin hilang bahagianya. Mungkin juga beranak hanya seorang tetapi dapat memberikan bakti sebaik mungkin kepada kedua ibubapa dengan hasil pekerjaan yang mungkin juga bukan sebagai pegawai besar itulah satu kejayaan yang sebenarnya.

Bagaimana hendak berjaya? Semua orang sudah tentu mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran. Kemudian masuk U dan akhirnya mendapat pekerjaan yang baik. Namun, ia bukan berhenti setakat di situ. Seperti mana kita berdoa untuk kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, maka, masuk syurga itulah kejayaan yang hakiki.

Begitu mudah untuk menentukan mana yang baik dan buruk untuk diri kita. Tetapi, untuk melaksanakannya amatlah payah. Kekadang kita diduga dengan bermacam ujian dan masalah yang membebankan jiwa raga. Pokok pangkalnya dari hati. Jika hati kita 'mati' maka semuanya tidak menjadi. Hati yang baik (ikhlas, redha, sabar, pemaaf, tiada hasad dll) akan melahirkan jati diri insan terpuji, tutur bicara yang menyenangkan insan lain dan akhirnya menzahirkan perbuatan yang sentiasa mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya....

Pendekatan psikologi - suatu ilmu yang perlu saya dan anda juga pelajari. Banyakkan membaca mungkin? Jika anda tahu sesuatu sila kongsikan bersama. Di sini. Pendekatan psikologi selalunya lebih berhikmah di mana akhirnya anak-anak dapat mempelajari sesuatu perkara dari kesilapannya.

Merancang keluarga: Pendapat 1 sen saya

Alhamdulillah, sekarang aku dah ada 4 orang cahayamata. Persoalan-persoalan yang timbul kemudian; Cukup ke empat orang? Lelaki semua, takkan tak mahu dapat perempuan pulak? Umur dah 30-an, nak tutup kilang dah ke?....dan macam-macam lagi persoalan muncul sama ada di benak sendiri atau keluar dari mulut orang lain....

Nabi junjungan kita menggalakkan umat Islam beranak ramai. Hikmahnya supaya meramaikan ummatnya..Namun, persoalan kita pada hari ini, adakah kita MAMPU? lalu kita harus bertanya lagi, MAMPU dari segi apa? -kewangan/tenaga/ilmu didikan- .....dan bermacam-macam lagi jawapan, yang hanya boleh difikir dan diberikan jawapan bergantung kepada diri masing-masing. Bukan hanya oleh ibu yang akan mengandung, bahkan si bapa yang bakal menyediakan keperluan buat seisi keluarga.

Jika kita pergi ke klinik, selalu misi(jururawat/bidan/doktor) akan memberikan buah fikiran mereka berdasarkan ilmu perubatan mereka bahawa seelok-eloknya wanita beranak biarlah apabila genap anak mereka dua tahun atau lebih. Itu sekurang-kurangnya.....dan umur ibu mengandung pula biarlah di bawah 35 tahun supaya dapat mengelakkan pelbagai komplikasi penyakit sama ada pada ibu atau bayi. Itu bermakna kita harus merancang keluarga....Berapa anak yang perlu kita miliki? perlukah si ibu mengambil pil perancang/mengamalkan teknik tertentu untuk menjarakkan kelahiran anak?..dan sebagainya mengikut pilihan yang ada. Namun, kita hanya mampu merancang dan Allah jua yang memberikan rezeki. Namun, sebagai hamba-Nya wajib kita berusaha jika berhajatkan sesuatu atau inginkan perancangan yang dibuat berjalan lancar.

Jujurnya selama ini aku dan suami tidak pernah merancang keluarga. Bak kata orang 'pandai-pandai sendiri je..'. Memang bosan kalau pergi klinik jika kena 'leter' bab merancang keluarga. Minta maaf cakap, 'diorang' tu anggap beranak ramai/rapat-rapat tu macam sesuatu yang kita sendiri yang tetapkan. Pada hal bukankah anak itu anugerah Allah?? :sigh: Mungkin aku je yang terlalu emosi. Sebenarnya para pengamal perubatan moden ni bercakap berdasarkan ilmu yang mereka pelajari. Ada pro dan kontra dalam suasana masa kini. Aku patut fikir positif, dan YA! aku mendengar 'leteran' tersebut dengan berlapang dada walaupun akhirnya aku akan mengata di belakang pula...hehehe maafkan saya misi!

Tahun lepas seorang kawan rapat telah melahirkan anak keduanya. Dengan itu beliau telah pun mempunyai sepasang cahayamata. Alhamdulillah...Dia mengutus sms bertanya bagaimana aku menjaga anak-anak (yang pada ketika itu 3 orang). Ceritanya, dia semacam tidak sempat untuk melayan 2 orang anak berbanding aku yang mempunya 3 orang hero kesemuanya. Dengan ilmu yang tak seberapa aku memberikan pandangan kerana lain budak, lain peelnya. Mungkin anak-anak aku lebih ramai tetapi lebih baik (kah..kah..kah). Berbanding orang yang mungkin ada anak seorang tetapi peelnya, dia sahaja yang tahu. Sebenarnya ia bergantung kepada individu (ibubapa) dalam mendidik anak-anak. Kalau tidak masakan ada pepatah mengatakan 'menjaga anak perempuan seorang lebih susah daripada menjaga lembu sekandang...(Eh ye ke begitu ayatnya?) Hanya mereka yang tahu cara untuk 'menjinakkan' anak masing-masing. Kawan aku juga memberitahu dia telah mengambil supplement supaya fizikalnya lebih bertenaga dalam melaksanakan tugas harian. Memandangkan dia ibu berkerjaya mungkin lebih penat untuk menguruskan kerjaya sekaligus anak-anak, suami dan rumahtangga. Ahha..itu juga suatu cara wanita untuk tampil lebih bergaya dalam menguruskan kehidupan!

Kemudian, baru-baru ini seorang kawan rapat juga telah disahkan positif hamil anak ketiga. Dalam kesedihan berbaur kecewa dengan suaminya dia bercerita bahawa dia tidak berharap untuk mengandung secepat ini memandangkan anak keduanya baru berusia setahun lebih. Katanya lagi, dia takut jika tidak dapat membahagikan kasih sayang di antara anak-anaknya nanti. Sekali lagi tanpa ilmu yang khusus, aku pun memberikan pandangan dan nasihat untuk menceriakan dirinya dan akhirnya dia redha. Alhamdulillah. Dalam situasi begini pula, mungkin lebih elok jika pasangan suami isteri merancang keluarga bagi mengelakkan kehamilan yang tidak diharapkan. Lebih buruk, jika ada yang sanggup menggugurkan kandungan mereka padahal anak halal tersebut wujud dari kasih sayang ibubapanya...

Dalam kehidupan aku hari ini, segalanya masih berjalan seperti biasa walaupun kekadang aku mengharapkan sesuatu yang luar biasa. Masih bertekak dengan anak-anak tentang soalan-soalan mereka yang tidak kita duga, bergaduh dengan anak-anak untuk menggunakan komputer, berleter pada anak-anak apabila membuat kesalahan yang sama berulang kali dan macam-macam lagi. Kesimpulannya aku ialah tarzan....waakakakkaka...Hehehe seburuk mana ibu ini, segarang mana ibu ini...sejahat mana mulut ibu ini anak-anak tetap sayang ibu mereka. Mungkin ibu lah ibu yang menjaga, menyuap mereka makan, mendodoi bila nak tidur, memandi, memakai baju, dan sebagainya....Jangan kita lupa (peringatan untuk aku jua) anak-anak kita masih kecil dan perlukan didikan yang paling wajar. Pada usia ini mereka masih bergantung kepada kita untuk melakukan segalanya. Jika usia sudah menginjak remaja dan dewasa, teknik didikan harus berubah dan jika tersilap langkah anak-anak akan melawan balik dan memberontak. Suami aku selalu mengingatkan, jangan marah anak ketika marah kerana mesej mendidik tidak akan sampai. Marah biar untuk mengajar mereka. Betul katanya, tetapi aku kerap terbabas dengan nafsu marah ...maafkan ibu ye anak-anak...(sedihlah pulak)

Teringat kata seorang kawan pada masa lalu...Ayahnya suka marah-marah pada dia. Lalu dia pun menjawab balik " Ayah, ayah jangan marah-marah...nanti bila dah tua anak-anak hantar dekat rumah orang-orang tua" huhu, beraninya dia berkata begitu. Aku terdiam mendengar ceritanya, sepertimana ayahnya yang terkedu apabila mendengar jawapan darinya. Mungkin aku juga harus beringat supaya anak-anak aku tak cakap begitu nanti. Sesungguhnya didikan agama paling sempurna akan menjadikan kain putih yang kita miliki bercorak paling menarik suatu masa nanti. Kalau warna hitam yang kita beri, nanti berwarna kehitamanlah pada kain-kain putih yang kita ada hari ini.

Seseorang pernah memberitahu aku, bila kita balik kampung orang tak tanya pun berapa duit yang kita ada tetapi berapa anak dah yang kita ada. Walau berapa pun anak yang kita miliki tidak penting kerana yang penting ialah didikan yang kita beri. Tidak kisahlah jantina apa pun yang dianugerahkan-Nya jangan beza-bezakan dalam memberikan kasih-sayang. Walaupun hari ini mungkin ada yang masih belum dianugerahkan anak, jangan lah pernah putus asa, kerana Allah juga tidak pernah putus mendengar doa hambanya yang ikhlas memohon. Yang penting juga suami harus bersama-sama isteri dalam segala usaha yang dirancang.

Ikhlas kah komentar aku ini? Kekadang aku berasa cuma pandai berselindung di sebalik kata-kata. Sedar atau tidak hari-hari masih membuat kesilapan yang sama. Pada hal terhadap anak-anak dan orang lain aku mengharapkan yang terbaik sahaja. Kita wajib mendidik diri sendiri dahulu supaya menjadi baik sebelum mampu mendidik insan lain menjadi terbaik. Mari kita renung dalam diri sendiri dan mantapkan dengan ilmu agama, keibubapaan, kesihatan dan sebagainya. Membaca jambatan ilmu (jangan lupa tu!) dan Insya Allah 1Malaysia akan cemerlang, gemilang, terbilang!

Kasih, sayang, cinta, rindu, dendam dan benci...

Ini ialah kisah tentang kasih, sayang, cinta, rindu, dendam dan benci...Perasaan untuk berkasih sayang dan saling menyintai adalah fitrah kemanusiaan yang dikurniakan oleh Allah yang tiada tinggi nilainya... Tidak kira terhadap sesiapa sahaja, ia merupakan anugerah yang harus disyukuri dan bila hati yang ingin berkasih sayang dan menyintai itu dikhianati dan dilukai, maka akan hadir dendam dan benci. Hargai perasaan yang suci murni ini dengan ikhlas dan tulus kerana Allah. Bila ia sudah tiada atau 'ditarik' kembali oleh Allah yang Maha Memberi maka sudah terlambat untuk menyesali. Rindu pula akan hadir untuk menghuni hati yang sepi dan menyelubungi ruang yang dikosongkan...

Kisah 1: Apabila kasih sudah beralih arah

Saya mula mengikuti kisah dalam DCCK ini sejak di sekolah menengah lagi, kini saya berusia 25 tahun. Saya membaca sekadar hobi, habis baca saya terus melupakan, kerana saya tak terfikir kejadian itu boleh berlaku dalam kehidupan keluarga saya.

''Bila saya membaca kisah Zukhene minggu lalu, terbuka pintu hati saya untuk berkongsi cerita, rupanya ada juga orang yang menghadapi masalah sama seperti ibu saya.

''Sebagai anak kedua saya masih tak boleh melupakan saat-saat kebahagian hidup emak dan ayah, mereka bagaikan loving couple. Dulu emak pernah bekerja, tapi berhenti sebab terpaksa ikut ayah posting setiap dua tahun, boleh dikatakan seluruh semenanjung kami dah jelajah. Emak tak pernah merungut walaupun penat.

''Emak juga pandai memasak, cakap aja apa nak makan besok lusa pasti tersedia. Kerana pandai masak emak mudah dapat kawan kerana meminati resipinya. Dan emak memang peramah, berbanding ayah agak sedikit pendiam.

''Emak juga pandai buat kek, pendek kata kalau hari lahir kami sekeluarga tak pernah beli kek, bila balik rumah semuanya sudah tersedia selain pelbagai jenis juadah yang enak-enak, semua emak buat sendiri. Begitu juga kalau ada ipar duai yang meminta buatkan kek, emak tak pernah lokek dia akan buat dan beri percuma.

''Semasa kami kecil rumah kami sering ada majlis hari jadi. Bukan untuk kami saja. Bahkan untuk meraikan adik beradik dan saudara ayah. Tak tahu macam mana emak tahu tarikh lahir mereka. Yang bestnya emak yang buat kek-kek itu.

''Begitulah kehidupan kami bertahun-tahun dalam kegembiraan, walaupun ada pergaduhan kecil antara kami adik beradik, itu perkara biasa, budak-bukan namanya. Tetapi malangnya sejak tiga tahun lepas keadaannya sudah berubah.

''Berpunca bila ayah mula tak balik rumah. Bila ibu dan kami tanya, ayah kata ada kerja. Saya melihat perubahan itu. Saya merasa curiga. Tapi kerana ayah tak pernah buat hal. lagipun sememangnya ayah kuat berkerja, kami percaya ayah. Namun saya merasakan ada sesuatu yang ayah sembunyikan.

''Emak sering tak tidur malam. Sayalah temankan mak, kasihan emak badannya semangkin susut dan cengkung. Saya hairan, emak tak marah-marah bila ayah balik lewat, dia macam biasa siapkan makan. Kalau ayah balik pagi emak buatkan sarapan. Lepas tu ayah mandi dan terus bersiap-siap pergi kerja. Emak tetap layan ayah dengan baik. Tak pernah masam muka. Ibu hantar ayah ke keretanya dan salam ayah.

''Begitulah keadaan ayah sejak kebelakangan ini, sering pulang jauh-jauh malam, kalau takat jam 2 pagi dah jadi perkara biasa, emak akan tunggu ayah, bukakan pintu dan tanya ayah kalau belum makan emak akan siapkan, tanpa banyak soal.

''Tetapi sepandai-pandai tupai melompat sesekali jatuh ke tanah juga, begitulah ayah, peristiwa saya terjumpa ayah memang memalukan, satu hari ketika saya ke supermarket dengan kawan, tiba-tiba saya terlihat ayah sedang sibuk membeli belah dengan seorang perempuan. Kawan saya pun nampak. Ya Allah malunya.

''Bila tiba di pejabat saya telefon emak bertanya ayah ke mana, dengan jujur emak kata ayah kerja luar daerah, sehari dua baru balik, ada kerja katanya. Ya Allah jujurnya emak, tak terlintas pun di hatinya bahawa ayah ada perempuan lain. Tetapi sebagai anak tak kan saya nak berdiam diri. Beberapa minggu kemudian baru saya berani bercerita dengan emak tentang peristiwa disupermarket itu.

menceraikan

''Malangnya sejak tembelang ayah pecah, dia jadi tak tentu arah, entah macam mana dia boleh bertindak menceraikan emak. Emak terkejut, kami adik beradik amat terkilan dengan perbuatan ayah. Tak berapa lama selepas itu kami dapat tahu ayah kami telah berkahwin dengan perempuan itu. Ayah amat kejam.


''Emak menerimanya dengan tangisan, tanpa banyak bicara selain meminta maaf kalau dia ada tersalah atau terkasar, dan memohon ampun jika tidak dapat melayan ayah seperti yang ayah kehendaki, kerana kini emak sudah 50 tahun.

''Hingga kini emak tetap emak sikapnya tak berubah langsung terhadap ayah. Malah emak nasihatkan kami jangan biadap dengan ayah. Walaupun emak tahu kami adik beradik amat marah dengan ayah. Masalahnya kami amat kasihankan emak.

''Malangnya, di satu pihak ayah memburuk-burukkan emak pada orang, kata ayah emak tak pernah menjaga kebajikannya. Emak tak jaga anak-anak. Emak malas dan emak isteri yang derhaka! Oh Tuhan. Apa dah jadi dengan ayah kami ini?

''Ayah marah abang, ketika abang cuba bersemuka dan bertanya kepada ayah apa yang terjadi, kata ayah abang dengar cerita sebelah emak sahaja yang banyak berbohong. Bila abang bercerita lebih lanjut, ayah kata kami adik beradik menyusahkan hidupnya.

''Kami empat beradik ini sudah dewasa, kami nampak dan kami kaji, kami tahu siapa yang membuat onar. Namun kasih emak pada ayah semakin tebal, emak nasihatkan kami jangan menderhaka kepada ayah.

''Malangnya semakin emak berdiam diri, cerita pembohongan ayah memburukkan emak menjadi-jadi dan sampai ke telinga saya. Kata ayah pada kawan-kawan dan adik-beradiknya, konon emak queen control, emak pentingkan diri sendiri, tak menjalankan tugas sebagai suri rumah apalagi sebagai isteri. Ya Allah, saya terkedu seperti orang yang dipukau saya tak dapat menjawab apa-apa pun selain daripada menangis.

''Namun saya mengaku, saya pernah menghubungi perempuan itu cuba menceritakan keadaan sebenar, bahawa emak bukan seperti yang dia ceritakan dan sebarkan. Malang sungguh ayah mengamuk dan memaki hamun marahkan saya. Kata ayah saya tak tahu apa-apa tentang emak jadi jangan masuk campur.

''Tapi saya puji, emak tak lekang dari tikar sembahyang. Masih minta kami hormat ayah. Saya ada banyak bukti tentang perbuatan buruk ayah. Tapi terlalu perit untuk bercerita pada emak. Maaf ayah saya tak dapat nak hormat ayah! Saya amat kesal orang yang saya hormati satu ketika dulu telah mengkhianati kami.

''Abang memang ambil berat tentang ayah. Dia mencari jalan membantu ayah kembali kepada emak. Tapi kerana tiada pengalaman abang gagal selamatkan perkahwinan ayah dan emak. Namun emak tetap reda dengan apa yang terjadi padanya.

"Pada Zukhene awak beruntung kerana ayah awak belum berkahwin. Itu tandanya dia masih sayangkan awak sekeluarga, tetapi ayah saya sudah tidak sayangkan kami lagi.

''Kepada ayah kami nak tanya adakah perempuan itu telah ayah uji cintanya seperti ibu? Kami harap janganlah dia cuma cintakan ayah kerana kedudukan dan duit ringgit ayah. Pada kami, hati, cinta dan kasih ibu terhadap ayah terlalu tinggi hingga kini. Saya mohon ayah jangan fitnah emak lagi dengan kata-kata yang ayah sendiri tahu tidak benar.

''Namun seperti ibu, jauh di sudut hati ini saya memohon kepada Allah agar ayah kembali pada kami. Kami rindukan ayah seperti dulu suka gelak ketawa, dan terlalu sayangkan keluarga, semoga Allah makbulkan doa kami". Demikian cerita Bismi tentang ayahnya yang sudah bertukar corak dan bertukar kasih.

Setelah membaca kisah Bismi tentu pembaca boleh membuat kesimpulan. Adakah isteri telah membuat salah maka hukumannya dia diceraikan, ataupun cerai sudah menjadi perkara biasa bila kasih sudah beralih arah.

Kisah 2:
Abah sentiasa jadi imam solat di rumah

SAYA telah pun berumah tangga dengan seorang lelaki yang saya kenali ketika menuntut di luar negara dulu, beliau seorang suami dan ayah yang sangat baik, saya juga bertuah kerana dikurniakan ibu, ayah mertua dan ipar duai yang sangat-sangat baik, Alhamdulilah... tetapi saya masih lagi berwaspada kerana malang tidak berbau.

Merujuk kepada kisah DCCK minggu lalu, berbalik kepada kisah DCCK keluaran 2 Ogos, saya terpanggil untuk memberikan reaksi tentang nasib ibu dan perangai ayahnya. Cerita beliau ada persamaan sedikit dengan kisah saya.

Saya anak bongsu daripada tiga beradik. Saya dilahirkan dalam keluarga sederhana, tetapi emak meninggal dunia semasa saya berumur tujuh tahun. Jadi segala keperluan arwah, abah yang menguruskannya. Tetapi di sebalik itu abah seorang yang sangat baran hinggakan jiran-jiran tetangga amat simpati kepada kami, yang jadi mangsa keadaan adalah kakak saya.

Beliau dipukul dan dimaki. Saya dan abang juga tidak terlepas daripada tempiasnya, cuma kakak kena lebih teruk daripada kami. Abah pernah menyatakan emak meninggal dunia disebabkan kakak.

Air muka

Abah tak pernah peduli tentang air muka anak-anak. Kalau baran dia datang dia boleh pukul atau maki kami walaupun di khalayak ramai. Kami tiga beradik inilah yang menangis bersama di dalam bilik.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan tahun berganti tahun, tetapi perangai abah tidak pernah nampak perbezaannya, sehinggalah ditakdirkan abah terkena angin ahmar, kakaklah yang menjaga abah sehingga hujung nyawanya.

Saya dan abang memberikan berbagai alasan untuk tidak menjaga abah, tetapi kakak sanggup berhenti kerja sebagai Akauntan semata-mata ingin menjaga abah, walaupun suaminya tidak merelakannya.

Kakaklah yang menjaga abah, tetapi setelah kakak menasihatkan kami, akhirnya kami akur dan menjaga abah setakat yang termampu, apa yang kakak kata kita hanya akan ada ibu dan ayah sekali sahaja dunia dan akhirat walau sejahat mana sekali pun abah dia tetap bapa kami yang sah.

Oleh itu pada saya kita hormatilah kedua-dua ibu bapa kita walau sejahat mana sekalipun dia, insya-Allah satu hari Allah SWT akan menyedarkan mereka tentang dosa yang telah mereka lakukan.

Tetapi walau macam mana pun kami bertiga tetap sayangkan abah dunia dan akhirat sebab abahlah yang menggantikan emak selepas kematian emak. Dia bersusah payah mencari duit bagi menyekolahkan kami sehingga kami berjaya.

Dia jugalah mengajar kami untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak kami.. Walau sebaran manapun abah, dia tidak pernah lupa untuk menjadi imam ketika berjemaah dengan anak-anaknya.

Ziee, Kuala Lumpur

Kisah 3: Sayangilah dia selagi ada

Bro menerima satu e-mel yang cukup menyentuh perasaan iaitu berkaitan luahan seorang isteri yang kematian suaminya setahun lalu akibat barah.

Membaca setiap ayat dalam e-mel berkenaan, Bro berasa sebak kerana amat memahami betapa rindunya si pengirim e-mel itu terhadap arwah suaminya. Dia menceritakan bagaimana di siang hari dia tersenyum tetapi di malam hari dia merintih dan menangis seorang diri.

Dia menangis meratapi pemergian suaminya, dia rindukan belaian dan gurau senda yang kini semuanya hanya menjadi kenangan. Sebagai hamba Allah, Bro membalas e-melnya dengan memberikan sedikit nasihat.

Kepada semua kaum wanita terutamanya yang bergelar isteri sayangilah suami anda, penuhilah setiap hajatnya selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Sesungguhnya ajal maut di tangan Allah, kita tidak tahu apa yang hendak terjadi di masa depan, mungkin hari ini kita menolak hajatnya, mungkin esok dia tiada lagi, ketika itu menyesal pun sudah tidak berguna lagi.

Jalankan tanggungjawab anda sebagai isteri dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya apa juga yang anda lakukan untuk suami anda biarpun hanya menghidangkan secawan kopi, ia sudah mendatangkan pahala.

bercakap kasar

Janganlah bercakap kasar dan janganlah cuba hendak menjadi queen control. Sesungguhnya syurga anda terletak di bawah telapak kaki suami anda. Mungkin ada di antara anda berbangga apabila mampu mengawal suami dan gembira melihat suami mengikut cakap anda sehingga timbul istilah 'takutkan bini', tetapi persoalannya apakah ia akan mendatangkan pahala?

Bro sentiasa percaya kehidupan suami isteri memerlukan kefahaman yang disulami dengan perasaan kasih, sayang dan cinta yang mendalam.

Bro tujukan pesanan ini kepada isteri-isteri yang mempunyai suami yang baik seperti mana arwah suami pengirim e-mel kepada Bro itu.

Ingatlah selagi orang yang kita cintai wujud di muka bumi Allah ini, sayangilah dia sepenuh hati kita. Mungkin ada perkara yang dia lakukan melukakan hati kita tetapi janganlah sampai kita membencinya.

Banyak-banyaklah berdoa kepada Allah agar rumah tangga kita diberkati sehingga akhir hayat.

Kepada pengirim e-mel tersebut, Bro doakan semoga roh Allahyarham suaminya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Bro - Al Fatihah

*** Kita adalah manusia biasa yang tidak lepas dari berbuat kesalahan dan kesilapan. Sama ada kecil atau besar, malah paling besar dosa terhadap Allah Taala. Selagi ada nyawa di badan, kita boleh bertaubat dan berpeluang untuk bertaubat nasuha sehinggalah Izrail datang men'jemput'.

Sesama manusia, kadang-kadang dalam sedar atau tidak dan sengaja atau tidak disengajakan kita sering melukakan hati mereka. Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan juga dan pengkhianatan dibalas dengan dendam kesumat, tiada kebaikan di akhir cerita. Memberi kemaafan bukan setakat di hari raya sahaja, bahkan sepatutnya sebaik melakukan kesilapan tersebut.

Ego dan malu - 2 benda yang menjadi penghalang mulut untuk mengucapkan dan tangan untuk meluahkan hasrat hati. Hanya airmata menjadi pengganti atau hati yang keras terus menyimpan niat suci.

Aku akui diri ini seorang anak yang bukan baik sangat. Sebagai isteri sering juga mengabaikan suami dan menyakiti hatinya. Lebih-lebih lagi sebagai ibu, terhadap anak-anak.....saban hari aku menyakiti mereka fizikal dan emosi. Walaupun untuk mendidik ada tindakan yang melampau apabila akal dikuasai nafsu amarah.

Ya Allah! Aku hanya mampu untuk cuba membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik dari hari ke hari. Aku sedar bila aku banyak bertindak mengikut nafsu, maknanya aku telah jauh dari jalanmu yang lurus...Teguhkan lah hati aku dan berilah aku kesabaran untuk menjadi anak, isteri dan ibu yang solehah dunia akhirat. AMIN

Marilah kita bersama menambahkan ilmu dan mendekatkan diri kembali di jalan Allah. Ujian demi ujian yang menimpa kita untuk menyedarkan kita tentang pelbagai perkara. Tinggal lagi di mana kita letakkan akal fikiran untuk menilai hikmah dan rahsia di sebaliknya..dan, bukan menangisi nasib malang atau bertawakal semata tanpa usaha membaikinya. Insya Allah

Semoga 3 kisah di atas mengetuk pintu hati anda dengan rahmah!