Sekian lama saya mendengar cerita anak-anak lelaki orang lain yang terdidik untuk melakukan kerja-kerja rumah. Bukan setakat mencuci pinggan makan sendiri, bahkan memasak, mengemas rumah, menyidai baju, melipat baju dan segalanya. Pokok pangkal segala rutin biasa seorang suri rumah atau perempuan. Lebih bagus, pandai menjahit, mengait, menyulam dan segala kepakaran yang kurang anak gadis masakini memilikinya.
Kita mendidik anak-anak melakukan kerja di rumah supaya mereka tahu disiplin dan tanggungjawab. Menyapu sampah itu membantu ibu. Mencuci pinggan makan sendiri satu tanggungjawab. Lakukan yang sesuai dengan usia dan jangan lakukan kerja yang merbahaya. Lebih kurang macam itulah yang saya beritahu anak-anak teruna saya yang berumur 8 dan 10 tahun. Bahkan yang 4 dan 6 tahu juga teruja untuk 'bergotong-royong' membersihkan rumah pada cuti sekolah baru-baru ini. Bukan berat pun, sapu sampah, kemas bilik tidur, mop lantai dan sidai baju. Saya? Ibu jadi mandur (penyelia) sahaja :D
Cerita sahabat saya, anak lelakinya yang berumur 10 tahun sudah pandai memasak. Bukanlah yang berat-berat, setakat menggoreng telur dan masak nasi goreng. Terpegun saya sekejap. Ini kerana, saya tidak akan membenarkan anak saya menyentuh dapur gas. Risau nanti dia bermain dengan api pula. Anak gadisnya yang berumur 8 tahun tidak pula setanding abangnya. Mungkin dek usianya lebih muda. Hal ini merisaukan datuknya kerana situasi nampak janggal dan seakan terbalik. Ibu bapa tidak kisah langsung, orang luar pula yang lebih peduli. Dalam dunia sekarang lelaki/perempuan sudah biasa melakukan kerja/aktiviti oleh jantina berlawanan. Selagi perkara tersebut bukan melangkaui batasan agama, saya ok je. Bagus juga mendapat anak gadis pemandu jet pejuang dan anak lelaki chef di restoren. Itulah yang dikurniai Allah kepada seorang mak chik di kampung halaman saya.
"Ibu, umur berapa baru boleh basuh pinggan?" Tanya anak lelaki saya Luqman, 10 tahun. Saya tiada jawapan.
Sebenarnya bergantung kepada tahap kematangan anak-anak. Saya juga mendapat tahu emak saudara mengajar anak perempuannya menggosok baju dalam usia 8-10 tahun. Mudanya. Saya bimbang sama ada nanti anak itu terkena seterika yang panas atau merosakkan baju yang digosok.
Nampak sangat saya ni terlebih risau tentang anak-anak. Kata orang kita kena 'lepaskan' anak-anak untuk berdikari. Pantau pekerjaan mereka pada peringkat permulaan. Beri mereka peluang belajar dan mencuba supaya timbul keyakinan dalam diri. Bukan bermaksud melatih anak melakukan kerja rumah supaya kita ibubapa dapat melepaskan tanggungjawab. Dalam sesetengah situasi seperti ibu di dalam pantang, ibubapa tidak sihat atau lain-lain situasi di luar jangka, kita dapat membantu anak-anak berdikari dan tidak hanya bergantung dengan orang dewasa.
Hanya kita yang kenal anak kita. Jangan pula memaksa mereka melakukan pekerjaan diluar kemampuan mereka. Setiap anak berbeza tahap kematangan dan kepandaian, hatta sesama adik beradik. Apapun memang wajib kita melatih anak-anak melakukan kerja rumah supaya kelak menjadi manusia yang boleh diharap dan berguna kepada keluarga, agama, masyarakat dan negara. Latihlah dari kecil supaya sudah besar tidak perlu dibebelkan lagi. Kerja rumah bukan hanya kerja untuk perempuan. Lelaki yang membantu isteri, anak lelaki yang membantu ibu/saudara perempuan juga boleh dianggap 'gentleman'. Bukan hanya lelaki lembut layak untuk membuat kerja rumah. Tidak hilang 'macho' hanya kerana menyidai baju dan takkan anak lelaki kita bersifat 'kewanitaan' hanya kerana pandai menjahit dan memasak.
Walaupun kebanyakan orang sudah berfikiran terbuka tentang isu ini, namun ada golongan konservatif yang berfikir sebaliknya. Wanita wajib menjaga kaum lelaki serba serbi hatta makan dihidang dan pinggan makan ditatang ke sinki oleh para perempuan mereka. Terpulang pada masing-masing. Adik beradik lelaki saya juga tidak diajar membuat kerja rumah semasa kecil tetapi, matang berfikir tika dewasa untuk menjadi lelaki yang tak kekok melakukan kerja rumah dan menjadi suami yang suka membantu isteri.
1 comments:
sy setuju kalau anak2 lelai diajar mengemas rumah atau memasak..
pada sy kemas rumah dan memasak ini adalah pengetahuan am yg semua org tak kira lelaki atau perempuan mmg kena ambil tahu dan belajar...
supaya bila dah dewasa nanti mereka pandai uruskan kehidupan sendiri..dan taklah hanya berharap pd org gaji semata-mata..
Post a Comment